SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, July 9, 2010

MENDEKATKAN REMAJA DENGAN IBU BAPA (PEER INFLUENCE)

Ulu Bernam, Jumaat: 9 Julai 2010 / 26 Rejab 1431
Remaja ialah fasa usia akil baligh, iaitu mula menjengah alam dewasa, atau sudah cukup umur untuk berkahwin. Dari segi biologi, sistem reproduksi seseorang telah diaktifkan apabila mencapai usia remaja. Perubahan emosi dan perasaan yang indah-indah mulai mekar.

Fantasi alam kanak-kanak kini berganti dengan pengalaman baharu yang tumbuh bersama-sama perkembangan fizikal remaja. Dengan bimbingan dan dorongan yang mencukupi, remaja akan berjaya menempuh segala pancaroba untuk muncul sebagai insan yang berguna dan boleh diharapkan. Istilah seperti jiwa kacau atau kecelaruan identiti yang dikaitkan dengan remaja tentulah tidak begitu adil.
Isu remaja telah menjadi tema khutbah Jumaat di masjid jamek Ar-Rahman, Ulu Bernam tengah hari tadi. Khatib telah menyampaikan kupasan yang disokong dengan data penyelidikan universiti tempatan. Tidaklah begitu memeranjatkan bahawa remaja lebih senang berkongsi cerita dengan rakan sebaya (sekitar 45%), berbanding dengan ibu bapa sendiri (38%).
Menyedari hakikat itu, setiap sekolah dianjurkan supaya memantapkan program rakan sebaya (PRS) dengan menggunakan kepakaran kaunselor pelajar sepenuh masa. Sebilangan murid dikenal pasti sebagai kelompok rujukan positif, atau sebagai pemimpin pendapat (opinion leader) yang diterima supaya menjadi ikutan sekalian remaja di bangku sekolah. Imej tingkah laku melencong (deviance behaviour) sukar mendapat perhatian.

bersambung...

Thursday, July 8, 2010

SMI MODEL MASYARAKAT 1MALAYSIA (MICHAELIANS SUPPORT 1MALAYSIA)

Ipoh, Khamis: 8 Julai 2010 / 25 Rejab 1431

Perpaduan rakyat ialah insurans atau jaminan kedaulatan, kemajuan dan pembangunan sesebuah negara. Proses membina sebuah negara yang bermaruah dan dihormati memakan masa yang begitu panjang. Ironinya, untuk melemahkan sendi-sendi keutuhan negara boleh terjadi sekelip mata andainya berlaku kecuaian dalam menangani perbezaan aliran pemikiran, fahaman, pendapat dan sentimen.
Pengalaman Malaysia dalam menguruskan kepelbagaian telah dikagumi sekian lama. Segala urusan kehidupan rakyat begitu lancar lagi mudah justeru mereka meletakkan kepentingan ramai melebihi kepentingan kelompok kecil. Rakyat akur dengan gesaan pemimpin negara supaya sentiasa bersatu hati demi kejayaan bersama.
Konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang menjadi gagasan, slogan dan tagline kepimpinan semasa telah dicanangkan ke seluruh pelosok negara. Budak kecil yang belum bersekolah pun boleh menyebut dengan lancar konsep 1Malaysia justeru saban waktu mereka mendengar tentangnya, selain melihat angka satu yang dibalut jalur gemilang itu. Dari segi itu, sistem penyampaian kerajaan sangatlah berjaya.

Fasa seterusnya ialah supaya rakyat memperkatakan pula tentang prinsip dan perincian konsep 1Malaysia. Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah memperuntukkan sejumlah perbelanjaan bagi memastikan perkara berkenaan bakal berlaku. Jentera dan agensi JPM telah digerakkan untuk melaksanakan program jangka panjang bagi memantapkan kefahaman 1Malaysia kepada setiap segmen masyarakat.
SMK St Michael, Ipoh (SMI) boleh dianggap bertuah justeru dipilih oleh pihak JPM sebagai salah sebuah model sekolah 1Malaysia. Buat permulaan SMI menerima kunjungan pihak JPM untuk menerima penerangan tentang 1Malaysia, di samping dibekalkan sejumlah poster dan sepanduk ke arah itu. Komposisi unik warga SMI nyata berjaya memikat perhatian JPM...

