Thursday, March 12, 2020

SKRIP JURUACARA PERSARAAN 2020 (FAREWELL SPEECH WITH STYLE)


TEKS PENGACARA MAJLIS PERSARAAN CIKGU IBRAHIM

(Q: ketibaan Cg Ibrahim dan isteri)

Majlis mengumumkan ketibaan Encik Ibrahim  bin Ahmed (dan isteri, Puan Norhanan binti Mohd Nor) serta tetamu kehormat.

Hadirin diminta terus bersedia untuk nyanyian lagu ‘Negaraku’ dan ‘Negeri Perak’

(Q: Usai nyanyian, persilakan tetamu dan hadirin mengambil tempat)

Terima kasih. Tetamu dan hadirin dipersilakan duduk.

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Salam sejahtera dan selamat pagi

Yang Diraikan Encik Ibrahim, dan isteri, Puan Norhanan binti Mohd Nor
Yang Berusaha Encik Sit Wai Yin, pengetua cemerlang SMK St Michael, Ipoh
Yang Dihormati Brother __________________________, Pengarah La Salle Centre
Yang Dihormati, Ir Simon Yeong Chin Chow, Pengerusi PIBG
Encik Joseph Michael Lee, mantan pengerusi PIBG
Puan Chan Nyook Ying, mantan pengetua SMI selaku wakil Lembaga Pengelola, BOG
En_________________________, wakil Gapis

Tetamu-tetamu yang dihormati
Barisan pentadbir, guru dan warga SMK St Michael, Ipoh sekalian

Mari pergi ke Tasik Chini
Walau harus menyinsing lengan
Dua dekad kelibat di sini
Selepas ini sebagai kenangan

Saya masih ingat tarikh 12 Ogos, 2005, iaitu pertama kali saya mengenali sosok hebat yang diraikan, Cikgu Ibrahim bin Ahmed. Saya melapor diri di SMI ini dan langsung dibawa oleh Penolong Kanan ketika itu, Encik Tawhid Ahmad menemui presiden kelab staf. Orangnya tinggi lampai dan ada iras2 mat saleh. Selesai masalah tempat duduk saya di bilik guru. Terima kasih Cikgu Ibrahim.

Hari ini, Jumaat, penghulu segala hari, tanggal 13 Mac 2020 bersamaan 18 Rejab 1441 Hijriyyah mencatatkan satu lagi detik duka bagi warga SMK St Michael, Ipoh. Pada pagi ini kita meraikan seorang guru yang telah berbakti selama 22 tahun di SMI, Encik Ibrahim bin Ahmad, yang akan bersara secara rasminya bermula 20 Mac 2020. Sesungguhnya warga sekolah akan berasa kehilangan guru yang berwibawa, berpengalaman luas dan sangat berjasa.

Bagi memberkati majlis, dengan segala hormatnya menjemput al-fadil Ustaz Haji Mohd Safuan bin Abdul Rahim untuk  bacaan doa. Dipersilakan.

(Q: tunggu sehingga Ustaz Safuan mengambil semula tempat beliau)

Jazakallahu khathira. Terima kasih Ustaz Safuan.

Majlis diteruskan lagi dengan bacaan biodata personaliti yang diraikan, Cikgu Ibrahim bin Ahmed. Untuk tujuan itu, majlis mempersilakan Encik Helmi bin Mat Isa.

(Q: setelah Cg Helmi mengambil semula tempat beliau)

Terima kasih Encik Helmi bin Mat Isa.

Rasanya Encik Helmi tertinggal sesuatu dalam bacaan biodata Cikgu Ibrahim sebentar tadi. Izinkan saya tambah sedikit. Cikgu Ibrahim guru glamor dan guru popular di SMI. Saban tahun ada undian Michaelian memilih guru paling macho, guru paling sado dan pelabagai kategori lain. Yang selalu menang Cikgu Ibrahimlah. Bertukar2 kategori dengan Cikgu Helmi, Cikgu Adi dan Mr Chong. Disebabkan Cikgu Ibrahim dan yang saya sebut tadi membolot gelaran itu, mulai tahun 2010 undian guru popular sudah dimansuhkan. Cerita hari guru.

