SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, April 9, 2010

MERENTAS DESA ALA SMI (THE MICHAELIAN RUN 2010)

Ipoh, Sabtu: 10 April 2010 / 25 Rabiul Akhir 1431
Walaupun kedudukan lokasi SMK St Michael, Ipoh (SMI) di tengah-tengah denyut nadi bandaraya Ipoh, acara wajib merentas desa perlu dijayakan saban tahun. Memandangkan persekitaran bandar raya yang sentiasa dipenuhi kenderaan bertali arus, pengubahsuaian dari segi laluan dan kawalan keselamatan diberikan penekanan. Walaupun warga SMI sudah lali dengan kebisingan enjin dan sikap pemandu yang bermacam-macam ragam, pengurusan krisis dan risiko tetap menjadi keutamaan majlis sukan SMI.
Sepertimana kejohanan sukan, peserta dibahagikan mengikut tingkatan. Pelari tingkatan 6 bagaimanapun dipecahkan kepada kategori lelaki dan perempuan. Para peserta dilepaskan sendiri oleh setiausaha sukan, iaitu Cikgu Helmi. Larian bermula pukul 8 pagi berhampiran pondok kawalan di pagar utama.
Seorang dua pelari perempuan kategori tingkatan 6 kelihatan menggalas beg. Mereka diberi teguran oleh petugas larian. Walaupun ada yang beranggapan bahawa penyertaan dalam larian sekadar memenuhi syarat, sikap menghormati peraturan merupakan petanda semangat kesukanan yang tinggi walaupun peluang kemenangan mungkin agak tipis.
Secara keseluruhannya, Michaelian telah mempamerkan kesungguhan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi bagi menjayakan program wajib tahunan sekolah. Mereka hadir dengan persalinan larian yang sesuai. Sepertimana strata normal masyarakat, 5% mewakili golongan pemimpin, 90% pengikut biasa, 5% lagi agak devian, begitulah yang berlaku kali ini.
Kelompok 5% di atas ialah para pemenang yang berpotensi diketengahkan ke peringkat lebih tinggi. Kumpulan majoriti 90% peserta ialah pelari "amatur" yang tidak meletakkan sasaran kedudukan tertentu, manakala 5% lagi ialah kelompok "ala kadar" yang hanya berminat untuk menghabiskan larian semata-mata.

Setakat ini, SMI berjaya menghantar peserta ke peringkat daerah dan muncul sebagai pemenang utama. Berdasarkan catatan masa yang agak baik, harapan untuk bersaing di peringkat daerah dijangka sangat cerah. Saingan peringkat tinggi bukan sahaja bergantung kepada kekuatan fizikal, bahkan perlu dipakejkan dengan strategi dan taktik yang betul...

Thursday, April 8, 2010

LULUSAN STPM DIJAMIN TEMPAT DI UNIVERSITI AWAM (PUBLIC UNIVERSITIES ENROLMENT: PRIORITY GIVEN TO SIXTH FORM GRADUATE)

Proses penjenamaan pengajian prauniversiti tingkatan enam akan benar-benar signifikan apabila langkah penempatan semua lulusan STPM di universiti awam dilaksanakan sebagaimana lepasan matrikulasi. Walaupun demikian, sumber memaklumkan pelawaan akan hanya dikeluarkan kepada pelajar yang memperoleh pencapaian minimum 3C dalam keputusan akhir STPM. Selain itu, penempatan dibuat berdasarkan keupayaan universiti dan kesesuaian calon terhadap kursus yang disediakan.

Dengan pengenalan sistem modular yang bakal diperkenalkan pada tahun 2011, sistem peperiksaan berpusat STPM dijangka mewakili antara 60 - 70 peratus markah  sahaja dalam kiraan gred. Selebihnya ditaksir secara berterusan di peringkat sekolah menerusi kuiz, penyelidikan dan tugasan. Maka, semua pelajar berpeluang mendapat markah maksimum dalam bentuk bimbingan dan pertolongan yang berterusan oleh para pensyarah mereka sendiri.

Sistem semester pula akan membolehkan pelajar menyelesaikan setiap kursus dalam tempoh tidak melebihi 14 minggu sepertimana di universiti. Tempoh kursus yang lebih singkat bererti pelajar lebih fokus dalam pembelajaran. Mereka tidak lagi perlu belajar selama satu tahun setengah sebelum menduduki semua kertas peperiksaan STPM secara sekali gus.