Wednesday, July 7, 2010

PENYELIDIK MUDA SMI MEMULAKAN PROSES MENULIS (MICHAELIAN YOUNG RESEARCHER SUCCESSFULLY HANDED OVER PROPOSAL)

Dalam kesibukan mengharungi cabaran akademik pengajian prauniversiti, di samping memenuhi peranan lain sebagai pemimpin organisasi pelajar, sebagai remaja, sebagai anak dan cucu, sebagai pengguna pelbagai perkhidmatan, sebagai petugas sukarela, sebagai penonton Piala Dunia, sebagai penganut agama yang taat, dan sesenarai panjang "sebagai..." lagi, pelajar tingkatan 6 Rendah, SMK St Michael, Ipoh (SMI) telah mengalami transformasi cara berfikir dan bertindak, apabila memulakan proses penyelidikan sejak tiga minggu yang lalu. Kini, hanya berbaki 11 minggu lagi untuk menyiapkan laporan penyelidikan, iaitu bersamaan tempoh satu semester penuh pengajian di universiti. Sungguh menakjubkan bahawa dalam jangka masa yang begitu singkat mula diperkenalkan dengan tatacara penyelidikan, sambil terus mereka bentuk, membuat pembentangan kolokium, dan menyiapkan laporan yang lengkap.
Pelajar ijazah sarjana muda hanya menyiapkan kertas projek penyelidikan pada semester akhir pengajian. Pelajar sarjana (master's) yang mengikut mod kursus akan menyediakan bahan bab 1 hingga bab 3 sekurang-kurangnya dalam jumlah 27 jam kredit kuliah yang memakan masa minimum setahun. Pelajar yang memilih mod disertasi (sarjana) dan tesis (Ph.D) akan mengambil masa 2 - 4 tahun bagi melaksanakan penyelidikan.

Nampaknya pelajar prauniversiti SMI melakukan sesuatu yang luar biasa. Pendedahan terhadap proses penyelidikan walaupun dalam bentuk yang paling asas akan menjadikan pelajar SMI beberapa langkah di hadapan berbanding dengan pelajar yang tidak berkesempatan menerima pendedahan awal. Mereka tidak akan terpinga-pinga dengan istilah, susunan dan tatacara penyelidikan di peringkat pengajian tinggi kelak.

Berdasarkan maklum balas dan semakan draf cadangan penyelidikan pelajar prauniversiti SMI setakat ini, didapati objektif untuk memberi pendedahan tentang proses melaksanakan penyelidikan telah tercapai. Paling tidak mereka telah berani mengemukakan tajuk, pernyataan masalah kajian, pemboleh ubah dan mengenal pasti sampel yang boleh digeneralisasikan kepada populasi, dan seterusnya kepada dunia luar. Memang benar bahawa beberapa penambahbaikan perlu dilakukan, tetapi titik tolak penyelidikan telah pun digerakkan.

Selepas ini, penyelidik muda SMI bakal memberi sebab atau menyatakan kepentingan penyelidikan yang dilaksanakan sebelum menulis dua objektif penyelidikan, serta dua soalan penyelidikan. Walaupun kelihatan ringkas, pelajar akan dibimbing supaya berjaya menulis ketiga-tiga komponen yang dinyatakan itu dengan tepat, jelas dan mudah difahami. Kesejajaran antara semua huraian hendaklah sentiasa dititikberatkan...

Tuesday, July 6, 2010

HARI TERBUKA SMI JALIN MUAFAKAT (SMI OPEN DAY: A CATALYST FOR HOME-SCHOOL COLLABORATION)

Ipoh, Selasa: 6 Julai 2010 / 23 Rejab 1431

Pencapaian murid dan pelajar sangat kuat dipengaruhi oleh persekitaran pembelajaran di sekolah yang disokong oleh elemen kepimpinan, pengurusan, aktiviti bilik darjah, aktiviti luar bilik darjah, dan iklim sekolah yang menyumbang ke arah kecemerlangan. Selain itu, sokongan maksimum ibu bapa dan seisi keluarga di rumah turut menjadi faktor kritikal yang dapat mengukuhkan keazaman seseorang murid untuk berusaha sebaik mungkin dengan menggilap segenap potensi dan fakulti yang ada dalam diri masing-masing. Bagi merapatkan hubungan sekolah dengan rumah itu, pelbagai strategi telah dilaksanakan supaya ibu bapa berkesempatan juga meluangkan waktu mereka menjengah sekolah anak-anak mereka untuk bertanya khabar tentang kemajuan anak masing-masing.
Begitulah yang berlaku di SMK St Michael, Ipoh (SMI) sepanjang sesi persekolahan hari ini. Sesi pagi memulakan hari terbuka pada pukul 10 pagi dengan penyerahan laporan peperiksaan pertengahan tahun baru-baru ini kepada para ibu bapa. Jumlah kedatangan ibu bapa dianggarkan sekitar 65 peratus.

