SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, October 21, 2009

ITP TAJA HAMPER UNTUK MAKAN MALAM KELAB STAF SMI (PERAK INSTITUTE OF TECHNOLOGY SPONSORING HAMPERS FOR STAFF CLUB DINNER)

Ipoh, 2 Zulkaedah 1430 / 21 Oktober 2009 (Rabu)

Encik Azhar dan Encik Salim dari Jabatan Pemasaran Institut Teknologi Perak (ITP) telah hadir sendiri ke pejabat SMI untuk menyampaikan tajaan majlis makan malam tahunan Kelab Staf pada 28 Oktober ini. Sebanyak lima buah hamper telah diserahkan pada majlis ringkas pukul 1.30 tengah hari itu.

Encik Azhar (ITP) menyampaikan hamper kepada Encik Maulid (SMI)

Kelab Staf diwakili oleh Encik Maulid, Presiden Kelab dan Ahli Jawatankuasa Kanan, Encik Pritam Singh. Turut hadir ialah penulis blog selaku Naib Presiden Kelab.

ITP berhasrat menjalinkan kerjasama strategik yang bakal menguntungkan kedua-dua belah pihak. ITP ialah sebuah IPTS yang akan bertaraf kolej universiti dalam tempoh terdekat. Sebagai langkah awal, ITP muncul sebagai IPTS pertama di utara Semenanjung yang memperoleh ISO 9002.

Program teknikal dan pengurusan menjadi teras penawaran kursus di ITP. Kebanyakannya menjurus kepada penganugerahan diploma UiTM, UTM dan universiti terkemuka luar negara. Pelajar yang kurang kemampuan dari segi kewangan boleh memohon kursus di bawah tajaan penuh Kementerian Belia dan Sukan.


ITP diterajui oleh YM Raja Eleena Sultan Azlan Shah, antara tokoh korporat wanita yang paling berjaya di Malaysia. Lokasi kampusnya ialah di Greentown Centre, menggantikan kampus sementara di Rapat Setia. ITP dimiliki oleh Yayasan Perak, sebuah entiti milik penuh kerajaan negeri Perak Darul Ridzuan.

Terima kasih ITP...

Berita Terkini:

Pertandingan Badminton Persahabatan Kelab Staf SMI lawan Kelab Pengajar Institut Latihan Perindustrian siri kedua. Butirannya:

Tarikh:  22 Oktober 2009 / 3 Zulkaedah 1430 (Khamis)

Tempat:   Dewan Besar Institut Latihan Perindustrian, Jelapang

Masa:   Mulai pukul 8.30 malam

Kehadiran dan sokongan dialu-alukan...

Tuesday, October 20, 2009

UNTA YANG SABAR: SATU METAFORA TENTANG PERSEKITARAN ORGANISASI (THE CLEVER CAMEL CROSSING THE ENDLESS DESERT FRONTIER: AN ORGANISATIONAL VIEW POINT)

The camel is called the ship of the desert, because of its ability to carry both men and heavy loads across sandy wastes. A strong camel can cover nearly 50 kilometres a day with up to 450 kilograms on its back. The flat feet ensure camel do not sink into the soft sand. 


Arabian camel  has one hump for storing fat (bactrian have two). A camel's hump just like built-in cupboard, or like a knapsack filled with food when there is not enough to eat. Camel can go for as long as two weeks without eating.


Camel needs their humps because they live in deserts, where food and water are hard to find. A thirsty camel can drink ten buckets of water in just ten minutes. Camel can eat any vegetation because they have strong teeth, and when angry, they spit!

 The two-humped bactrian camel can go without water for even 10 months, and amazingly can drink 100 litres (26 gallons) also in 10 minutes. This bactrian can survive longer when food and drink are scarce. They are really a desert dweller!


