Tuesday, July 14, 2015

CATATAN PERJALANAN RAYA KALI INI (FROM IPOH TO KUALA BERANG)

Sekolah harian dan SBP berjaya memperoleh cuti berganti, tetapi MRSM tidak. Maka, permohonan pulang bermalam lebih awal perlu dibuat. Mujur aplikasi whatsapp diterima sebagai dokumen sah. Pukul 10 pagi baru ibu bapa pelajar yang memohon dibenarkan mengambil anak mereka.

Namun, satu urusan penting di Ipoh menyebabkan pergerakan ke Cameron Highland hanya bermula kira-kira pukul 1.00 tengah hari. Perjalanan lancar kerana tidak banyak kenderaan memilih laluan mendaki dan berliku-liku itu. Sebaik memasuki sempadan Pahang, kami sekeluarga singgah sebentar di sebuah gerai peniaga Melayu bagi membeli barang keluaran tempatan.

Pemandangan sepanjang laluan Kampung Raja - Lojing menimbulkan tanda tanya apa sudah jadi dengan operasi mengusi penceroboh tanah tinggi di situ. Kesan gondolan dan hakisan jelas dapat dilihat dari jauh. Demikian juga terdapat satu kes pembakaran terbuka di sebuag lereng gunung.

Setelah dua jam kami memasuki pinggir pekan Gua Musang, lalu singgah untuk menunaikan solat jamak dan qasar. Hujan turun, tetapi tidaklah begitu lebat. Penulis blog (PB) mengambil kesempatan lena sebentar bagi menghilangkan kesan mengantuk akibat cuaca yang membahang.

Kesesakan lalu lintas yang agak luar biasa berlaku menuju lampu isyarat bersebelahan SMK Gua Musang. Setelah melepasi sekatan lampu isyarat dan laluan muncung botol, PB singgah di stesen minyak Caltex di Perasu. Pembantu pam di situ memberitahu bahawa kesesakan telah bermula sejak pagi kelmarin (maksudnya semalam).

Jarak dari pekan Gua Musang ke persimpangan laluan gugusan Felda Aring ialah 38 kilometer, manakala laluan Felda Aring yang tidak rata dan masih banyak bertampung dan lubang itu berjarak 30 kilometer sebelum memasuki laluan Tasik Kenyir. Hanya sebuah dua kenderaan yang 'berjiran' dengan kenderaan kami menjadikan keadaan begitu sunyi seolah-olah Felda Aring tidak berpenghuni. Kenderaan mesti tip-top kerana tiada perkhidmatan membaiki kenderaan dan langsung tiada kedai yang kelihatan seperti petempatan desa yang lain.

Laluan Tasik Kenyir ke Hulu Terengganu berjarak 70 kilometer sebelum lega tiba di bandar Kuala Berang untuk singgah berbuka puasa di Restoran Bunga Selasih. Hasrat untuk menunaikan solat jamak takhir di stesen minyak Petronas bagaimanapun tidak kesampaian kerana tekanan air yang sangat rendah. Kami berbuat demikian di hentian sebelah menuju Bukit Besi ...

No comments:

Post a Comment