Di samping laporan kemajuan, ibu bapa juga menerima takwim aktiviti Julai hingga September supaya mereka maklum semua tarikh aktiviti di SMI yang membabitkan kepentingan anak-anak mereka. Edaran tiga bulan sekali ini dibuat ekoran permintaan ibu bapa sendiri semasa mesyuarat agung PIBG. Mereka mahu menjadi ibu bapa yang bermaklumat supaya dapat membantu pihak sekolah dalam proses menyediakan pakej pembelajaran terbaik.
Ibu bapa juga dihadiahkan dengan oleh-oleh yang istimewa buat julung-julung kalinya. Buletin yang diberi judul The Michaelian Voice yang diterbitkan oleh Kelab Penulisan dan Penerbitan. Semua berita dan rencana yang dimuatkan ialah hasil tulisan ahli persatuan berkenaan.

Penulis blog (PB) sebagai guru tingkatan 6 Atas Sastera 3 (UA3) telah menerima kehadiran 19 daripada 28 orang ibu bapa. Terdapat juga abang dan kakak yang menemani ibu bapa mereka. Dalam kalangan mereka, ada yang pernah bergelar pelajar SMI 40 tahun yang lalu...

Monday, July 5, 2010

LARAS AYAT DAN BAHASA DALAM PENYELIDIKAN (THE ART OF WRITING RESEARCH REPORT)

Hasil penyelidikan hendaklah disebarkan supaya dapatan yang diperoleh akan dikongsi dan dimanfaatkan oleh pihak-pihak yang disebut dalam kepentingan penyelidikan. Jika dibiarkan terperap, usaha penyelidikan yang telah menggunakan sumber yang tidak sedikit itu menjadi sia-sia. Maka, laporan penyelidikan itu hendaklah ditulis dengan persembahan terbaik untuk tatapan pihak berkenaan.

bersambung...

Sunday, July 4, 2010

ULASAN BUKU PENYELIDIKAN (BOOK REVIEW: INSTRUCTOR'S MANUAL ON EDUCATIONAL RESARCH)

Judul buku: Instructor's Manual to Accompany How To Design and Evaluate Research in Education

Penulis buku:  Jack R. Fraenkel dan Norman E. Wallen, San Francisco State University

Penerbit / tahun terbit:  McGraw-Hill, Inc., New York / 1993 
 

Sinopsis

Buku iringan kepada sebuah teks penuh ini ditujukan kepada guru dan pensyarah yang mengajar kursus penyelidikan. Buku setebal 240 muka surat ini dibahagikan kepada 20 bab dimulai dengan saranan reka bentuk kursus penyelidikan yang hendak dikendalikan. Bab dua tertumpu kepada cara menyediakan masalah penyelidikan, soal jawab dan ujian aneka pilihan bagi mengukur penyampaian kursus. Bab 3 menyentuh etika dalam penyelidikan, termasuk perlindungan terhadap subjek / responden kajian, kerahsiaan, persetujuan berpengetahuan dan hak kanak-kanak jika mereka dilibatkan. Bab 4 mengkategori pemboleh ubah, serta membandingkan hipotesis dengan soalan penyelidikan. Bab 5 ialah tentang tinjauan bacaan yang perlu diterangkan dari segi kaedah dan sumber akses yang autentik. Bab 6 menyarankan tunjuk ajar pemilihan sampel supaya dapat digeneralisasikan kepada populasi. Bab 7 mengetengahkan tentang proses instrumentasi bagi mentadbirkan penyelidikan yang sejajar dengan jenis data yang hendak dikutip. Bab 8 menjurus kepada cara menentukan kesahan dan kebolehpercayaan instrumen dalam kutipan data, serta jenis kesalahan pengukuran yang mungkin berlaku. Bab 9 membincangkan sejumlah persembahan statistik deskiptif dalam laporan penyelidikan. Bab 10 tertumpu kepada statistik inferensi. Bab 11 tentang signifikan keputusan penyelidikan. Bab 12 memberi penegasan terhadap kawalan kesahan dalaman. Bab 13 hingga 18 menyajikan kaedah penyelidikan: eksperimental, korelasi, perbandingan sebab-musabab, tinjauan, kualitatif dan pensejarahan. Bab 19 memberi panduan tatacara menulis kertas cadangan dan laporan penyelidikan. Bab terakhir membincangkan pelaksanaan penyelidikan di sekolah yang disertakan dengan contoh dan lampiran.

Nilai Pengetahuan / Pengajaran

Buku ini memberikan perspektif yang boleh dikatakan lengkap dan menyeluruh kepada guru dan pensyarah yang diamanahkan mengendalikan kursus penyelidikan. Walaupun pada asasnya buku ini berfokus kepada pengajaran kursus prasiswazah dan ijazah tinggi, guru dan pensyarah yang mengendalikan kursus penyelidikan di sekolah juga memperoleh input penting tentang bidang pendedahan yang perlu disampaikan kepada peserta kursus asas penyelidikan,  sama ada guru atau pelajar prauniversiti. Langkah penyampaian, bahan ujian, ulasan penyelidikan dan contoh yang disediakan dalam setiap bab disusun dengan begitu jelas dan teratur supaya lebih mudah digunakan semasa menyampaikan kuliah, atau semasa mengendalikan kelas tutorial tentang penyelidikan.

