SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, April 18, 2010

DIRGAHAYU DYMM PADUKA SERI SULTAN PERAK (PERAK ROYAL HIGHNESS CELEBRATION: BRO. VINCENT IS NOW A DATUK)

Kuala Kangsar, Isnin: 19 April 2010 (4 Jamadil Awal 1431)

Menjunjung Kasih Sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-82 Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah, D.K., D.K.M., D.M.N., D.K.A., Sultan, Yang Di-Pertuan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan dan Jajahan Takluknya.
Baginda ialah seorang raja yang dikasihi rakyat jelata seluruh Malaysia. Sebelum menaiki takhta, baginda terlebih dahulu meniti puncak kegemilangan dalam bidang keadilan negara apabila menyandang jawatan Ketua Hakim Negara. Selain itu, sumbangan baginda dalam bidang sukan hoki tanah air begitu terserlah apabila menerajui Persatuan Hoki Malaysia sebagai Presiden.

Stadium hoki astroturf di Ipoh mengambil sempena nama baginda. Stadium Azlan Shah menjadi arena utama kejohanan jemputan Piala Sultan Azlan Shah yang diadakan saban tahun, walaupun kadang-kadang dipindahkan ke stadium hoki Bukit Jalil. Kejohanan jemputan itu dianggap sebagai perlawanan ujian antara gergasi hoki dunia seperti Australia, Belanda, India, Jerman, Korea Selatan, Pakistan, dan tidak ketinggalan tuan rumah, Malaysia.

DYMM Sultan Azlan Shah pernah bersemayam di Istana Negara sebagai Yang Di-Pertuan Agong, iaitu kedudukan tertinggi dalam struktur pemerintahan negara. Semua urusan pelantikan awam bermula dari perdana menteri hingga kakitangan awam biasa dibuat atas titah perintah DYMM Yang Di-Pertuan Agong. Keseluruhan pentadbiran yang membabitkan nama Malaysia juga atas perkenan baginda.

Sebagai contoh, kes al-Maunah disebut sebagai percubaan memerangi Yang Di-Pertuan Agong. Kerajaan Malaysia juga disebut sebagai kerajaan baginda. Sebagai raja berpelembagaan, rujukan terhadap Yang Di-Pertuan Agong ditujukan kepada kedudukan, bukan individu peribadi.

Sebagai seorang raja yang memiliki latar belakang akademik yang begitu cemerlang, baginda juga menerajui Universiti Malaya, iaitu universiti terulung negara, sebagai Canselor. Di bawah kepimpinan baginda, Universiti Malaya pernah tersenarai pada kedudukan ke-89 universiti terbaik dunia menerusi penarafan THES (Times Higher Educational Supplement) dan masih bertahan dalam kelompok 200 hingga kini. Anakanda sulung baginda, DYTM Raja Dr. Nazrin Shah juga merupakan Pro-Canselor Kanan Universiti Malaya.

Minat baginda sultan dalam bidang sukan diteruskan dengan aktiviti ekuin dan golf. Baginda sanggup mencemar duli mendampingi rakyat jelata apabila acara kegemaran baginda itu dilangsungkan. Sebagai bekas hakim yang biasa dengan kehidupan rakyat kebanyakan, baginda tidak kekok mengenakan pakaian kasual di khalayak rakyat jelata.

Sebagai ketua agama negeri, baginda berpegang kepada prinsip ketelusan. Walaupun terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan pihak-pihak tertentu, baginda menggunakan kuasa dan budi bicara yang diperuntukkan dalam perlembagaan untuk mentadbir urusan masyarakat Islam dengan adil dan saksama. Pendek kata, kebijaksanaan baginda memayungi negeri dan kesetiaan rakyat jelata telah menjamin kesejahteraan negeri Perak Darul Ridzuan.

Warga SMK St Michael, Ipoh (SMI) merafak sembah ta'zim setinggi-tinggi tahniah kepada tuanku. Semoga Allah melanjutkan usia tuanku. Warga SMI turut berkongsi kegembiraan apabila Bro. Vincent dikurniakan pingat kebesaran baginda yang membawa gelaran Datuk...

PEMBENTUKAN DISIPLIN ANAK: PERANAN SIAPA? (THE ROLE MODEL OF YOUNGER GENERATION)

Disiplin ialah set tingkah laku positif yang dimiliki seseorang atau sekumpulan orang ke arah pencapaian matlamat tertentu. Disiplin seringkali dianggap sebagai pasangan kembar kepada kejayaan. Tanpa merujuk data penyelidikan pun, anggapan itu mudah dibuktikan. Sejarah tokoh berjaya dan kisah pelajar pintar semuanya berkisar terhadap disiplin diri.

Soalan yang mungkin menarik perhatian penyelidik ialah pihak mana yang lebih dominan dalam proses pembentukan disiplin anak. Ibu bapa, guru, rakan sebaya, media, artis, penulis novel picisan atau siapa? Mungkinkah juga disiplin anak terbentuk berdasarkan perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek anak-anak itu sendiri?