Begitulah petikan tentang beberapa ciri unik haiwan unta daripada beberapa ensaiklopedia edisi pelajar. Dalam kajian pengurusan, sebarang bentuk pengamatan boleh dijadikan sebagai analogi dan metafora untuk menganalisis tingkah laku organisasi. Maka, kehebatan unta mengharungi landskap gurun dan padang pasir yang saujana mata memandang, serta sering berhadapan dengan risiko dikelirukan oleh terjahan ribut pasir boleh memberi suatu gambaran dinamika organisasi.

bersambung...

Sunday, October 18, 2009

SELAMAT BERANGKAT KE TANAH SUCI JEMAAH HAJI 1430 (HAJJ: A SPIRITUAL JOURNEY AND DEVOTION OF GOD ALONE)


(click photo to enlarge)

"The performance of hajj or pilgrimage to Mecca is obligatory, at least once in a lifetime, upon every Muslim, male or female, who is mentally, financially and physically fit. Generally, the dominant theme of Hajj is peace. To disturb the peace of anyone or any creatures in any shape or form is strictly prohibited. Annually, about three million Muslims all over the world dress in the same simple way assemble in Mecca in response to the call of God.


The physical movements in performing hajj are actually the form of reminder of the Grand Assembly on The Day of Judgement when people will stand equal before God. The Kaabah in Mecca is the spiritual centre and the spiritual homeland of every Muslim. However, the performing of Hajj starting in Arafah, an area outside Mecca."

(diubah suai daripada Islam in Focus




Kini, musim haji tiba lagi. Sebanyak 26,000 jemaah haji Malaysia terpilih sebagai tetamu Allah di tanah suci Makkah. Daripada tempoh 42 hingga 51 hari, selama 8 hari jemaah Malaysia akan berada di tanah suci Madinah untuk melakukan ibadah dan ziarah di Masjid Nabawi dan sekitarnya. Pekerjaan rukun haji bermula apabila jemaah bergerak ke Arafah pada 8 Zulhijjah untuk wukuf. Jemaah haji perlu memenuhi semua syarat rukun dan wajib haji supaya ibadah haji yang dilaksanakan dikira sah.



Semua jemaah haji berharap untuk memperoleh haji mabrur. Maka, persediaan sebelum ke tanah suci ialah sejumlah ilmu yang mencukupi. Di sana, jemaah akan terus mendapat bimbingan  petugas Lembaga Tabung Haji, dan jika pergi menerusi pakej akan mendapat bimbingan tambahan pihak penganjur. 


Bakal haji mesti menetapkan matlamat untuk menyempurnakan ibadah haji dan memastikan bahawa tiada perkara lain yang boleh menjadi sebab terjejasnya kerja ibadah haji. Begitu banyak perkara yang perlu dijaga sepanjang masa berada di tanah suci. Ikhlaskan segala-galanya demi mencapai keredaan Ilahi...






Saturday, October 17, 2009

RAMAH MESRA AIDIL FITRI TEMUKAN BEKAS GURU DAN MURID SERI PERAK (NOSTALGIC GATHERING ALONG MEMORY LANE)

Teluk Intan, 27 Syawal 1430 / 16 Oktober 2009


Sesekali mengimbau kenangan lalu begitu mendekatkan diri kita dengan  sekian banyak individu yang pernah berjasa dalam hidup kita. Suatu ketika dahulu, merekalah yang bertungkus-lumus dan tidak jemu-jemu mencari jalan agar hidup kita disuluhi cahaya ilmu yang terang-benderang. Dengan berkat kesabaran mereka, kita ditunjukkan jalan keluar daripada gelap gelita di sekeliling kita.

Penulis blog amat bersyukur kerana berkesempatan hadir dalam program anjuran Persatuan Bekas Murid SMK Seri Perak Teluk Intan. Di dewan berkenaan, penulis blog pernah berbaris dalam perhimpunan mingguan sekolah, dan tampil ke pentas menerima hadiah akademik. Penulis blog juga pernah berkhidmat di sana sebagai guru sandaran tidak terlatih (GSTT) buat beberapa ketika dan menyampaikan syarahan Pengajian Am kepada pelajar 6 Atas.