Aplikasi Ilmu Dalam Organisasi / P & P 

Panduan untuk mengendalikan kursus penyelidikan ini sangat mustahak justeru guru akademik tingkatan 6 / pensyarah prauniversiti dikehendaki melaksanakan penyelidikan setiap tahun. Sebahagian guru belum pernah mendapat pendedahan lengkap berkenaan penyelidikan. Jika ada pendedahan sekali pun, mereka sudah lama tidak melaksanakan penyelidikan dalam format dan tatacara yang betul. Guru yang memiliki ijazah tinggi (sarjana dan Ph.D) pula perlu dirundingi supaya bidang tujahan penyelidikan yang dilaksanakan menepati keperluan dan kepentingan pengajian prauniversiti tingkatan enam. Dalam konteks SMK St Michael, Ipoh (SMI), tumpuan dikhususkan kepada penyelidikan tindakan yang bertujuan membuat refleksi amalan p & p sedia ada, dan elemen penambahbaikan yang diperlukan. Selain itu, buku panduan ini juga dapat digunakan bagi membimbing pelajar prauniversiti tentang proses dan tatacara penyelidikan dengan pilihan kaedah tinjauan yang hanya menghendaki pentadbiran penyelidikan hanya sekali. Sebagai setiausaha penyelidikan sekolah, saya mendapati ilmu yang terkandung dalam buku ini boleh dimanfaatkan dalam mereka bentuk taklimat asas penyelidikan kepada guru dan pelajar prauniversiti.

ULASAN BUKU PEDAGOGI KOMSAS (BOOK REVIEW: PROFESSIONAL KNOWLEDGE)

Pelaksanaan Kaedah Latihan Secara Pembacaan Buku sebagai tambahan bagi melengkapkan kursus dalam perkhidmatan (Ladap) berasaskan sekolah diperkenalkan mulai tahun ini. Nisbah bacaan 4:2:1 merujuk kepada komponen bacaan bidang pengetahuan profesionalisme, kemahiran profesionalisme, serta amalan / nilai profesionalisme keguruan. Bagi maksud dokumentasi dan pembentangan, format di bawah telah ditetapkan, dan penulis blog (PB) memberikan satu contoh penyediaannya.

1    Nama Guru:

2    Judul:  Teknik Mengajar Komsas                     Bidang:  Pengetahuan Profesionalisme

4    Tarikh Pembentangan:                                        Masa:

6    Tempat Pembentangan:

7    Sinopsis

      Buku setebal 184 muka surat ini dibahagikan kepada 24 bab. Kecuali bab 1 dan bab 2,
      kesemua 22 bab yang lain membincangkan kaedah, model dan teknik mengajar komsas, 
      sama ada secara tradisional, mahupun terkini. Kaedah lama yang dimaksudkan
      termasuklah demonstrasi, penemuan, menyelesaikan masalah, kajian kes, sumbang saran, 
      projek,main peranan, forum dan KBKK. Kaedah terkini menonjolkan model kecerdasan 
      pelbagai, dengan tumpuan terhadap interpersonal, intrapersonal, visual-spatial, dan 
      linguistik.  Kaedah lain yang disarankan ialah ungkapan kreatif, kerusi panas, skema, 
      meramal, mentafsir dan bayangan minda. Turut dihuraikan ialah kaedah CoRT Thinking
      Programme yang diilhamkan oleh Edward de Bono. Penulis buku, Naffi Mat, pensyarah 
      pendidikan bahasa di UPM menggunakan contoh buku teks komsas tingkatan satu hingga 
      lima yang akan digunakan hingga tahun 2010. Menyedari bahawa teks komsas akan ditukar
      apabila tiba masanya, Naffi Mat lebih mengutamakan huraian konsep dan prinsip bagi
      setiap satu kaedah yang dibincangkan. Penggunaan contoh secara minimum bertujuan
      untuk menjelaskan aplikasi pedagogi komsas dalam genre yang berbeza: cerpen, drama,
      prosa tradisonal, puisi dan novel. Setiap kaedah dibincangkan secara berasingan supaya
      dapat diaplikasikan dalam aktiviti p & p mengikut keperluan. Naffi Mat turut 
      mencadangkan beberapa kaedah digunakan serentak untuk mencapai maksud 
      pembelajaran komsas, iaitu menghargai karya sastera dengan cara yang berkesan dan 
      menghiburkan, selain memenuhi hasrat yang terkandung dalam falsafah pendidikan 
      kebangsaan, dan kurikulum bersepadu sekolah menengah.
     