Kursus yang ditawarkan pula setaraf dengan pengajian tahun pertama kebanyakan universiti bertaraf dunia. Jadi, pelajar yang lulus dengan gred tertentu boleh diberikan status pemindahan  jam kredit di universiti. Dalam kata lain, tempoh pengajian bagi ijazah pertama (sarjana muda) dapat dipendekkan.

Keadaan dan status pengajian tingkatan 6 dipulihkan sebagaimana asal. Lulusan STPM menduduki senarai teratas penawaran tempat di universiti awam, diikuti oleh lulusan matrikulasi. Lepasan sijil dan diploma politeknik atau kolej universiti hanya berpeluang ke universiiti awam hanya jika terdapat baki tempat yang tidak dapat diisi oleh lepasan STPM dan matrikulasi.

Reka bentuk kurikulum dan kokurikulum pengajian tingkatan 6 juga menyediakan pelajar ke arah kepimpinan, perkhidmatan dan kebajikan. Ketiga-ketiga komponen penting itu melengkapkan pakej modal insan yang meliputi pengetahuan, kemahiran dan sikap. Pelajar lepasan STPM yang sedemikian dapat memenuhi hala tuju universiti berprestij tinggi yang mengeluarkan bakal pemikir, pemimpin dan penyelidik yang terbilang.

Universiti perdana dan terbaik akan dapat dibebaskan daripada imej vokasional dan hands-on yang boleh ditawarkan di institut kemahiran, politeknik dan kolej universiti biasa. Kegiatan pemerolehan dan penerokaan ilmu diletakkan pada tahap tertinggi supaya potensi kepimpinan cendekia yang digarap mampu membawa masyarakat dan negara ke arah pencapaian negara yang makmur dengan limpahan pengampunan Tuhan (baldatun tayyibatun warabbun ghafur). Golongan bijak pandai ini menjadi benteng daripada serbuan pesona hedonisme, pendewaan teknologi dan minda materialis yang mengukur setiap kejayaan berdasarkan pemilikan wang ringgit, harta benda dan ekuiti.

bersambung...

PERTEMBUNGAN GERGASI ZON 2 KINTA UTARA (THE CLASH OF THE TITANS WITHIN KINTA SCHOOLS)

Kadang-kadang bakat yang hebat terkandas di peringkat awal justeru berada dalam kumpulan yang kuat-kuat belaka. Peluang untuk menonjol diri semakin pudar jika terdapat pasukan elit, pasukan projek, atau pasukan yang memiliki pengalaman bersaing di peringkat nasional. Begitulah hakikat yang terpaksa ditelan oleh sekolah-sekolah di daerah Kinta Utara, khususnya zon 2.
SMK St Michael, Ipoh (SMI) berada dalam satu kelompok dengan Anderson, Sam Tet, Main Convent, MGS, Teknik Lebuh Cator, dan beberapa buah sekolah lain. Anderson ialah sekolah projek sukan bola sepak, hoki dan ragbi. Ave Maria, Convent dan MGS sukar ditandingi dalam pencapaian akademik, walaupun tidak membuka kelas tingkatan 6.
Pasukan yang terpilih mewakili Zon 2 pula akan menghadapi cabaran sengit di peringkat daerah. Kinta Utara mempunyai STAR, Izzudin Shah, Taayah, Teknik Brash, Gunung Rapat, RPS, Ave Maria, Tarcisian, dan ACS. Kesemua sekolah yang tersebut memiliki reputasi yang tinggi hingga ke peringkat kebangsaan.
Perkara ini dibangkitkan bukan bagi menyediakan alasan awal buat mana-mana sekolah Kinta Utara, khususnya SMI jika tidak berjaya melepasi pusingan pertama peringkat zon lagi. Namun, hakikat ini tidak dapat ditolak. Kita perlu bersikap realistik.
Sebagai contoh, pasukan choral speaking SMI yang bertanding di peringkat Zon 2 berjaya menjadi juara, dengan syarat pasukan sekolah perempuan tidak diambil kira. Setelah Convent, MGS dan lain-lain dimasukkan, SMI hanya berkedudukan nombor empat. Entah bila keadaan ini akan berterusan.

Menjelang perayaan 100 tahun penubuhan SMI 2012, sesuatu harus difikirkan. Sebagai sekolah bertaraf premier dan pernah berbangga dengan deretan bintang antarabangsa, SMI bukanlah calang-calang sekolah. Ayuh, cipta satu kejayaan sebagai hadiah perayaan 100 tahun SMI. Selamat maju jaya...