Seri Perak sebagai sebuah sekolah menengah aliran Melayu terulung (selain SMK Raja Chulan, Ipoh) yang menawarkan pengajian tingkatan enam menerima enrolmen pelajar dari seluruh negeri Perak, bahkan turut menjayakan program khas pengajian pelajar Sabah dan Sarawak. Seri Perak akan menyambut perayaan jubli emas (50 tahun) penubuhannya tidak berapa lama lagi. Seri Perak boleh dikategorikan sebagai sebuah sekolah berkesan justeru memiliki sejarah, pencapaian, dan legenda.


Bekas pelajar Seri Perak kini bertaburan di seluruh negara, sambil sebahagian lagi di luar negara berbakti kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa. Sesenarai panjang profesor, pemimpin politik, usahawan hebat dan penjawat tinggi awam pernah menjalani persekolahan di Seri Perak. Malah, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Dato' Haji Alimuddin bin Haji Mohd Dom ialah pelajar Seri Perak era 1970-an.





Ketika sekolah aliran Inggeris masih dominan, calon SPM menduduki kertas Bahasa Inggeris yang berbeza dengan calon MCE (Malaysian Certificate of Education). Walau sehebat manapun seseorang calon (bercakap dan menulis bahasa orang putih hingga berhabuk!), gred paling tinggi yang ditetapkan ialah 7D! Penulis blog bernasib baik justeru kertas English Communication diperkenalkan, iaitu calon SPM dan MCE menduduki kertas yang sama. Maka, penulis blog berjaya mencatat keputusan yang agak baik dalam Bahasa Inggeris sehingga sempat mengikuti program Pengajian Inggeris - Matematik di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru dan bertahan selama sebulan kerana ditawarkan tempat di UKM.







Penulis blog berasa bertuah justeru berkesempatan bersua semula dengan dua orang guru yang pernah memberi inspirasi dalam pengajian Bahasa Melayu dan Ekonomi, iaitu mata pelajaran yang dipertanggungjawabkan di SMK St. Michael, Ipoh ketika ini. Walaupun sudah meniti usia, sebagai orang yang berilmu dan berjasa besar, keikhlasan dan seri masih terpancar di wajah mereka berdua. Sebagai bekas profesional, mereka masih mengekalkan ciri disiplin dan penampilan, serta masih bercakap tentang harapan dan impian dalam skala yang lebih luas. Allah telah mengurniakan mereka kesihatan yang baik dan keluarga yang berjaya dan sejahtera.

Dato' Haji Sulaiman Nawi ialah guru Bahasa Melayu semasa penulis blog di tingkatan dua, dan seterusnya guru Sivik di tingkatan empat. Beliau memang petah bercerita sehingga semua murid terlopong dan tidak pernah mengantuk. Cikgu Sulaiman pandai menyusun kata dan kelakar sehingga murid tidak kering gusi dibuatnya. Teori kecerdasan pelbagai (multiple intelligences) yang diperkenalkan pada awal 1990-an telah beliau laksanakan berbelas-belas tahun lebih awal.

Setelah memberi input, Cikgu Sulaiman biasanya memberikan tugasan individu atau kumpulan untuk diselesaikan dalam kelas. Sambil itu, beliau akan meninjau aktiviti murid dari meja ke meja sambil bertanyakan khabar. Maklumlah ketika itu masih banyak pelajar yang kurang berkemampuan dari segi kewangan dan dicengkam rasa rendah diri yang menebal.

Cikgu Sulaiman bolehlah dianggap sebagai internet dan sumber maklumat bagi murid ketika itu. Cerita Aurora Borlis beliau masih penulis blog ingati hingga sekarang. Beliau cuba menggambarkan tentang petaka dadah kepada remaja dan masa depan anak bangsa.

