SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, September 8, 2011

AZFA HANANI MELUAH RASA (THE SHADOW OF REALTY)

Pendahuluan

Mohon maaf terlebih dahulu kerana penulis blog (PB) tidak begitu selesa bagi menggambarkan bab 10 novel Azfa Hanani yang berkisar terhadap kisah Hanani yang keluar berdua dengan Ekran. Mungkin ada yang mengatakan tiada apa-apa yang luar biasa tentang hal itu. Namun, barang diingat bahawa sesuatu kebiasaan (pergaulan bebas) tidak dapat mengubah hukum-hakam dan peraturan.

Kisah bermula apabila Hanani memberitahu Ekran bahawa Kak Finaz tidak menghalang Hanani daripada mengunjungi pameran buku bersama Ekran, dengan syarat tidak pulang lewat. Hanani juga memohon agar Ekran memahami kedudukan dirinya sebagai anak kampung yatim piatu lagi miskin sedang menumpang kasih di rumah Datin Maziah. Hanani sedar bahawa satu hari nanti rahsia peranan Murni lambat laun akan disedari oleh Datin Maziah, tetapi sementara ada kesempatan, Hanani mahu membalas jasa ibu bapa saudaranya dengan belajar bersungguh-sungguh hingga menggenggam segulung ijazah.

Perbincangan Peristiwa 

Hanani menceritakan hujung pangkal dirinya menerima pelawaan Kak Finaz  dan izin ibu bapa saudaranya. Hanani sukar menolak pelawaan untuk terus belajar dan janji Kak Finaz untuk membiayai rawatan Zuraini di Indonesia. Namun, Hanani tidak mengharapkan upah, selain kebajikan dirinya terjaga.

Watak:  Azfa Hanani
Perwatakan:  Jujur, berterus terang
Latar masyarakat:  masyarakat yang jujur / berterus terang; masyarakat anak yatim piatu; masyarakat miskin; masyarakat pelajar
Nilai:  Kejujuran
Persoalan:  Kejujuran dalam percakapan
Pengajaran:  Kita hendaklah jujur dalam percakapan

Hanani mengepos semula buku-buku yang di"curi pinjam" daripada perpustakaan sekolah lamanya, SM Seri Dian, dengan menyelitkan catatan kepada Cikgu Zamin. Hanani yakin bahawa namanya masih belum tercemar, apatah lagi setelah tiga orang murid lelaki (Lazim, Hamidon, Teck Lee) tertangkap.

Watak:  Azfa Hanani
Perwatakan:  Ikhlas, yakin diri
Latar masyarakat:  Masyarakat yang ikhlas / yakin diri; masyarakat murid sekolah
Nilai:  Keikhlasan, keyakinan
Persoalan:  Keikhlasan / keyakinan dalam membuat keputusan / tindakan
Pengajaran:  Kita hendaklah ikhlas / yakin dalam membuat keputusan, / tindakan

Ekran mengaku dia tidak "menyembur" (menegur) Laili tentang campur tangan Budak Glamor dalam projek Malam Sumbangsih kerana Datuk Minhad, ayah Laili pernah menyumbang RM10,000 untuk projek itu. Hanani agak tersentak dengan sikap Ekran yang berkenaan.

Watak:  Ekran
Perwatakan:  mengenang budi / bertolak ansur / tegas
Latar masyarakat:  masyarakat yang  mengenang budi / bertolak ansur / tegas
Nilai:  Berbudi bahasa / tolak ansur / ketegasan
Persoalan:  Berbudi bahasa / Tolak ansur / Ketegasan dalam membuat keputusan
Pengajaran:  Kita hendaklah mengenang budi / bertolak ansur / tegas sebelum mengambil sesuatu tindakan

(catatan:  huraian boleh menunjukkan bahawa tindakan Ekran sebagai tidak wajar)

Nota hujung

Pada perenggan terakhir (muka surat 113), pengarang telah meninggalkan unsur suspens kepada pembaca. Ketika hendak melintas jalan, Ekran dan Hanani dihampiri oleh sebuah motosikal berkuasa tinggi yang berpatah balik setelah memecut laju 20 meter di hadapan mereka. Identiti lelaki itu dijawab pada muka surat 119, iaitu Tengku Muzaffar. Setelah peristiwa itu, Ekran menjauhkan diri daripada Hanani...

Ralat: muka surat 110, baris 15 ==> perkataan sudi dieja sebagai sudin.