Sesebuah negara yang berhasrat mencapai status negara maju hendaklah terlebih dahulu berjaya membentuk pemimpin dan rakyat yang berdisiplin. Pemimpin yang berdisiplin berpegang teguh terhadap integriti seperti amanah, bijaksana, cekap, tidak rakus kuasa, tidak rasuah dan tidak makan harta kekayaan negara secara tidak sah. Rakyat yang berdisiplin pula mengimbangi kuasa pemimpin dengan peranan sebagai anggota masyarakat yang mencintai ilmu, menjaga hubungan sesama manusia, hubungan dengan alam sekitar dan hubungan dengan Pencipta.

Secara ideal, peranan membentuk disiplin terletak di tangan ibu bapa. Pakar psikologi percaya bahawa pembentukan disiplin bermula daripada dalam kandungan lagi. Ibu bapa dianjurkan supaya mengamalkan tingkah laku terbaik, di samping melakukan “interaksi” dengan janin di dalam kandungan.

Setelah lahir, anak-anak akan menjalani proses pembelajaran dengan meniru tingkah laku anggota keluarga, terutamanya ibu bapa. Tahap kebergantungan (dependency) terhadap ibu bapa begitu tinggi. Lama-kelamaan, anak-anak yang mengalami perkembangan kognitif (akal) yang hebat mula meningkatkan tahap autonomi dengan keinginan membuat keputusan sendiri. Tahap autonomi perlahan-lahan menggantikan tahap kebergantungan yang mulai menurun.

Apabila tahap autonomi anak kian meningkat, pengaruh ibu bapa dalam pembentukan disiplin anak tidak lagi dominan. Tambahan pula, anak terdedah dengan proses sosialisasi di sekolah apabila berpeluang untuk berkongsi cerita, cita rasa, kecenderungan dan kegemaran sesama rakan sebaya. Guru sebagai pengganti peranan ibu bapa (in loco parentis) di sekolah menerusi kaedah pedagogi yang mantap berkeupayaan membentuk disiplin anak secara lebih holistik dan terarah.

Di samping menghadapi hakikat autonomi anak yang semakin meningkat, ibu bapa moden banyak menghabiskan masa di luar rumah untuk mencari rezeki. Sebahagian besar masa anak dipenuhi dengan aktiviti sekolah dan tuisyen yang digelar oleh orang-orang bandar sebagai pusat jagaan kanak-kanak. Terdapat juga sejumlah besar ibu bapa terpaksa bergantung harap kepada pembantu rumah asing untuk melihat-lihat anak mereka.

Ilmu dan kemahiran keibubapaan turut menjadi faktor kritikal dalam pembentukan disiplin anak. Ibu bapa mungkin mempunyai banyak kesempatan untuk mendampingi anak-anak mereka, namun kejayaan dalam membentuk disiplin anak dihadkan oleh ketiadaan ilmu dan kemahiran yang diperoleh secara formal untuk berinteraksi dengan anak. Pendekatan terlalu tegas, atau terlalu berlembut merupakan dua jenis ekstrem yang menjejaskan pengaruh ibu bapa dalam membentuk disiplin anak.

Masalah sosial remaja dan anak muda hari ini menunjukkan bahawa ibu bapa tidak dapat berperanan dalam pembentukan disiplin anak. Kita patut sedih untuk mempercayai bahawa bilangan penghuni pusat serenti dan pusat perlindungan gadis remaja terus bertambah. Kes-kes ponteng sekolah, lepak, lumba haram, menghisap rokok, minum arak dan pergaulan bebas anak remaja kita memerlukan tindakan drastik.

Kita tidak seyogia menyalahkan ibu bapa atau sesiapa justeru peranan membentuk disiplin anak tidak dapat dipikul dan ditunaikan. Satu dasar peringkat kebangsaan dengan menggembleng segala sumber yang dikenal pasti bagi menyempurnakan tugas mebentuk disiplin anak. Pihak berwibawa mesti menyediakan mekanisme dan persekitaran yang baik supaya tugas membentuk disiplin anak menjadi lebih berkesan...

Friday, April 16, 2010

PENGAKAP KELANA SMI TERIMA PENGIKTIRAFAN (MICHAELIAN'S ROVER SCOUT GOT RECOGNITION)