Ketika ditanya sama ada beliau masih aktif dalam politik parti, beliau menjawab bahawa kini kecenderungan beliau ialah terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Semasa masih berkhidmat sebagai guru, beliau pernah menolak untuk dicalonkan dalam pilihan raya. Sebagai veteran UMNO, beliau hanya berharap agar ahli-ahli politik muda mencontohi perjuangan generasi dahulu yang tidak mendambakan habuan harta kekayaan. Politik hanyalah jambatan untuk berbakti. Berbakti ialah ibadah asalkan memenuhi segala tuntutan aqidah, syariah dan akhlak.


Tuan Haji Azhari Arbi pula ialah guru ekonomi yang sempat membimbing penulis blog selama lebih kurang tiga bulan sebelum dinaikkan pangkat terus sebagai pengetua. Beliau diberi jolokan "Mr. Keluk" oleh pelajar kelas 6 Rendah Sastera 1 kerana setiap kali masuk, perkara pertama yang beliau lakukan ialah melukis keluk. Ketika itu, kapur dan papan hijau masih digunakan. Cikgu Azhari pernah menegur keseluruhan kelas kerana menulis nota sesuka hati, termasuk di kulit test-pad!

Nota ekonomi Cikgu Azhari masih ada dalam simpanan penulis blog. Data hipotetikal tentang fungsi pengeluaran jangka pendek dan hukum pulangan berkurangan (the law of diminishing return) masih relevan. Semasa penulis blog bertugas di SMK Sultan Abdullah, Chenderong Balai, Cikgu Azhari ialah pengetuanya. Beliau memberi kepercayaan kepada penulis blog untuk mengajar Bahasa Inggeris tingkatan tiga dan Geografi tingkatan lima. Banyak peristiwa lucu yang berlaku...


KELAB KILAS TANGKIS SMI MENGGIATKAN LATIHAN (SMI TEACHER'S BADMINTON CLUB ON INTENSIVE TRAINING)


Kelab Kilas Tangkis yang bernaung di bawah bendera Kelab Staf SMK St Michael, Ipoh (SMI) mara setapak lagi apabila kebanyakan anggota pasukan sanggup membuat "pelaburan" dengan membeli raket, kasut dan aksesori lain yang berkaitan dengan badminton. Peralatan dan aksesori ini bertaraf pertandingan, bukan sekadar untuk sesi latihan biasa. Dengan semangat dan daya juang yang berkobar-kobar, Kelab Kilas Tangkis bakal bertambah hebat. Maka, awas pasukan yang sanggup menyahut cabaran Kilas Tangkis, adanya...


Presiden Kelab Kilas Tangkis, Encik Ibrahim memberitahu bahawa setakat ini sesi latihan dan pertandingan ujian dibuat sesama sendiri. Analisis dan post-mortem dilakukan oleh anggota yang pernah berpengalaman bertanding di peringkat kompetetif atau yang biasa menguruskan pasukan sekolah. Kelab sedang mempertimbangkan suatu klinik mikro khas untuk Kelab Kilas Tangkis supaya para pemain akan mendapat nasihat pakar. Sesi perbincangan mirip persidangan meja bulat juga mungkin diadakan bagai mengenal pasti kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman yang dihadapi oleh kelab.

Terdapat ura-ura slot latihan mingguan pada petang Jumaat (3.00 - 5.00 petang) ditambah  dengan setiap petang Isnin. Memandangkan ada kalangan anggota yang turut menyertai permainan kumpulan lain secara perseorangan, maka cadangan ini sedang diteliti. Dialog dengan bekas jaguh negeri juga masih di peringkat cadangan supaya sesi latihan, perlawanan ujian dan pertandingan persahabatan dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

Akhir sekali memandangkan usia pemain Kelab Kilas Tangkis boleh dikategorikan sebagai "veteran" untuk sesuatu pertandingan tahap tinggi, pengetahuan asas tentang sains sukan dan penjagaan kesihatan perlu diberi perhatian. Walaupun zahirnya permainan badminton Kelab Kilas Kilas Tangkis menjurus kepada suka-suka dan keluar peluh, namun stres dan tekanan tetap berlaku tanpa disedari. Pemain badminton sambilan bukan sahaja perlu kecergasan fizikal, bahkan dibimbing oleh kecerdasan emosi. Mungkin inilah keistimewaan Kelab Kilas Tangkis yang boleh dijadikan ikutan...