Tuesday, April 6, 2010

PELAYARAN YANG PENUH PERISTIWA (THE VOYAGE OF A PRINCE CHARMING)

Ketika seisi kapal mabuk laut, Tuan Puteri Dayang Seri Jawa terpaksa mengemudi kapal layar besar itu. Setelah letih, puteri menghantar Si Kembang Cina memujuk Awang Sulung Merah Muda mengambil alih. Awang Sulung membiarkan sahaja kapal bergerak mengikut tiupan angin selama tiga hari hingga merapati Pulau Tapai. Sebenarnya puteri jatuh hati dengan Awang.

Pelbagai peristiwa menakjubkan berlaku, antaranya:
1. Gelombang besar menjadi tenang setelah Awang mencampak bungkusan tulang pelanduk     
     putih (yang diikat pada benang panca warna) ke laut;
2.  Awang mengambil air laut masin di tempat arus paling deras. Air itu kemudian bertukar rasa
     menjadi manis serbat;
3. Ketika serangan sekumpulan 40 orang lanun berlaku, Awang membersihkan diri hingga 
    terserlah ketampanannya. Tampil dengan keris dan pedang sakti, semua penyamun
    gementar dan mengenali suara Awang, seorang putera yang gagah perkasa. Seterusnya, 
    penyamun pula mengisikan kapal dengan rial batu dan emas hingga sarat.

Terdapat seorang oportunis dalam kapal, iaitu jurumudi. Dia mengaku kononnya dialah yang menyelamatkan seisi kapal ketika dilambung gelora lautan dan ketika diserang lanun. Dia mahu mengambil kesempatan supaya dapat mengahwini puteri, iaitu ganjaran yang dijanjikan oleh raja (Tuanku Nakhoda Tua). Sebagai bukti, dia sengaja mempersembahkan keris yang berlumuran darah. Sebenarnya, dia hanya menikam ayam. Namun, tembelangnya pecah apabila puteri mendedahkan hal sebenar.

Akhirnya, puteri dinikahkan dengan Awang. Pelayaran diteruskan di lautan yang penuh dengan pulau: Keladi, Keluang, Sembilan, Pandan, Angsa Dua, Pulau Pinang. Kapal juga melintasi Gunung Jerai, dan Selat Dinding. Dalam pelayaran pulang ke Semarang itu, pasangan suami isteri baru saling berbalas pantun hinggalah berlabuh di Negeri Pati Talak Terengganu.

Setelah berbalas maklumat dengan Puteri Pinang Masak (tuan rumah), akhirnya angkatan Awang dijemput ke istana. Sekali lagi unsur magis berlaku, iaitu segala alat kebesaran berbunyi sendiri, dan gigi Awang dilihat cantik bercahaya.

Sebelum naik ke istana, Awang berlaga ayam dengan Bujang Selamat. Kinantan Suci, ayam laga Awang berjaya menaji putus leher lawannya. Awang berangkat ke balairung seri sebagai sang putera yang hebat...

Tugasan:
Baca petikan di bawah dengan teliti dan  jawab soalan yang berikutan.
   
     Dayang Seri Jawa mengajak Awang Sulung melabuhkan geliung panjang di pulau itu untuk mengambil kayu dan air yang telah kehabisan, tetapi gelombang sangat besar dan geliung tidak dapat rapat ke tepi.

    Awang Sulung segera ke petak jubungnya mengambil bungkusan tulang pelanduk putih lalu mengikatkannya pada benang panca warna, dicampakkannya ke laut. Seketika kemudian laut menjadi tenang bagai air di kuali dan dapatlah geliung itu berlabuh dengan eloknya.

      Setelah beberapa lama berlabuh barulah orang-orang yang mabuk tadi tersedar. Sesetengahnya terpinga-pinga sambil bertanya-tanya di manakah mereka berada sekarang, tetapi jurumudi pula apabila tersedar segeralah dia mencabut kerisnya lalu menikam seekor ayam. Dengan kerisnya yang berlumuran darah itu pergilah dia mendapatkan Tuanku Nakhoda Tua.

      "Ampun Tuanku, patiklah yang memeliharakan geliung ini daripada amuk Tuan Puteri Dayang Nuramah kelmarin."

      Tuanku Nakhoda Tua yang baru pulih dari mabuknya terpisat-pisat membelek keris jurumudi yang penuh berdarah itu. Fikirnya, sungguh juga kata jurumudi ini, kerana waktu amuk itu berlaku beta jatuh pengsan.