Pertubuhan pengakap merupakan pilihan popular dalam kalangan pelajar sekolah. Sebagai sebuah pergerakan yang dikenali di serata dunia, aktiviti dan kemahiran yang diterapkan membentuk tahap disiplin dan semangat kesukarelaan yang tinggi untuk semua anggota pengakap. Di Makkah, khidmat pengakap digunakan sebagai petugas yang menyelaraskan laluan sejumlah tiga juta jemaah haji yang melakukan lontaran jamrah.
Pengakap Kelana SMK St Michael, Ipoh (SMI) yang dianggotai sejumlah 25 orang pelajar prauniversiti tingkatan enam atas dikategorikan sebagai sebuah badan pakaian seragam yang sangat aktif dan cemerlang. Di bawah bimbingan Cikgu Shahruzzaman yang juga pesuruhjaya pengakap daerah, serta kepimpinan beberapa orang pengakap raja, pengalaman pembelajaran yang disediakan menjadi pelengkap pakej pengajian prauniversiti tingkatan enam. Pada hari Rabu yang lepas (14 April 2010), sejumlah 18 orang lagi anggota pengakap kelana SMI telah menerima pengiktirafan masing-masing.
Pengakap kelana SMI dikenali sebagai Pengakap Kelana Kumpulan 02 Kinta. Tanda pangkat epolet merah disemat dan disarungkan kepada setiap anggota yang telah memenuhi segala syarat, tapisan dan ujian pengakap kelana. Mereka juga telah diwajibkan menyertai satu perkhemahan khas yang memberi pendedahan tentang ciri-ciri pengakap kelana.
Majlis penganugerahan tanda pangkat pengakap kelana telah dilangsungkan di wisma pengakap SMI. Penolong Kanan Tingkatan Enam, Puan Tan Cheng Choo, dan Puan Hajah Rasidah binti Ismail, juga guru penasihat pengakap kelana, telah diberi penghormatan menyempurnakan majlis. Anggota yang menerima pengiktirafan dan tanda pangkat pengakap kelana telah melonjakkan tahap kepengakapan mereka sebagai pemimpin, serta layak menyertai kegiatan pengakap kelana di seluruh dunia. 
Kejayaan pengakap kelana SMI memang membanggakan. Sebagai kumpulan pelajar tingkatan enam pertama yang menubuhkan pasukan pengakap kelana, mereka boleh dianggap sebagai penanda aras pencapaian kumpulan pengakap kelana SMI seterusnya. Semoga pengakap kelana SMI terus cemerlang dan sentiasa bersedia menabur khidmat bakti...

(Foto ehsan Cikgu Liew Boon Ket. Sila klik foto untuk paparan penuh)

MANUSIA TUAN TEKNOLOGI, BUKAN TEKNOLOGI TUAN MANUSIA (THE ESSENCE OF SCIENCE AND TECHNOLOGY)

 (Artikel sempena Minggu Sains dan Matematik, SMK St Michael, Ipoh. Segala penyataan 
  dan hujah merupakan pandangan peribadi penulis blog, melainkan dinyatakan sebaliknya)

Sains ialah ilmu bagi mengenal dan memahami sesuatu, sedangkan teknologi merupakan aplikasi kepada sains (Prof. Dr. Baharudin bin Ali, UKM:1985). Sebab itu terdapat bidang pengajian yang dipecahkan kepada sains tulen, sains gunaan, sains kemasyarakatan dan sains kemanusiaan. Sains yang digandingkan dengan teknologi merujuk kepada sains tulen dan sains gunaan sahaja.

Kajian sains tulen merangkumi disiplin fizik, kimia dan biologi yang meliputi konsep dan prinsip umum sesuatu hipotesis, teori dan hukum. Sains gunaan meliputi terlalu banyak disiplin, misalnya perubatan, kejuruteraan, seni bina, ukur bahan, nuklear, perhutanan, pertanian, dan marin. Sains tulen menjurus kepada kajian sains sebagai ilmu, manakala sains gunaan merujuk kepada usaha menggunakan segala prinsip sains untuk mencipta cara yang boleh membahagiakan manusia.

Hukum graviti Newton, prinsip ketumpatan air dan kaedah aljebra yang berupa inti pati sains telah dikembangkan untuk kemajuan teknologi pengangkutan dan pembinaan berskala besar. Generasi pascamoden hari ini masih terhutang budi dengan penciptaan lampu elektrik dan telefon oleh Edison dan Bell. Teknologi elektrik dan elektronik, satelit, serta komunikasi jarak jauh telah memungkinkan kemajuan pesat yang sukar dibayangkan oleh generasi dahulu kala.

Manusia hari ini dilimpahi nikmat kemajuan teknologi sehingga kehidupan menjadi begitu selesa, mewah dan selamat. Manusia dapat bergerak pantas, mendiami rumah yang kukuh, memiliki gajet komunikasi dan hiburan yang canggih, serta berpeluang melancong ke segenap penjuru dunia dengan mudah. Umat Islam di Malaysia hanya memerlukan 8 jam untuk tiba di tanah suci Makkah yang berjarak melebihi 8,000 kilometer.

Sekolah juga dilengkapi dengan teknologi jalur lebar berkelajuan tinggi, peralatan multimedia terkini dan kamera litar tertutup. Jurang digital antara sekolah bandar dengan sekolah luar bandar juga semakin mengecil. Di Terengganu, murid tahun 5 dan tahun 6 sekolah rendah dibekalkan dengan e-book secara percuma.

Bidang penjagaan kesihatan, rawatan dan pencegahan wabak penyakit semakin berkembang hari demi hari. Penyakit seperti polio, tibi dan untut boleh dikatakan telah dapat dicegah sepenuhnya, kecuali di negara yang masih mundur seperti di benua Afrika dan Amerika Selatan. Penawar dan vaksin bagi penyakit bawaan air dan penyakit bawaan haiwan sudah banyak ditemui daripada sumber herba yang selama ini digunakan oleh pengamal rawatan alternatif, serta menerusi petua orang tua-tua.

Di sebalik segala kesenangan yang dibawa oleh sains dan teknologi, manusia kadang-kadang alpa untuk meletakkan status teknologi di tempat yang betul. Sebahagian manusia mula menggunakan teknologi demi melangsaikan niat jahat mereka, dan ada sebahagian manusia lain pula terlalu mendewa-dewakan teknogi. Akhirnya, sebahagian manusia hilang kawalan terhadap teknologi, serta tidak lagi menjadi tuan kepada teknologi.

Kegiatan ekonomi misalnya terlalu dikuasai teknologi automasi, jentera dan robot sehingga menyebabkan pengangguran. Masalah sosial dan jenayah akan lebih rumit untuk dibendung. Kekacauan boleh merebak dengan cepat sekali.

Pembebasan gas CFC, karbon monoksida, radioaktif, raksa (mercury), sulfur dan plumbum oleh kenderaan, serta kilang telah mencemarkan udara dengan teruknya. Selain itu, partikel habuk dan racun kimia lain yang terampai di atmosfera berpotensi memudaratkan kesihatan dan kesejahteraan manusia, flora dan fauna. Udara yang disedut bukan lagi barang percuma, justeru bil rawatan terpaksa ditanggung oleh masyarakat menerusi pembayaran cukai.

Pencemaran air juga menakutkan. Sisa toksik, najis babi dan minyak yang sukar diuraikan turut dialirkan ke dalam sumber air seperti sungai, tasik dan laut. Jaminan tentang keberkesanan rawatan klorin, osmosis berbalik dan sebagainya belum dapat dibuktikan secara muktamad.

Getaran dan hingar-bingar kebisingan industri dan kenderaan meningkatkan ancaman pencemaran bunyi. Jiran tetangga yang tidak bertimbang rasa juga membiarkan bunyi gajet hiburan begitu kuat. Ada yang berkaraoke siang malam tanpa menyedari mutu vokal mereka sangat buruk dan menyakitkan telinga sahaja.

Peniaga senjata negara maju seperti Amerika Syarikat, Peranchis, dan United Kingdom memang layak digelar saudagar maut. Ejen-ejen perisikan mereka sengaja menusuk jarum adu domba, membuat provokasi dan mencetuskan huru-hara di rantau lain supaya berlaku peperangan. Dengan itu, mudahlah mereka menjual timbunan senjata di stor kilang senjata mereka.

Negara maju tadi hanya sanggup menjual senjata yang agak usang dan ketinggalan zaman kepada pelanggan yang mereka ciptakan. Apabila negara tauke senjata tadi terlibat dengan krisis ketenteraan, mereka tanpa rasa malu mengeluarkan segala senjata pemusnah kimia, nano dan infra merah untuk menundukkan lawan yang daif. Mereka juga menyekat negara lain, kecuali sekutu subahat mereka, daripada memajukan teknologi nuklear.

Keghairahan memiliki ciptaan teknologi juga digunakan oleh kaum pemodal negara maju untuk memerangkap pemimpin negara mundur dalam belit hutang yang payah untuk dilepaskan. Satu contoh klasik tentang hal itu ialah kisah seorang pemimpin Afrika yang begitu teruja menaiki kereta bagi menggantikan pedati kuda. Dia akhirnya diperdaya oleh keserakahan nafsu sendiri sehingga tanah airnya tergadai kepada penjual kereta yang zahirnya berwajah baik, bercakap lemah lembut dan suka membantu.

Sesetengah negara umat Islam disumbat dengan khayalan kemajuan palsu sehingga seolah-olah kesuntukan masa untuk membina seberapa banyak bangunan pencakar langit, projek mega bandar raya pintar dan rangkaian lebuh raya yang lebar. Bagaikan helang menyambar mangsa, "sang ceti" dan "ah long" yang menguasai bank negara maju dengan segera menghulurkan jerat pinjaman mudah, rejim hutang dan sindiket pembiayaan. Pemimpin negara Islam tega bergelumang dengan riba, kesamaran dan syubhah hanya untuk dilihat gah di mata rakyat.

Sepatutnya sains dan teknologi tidak menjadi sekular dan bebas nilai. Sebaliknya, sains dan teknologi mendekatkan manusia kepada Yang Maha Pencipta. Namun sejarah nestapa kaum intelektual yang dimusuhi oleh tokoh berpengaruh pada zaman silam, diseksa, dipenjara, dan dibakar hidup-hidup, khususnya di Eropah (dilaporkan 300,000 orang jumlahnya), mengakibatkan sains dan teknologi terpisah daripada sebarang bentuk kepercayaan dan nilai.

Kesimpulannya, sains dan teknologi telah menjadi pemangkin perkembangan tamadun dan kesejahteraan hidup manusia. Namun, di tangan orang yang bernafsu kebendaan dan hedonisme, sains dan teknologi bertukar menjadi petaka. Sains dan teknologi perlu menerima sentuhan aqidah, syariah dan akhlak di tangan orang-orang yang beriman... 