Thursday, October 15, 2009

AKTIVITI SELEPAS PMR DI SMK ST MICHAEL, IPOH (THE "CLOSING" OF BOOKS FOR FORM THREE STUDENTS)


Peperiksaan PMR baru sahaja melabuhkan tirai dua hari yang lalu. Semua buku pinjaman (SPBT) telah dipulangkan. Kini boleh dikatakan budak-budak tingkatan tiga datang ke sekolah melenggang kangkung!

Kalau ditanya, murid akan mengatakan mereka rela duduk di rumah sahaja, melepaskan lelah setelah sekian lama bersengkang mata dan sibuk dengan pelbagai ragam persediaan peperiksaan sebelum ini. Namun, jumlah hari persekolahan masih panjang. Secara rasminya, sesi persekolahan 2009 berakhir pada 20 November.


Ibu bapa pasti gusar jika anak remaja mereka berusia 15 tahun hanya memerap di rumah tanpa pengawasan. Malah, rekod kehadiran persekolahan akan terjejas jika sering tidak hadir. Mengikut peraturan, ketidakhadiran tiga hari berturut-turut akan dikeluarkan surat amaran pertama . 

Bilangan hari persekolahan rasmi (tidak termasuk cuti hujung minggu dan kelepasan am) tidak sampai 30 hari untuk tahap amaran terakhir buang sekolah, namun rekod kehadiran penuh menjadi petunjuk disiplin. Bakal majikan akan memberi perhatian terhadap rekod kehadiran persekolahan sebelum membuat pengambilan kakitangan. Maka, murid tingkatan tiga harus hadir ke sekolah walaupun aktiviti pembelajaran formal di bilik darjah boleh dikatakan titik.


Sekolah menyedari hal ini sejak lama dahulu. Ibu bapa bimbang anak-anak mereka yang dihantar hingga ke pagar sekolah, kemudian lesap dan tiada dalam rekod kehadiran. Lebih buruk jika pelajar dicatatkan hadir kemudian bertukar menjadi "halimunan", yakni kelibatnya ghaib daripada kawasan sekolah.

Cabaran utama pihak sekolah ialah menyediakan aktiviti yang sarat dengan daya tarikan kepada murid tingkatan tiga untuk terus berada di kawasan pagar sekolah hingga loceng terakhir dibunyikan. Jika di SMK St Michael, Ipoh (SMI) semua murid tingkatan tiganya lelaki, dengan tenaga yang gagah perkasa dan lantunan vokal yang begitu bertenaga, aktiviti yang disusun telah mengambil kira keperluan somatik murid remaja. Di samping membuat pengawasan, guru turut serta dalam beberapa acara yang boleh merapatkan hubungan guru dan murid demi kebaikan pencapaian sekolah dalam jangka panjang...


Wednesday, October 14, 2009

CAKAP AJUK CAKAP PINDAH (REPORTING DIALOGUE IN BAHASA MELAYU)

Cakap ajuk ialah penulisan ayat perbualan berdasarkan perkataan demi perkataan yang dituturkan oleh sekurang-kurangnya dua orang penutur. Cakap pindah pula ialah laporan oleh pihak ketiga tentang perbualan berkenaan. Cakap pindah ditulis dalam bentuk ayat penyata.

Contoh cakap ajuk:

Adam:  Apa khabar, Johan?

Johan:  Saya baik-baik sahaja. Sudah lama kita tidak berjumpa, ya!

Adam:  Memang benar. Sejak Johan berpindah ke sekolah teknik.

Johan:  Saya minta maaf. Saya tinggal di asrama, susah sedikit hendak keluar.