Majlis diteruskan dengan ucapan tuan pengetua cemerlang SMI, Encik Sit Wai Yin. Dengan segala hormatnya majlis mempersilakan …

(usai ucapan, tunggu sehingga pengetua ambil tempat)

Terima kasih tuan pengetua cemerlang atas ucapan penghargaan terhadap Cikgu Ibrahim  sebentar tadi.

Kini, majlis mempersilakan Yang Dihormati Ir Simon Yeong Chin Chow, Yang Dipertua PIBG SMK St Michael, Ipoh untuk menyampaikan sepatah dua kata.

Kini tiba masa yang dinanti-nantikan. Marilah kita bersama-sama menghayati ucapan guru yang diraikan, En. Ibrahim bin Ahmed. Majlis dengan segala hormat dan sukacitanya mempersilakan En. Ibrahim bin Ahmed tampil ke pentas.

(Q: usai ucapan Cg Ibrahim)   
  
Sebuah ucapan yang sangat sentimental dan penuh emosi. Ucapan Cikgu Ibrahim akan menjadi kenang-kenangan sekalian yang hadir dalam majlis pada pagi yang hening ini.

Hadirin yang dikasihi,

Majlis diteruskan dengan acara memotong kek sambutan hari lahir Cikgu Ibrahim, in advance. Seminggu lebih awal. Silakan sekali Cikgu Ibrahim dan isteri. Juga tuan pengetua cemerlang dan tetamu.

(usai acara potong kek)

Alhamdulillah. Barakallah. Selamat hari lahir, Cikgu Ibrahim. Terima kasih

(bersedia persembahan pelajar dan guru)

Masa untuk santai minda. Mari sama-sama kita nikmati persembahan muzik harmonis daripada pasukan pancaragam sekolah. Dipersilakan

(usai persembahan)

Terima kasih pasukan pancaragam sekolah
Sekarang, majlis mempersilakan En. Sit Wai Yin, pengetua cemerlang SMI untuk menyampaikan sijil penghargaan persaraan kepada En. Ibrahim bin Ahmed. Majlis mempersilakan.

(Q: sambung senarai hadiah Cg Aza)

Pisang abu pisang berangan
Di kebun Ahmad Albab yang punya
Oleh-oleh tanda kenangan
Sudikan terima buat seadanya

1
2
hingga selesai
(Q: usai acara penyampaian cenderamata)

          Angsa sekawan nampak serupa
          Berenang setempat di kolam buatan
          Jasa tuan kami tak lupa
          Kekal terpahat dalam ingatan

          Tuai padi antara nampak
          Esok jangan layu-layuan
           Intai SMI antara nampak
           Esok jangan rindu-rinduan

Saya bagi pihak majlis sekali lagi merakamkan ucapan tahniah atas perkhidmatan, bakti dan sumbangan En. Ibrahim bin Ahmed selama ini.  Mudah-mudahan En. Ibrahim tidak melupakan warga SMK St. Michael, Ipoh di sini.

Bagi mengakhiri majlis yang penuh bermakna ini, marilah sama-sama kita mengikuti nyanyian lagu sekolah. 

(Q: usai nyanyian)

Terima kasih semua.

        Beli cawan di pasar raya
        Mari beri berapa di tangan
        Meski tuan akan bersara
        Kami di SMI dilupa jangan

Bagi pihak majlis, saya mengucapkan selamat bersara buat En. Ibrahim bin Ahmed. Salah dan silap harap dimaafkan. Panjang umur murah rezeki kita  bertemu lagi. Sekali lagi tepukan gemuruh untuk Cikgu Ibrahim.

Kini majlis dengan takzimnya menjemput En. Ibrahim (dan isteri, Puan Norhanan binti Mohd Nor), dengan diiringi oleh kepimpinan sekolah dan para tetamu bergerak untuk upacara lambaian kasih.

Usai lambaian kasih, pihak sekolah dengan sukacitanya memberi penghormatan kepada Cikgu brahim bin Ahmed untuk merasmikan Bilik Seni SMI yang baharu.

********************************************************************************

Sekian. Terima kasih. Wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh ...

1 comment: