Kebanyakan manusia masih dibelenggu masalah kekurangan ilmu dan juga pemilihan keutamaan dalam hidup. Pesona dunia lebih indah pada pandangan mata manusia berbanding dengan khabar gembira dan ancaman tentang kehidupan yang kekal abadi kelak. Sebab itulah banyak kali ayat al-Qur'an mengungkapkan qalila'm-ma tasykurun (sedikit sekali manusia yang bersyukur).
Iman tidak dapat ditebus walau dengan seisi dunia sekalipun. Orang-orang kafir akan menyesal dan berharap dapat kembali ke dunia walaupun sebentar apabila telah berada di tepi jurang api neraka. Mereka kekal di sana sebagai balasan kesudahan yang buruk.
Antara doa yang sering dibaca selepas solat ialah Allahumma'h-tim lana bi khusni'l-khatimah, wa la tahtim alaina bi su'il-khatimah, Ya Allah, kurniakan kami kesudahan yang baik, dan janganlah berikan kami kesudahan yang buruk. Kesudahan yang baik ialah syurga, manakala kesudahan yang buruk ialah neraka. Penghuni syurga akan dilimpahi dengan segala nikmat yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata, manakala penghuni neraka akan menerima azab bakaran api neraka yang tidak terperi sakitnya.
Bulan Ramadan 1433 Hijriyyah hanya berbaki seminggu sahaja lagi dan akan berlalu pergi buat kesekian kalinya bagi mereka yang masih diberi kesempatan untuk hidup di dunia yang fana ini. Alangkah ruginya, jika Ramadan berakhir tanpa mereka beroleh tiket kebebasan daripada api neraka yang dikaitkan dengan 10 malam terakhir Ramadan. Beruntunglah kepada sesiapa jua yang bertemu dengan Lailatul-Qadr, iaitu satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan (83 tahun +).
Cabaran untuk terus istiqamah dengan amalan khusus bulan Ramadan seperti solat tarawih, witr dan solat sepertiga malam memang begitu getir. Amalan Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam yang lebih banyak beriktikaf di masjid pada fasa ketiga Ramadan ini memang sukar untuk diamalkan oleh umat akhir zaman. Tarikan beli-belah di pasar raya dan persiapan menyambut Eidul Fitr telah mencuri banyak sekali luang waktu yang sangat berharga untuk mendekatkan diri kepada Allah, lalu mengharapkan kebebasan daripada api neraka.
Sebahagian umt Islam bukan tidak peka tentang kepentingan meningkatkan amalan ketika fasa ketiga Ramadan ini. Malangnya, tingkatan nafsu mereka masih di tahap amarah (bi's-su') dan lawwamah, belum lagi mulhimah dan mutma'innah, apatah lagi kamilah atau radiata'm-mardiah. Sementara masih ada sisa waktu yang tidak banyak lagi, marilah kita terus berusaha ke arah beroleh rahmat, keampunan dan pembebasan daripada api neraka, amin...
No comments:
Post a Comment