Thursday, April 15, 2010

PUSAT SUMBER SEKOLAH BAGAIKAN TAMAN ILMU (THE SCHOOL IN RESOURCE CENTRE CONCEPT)

Sekolah tidak mungkin dapat dipisahkan dengan pusat sumber (PS). Dahulu pusat sumber dikenali sebagai kutubkhanah atau perpustakaan. Biarpun nama berubah, peranannya tetap sama, iaitu menghimpunkan bahan rujukan dalam bentuk cetakan dan media lain.
Sejajar dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi, PS juga menjadi tempat menyimpan bahan multimedia seperti CD, dan kemudahan mengakses internet. PS biasanya juga memiliki bilik studio (bilik tayangan ala dewan kuliah) dan bilik persediaan belajar. Pengwujudan jawatan guru media yang dihadkan waktu mengajar maksimum 8 waktu seminggu memungkinkan pengurusan PS lebih berkesan, cekap dan teratur.

Sejumlah pengawas pusat sumber yang setaraf dengan jawatan pengawas sekolah juga dilantik bagi melicinkan proses pentadbiran dan urusan pinjam-meminjam bahan bacaan. Mereka diberi pendedahan asas tentang sistem Dewey dan sistem katelog. Peranan pengawas PS sangat penting dalam usaha menarik minat warga sekolah mengunjungi PS.

Antara peringatan utama PS ialah SYYYYYYYYY... MOHON SENYAP! Bercakap-cakap atau bergurau senda dijadikan larangan kerana akan mengganggu pengunjung lain yang mahu menumpukan perhatian terhadap bahan rujukan. Malangnya mutakhir ini, larangan itu seakan-akan tidak diendahkan. 
Konsep sekolah dalam pusat sumber nampaknya hanya berlaku dalam bentuk promosi dari pagar utama sekolah hingga ke muka pintu PS. Pelbagai slogan dipamerkan. Selain itu terdapat iklan tapak kaki di sepanjang laluan utama sekolah bagi menunjukkan jarak ke PS. Banyak juga yang sudah pudar kerana terlalu kerap dipijak.

Pelajar berkunjung ke PS atas pelbagai sebab dan niat. Terdapat pelajar yang benar-benar merupakan pengunjung PS tulen. Namun, tidak kurang pula pelajar yang mengunjungi PS bagi memenuhi arahan guru, atau sekadar suka-suka untuk menyejukkan badan dengan pendingin hawa di PS.

bersambung...

Wednesday, April 14, 2010

BAHANG PANAS MASIH TERASA (HOT WEATHER IN MALAYSIA)

Jabatan Kaji Cuaca (kini Jabatan Metereologi) pernah meramalkan bahawa fenomena cuaca el-Nino akan berakhir pada awal bulan April. Kini, ketika pertengahan April beransur-ansur pergi, bacaan suhu setinggi 36 darjah celcius masih berterusan. Tauke kedai elektrik menarik nafas lega justeru permintaan terhadap alat pendingin hawa meningkat secara mendadak.

Malam yang biasanya dibalut kedinginan bertukar kepada panas yang agak luar biasa. Hujan an yang turun berselang hari tidak mengubah keadaan. Ujian Ilahi ini pasti ada hikmahnya.

Ciri iklim khatulistiwa di Malaysia yang panas lembap menyebabkan rembesan peluh mudah dibebaskan. Tanpa pergerakan dan senaman pun, peluh memercik di dahi dan membasahi tubuh. Perangkap bau hangit di celah lipatan anggota badan berpotensi mengganggu penampilan seseorang di khalayak ramai, atau ketika menghadiri majlis tertentu.

Cuaca panas yang ekstrem juga mungkin mempengaruhi aras air sungai dan empangan yang membekalkan air bersih kepada pengguna. Krisis air yang pernah berlaku di Melaka pada dekad 1990-an dahulu patut menjadi iktibar. Air yang sebelumnya sering dibazirkan seolah-olah menjadi emas permata yang menjadi rebutan.

Tanpa disedari bahawa kita hanya menghargai sesuatu setelah kita ketiadaannya. Sumber air sebagai anugerah alam ciptaan Ilahi (endowment) ialah nadi kehidupan seluruh isi alam. Tanpa air, bumi hanyalah sebuah hamparan gersang lagi tandus tanpa penghuni. 

Dalam kajian ekonomi terdapat teori dengan paradoks harga air dengan berlian. Mengapa air yang begitu berharga dapat dijual dengan harga yang rendah, sedangkan berlian yang bukan  sandaran hidup mati manusia dijual dengan harga yang melampau tinggi? Kepada pelajar ekonomi, silalah jawab...

Cuaca panas juga mungkin mempengaruhi emosi seseorang. Pertimbangan mudah goyah. Orang cepat melenting dan melampiaskan rasa marah tanpa berfikir panjang.

Semua pendapat di atas boleh diuji menerusi penyelidikan. Sehingga data dapat dikumpul, sebarang pendapat mungkin hanya bertaraf dakwaan (claim), atau sekadar falasi (penyataan palsu). Namun sebagai proses sumbang saran, perbincangan sebegini tetap memiliki kekuatan dan signifikan yang tersendiri...