8    Nilai Pengetahuan / Pengajaran

      Buku ini banyak membantu guru mengulang kaji kaedah pedagogi secara umum, sebelum
      mempertimbangkannya dalam konteks amalan p & p di bilik darjah. Justeru buku ini ditulis
      oleh seorang ahli akademik yang mengkhusus dalam pendidikan bahasa, input 
      pengetahuan dan saranan pedagogi ialah himpunan teori, konsep, amalan dan pengalaman
      sebenar dalam mengendalikan aktiviti p & p komsas. Buku ini juga dapat membantu guru
      mengorganisasi semula amalan p & p dalam satu pakej yang lebih jelas dan terarah. Dalam
      kata lain, guru dapat menjenamakan kaedah pedagogi yang paling mirip dengan aktiviti
      p & p yang berlaku di bilik darjah selama ini. Kepada guru yang bukan pengkhususan 
      bahasa, buku ini sangat berguna sebagai panduan merancang p & p, selain meningkatkan
      kualiti penyampaian kepada murid. Buku ini juga boleh menjadi senarai semak panitia
      bagi memantapkan p & p komsas supaya dapat membantu murid menyelami degup
      jantung kehidupan masyarakat, cabaran, konflik, harapan dan impian mereka dalam 
      mencapai tahap kesejahteraan yang diinginkan.

9   Aplikasi Ilmu Dalam Organisasi / P & P

     Ilmu pedagogi ialah alat dan senjata yang sangat ampuh bagi semua guru dalam 
     menjayakan proses p & p. Maka, sejumlah 22 kaedah, model dan teknik yang dihuraikan
     dalam buku ini sangat relevan dengan matlamat menjadikan aktiviti p & p sebagai berkesan,
     menarik dan menyeronokkan. Guru yang mengajar komsas beroleh input yang mempunyai
     latar teori dan amalan terbaik pendidikan yang dihubung kait secara langsung dengan 
     komsas. Pendekatan lama dan baharu boleh diadunkan supaya kelainan dapat diserlahkan 
     ke arah menangkap imaginasi murid. Bagi memindahkan segala input dan saranan buku,
     lebih baik guru-guru yang mengajar komsas mengadakan sesi perbincangan formal dan 
     tidak formal bagi membuat padanan antara pilihan pedagogi dengan genre komsas yang 
     didapati serasi. Kejayaan sesuatu kaedah, model dan teknik pedagogi boleh diukur secara
     mata kasar apabila murid memberi perhatian, menunjukkan minat yang tinggi, mengambil 
     bahagian dalam aktiviti p & p, dan menunjukkan komitmen terhadap tugasan komsas.
     Berasaskan respons murid, guru boleh merujuk semula senarai semak yang tersedia.

Disediakan oleh,                                                       Disahkan oleh,

..............................................                          ...................................................
(                                                   )                              (                                                   )

Friday, July 2, 2010

PEMBELAJARAN AKTIF MENINGKATKAN PENCAPAIAN PELAJAR (THE CHANGE PROCESS NEEDS URGENCY IN MIND)

Bagi menentukan proses pembelajaran telah berlaku, guru biasanya mengajukan soalan secara lisan tentang isi pelajaran, terutama kepada pelajar yang didapati kurang memberi tumpuan. Apabila tidak berjaya menjawab, pelajar memberi pelbagai dalih. Contohnya, "nanti balik rumah saya baca semula, atau nanti saya belajar di pusat tuisyen pula". 

Dalam situasi berkenaan, guru mempunyai pilihan sama ada untuk melepaskan peluru amarah, iaitu satu kaedah konfrontasi, atau menggunakan analogi mudah supaya pelajar segera menyedari ada yang tidak kena dengan pegangan terhadap konsep pembelajaran sebenar. Sebagai profesional yang telah dilatih dengan kecerdasan emosi, iaitu tahan telinga dan tahan marah, guru mungkin mendahulukan kesabaran daripada menaikkan meter tekanan. Pendapat pelajar yang melencong itu mesti dibetulkan serta-merta sebelum berpotensi mempengaruhi lebih banyak pelajar lain.

Walaupun program Nilam (nadi ilmu amalan membaca) bererti murid dibiasakan dengan tabiat suka membaca, pendedahan terhadap proses memindahkan khazanah ilmu daripada buku ke dunia sebenar patut diberi perhatian. Idea-idea tentang kebaikan, kebajikan, kebijaksanaan, nilai murni dan peradaban yang boleh dilaksanakan atas kapasiti individu, atau dalam organisasi segera dicari jalannya. Setidak-tidaknya cara berfikir, tingkah laku dan perspektif si pembaca tentang dirinya sendiri, orang lain dan persekitaran akan mengalami perubahan yang menjurus kepada penambahbaikan yang berterusan.