 (i)   Berikan maksud geliung panjang.    ( 1 markah )

(ii)   Apakah tindakan jurumudi setelah tersedar daripada mabuk?     ( 3 markah )

(iii)  Jika anda ialah pegawai kepercayaan Tuanku nakhoda Tua, jelaskan dua nasihat yang anda berikan
       kepada baginda tentang dakwaan jurumudi?   ( 4 markah )

Memulakan ayat jawapan
(sila lengkapkan jawapan anda)

(i)  Maksudnya ialah ______________________________

(ii)  Tindakan jurumudi ialah ___________________________________________________
    
       _____________________________________________________________________
   
       _____________________________________________________________________


(iii)  Jika saya ialah orang kepercayaan Tuanku Nakhoda Tua, saya akan menasihatkan

        baginda supaya ________________________________________________________

        _____________________________________________________________________
    
        Selain itu, saya juga akan _________________________________________________

        _____________________________________________________________________
   

Monday, April 5, 2010

ANCAMAN SELESEMA BABI BELUM BERAKHIR (H1N1 PRECAUTION AT ST MICHAEL'S INSTITUTION)

Ipoh, Selasa: 6 April 2010 / 21 Rabiul Akhir 1431

Ketika kelibat orang ramai memakai topeng pelindung (mask) hampir sudah tidak kelihatan, Malaysia digemparkan dengan kes kematian sepasang ibu dan anak di Melaka berkaitan dengan pandemik selesema babi yang secara senyap memasuki fasa gelombang kedua. Serentak itu, pihak berkuasa kesihatan menggerakkan semula kempen berjaga-jaga secara meluas. Penyakit bawaan haiwan lain seperti kencing tikus (kes pelajar UPSI yang terpaksa dipotong kaki) dan sindrom denggi berdarah mengejut (kes seorang selebriti penyampai radio terkenal) juga mendapat liputan muka hadapan media arus perdana.

Kemajuan teknologi perubatan dan penyelidikan patologi telah menyaksikan munculnya macam-macam nama penyakit yang sebelum ini belum pernah didengar. Pada masa-masa lalu penyakit sedemikian sudah pun ada, tetapi tidak bernama. Kalau dirujuk bomoh atau pawang, semua penyakit itu dipakejkan sebagai angin tidak baik dalam tubuh.

Memandangkan vaksin penawar selesema babi yang mujarab belum ditemukan, maka langkah pencegahan mesti diutamakan. Berita baik untuk penggemar rempah ratus dan ulam-ulaman, iaitu virus H1N1 tidak mudah menembusi benteng pertahanan antibodi golongan berkenaan. Walaupun demikian, jika nyamuk aedes boleh mengalami proses mutasi dan penyamaran, apakah virus selesema babi tidak ada kemungkinan ke arah itu?
Risiko tidak berbuat apa-apa mendorong pihak Kementerian Pelajaran Malaysia mengeluarkan arahan supaya imbasan suhu tubuh murid secara rawak dilaksanakan semula. SMK St Michael, Ipoh (SMI) telah memulakannya pagi ini. Sebaik murid melangkah ke dalam kawasan pagar sekolah, mereka ditahan secara rawak untuk diambil bacaan suhu.
Tugas mengimbas suhu dilakukan oleh Encik Adi Yusri, guru Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan. Sebagai old Michaelian (semasa tingkatan 6), Cikgu Adi memang mengambil berat tentang kebajikan dan tradisi murid SMI. Pengalaman sebagai murid sekolah elit (MCKK) juga mempengaruhi ketegasan beliau dalam hal-hal disiplin dan sahsiah.
Cikgu Adi turut membuat bacaan suhu beberapa orang guru yang secara sukarela menawarkan diri sebagai sampel. Pada keseluruhannya, bacaan suhu warga SMI didapati normal. Bacaan menghampiri 37.0 beberapa orang murid mungkin disebabkan faktor banyak bergerak semasa perhimpunan...

C0RAT-CORET HARI SUKAN SMI (MICHAELIAN'S SPORT DAY OFF RECORD STORY)

Pengetua:  Apa kata kita buat gaya kawad sikit?

Tetamu:  Apa salahnya... orang dewasa mesti beri semangat dan jadi contoh...

(peristiwa sebenar: pengetua mempersilakan En. Koo ke pentas utama)


 Ustaz Marhalim: Peluru betul ke tiruan?

Pelepas: Cuma belerang untuk meletuskan bunyi, tidak perlu bimbang.

Ustaz Marhalim:  Sebutir, harga berapa?

Pelepas:  Macam-macam harga, yang ini RM 3 jer...

Vokalis: Mana tongkat ketua kita? Tidak kelihatan di tangannya

Chorus:  Nun tinggi di awan biru...ooooo... bila nak turun? aaaaa....

Chorus:  Tidak apa, tidak apa... aaaaaa ... hukum graviti...  kuasa Tuhan...