Tuesday, April 13, 2010

DEBAT ALA PARLIMEN: MASKULIN LAWAN FEMININ (SMI TO FACE FORMER STATE CHAMP IN BM DEBATE)

Ipoh, Selasa: 13 April 2010 / 28 Rabiul Akhir 1431

Mesyuarat pengurus-pengurus pasukan zon 2 Kinta Utara menetapkan 29 April 2010 (Khamis) sebagai tarikh pusingan awal pertandingan debat ala parlimen yang membabitkan lapan buah sekolah. SMK St Michael, Ipoh (SMI) selaku naib johan zon 2 tahun lalu diletakkan sebagai pasukan pilihan bersama-sama Anderson, tuan rumah dan juara bertahan. Undian dibuat bagi menentukan pasukan yang akan bertemu, di samping kedudukan sama ada sebagai kerajaan, atau pembangkang.

Hasil undian menemukan SMI dengan SMK Perempuan Methodist (MGS) yang pernah bergelar johan negeri bagi edisi 2008. Namun, MGS tersingkir pada pusingan pertama zon 2 tahun lepas. Dalam pertandingan yang bersifat subjektif ini, konsistensi sesuatu pasukan sukar untuk diramalkan.

Jadual penuh pusingan awal:

Tarikh:  29 April 2010 (Khamis)
Masa :  2.00 petang
Tempat:  SMK Anderson

1.  Anderson lawan Teknik Lebuh Cator

2.  Sam Tet lawan Ave Maria

3.  MGS lawan SMI

4.  Seri Putera lawan Main Convent

(Nama pasukan pertama ialah kerajaan)

Tajuk pusingan pertama:

"IBU BAPA BERPERANAN DALAM MEMBENTUK DISIPLIN ANAK-ANAK"

Nampaknya undian telah menemukan pasukan lelaki lawan pasukan wanita. Teknik Lebuh Cator walaupun sekolah campuran, tetapi tahun lepas menampilkan semua perserta perempuan. Mereka merupakan lawan SMI pada pusingan awal. Lagi kebetulan yang mengujakan!

Walaupun demikian, debat ini bukan untuk membanding-bandingkan gender. Semua pengurus pasukan yang bertanding sepakat bahawa pasukan yang terbaik harus dapat membawa cabaran zon 2 ke peringkat daerah. Tahun lalu, Anderson berjaya memasuki pusingan akhir daerah sebelum akur kepada kehebatan Seri Ampang.

Tarikh pusingan kedua ialah 5 Mei: "Kebanjiran Pekerja Asing Membantu Meningkatkan Pembangunan Negara". Undian kerajaan atau pembangkang dibuat semasa pendaftaran. Pasukan dikuarantin selama sejam.

Pertandingan akhir: 12 Mei 2010 (Rabu): mulai 8.00 pagi, kuarantin sejam
"Penggunaan Internet Pemangkin Insan Berminda Positif"

SELAMAT MAJU JAYA KEPADA SEMUA PASUKAN YANG BERTANDING

Monday, April 12, 2010

AZFA HANANI BAB 3 PENUH DENGAN WATAK (NOVEL STUDY TO DRAW RELATIONSHIP)

"Kerana Terdesak" dicetak dalam 12 halaman, iaitu dari muka surat 24 hingga 35. Pembaca mungkin sukar memberi fokus terhadap jalan cerita justeru terlalu banyak watak baru diperkenalkan. Bagi mengatasi masalah itu, elok jika pembaca membuat catatan atau carta hubungan antara watak yang disebutkan.

Begitupun kebanyakan watak sampingan yang disebut buat pertama kalinya hanya muncul sekali-sekala dalam perkembangan cerita seterusnya. Misalnya watak Abang Norman, Kak Rozan, Pak Haji Arshad (mertua Kak Rozan), Mak Hajah Kiah, Abang Mazran (Tengku Mazran), Kak Finaz dan arwah Tengku Murni. Watak pak long, mak long, Zuraini, Zurina, Zahir dan Zahidin pula disebut apabila latar keluarga ditampilkan dalam penceritaan. Datin Maziah pula boleh dianggap sebagai watak yang sederhana penting kerana trauma yang dialami.

Tujuan pembelajaran novel komsas bukanlah untuk mendalami semua watak, atau untuk menerangkan hubungan antara setiap watak. Memadai jika murid dapat menjelaskan perwatakan watak utama dan sekurang-kurangnya dua watak yang lain. Analisis tentang watak dan perwatakan boleh dibuat menerusi dua tiga peristiwa yang ditulis secara ringkas tetapi jelas.

Contoh peristiwa 1
(Gunakan peristiwa untuk menghuraikan elemen komsas yang dikaji)

Teka-teki tentang peluang Azfa Hanani untuk meneruskan persekolahan terjawab apabila mak long memaklumkannya secara tidak langsung kepada Zahidin bahawa Kak Nani akan bersekolah di Kuala Lumpur. Zahidin tidak dapat menerima alasan Hanani bahawa dia tidak sihat untuk ke sekolah.