Jika dibuat rantaian, maka orang yang suka membaca akan bertambah ilmunya, bertambah mulia pekertinya dan sejahtera orang yang berdamping dengannya. Pemupukan ciri asertif (tegas diri: menjaga hak diri sendiri, dan menjaga hak orang lain juga) lebih mudah dijayakan. Keadaan berebut-rebut yang lazim dilihat di jalan raya dan di majlis jamuan mungkin dapat diubah kepada ketertiban dan menghormati susila masyarakat yang berjiwa merdeka.

Pembacaan bahan akademik dan mata pelajaran tentulah tidak sama dengan membaca karya kreatif dan bacaan ringan. Buku teks misalnya padat dengan sejumlah andaian, konsep, teori dan hukum yang telah teruji berabad-abad lamanya. Laras ayat dan bahasa yang digunakan tidak semudah mengungkapkan sembang-sembang tepi jalan.

Walaupun persembahan buku teks cuba diringankan dan lebih menarik, citra ilmunya tetap sama. Penulisan buku teks dibuat sedemikian supaya akhirnya murid dapat dibimbing untuk berfikir, bertindak dan membuat keputusan yang tepat dengan bersandarkan input ilmu pengetahuan yang autentik, bukan pendapat amatur jalanan. Perspektif ilmu tentang sesuatu akan mencegah tangan daripada bertindak lebih laju daripada akal yang dikawali sejumlah ilmu.

Proses penulisan dan penerbitan buku teks memakan masa yang agak panjang. Apabila siap untuk digunakan, contoh kes yang dimuatkan mungkin sudah agak usang, walaupun dari segi asas ilmunya masih sah. Maka, perbincangan tentang kes-kes terkini akan memberi semula nyawa kepada ilmu yang terkandung dalam sesebuah buku teks.

Membaca buku teks atau buku rujukan mata pelajaran tanpa membuat sebarang catatan atau tanpa sebarang perbincangan kes tidak ubah seperti angin lalu. Murid yang kuat daya ingatannya mungkin boleh berlagak sebagai burung kakak tua yang tidak mengerti apa-apa tentang perkara yang diajukkan. Lebih baik gunakan peranti rakaman yang lebih canggih supaya dapat didengar berulang-ulang.

Taksonomi Bloom meletakkan pengetahuan per se di tahap paling bawah. Pembaca buku mata pelajaran tidak akan faham apa-apa, apatah lagi memindahkan idea bacaan dalam bentuk amalan gunaan. Keupayaan analisis, sintesis dan penilaian tentunya jauh panggang daripada api!

Maka, pembelajaran aktif di bilik darjah ialah proses menyalakan api ilmu menerusi penglibatan dan perbincangan tentang kes-kes yang berbeza. Dalam konteks ini, setakat membaca sahaja boleh diibaratkan sebagai aktiviti yang pasif. Pergantungan terhadap kononnya intuisi dan naluri semata-mata sebenarnya sangat bahaya.

Sebagai insan yang lebih dahulu makan garam, guru dapat membimbing murid meneroka dan membawa semula khazanah ilmu ke dalam bilik darjah supaya dapat dikaitkan dengan urusan kehidupan. Guru menjadi pemudah cara yang adil dalam melayan bermacam-macam luahan idea murid yang datang bertubi-tubi jika diberi kesempatan dan pengukuhan. Bertitik tolak dari situ, sekolah boleh diharapkan sebagai tapak menumbuhkan pucuk muda pencinta ilmu yang beretika, gigih dan kreatif.

Kesimpulannya, pembelajaran aktif merupakan bekalan kepada generasi muda untuk memanfaatkan ilmu dalam apa-apa jua cabaran zaman dan persekitaran. Mereka dapat membina perisai yang kebal, serta tidak lut dek pengaruh jahat dan negatif. Cita-cita untuk mewariskan jati diri bermula di dalam dunia bilik darjah...

bersambung...

