Kini, pelbagai produk insurans dan takaful ditawarkan kepada masyarakat, terutama bagi melindungi risiko pembiayaan hartanah dan bil rawatan. Sebagaimana insurans dan takaful kenderaan yang tidak begitu digemari oleh syarikat insurans dan takaful, terma dan syarat yang ketat dikenakan kepada pemegang polisi insurans kesihatan. Kalau dalam perlindungan harta terdapat pengecualian akibat Act of God, maka perlindungan kesihatan dihadkan kepada penyakit kritikal yang disenaraikan sahaja.
Kos kepakaran dan peralatan rawatan di hospital makin melambung. Subsidi kos rawatan yang tinggi tidak akan mampu ditanggung oleh pembayar cukai untuk tempoh yang lama. Pengalaman di negara-negara maju menunjukkan bahawa akhirnya pendaftaran masuk untuk rawatan hanya akan diuruskan apabila waris yang membawa pesakit dapat menunjukkan jaminan pembayaran tunai, leretan kad kredit, atau kad insurans kesihatan yang masih aktif.
Masyarakat tidak punya banyak pilihan melainkan harus akur kepada sistem perlindungan risiko yang ditawarkan oleh pengendali insurans dan takaful. Kesukaran untuk menyediakan sejumlah wang tunai yang besar nilainya serta-merta, atau had pembiayaan kad kredit menyebabkan pelan perlindungan insurans dan takaful lebih berbaloi. Jika tiada tuntutan dibuat sepanjang tempoh matang pegangan polisi, pemegang polisi harus dengan suci hati menganggap bahawa dia telah menolong peserta lain (pemegang polisi lain) menerima pampasan atas risiko yang berubah menjadi kenyataan.
Sebelum membeli polisi insurans dan takaful, pengguna hendaklah memastikan sama ada bayaran premium yang dibuat sama ada secara sekali gus atau berjadual, akan hangus begitu sahaja jika tiada tuntutan, atau bersifat simpanan berdasarkan nisbah akaun peserta dan akaun khas yang dinyatakan dalam kontrak perjanjian. Kebanyakan syarikat insurans dan takaful hanya membenarkan pengeluaran simpanan dibuat selepas tempoh matang minimum 5 tahun. Sebulan dua sebelum pengguna menutup akaun lama, mereka terlebih dahulu perlu membuka akaun baru, iaitu bayaran premium yang baharu...
No comments:
Post a Comment