Perwatakan: Bijak (Zahidin)
Persoalan:  Kepentingan persekolahan (Azfa Hanani)
Nilai:  Kejujuran (mak long)
Pengajaran:  Kita hendaklah mementingkan kejujuran (mak long)
Latar masyarakat:  Masyarakat yang bijak (Zahidin) / masyarakat yang jujur (mak long)
Latar tempat:  Di ruang dapur rumah mak long
Latar masa:  Selepas waktu subuh / awal pagi


Peristiwa 2

Sebagai balasan membenarkan Azfa Hanani di bawa ke Kuala Lumpur, Abang Mazran dan Kak Finaz menawarkan bantuan untuk menanggung semua kos perubatan dan rawatan Zuraini. Namun, pak long dan mak long menjelaskan bahawa keizinan melepaskan Hanani semata-mata demi masa depannya.

Perwatakan:  Berbudi bahasa / berpandangan jauh
Latar masyarakat:  Masyarakat yang berbudi bahasa / berpandangan jauh / baik hati
Persoalan:  Keutamaan terhadap masa depan
Nilai:  Baik hati / kejujuran
Pengajaran:  Kita haruslah mengutamakan masa depan / jujur dalam membuat keputusan
Latar tempat:  rumah pak long / mak long
Latar masa:  waktu pagi (Tengku Mazran dan Kak Finaz kekok bersimpuh ketika bersarapan)

Peristiwa 3:

Azfa Hanani meminta izin membawa sehelai dua pakaian dan buku latihan walaupun Kak Finaz melarang. Hanani bakal diberi persalinan serba baharu sesuai dengan tugasnya untuk mengganti kelibat arwah Murni di rumah Datin Maziah.

Perwatakan:  Bersopan santun
Latar masyarakat:  Masyarakat yang bersopan santun
Persoalan:  Kepentingan bersopan santun dalam komunikasi
Nilai:  Kejujuran
Pengajaran:  Kita hendaklah bersopan santun / jujur dalam berkomunikasi
Latar tempat:  rumah pak long, mak long / halaman rumah pak long (Hanani bersalam / mencium tangan pak long / mak long)
Latar masa: waktu pagi


Peristiwa 4:

Azfa Hanani membuat keputusan untuk memulangkan buku rujukan perpustakaan yang dicuri pinjam melalui pos. Dia nekad untuk mempertaruhkan nama baiknya kerana percaya bahawa tindakannya itu tepat.


Peristiwa 5:

Abang Mazran bercerita tentang peristiwa kemalangan jip yang meragut nyawa arwah Tengku Murni pada hari jadinya yang ke-16. Kematian arwah disembunyikan daripada Datin Maziah yang koma beberapa hari.

Peristiwa 6:

Mak long bercerita tentang peristiwa teksi yang dinaiki ibu bapa Azfa Hanani terjunam ke dalam gaung mengorbankan semua semua penumpang kecuali seorang bayi, iaitu Azfa Hanani sendiri. Bapa Hanani baru tamat pengajian dalam bidang perubatan, manakala ibunya dalam bidang undang-undang.



Kesimpulannya, bab 3 novel Azfa Hanani memberikan perspektif tentang punca konflik dan perkembangan cerita yang dapat dibaca dalam bab-bab seterusnya. Bab "Kerana Terdesak" ini bagaikan iklan dan promosi supaya pembaca melekat untuk meneruskan pembacaan. Kemunculan mendadak watak Nordin, pengawas sekolah lama Azfa Hanani dengan riak cemas pada perenggan terakhir bab menambah rasa suspens pembaca...

BAJU MERAH NEKAD DI BANGKOK (POLITICAL TEST IN THAILAND)

Apabila pasukan tentera mengambil alih pengendalian rusuhan besar-besaran di tengah-tengah kota Bangkok, kita sudah boleh menjangka bahawa fasa baharu ujian politik kerajaan perdana menteri muda negara gajah putih itu, Abhisit Vejjajiva bermula.  Bantahan antikerajaan menerusi tunjuk perasaan secara besar-besaran sudah acapkali berlaku dalam sejarah Thailand. Pada pertengahan dekad 1970-an dahulu, bantahan disemarakkan oleh mahasiswa.

Pelajar universiti yang tidak sehaluan akan bertempur sesama sendiri. Apabila "musuh" dapat ditangkap, dia diikat di dahan pokok, lalu dibakar hidup-hidup. Sisi intelektual dan kasihan belas terpadam sama sekali.

Kali ini kumpulan baju merah dikatakan datang daripada kumpulan rakyat miskin yang menyokong mantan perdana menteri yang digulingkan, Thaksin Sinawat. Mereka telah sampai ke tahap mahu mengusir Abishit daripada tampuk kekuasaan. Bilangan mereka dianggarkan berjumlah 80 -100 ribu peserta.

Thailand merupakan satu-satunya negara Asean yang tidak pernah dijajah. Sebaliknya, negara yang dahulunya dikenali sebagai Siam itu merupakan kuasa besar serantau yang digeruni. Konflik dan perebutan kuasa lebih bersifat dalaman.