PEMENTASAN DRAMA SMI SEMAKIN HAMPIR ("THE BRAVE ONE" SATURDAY SHOW SOLD OUT)

Selain debat bahasa Inggeris, pementasan drama tahunan turut menjadi asas pemilihan SMK St Michael, Ipoh (SMI) sebagai sekolah kawalan negeri di bawah seliaan pejabat pelajaran daerah Kinta Utara. Dengan status sekolah bantuan modal, dana tambahan bagi tabung akademik dan pembangunan fizikal perlu diisi supaya warga SMI dapat menikmati persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif. Hasil jualan tiket drama, sumbangan dan tajaan pementasan akan disalurkan bagi membiayai beberapa projek, antaranya menaik taraf bilik kuliah utama.
Seperti juga persembahan teater, usaha menjual tiket pementasan drama memang penuh cabaran. Bagaimanapun pengalaman pasukan pemasaran drama SMI  bertahun-tahun lamanya dijangka membantu proses jualan tiket yang biasanya habis dibeli pada hari-hari terakhir menjelang pementasan selama tiga malam berturut-turut itu.
Seluruh warga SMI termasuk pengetua, penolong kanan, guru, kakitangan dan pelajar diberi peranan menjual tiket drama. Segala kaedah jualan dilakukan sama ada secara bersemuka mahupun cara komunikasi jarak jauh. Pelajar tingkatan 6 Rendah juga diberi pendedahan  melakukan promosi sambil menjual tiket drama di kawasan tumpuan sekitar bandar raya Ipoh yang terletak dalam jarak berjalan kaki.

Saban tahun tiket persembahan malam minggu (Sabtu) mendapat permintaan terawal dan habis dahulu. Kini masih berbaki seminggu sebelum pementasan malam pertama dipertontonkan. Tarikh drama diawalkan daripada bulan Ogos justeru Ramadan menjengah tiba.

Thursday, July 1, 2010

APABILA HARGA SETEM NAIK 100% (POST OFFICE UP THE SERVICE CHARGE)

Ipoh, Khamis; 1 Julai 2010 / 18 Rejab 1431

Baru sebentar tadi (4.30 petang), penulis blog singgah di Pejabat Pos Besar Negeri Perak, lebih kurang tiga minit berkereta dari SMK St. Michael, Ipoh (SMI). PB hendak membeli setem atas satu urusan rasmi yang memerlukan kaedah surat-menyurat tradisional. Tiba giliran di kaunter, seorang penyelia kanan (yang memantau petugas kaunter) tanpa ditanya terus memaklumkan bahawa mulai hari ini harga setem naik hingga 100%!
Misalnya surat biasa sampul putih dahulu dicaj 30 sen, sekarang 60 sen. Jika menggunakan envelop 4 X 9 (11 X 24 sm) warna putih dahulu 30 sen, sekarang 50 sen; warna lain 80 sen. PB tidak sempat melihat senarai caj setem untuk jenis mel lain, dan bungkusan kerana perlu bergegas ke sebuah jabatan kerajaan negeri yang berhampiran.

Budak sekolah dan remaja mungkin tidak ambil peduli tentang harga setem yang dianggap tiada kena-mengena dengan mereka. Penggunaan komunikasi jarak jauh menerusi peranti komunikasi maya seperti mesej pesanan ringkas (SMS, MMS), e-mel, ruang sembang internet, facebook, twitter, dan macam-macam lagi menyebabkan khidmat pejabat pos tidak begitu menarik perhatian mereka. Pendek kata, serba-serbi dalam talian.

Bunga-bunga bahasa dan menghadap surat sangat asing bagi mereka. Jika tidak diajar dalam karangan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, kata ganti nama diri seperti bonda, ayahanda, saudara, kekanda, adinda, nenda, my dearest friend dan sebagainya mungkin macam bunyi prosa klasik agaknya. Kajian tentang pengalaman menulis surat era 1980-an dalam kalangan budak sekolah sekarang mungkin menghasilkan dapatan yang sama.

Setelah teknologi internet dimulakan pada tahun 1993 di Malaysia, dan harga telefon bimbit model baharu serendah RM 80 di pasaran, aktiviti surat-menyurat antara anggota keluarga dan sahabat handai hampir mencecah angka sifar, dengan pengecualian kepada generasi lama tentunya. Posmen lebih banyak menghantar surat rasmi ke rumah kediaman dan premis perniagaan. Pemandangan posmen mengayuh basikal palang sambil membunyikan loceng basikal sudah lenyap ditelan zaman.

Pihak sekolah dan organisasi pendidikan lain mungkin menggunakan medium surat tradisional untuk menghantar hebahan, makluman dan keputusan peperiksaan sahaja. Selebihnya mesti dirujuk menerusi portal rasmi. Surat pihak sekolah harus dialamatkan ke pejabat atau tempat kerja ibu bapa supaya tidak sempat dipintas oleh anak-anak.

Dengan kemajuan sistem pengangkutan, mel ekspres dan khidmat kurier menjadi pilihan bagi penghantaran dokumen atau pesanan pembelian barang secara e-dagang. Penyedia kurier antarabangsa seperti DHL dan Federal Express contohnya menggunakan pesawat kargo dan lori 10 tayar untuk penghantaran barang yang lebih besar seperti komputer, perabot, televisyen, dan aksesori peribadi yang lain. Asal sahaja bayaran sanggup dilunaskan, semua urusan akan beres dalam tempoh waktu yang singkat.