Vinod: Baru 20 tahun dah rasa bongkok sabut... dah nama kami Old Michaelian..

Pengusaha kantin SMI:  Cuba tengok cikgu kita di bawah, segak lagi, kan?

Dari kiri: Tuan Haji Meor (mantan Penolong Kanan Petang), Cikgu Harun (ayahanda Cikgu Haliza SPBT), pengetua, Mr. Bala (mantan pengetua) dan Cikgu Sohot (old Michaelian).
Mentor pengacara: Skrip kita dah elok, harap-harap sistem siar raya tiada gangguan..

Pengacara pelatih:  Betul cikgu, semenjak Cikgu Koi pindah ke SMK Seri Klebang, hari ini
                                   ujian pertama untuk guru penasihat baru...

Mr. John Bosco:  Jangan kalutlah... saya ada di sini, mahu pasang muzikkah?...

Cikgu Prakas:  Tidak perlu bising-bising.. jemputlah makan sekali.

Cikgu Ravi:  Kari dan porpu.. rasa nak tambah nasi lagi.

Cikgu Kamaruzaman:  Berpada-padalah. ingat sikit... sistem metabolisme kuat lagikah?

Cikgu Helmi:  Metabolisme, apa tuh? Satu hidangan nasi bersamaan 30 minit senaman petang
nanti...

Cikgu Tan Lee Khuai:  Secara matematik, saya setuju dengan Cikgu Helmi... belasah sahaja...

Saturday, April 3, 2010

PELAKSANAAN 1MALAYSIA DI SEKOLAH (THE IMPLIMENTATION OF "ONE MALAYSIA" IN SCHOOL)

Biarkan orang politik menyelesaikan pertelingkahan tentang idea asal 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Bagi kakitangan perkhidmatan awam, peranan  mereka  dalam jentera kerajaan tidak lain tidak bukan ialah untuk memaksimumkan kebajikan rakyat. Maka, kebijaksanaan walau dari mana-mana pun datangnya, akan diterima dengan tangan terbuka.

Keniche Ohmae dalam bukunya, Mind of the Strategies, mengatakan bahawa sesebuah organisasi yang hendak bertahan lama mesti mengenal 3 C's: company, client, competitor (diri sendiri, pelanggan, pesaing). Selepas itu, ada yang menambah kepada 5 C's dan seterusnya. Dalam sebuah hadith disebutkan al-hikmah dholatul-mukmin (au kama qala), iaitu kebijaksanaan ialah barang yang hilang daripada orang-orang yang beriman.

Bubuhlah apa-apa gagasan, slogan atau kata-kata yang muluk. Perspektif ekonomi tetap mengatakan bahawa fungsi tunggal kerajaan ialah memaksimumkan kebajikan rakyat. Maknanya, kerajaan kena mencari jalan supaya kek kemakmuran negara dapat dikongsi menerusi pertumbuhan ekonomi tanpa inflasi, tanpa pengangguran, di samping memastikan pengagihan semula yang adil. Rakyat yang berpendapatan tinggi bukan sahaja memiliki kuasa beli untuk menjana aktiviti ekonomi domestik, bahkan berdaya saing dalam persekitaran ekonomi global yang dicengkam oleh segelintir negara kaya yang angkuh, serta haloba lagi rakus.

Sekolah juga hanya mempunyai fungsi tunggal, iaitu memupuk pembelajaran. Letaklah apa-apa nama: sekolah cemerlang, sekolah kluster, sekolah berprestasi, sekolah harapan, sekolah lima bintang, sekolah luar bandar, sekolah bantuan modal... Semua sekolah, tanpa mengira kategori dan status, berkewajipan menunaikan fungsinya untuk menyediakan pendidikan bermutu untuk semua murid, iaitu memupuk pembelajaran.

Maka, slogan lebih kurang sama dengan tag line, jenama dan bungkusan. Tujuannya bagi  memikat perhatian, menjana sokongan, dan seterusnya mempengaruhi keputusan yang bakal dibuat. Pakar perhubungan awam, pemasaran, pengiklanan, pereka fesyen dan perunding imej berjaya menjual penciptaan slogan yang ringkas sebagai punca pendapatan yang lumayan dan moncah. Manusia mudah terpesona dengan lafaz atau penampilan zahir terlebih dahulu.

Secara mudah, sekolah juga ialah wadah untuk pencapaian kebajikan rakyat. Dengan akses ilmu pengetahuan, kemahiran dan sikap yang dipupuk menerusi aktiviti pembelajaran, murid dapat dibimbing ke arah kehidupan yang bermakna, produktif, dan sejahtera.  Nilai murni merentas kurikulum dan kokurikulum memantapkan pembinaan jati diri murid.