Adam:  Tidak mengapa. Tumpukan perhatian kepada pembelajaran.

Johan:  Terima kasih atas ingatan Adam. Saya tidak akan lupa.


Jika anda sebagai pihak ketiga ditugaskan mengalih komunikasi cakap ajuk di atas dalam bentuk cakap pindah, perhatikan contoh berikut:

1.  Adam menyapa Johan dengan bertanyakan khabar.

2.  Johan menjawab bahawa dirinya baik-baik sahaja, sambil menyatakan sudah lama mereka
      tidak berjumpa.

3.   Johan menyetujui kata-kata Adam dan menambah bahawa hal itu berlaku sejak Adam
       berpindah ke sekolah teknik.

4.   Adam memohon maaf kerana dia tinggal di asrama dan sukar untuk keluar.

5.   Johan memahami situasi Adam dan memintanya menumpukan perhatian terhadap
       pembelajaran.

6.   Adam menghargai nasihat Johan dan menyatakan bahawa dia tidak akan melupakannya.


Prinsip menulis cakap pindah ialah mengekalkan susunan isi. Semua maklumat dalam perbualan juga hendaklah dikekalkan seadanya. Namun, elemen tingkah laku dan emosi kedua-dua orang penutur hendak dimasukkan.

Kesilapan dalam menulis cakap pindah boleh dilihat menerusi contoh di bawah:

1.   Adam mengatakan apa khabar Johan.

2.   Johan berkata saya baik-baik sahaja dan sudah lama kita tidak berjumpa.

3.    Adam berkata memang benar sejak berpindah ke sekolah teknik.

4.   Johan menjawab saya minta maaf. Saya tinggal di asrama dan susah hendak keluar.

5.   Adam membalas tidak mengapa dan tumpukan perhatian kepada pembelajaran.

6.   Johan mengucapkan terima kasih atas ingatan Adam dan saya tidak akan lupa.


Ganti nama diri pihak pertama dan segala kata perintah, kata tanya dan kata seruan perlu ditukar semuanya dengan kata ganti nama diri ketiga. Untuk tujuan peperiksaan, semua ayat seelok-eloknya ditulis dalam satu perenggan sahaja, tanpa menomborkannya seperti dalam contoh.

Sekian, selamat membuat persediaan peperiksaan...


Monday, October 12, 2009

PENJENAMAAN SEMULA TINGKATAN ENAM: ISU DAN PROSPEK (PREUNIVERSITY SIXTH FORM REBRANDING IN MALAYSIA: THE WAY FORWARD)

Pelaksanaan pengajian tingkatan enam sebagai kelas prauniversiti berwajah baharu masih dalam proses peralihan. Hanya kohort pelajar tingkatan enam rendah tahun 2011 bakal menjalani sepenuhnya sistem baharu yang membabitkan perubahan besar-besaran dari segi kurikulum, penyampaian, pentaksiran dan aktiviti nilai tambah yang lain. Persiapan dari segi kelengkapan pembelajaran, modul dan tenaga guru akademik (pensyarah) juga memerlukan masa untuk dimobilisasikan.

Memandangkan Unit Pengurusan Tingkatan Enam, Kementerian Pelajaran Malaysia masih baru, dan penyelarasannya di peringkat Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah juga sedang dimantapkan, sudah tentu banyak perkara yang mungkin menjadi kemusykilan guru dan pelajar. Walau apapun, sekalung tahniah buat Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin yang begitu prihatin terhadap sistem pengajian tingkatan 6 yang semakin dicabar hebat oleh kemunculan sistem pengajian prauniversiti yang lain. Jika hendak menunggu segala-galanya sempurna baru hendak dilaksanakan, barangkali peluang kenaikan pangkat guru akademik tingkatan 6 dan sistem pengajian tingkatan 6 sedia ada akan semakin terpinggir daripada arus perdana pendidikan tinggi.