Jemaah haji dan umrah boleh balik berlenggang kangkung jika sanggup memperuntukkan sejumlah bayaran untuk mengepos barang belian di tanah suci seperti jubah dan tamar, di samping segala pakaian yang hendak dibawa pulang ke tanah air. Risiko kehilangan bagasi di lapangan terbang dapat dikurangkan. Selain itu, semua penghantaran akan dilindungi insurans.

Pos Malaysia Berhad mungkin dapat mengganti kehilangan pelanggan surat-menyurat cara tradisional jika berjaya menyediakan pakej penghantaran barang yang berdaya saing kepada para pelancong asing. Pos Malaysia tidak payah membuka cawangan di serata pelosok dunia sebab kos permulaan (overhead cost)  yang sangat tinggi. Memadai dengan jalinan niaga strategik penyedia khidmat kurier ternama dunia sedia ada.

Generasi pra-internet pastinya menyimpan banyak sekali kenangan manis mengusik jiwa, menikam kalbu dan melayan luahan perasaan menerusi surat-menyurat bersetem. Ada yang sanggup membeli buku panduan karang-mengarang surat supaya lenggok, serta susunan bahasa surat akan berjaya menggembirakan si penerima. Budak-budak selalu mengakhiri surat dengan kata-kata: pecah kaca pecah gelas, sudah baca harap balas.

Suatu ketika dahulu alamat PB pernah tersiar dalam akhbar Utusan Pelajar. Maka, ratusan pucuk surat diterima saban hari dari Perlis sampai ke Sarawak (Sabah tidak ada) untuk menghulurkan salam perkenalan. Walaupun harga setem hanya 10 sen, PB tidak mampu membelinya. PB percaya semua pengirim surat yang tertunggu-tunggu balasan surat PB telah kecewa, tetapi apalah daya justeru jarak pejabat pos pun bukannya dekat.

Dahulu rak sampul surat di kedai penuh dengan envelop berwarna biru berbelang-belang cop Par Avion, dan ada juga edisi istimewa yang berbau wangi. Sekalian peringkat umur akan memilih sampul surat yang khas buat diutuskan kepada insan yang diingati lagi dekat di hati. Keadaan telah berubah kerana kini yang tinggal hanya envelop berwarna putih dan kuning bagi tujuan penghantaran surat rasmi.

Musim hari raya dahulu bererti kakitangan pos terpaksa bertugas secara maraton. Petugas sambilan turut diambil untuk kerja penyisihan surat justeru sistem poskod belum diperkenalkan. PB boleh menggantung koleksi kiriman kad raya untuk tatapan tetamu yang berkunjung ke rumah. Kini, kalau ada pun kad raya diterima dengan hantaran tangan (budak kelas sendiri), atau daripada pihak bank, takaful dan kawan lama.

Pejabat pos masih bernyawa dan meriah kerana terdapat pelbagai khidmat nilai tambah yang ditawarkan. Antaranya ialah pembayaran bil setempat dan urusan pembaharuan cukai jalan kenderaan, serta pembaharuan lesen memandu. PB pernah melalui pengalaman seorang pelanggan yang hilang pertimbangan telah menjerit dengan kata-kata yang tidak enak didengar apabila sekonyong-konyong sahaja pertugas kaunter meletak label kaunter ditutup sedangkan barisan orang ramai yang beratur masih terlalu panjang macam ular kena palu.

Kini, pejabat pos berimej korporat. Sistem nombor giliran, tempat duduk dan skrin televisyen disediakan dalam ruang menunggu lengkap dengan pendingin hawa (bukan penghawa dingin!). Tiada lagi kejadian petugas kaunter yang berani mengherdik orang kampung sepertimana ketika PB bersekolah dahulu justeru mereka terikat dengan piagam pelanggan, selain kesedaran pengguna berpendidikan yang tidak akan teragak-agak membawa kes sedemikian ke muka pengadilan.

Peningkatan harga setem sekali ganda mulai hari ini mungkin sekali menyebabkan kiriman surat-menyurat secara bertulis tangan menjadi sejarah yang hanya layak dikenang sebagai bahan arkib yang tidak relevan lagi. Budak sekarang hanya akan mengenalinya menerusi buku dan semasa aktiviti penulisan karangan di bilik darjah, atau dalam mata pelajaran perdagangan. Pejabat pos akan hanya dikunjungi jika terdapat keperluan mendesak, atau untuk mengambil bungkusan, opppps....dokumen saman yang dikirim secara surat berdaftar...