Sekolah wujud kerana ada murid. Pembelajaran murid ditolong oleh para guru dengan sokongan kepimpinan sekolah, ibu bapa, masyarakat dan pelaksanaan segala dasar pendidikan negara yang diturunkan hingga ke peringkat sekolah. Tiap-tiap komponen kumpulan berkepentingan (stake-holders) dan komponen aktiviti pembelajaran menyumbang terhadap fungsi memaksimumkan kebajikan rakyat.

Analisis tentang hubung kait gagasan 1Malaysia dengan pembelajaran di sekolah harus dilihat sebagai penyediaan penanda aras, petunjuk atau piawaian pencapaian dasar-dasar kerajaan menerusi organisasi pendidikan. Pihak Kementerian Pelajaran turut menetapkan bidang keutamaan (NKRA) selaras dengan persetujuan jemaah menteri. Pelbagai langkah telah diumumkan supaya kemudahan dan persekitaran pembelajaran di semua sekolah dapat menggambarkan bahawa rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

Huraian terperinci pelaksanaan gagasan 1Malaysia di sekolah boleh merangkumi:
1    Peluang akses dan ekuiti pembelajaran;
2    Kepimpinan dan organisasi sekolah;
3    Pembaharuan dan transformasi pembelajaran (dalam dan luar bilik darjah);
4    Permuafakatan pihak berkepentingan;
5    Penambahbaikan dan perubahan.

Pihak sekolah harus dapat memindahkan gagasan 1Malaysia dalam bentuk program yang memenuhi ciri SMART (spesifik, boleh ukur, boleh capai, munasabah, berjangka masa). Sebagai permulaan, bidang tujahan (niche area) tertentu hendaklah dikenal pasti. Sesuatu usaha menagih pengorbanan, kegigihan dan keyakinan yang jitu...

Friday, April 2, 2010

KILAS TANGKIS GAGAH DI HALAMAN SENDIRI (KILAS TANGKIS WON THE FRIENDLY MATCH)

Ipoh, Jumaat: 2 April 2010 /  17 Rabiul Akhir 1431

Pasukan badminton Kelab Kilas Tangkis yang bernaung di bawah payung Kelab Staf, SMK St Michael, Ipoh menerima kunjungan skuad Jabatan Agama Islam Perak. Perlawanan diadakan sebagai persediaan jabatan berkenaan menyertai pertandingan badminton antara lima bahagian dalam pentadbiran urusan masyarakat Islam di Perak pada minggu hadapan. Pemain termuda mereka berusia 23 tahun, dan paling veteran, 60. Kilas Tangkis pula ialah awal 30-an ke akhir 40-an.
Kilas Tangkis tidak dapat menurunkan pemain seasonal seperti Khir, Ravi, Zulkefli Sulaiman, Sohot dan Zulkarnain kerana mereka terikat dengan komitmen lain. Namun, Kilas Tangkis kembali mendapat sentuhan jagoannya, Ustaz Syakir yang semakin pulih dari segi kecergasan walaupun hanya diturunkan dalam perjalanan ujian (sparring) kali ini. Dijangka bahawa dalam perlawanan yang bakal diatur seterusnya, Syakir akan menjadi anchor Kilas Tangkis seperti sebelum ini.
Dalam perlawanan di Kompleks Badminton Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bermula pukul 3 petang menyaksikan kekuatan yang seimbang di kedua-dua belah pihak. Sebagai pasukan amatur yang tidak memiliki jurulatih tetap, dari segi taktikal, pemain lebih berpandu kepada gerak hati, indera dan jangkauan fizikal. Pemain yang dapat memininumkan kesilapan, di samping berjaya memerangkap lawan melakukan kesliapan, akan muncul sebagai pemenang.
Keputusan penuh perlawanan (nama pemain Kilas Tangkis disebut dahulu):

Perseorangan:

Prakas Rao mengalahkan Hafizi  21-11, 21-9

Shahrol mengalahkan Hafizudin  21-18, 21-6

Beregu:

Chin - Shahruzzaman kalah kepada Ahmad Safuan - Sani  9-21, 10-21

Ibrahim-Azmi kalah kepada Faizal-Fakrul  21-14, 16-21, 14-21

Omar-Prakas mengalahkan Ismail-Izzuan  21-17, 21-8

( Kilas Tangkis 3, Jabatan Agama Islam Perak 2 )

Selain perlawanan rasmi, terdapat banyak lagi perlawanan ujian. Penulis blog (PB) yang bergandingan dengan Badrol berjaya memenangkan Hafizudin dan pasangannya 17-21 dan 16-21. Kedua-dua pasukan berpuas hati dengan mutu pertandingan dan berharap dapat bertemu lagi pada masa hadapan. Kilas Tangkis juga sedang mengatur beberapa perlawanan persahabatan dengan Teknik Brash, Teknik Cator, ITM Perak dan Rapat Setia...