Antara isu yang mendapat perhatian ialah dari segi lantikan guru dan perubahan sistem kerja. Bagi guru yang memilih untuk kenaikan pangkat. sudah tentu lantikan sebagai guru akademik tingkatan enam bagaikan durian runtuh. Guru yang terpilih berpeluang menikmati gred jawatan lebih tinggi dan bayaran saraan yang lebih baik.

Namun demikian, ada juga guru yang sudah menerima surat lantikan memilih untuk merayu supaya dikembalikan status quo. Antara alasan yang lazim ialah kesukaran untuk berpindah sekolah, lanjutan masa bekerja hingga petang dan keperluan menyediakan dokumentasi tertentu, terutama penyelidikan. Bagi guru wanita, pengurusan persekolahan anak-anak yang masih kecil mungkin sekali mempengaruhi keputusan sedemikian.

Bagi pelajar pula, mereka hanya menerima, walaupun terdapat segelintir daripada mereka masih terpinga-pinga. Ada yang mengatakan exhausted, sudah tidak bermaya untuk ke pusat tuisyen atau sekadar menonton televisyen. Pelajar perlu stay back dan tidak sempat balik pada waktu tengah hari.

Sudah menjadi lumrah sesuatu perubahan: ada sokongan dan ada bantahan. Pepatah Melayu mengatakan alah bisa tegal biasa. Dengan berlalunya masa, guru dan pelajar tingkatan 6 dipercayai berupaya menyesuaikan diri.

Teori analisis daya lapangan (force field analysis) yang dikemukakan oleh Kurt Lewin menerusi disiplin psikologi dan pengurusan menamakan golongan penyokong perubahan sebagai daya pacu (driving forces), manakala yang membantah sebagai daya rintang (restraining forces). Perubahan mengakibatkan banyak kehilangan: antaranya hilang status quo, hilang rakan, hilang kebiasaan, hilang peranan dan macam-macam lagi. Namun, perubahan juga membuka peluang kepada citra baharu, pemikiran baharu dan kepuasan kerja yang lebih tinggi.

Bagi ibu bapa (segelintir menganggap sekolah sebagai pusat asuhan, babysitter) mungkin berasa teramat lega. Mereka tidak perlu berbelanja lebih dan diserabuti kekhuatiran anak mereka melencong ke mana-mana jika tidak dihantar ke pusat tuisyen. Perniagaan pusat tuisyen peringkat STPM juga mungkin terjejas. Sebahagian markah STPM akan diberikan oleh guru akademik tingkatan 6 menerusi modul dan sistem pentaksiran serba baharu.

Pendek kata, proses penjenamaan semula pengajian prauniversiti tingkatan enam tidak sunyi daripada hujah menyokong dan membantah. Dari segi penggubalan dasar, hal ini memang dialu-alukan kerana hujah dialektik sebegitu akan membantu proses mengumpul input dan perspektif supaya pada akhirnya dasar yang diperkenalkan memberi faedah kepada majoriti, tanpa mengorbankan kepentingan minoriti. Pendekatan utilitarian ini masih mendominasi kebanyakan penggubal dasar.


Sunday, October 11, 2009

PERSAHABATAN POLITIK DAN PERSAHABATAN DI SEKOLAH (F.R.A.N.C.E.: FRIENDSHIP REMEMBRANCE AND NEVER CAN ENDS)






Ketika penulis blog masih bersekolah, buku dan lembaran autograf sangat digilai. Maka, apabila disuakan autograf, perkara pertama yang terlintas ialah kata-kata hikmat yang boleh dijadikan kenangan apabila masing-masing membawa haluan sendiri setelah tamat persekolahan. Penulis blog masih menyimpan autograf yang mengandungi coretan sahabat di bangku persekolahan.