Walaupun prinsip Asean menegah negara anggota mencampuri urusan domestik anggota lain, perkembangan politik Thailand diikuti dengan penuh debaran, khususnya negara kita yang bersempadan dengan mereka. Penduduk Perlis, utara Kedah, Perak dan Kelantan sudah biasa keluar masuk menerusi Padang Besar, Wang Kelian, Bukit Kayu Hitam, Pangkalan Hulu, Rantau Panjang, Golok dan beberapa pos sempadan yang lain.

Pergolakan di wilayah penduduk majoriti Muslim di selatan Thai juga mengakibatkan kemasukan pelancong dan peniaga Malaysia ke sana terjejas. Ancaman serangan bom dan senjata api yang lain tidak boleh dipandang ringan. Kumpulan-kumpulan yang bertelagah tidak mengeluarkan sebarang bentuk amaran terlebih dahulu.

Sebagai tetangga, rakyat Malaysia mengharapkan bahawa krisis politik di Thailand akan segera reda. Institusi istana yang masih berpengaruh mungkin dapat memujuk kumpulan baju merah supaya kembali ke meja rundingan dan menggunakan segala saluran demokrasi yang sedia ada. Kekacauan yang berterusan boleh mengganggu kerancakan aktiviti ekonomi kota Bangkok yang begitu terkenal dengan jolokan "Venice Timur" itu.

Kita juga berharap agar pihak berkuasa tentera dapat menggunakan segala kaedah terbaik yang ada untuk mengelakkan korban jiwa dalam kalangan kumpulan baju merah dan pihak tentera sendiri. Masyarakat Thailand terkenal dengan lenggok percakapan yang sangat lemah lembut dan gemalai. Mustahil kompromi tidak boleh diberi ruang.

Ekonomi Thailand antara yang berpotensi untuk mengalami pertumbuhan yang pesat. Dengan bilangan penduduk yang kian menghampiri angka 100 juta jiwa, asas pasaran domestiknya agak kukuh. Jika pendapatan, serta kuasa beli penduduk Thai dapat dilonjakkan, negara berkenaan bakal mengukuhkan kemakmuran rantau Asean supaya dapat berdiri sama tinggi dengan blok ekonomi dunia yang lain seperti Kesatuan Eropah (EU) dan Perjanjian Perdagangan Amerika Utara (Nafta). Asean juga mungkin berjaya mengimbangi pengaruh kumpulan negara kaya (G8) dan kemaraan BRIC (Brazil, Russia, India, China) yang semakin jelas.

Kesimpulannya, kebijaksanaan pemimpin Thailand, di samping perpaduan rakyatnya sangat penting. Proses bantahan antikerajaan mungkin dianggap epilog kepada kejatuhan sesebuah kerajaan yang pernah dipilih secara demokrasi. Namun, krisis yang berlarutan tidak seyogia dibiarkan menguasai keadaan...

Sunday, April 11, 2010

KEBETULAN YANG MENYELAMATKAN (THE NEGLIGENCE OF PARENT)

Ipoh, Ahad: 11 April 2010 / 26 Rabiul Akhir 1431

Seorang kanak-kanak berusia sekitar tiga tahun sedang cuba menolak daun pintu kedai serbaneka Esso di  Jalan Raja Musa Mahadi. Penulis blog (PB) yang kebetulan berurusan di situ menyangka budak itu anak kepada kakikatangan kedai. Tiada orang dewasa yang menemaninya.

PB terus menuju ke kereta untuk bergerak. Tiba-tiba kelibat kanak-kanak itu kelihatan menuju ke satu arah. Nampak seperti dia sedang mengekori seorang wanita lingkungan 30-an yang menggendong seorang bayi untuk dimasukkan dalam kereta. Mungkin ibunya, getus PB.

Kanak-kanak itu berjalan lurus sambil menundukkan kepala. Lagaknya seperti berfikir sesuatu. PB tidak jadi bergerak untuk mengawasi sebarang kemungkinan.

Gerak hati PB tepat. Ketika kanak-kanak itu mara, tiba-tiba sebuah kereta Kia Spectra mengundur ke arah kanak-kanak itu. Pemandunya pasti tidak perasan akan kehadiran budak kerana paras ketinggiannya tidak melepasi spoiler kereta. 

Lagi pun, kedudukan budak di tengah-tengah tidak dapat dilihat menerusi cermin sisi. Mungkin juga amaran undur (reverse sensor) Spectra itu tidak dipasang, atau sudah tidak berfungsi. Wanita yang menggendong bayi tadi langsung tidak menoleh.

Tanpa berfikir panjang, PB terus menekan hon secara berterusan dan menunjukkan isyarat kecemasan kepada pemandu Spectra. Nasib baik si pemandu Spectra mendengar hon dan melihat isyarat PB. Bayangkan jika dia terus sahaja melayan muzik gemersik CD dalam kereta!

Pemandu Spectra menekan brek serta-merta dalam jarak satu meter sahaja dengan kanak-kanak tadi. PB melafazkan kesyukuran justeru nyawa kanak-kanak itu masih panjang. Si ibu yang panik terus mengambil kanak-kanak itu, terus masuk dalam kereta. Dia kelihatan tergesa-gesa dan seperti tidak keruan. Barangkali juga dia berasa sesal...