Thursday, April 1, 2010

KAJIAN BEBAN TUGAS GURU DIALU-ALUKAN (TO MAKE A CLEAR CUT OF TEACHER'S JOB DESCRIPTION)

Walaupun kajian dan penyelidikan tentang hal yang sama telah banyak dilakukan oleh profesor pendidikan, pelajar ijazah tinggi dan pasukan penyelidik di universiti tempatan, kajian berskala besar yang bakal dilaksanakan sendiri oleh Kementerian Pelajaran Malaysia tentulah memiliki signifikan yang tersendiri. Bahagian Penyelidikan dan Perancangan Dasar Pendidikan (EPRD), organ penting kementerian, dijangka menggalas tugas penting itu. Kaum guru (di sekolah bantuan penuh kerajaan, dan sekolah bantuan modal) pasti mengharapkan kajian berkenaan segera akan disusuli dengan daya usaha penambahbaikan supaya apabila tumpuan pekerjaan guru terhadap tugas asasi pengajaran dan pembelajaran dikembalikan, manfaatnya akan dipulangkan kepada murid dalam bentuk akses pengalaman pembelajaran yang bermutu dan terbaik.
tugas asasi guru: menyemak hasil kerja murid

Barang diingat bahawa sungutan tentang beban tugas yang melampaui spesifikasi kerja bukanlah bermakna kaum guru yang bilangannya sudah mencecah 400 ribu orang di Malaysia sebagai golongan yang berkira dan enggan berkorban. Isu sebenar ialah keberkesanan dan kecekapan dalam menggembleng segala sumber yang ada untuk memupuk potensi pembelajaran dalam kalangan murid. Profesionalisme keguruan hanya akan tercapai secara tuntas jika guru mempunyai kawalan terhadap kemajuan ikhtisasnya sendiri.

Sebagai perbandingan, ahli ikhtisas lain seperti arkitek, doktor, jurutera, juruukur bahan, pegawai tadbir dan diplomatik, dan peguam barangkali tidak berpengalaman melakukan sendiri kerja perkeranian dan teknikal sebagaimana yang dialami oleh guru sepanjang masa. Guru di sekolah walaupun berada pada gred perjawatan DG 52 (tangga gaji seperti pegawai daerah) masih perlu mengusung amplifier, mikrofon dan peralatan siar raya yang lain. Tugas guru kelas sudah diperluaskan apabila perlu mengisi lebih banyak data yang dikehendaki oleh pelbagai peringkat organisasi.

Bacaan meter tekanan yang dialami oleh guru sesebuah sekolah akan melonjak tinggi apabila kepimpinan sekolah terlalu obses untuk meraih anugerah atau perhatian pihak tertentu. Macam-macam idea dan projek yang muncul. Mula-mula datang dalam bentuk rayuan supaya memberi sokongan, lama-kelamaan bertukar kepada desakan yang merimaskan.

Tanpa prasangka jantina, terdapat persepsi mengatakan bahawa sekolah yang diterajui oleh kepimpinan wanita, dan tidak berkahwin pula, membawa keadaan  yang bertambah sukar. Pemimpin sedemikian mempunyai banyak masa untuk berfikir dan menelek-nelek, serta kurang bersimpati dengan kehidupan peribadi guru yang sudah bekeluarga. Mereka juga begitu cepat melupakan pengalaman diri sendiri semasa masih bergelar guru biasa.

Jika kaum guru hendak diangkat martabatnya ke arah profesional tulen, banyak perkara perlu diberi perhatian. Sekurang-kurangnya 90 peratus bidang tugas guru mestilah menjurus kepada pemupukan pembelajaran murid, sama ada di dalam bilik darjah, mahupun di luar bilik darjah. Guru juga patut diberi kesempatan mengadakan perbincangan profesional tentang saranan kajian terkini daripada jurnal pendidikan dalam bidang opsyen masing-masing.

Kajian tindakan yang dibuat secara individu perlu digantikan dengan kajian tindakan berkumpulan. Sesudah pengagihan tugas diserahkan, kerja berkumpulan diteruskan, iaitu duduk bersama-sama melengkapkan refleksi, bidang keprihatinan, tinjauan bacaan, kaedah, instrumentasi, analisis dapatan dan saranan penambahbaikan. Jumlah masa yang digunakan dalam kajian tindakan diberi pengiktirafan dalam jam kerja p & p.