Penulis blog memulakan persekolahan menengah dalam aliran perdagangan, kemudian 4 Sains 1 dan 5 Sains 1, sebelum meneruskan pengajian tingkatan enam rendah sains (kemudian berpindah ke sastera). Mungkin disebabkan teknologi komunikasi masih bersifat sederhana, reunion sukar dilaksanakan. Penulis blog masih ingat nama-nama sahabat seperti Azhari, Ramli, Zubir, Lee Tong Meng, Kee Wah Soon, Lee Teik Leong (sekarang doktor), Krishnan, Paramanathan, Narayanan, Wong, Yunus, dan banyak lagi.

Masih segar dalam ingatan apabila penulis blog dicalonkan untuk program American Field Service, seorang sahabat India mengirim surat secara pos (walaupun sekelas) untuk menyatakan sokongan dan memaklumkan betapa banyak rakan sekelas yang bermuka-muka memuji, tetapi sebenarnya iri hati dan mempertikaikan pencalonan itu. Penulis blog sungguh tidak menyangka begitu hebat perhatian yang diberikan walaupun penulisnya akhirnya tidak jadi pergi (memohon New Zealand) justeru kekangan kewangan. Persahabatan di bangku sekolah menjadi kenangan manis yang tidak mungkin luput daripada ingatan.

Orang politik mengatakan tiada sahabat yang kekal dan tiada musuh yang kekal. Hakikat itu sesuai dengan takrifan politik sebagai suatu seni kemungkinan (politics is the art of possible). Fahaman Machiavelli itu terkandung dalam karya beliau The Prince (diterjemah dengan judul "Penguasa"). Inti pati pegangannya ialah matlamat menghalalkan cara, the ends justify the means, al-ghayah tubarriru'l-wasilah.

Namun, di sekolah sahabat cara politik tidak boleh diterima. Sekolah ialah organisasi yang memupuk pembelajaran. Pembelajaran menjurus ke arah kebijaksanaan dan nilai, sama dengan matlamat mana-mana institusi pendidikan dan pengajian yang lain.


Saturday, October 10, 2009

BADMINTON TERTUTUP KILAS TANGKIS SMI: OMAR, TIONG BUAT KEJUTAN! (SMI TEACHERS BADMINTON "SUPER" SERIES: THE EMERGENCE OF NEW CHAMPS)

Ipoh, Sabtu 21 Syawal 1430 / 10 Oktober 2009

Kelab Kilas tangkis yang bernaung di bawah Kelab Staf SMK St Michael, Ipoh (SMI) mengadakan pertandingan ujian bagi membentuk sebuah pasukan yang lebih mantap. Pertandingan ujian yang berlangsung di Kompleks MBI menampilkan format empat kumpulan. Turut memeriahkan pertandingan ialah Tuan Haji Tauhid Ahmad bin Haji Shamsuddin, Penolong Kanan Pentadbiran.


Kumpulan C yang diwakili Cikgu Omar (kaunselor pelajar sesi petang), Cikgu Saiful dan  Cikgu Tiong (juga sesi petang), serta Fadilatus-Shiekh al-Ustaz Ahmad Shakir (pagi) telah mencatat kejutan apabila meraih sejumlah 116 mata untuk muncul sebagai pemenang tempat pertama. Dengan perbezaan tujuh mata sahaja (107), kumpulan B yang diwakili Azmi, Shahrin, Ibrahim dan Shahruzzaman menduduki tempat kedua.

Kumpulan penulis blog yang berjaya memenangkan pihak lawan meraih 93 mata. Pemain lain ialah Ravi, Zulkarnain dan Tuan Haji Tauhid. Menurut jurucakap kumpulan, mereka hanya mempamerkan tahap permainan 60 peratus sahaja...

Kumpulan A yang hanya terdiri daripada dua orang pemain (Maulid dan Prakas Rao) berpuas hati dengan 73 mata. Pasangan terbaik disandang oleh Azmi dan Shahrin yang menewaqskan Shakir-Tiong 30-28, Maulid-Prakas 30-26, dan Zulkarnain-penulis blog 30-20.

Hadiah bakal disampaikan pada majlis jamuan tahunan Kelab Staf SMI pada 20 Oktober nanti...