Kepimpinan sekolah juga mesti menghormati kelayakan akademik dan kewibawaan guru dalam bidang masing-masing. Tiada sesiapa pun di sekolah yang patut berlagak serba tahu. Hubungan yang harmonis, tanpa membiarkan sesiapa mengambil kesempatan, akan meletakkan kedudukan guru lebih selesa dan suci hati dalam melaksanakan amanah keguruan mereka. Pelaburan awam dalam mewujudkan jawatan pembantu guru mungkin merupakan pilihan yang berbaloi kerana tumpuan guru terhadap pembelajaran murid ialah insurans ketenteraman sosial dan keselamatan negara dalam jangka masa panjang...

UA3 JUARAI KAWAD HARI SUKAN ST MICHAEL (COLOURFUL SPORT DAY AT SMI)

Ipoh, Khamis: 1 April 2010  / 16 Rabiul Akhir 1431
Rumah sukan Augustus menjuarai keseluruhan acara sukan edisi ke-83 SMK St Michael, Ipoh  dengan mengumpul 508 mata, jauh meninggalkan tiga pesaing yang lain. Sementara itu, U Paul berjaya memintas Patrick untuk mengelak daripada menghuni kedudukan tercorot. Rumah La Salle masih naib juara.
Antara acara yang mendapat perhatian ialah pertandingan kawad perbarisan antara kelas. Ternyata bahawa segala persiapan rapi, termasuk penyediaan 'kostum' untuk dijadikan sebagai gimik membuahkan hasil. Michaelian berjaya membuktikan bahawa semangat kerja berpasukan, kesungguhan dan kualiti kepimpinan dalam kalangan pelajar merupakan faktor kritikal yang menjamin kecemerlangan.
Pertandingan kawad dikategorikan mengikut tingkatan, iaitu daripada tingkatan satu hingga enam atas. Kategori tingkatan enam diungguli oleh UA3 (6 Atas Kemanusiaan 3). Sesuai dengan usia kematangan mereka, semua kelas tingkatan enam menampilkan kelainan formasi gerak. Namun, tingkatan lain tidak kurang hebatnya dari segi keseragaman dan gimik.
Malah, seorang hakim pertandingan yang enggan mendedahkan identitinya berkata, jika ditetapkan pemenang keseluruhan, satu daripada pasukan tingkatan empat bakal bergelar juara. Apa-apa pun, tema sekolah edisi 2010 "Know Yourself & Be Yourself" nampaknya benar-benar ditonjolkan. Ejaan dan variasi fon sahaja yang mungkin berbeza.
Penyertaan pasukan sekolah lain dalam acara jemputan juga amat menggalakkan. Kelihatan kelibat pelari pecut SMK Gunung Rapat, sebuah sekolah kluster kecemerlangan sukan, Anderson, Jelapang Jaya, Convent dan lain-lain. Walaupun pertandingan jemputan, jelas bahawa saingan yang dihadirkan begitu sengit.

Acara peserta dalaman tidak kurang sambutannya. Gamat sekali suara sokongan kepada pelari rumah masing-masing. Perjalanan acara berjalan dengan lancar, dan disiplin pelajar amat terkawal. Tiada sebarang insiden kecederaan.

Kejohan sukan tahunan ialah salah satu acara wajib dilaksanakan oleh pihak sekolah. Kini, Kementerian Pelajaran telah memberi penegasan supaya setiap pelajar terlibat dalam sekurang-kurangnya satu acara sukan yang bersesuaian dengan keupayaan dan minat masing-masing. Kalah menang ialah output, sedangkan perkara yang lebih ditekankan ialah proses pembelajaran yang merangkumi persediaan fizikal, mental, disiplin dan taktikal.
Pelajar memang berhak untuk bergembira dan meraikan kemenangan pasukan masing-masing. Raut wajah yang ceria dan gelak tawa yang sederhana itulah identiti sebenar pelajar yang meniti usia remaja. Pembelajaran di bilik darjah sepatutnya diberi suntikan elemen yang sama.
Hanya ucapan terima kasih dapat dirakamkan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan sukan tahunan SMI ke-83, sama ada yang nampak menonjol, atau petugas belakang tabir. Tetamu  kehormat, Encik Koo Kim Kuang pasti terhibur sambil mengimbau nostalgia ketika bersekolah di SMI. Jumpa lagi tahun hadapan untuk edisi ke-84...

(catatan: penulis blog ialah bendahari kejohanan, dan ketua hakim lorong)