Wednesday, September 7, 2011

JENAKA POLIGAMI (THE EXPLOITATION OF LANGUAGE CREATIVITY)

Apabila berkumpul, sudah tentu macam-macam cerita dan idea yang bakal muncul. Hal itu bergantung kepada latar belakang dan kecenderungan sesuatu kumpulan. Namun, pada umumnya dalam banyak kumpulan akan berlaku usik-mengusik dan percakapan berunsur kelakar. Ada idea spontan dan ada idea yang dicedok daripada pelbagai sumber.

Antara tema perbualan kumpulan lelaki ialah tentang kereta dan poligami, walaupun bukan bermaksud mereka berani atau tega melakukannya. Kumpulan wanita pula lebih banyak bercerita tentang keluarga, fesyen, aksesori atau siri televisyen. Walaupun dalam perbualan atau wacana yang bersifat serius, tema-tema sedemikian lazimnya tetap diselitkan oleh peserta kumpulan.

Filem dan lagu "Madu Tiga" arahan dan lakonan P.Ramlee (Allahyarham Tan Sri Dr.) dijadikan modal yang paling ampuh untuk mencetuskan lawak ringan. Lelaki menukar perkataan "isteri" dalam bahasa Melayu kepada "is three" dalam bahasa Inggeris. Maka, makin galak mereka mengatakan tiada istilah "is one", kecuali kepada pemilik nama Iswan.

Majalah Mastika edisi terbaharu juga memuatkan cerita lawak yang sama, tetapi kali ini menerima hujah balas kaum isteri. Sang suami minta izin kahwin lagi dengan menggunakan lawak "is three" tadi. Isteri yang bijak itu pun spontan menjawab bahawa syarat poligami ialah "mampu".

Beristeri lebih daripada satu bermakna berlaku poligami atau plural dalam konteks makna (semantik). Maka, perkataan "mampu" juga dijamakkan ala bahasa Inggeris, iaitu ditambah huruf "s",lalu bertukar menjadi "mamp*s". Akhirnya, si suami yang licik tadi terkedu, barangkali memikirkan idea lain.

Peringatan kepada para pelawak samada berstatus "profesional", amatur, mahupun jadian sahaja. Unsur kelakar mungkin bersifat kecindan jika dipersembahkan dengan penuh hemah dan bijaksana. Namun, lawak jenaka yang semberono boleh mengundang padah yang berpanjangan.

Jika tujuan lawak jenaka dan percakapan kelakar hanya bertujuan untuk membuatkan orang ketawa berdekah-dekah atau terbahak-bahak, perbuatan demikian sudah termasuk dalam kategori sia-sia atau lagha. Dari segi kesihatan pula, ketawa yang berlebih-lebihan mungkin menjejaskan sistem rahang dan tekak. Pernah berlaku satu kes di Singapura, seorang lelaki terpaksa dirawat di hospital apabila rahangnya tergelincir, dan mulut terus ternganga tanpa dapat ditutup.

Unsur jenaka, kelakar dan lawak lebih bersifat santai minda. Banyak pendapat menyatakan bahawa unsur kecindan dan humor seperti itu sangat penting untuk menyampaikan sesuatu mesej dalam proses pembelajaran dan juga dalam pengurusan sesebuah organisasi. Tahap tekanan yang dialami boleh menjadi reda.

Nabi Salallahu alaihi wasallam sendiri pernah bergurau bahawa orang tua tidak masuk syurga. Maksud sebenar baginda ialah bahawa penghuni syurga semuanya akan kembali memperoleh umur muda buat selama-lamanya. Unsur kecindan yang dilafazkan itu jelas berbentuk motivasi yang positif supaya setiap orang yang beriman akan berlumba-lumba supaya berpeluang masuk syurga.

Kaum lelaki perlu lebih berhati-hati jika hendak bergurau senda, justeru lafaz-lafaz tertentu mungkin membawa implikasi hukum yang serius. Misalnya, lafaz akad nikah dan talak tidak seyogia dibuat mainan. Tambahan pula, jika ada hati yang terguris, si pelawak mungkin diseret ke mahkamah...

PELAJAR PINTAR MELAYAN PERASAAN (THE ASSERTIVE BEHAVIOUR)

Seseorang pelajar harus menunjukkan perwatakan atau karakter yang tepat dengan keperluan majlis, masa, dan tempat. Pelajar harus sentiasa ingat bahawa tujuan terpenting mereka berada di sesuatu institusi pengajian ialah untuk memperoleh sebanyak mungkin pengalaman pembelajaran supaya akhirnya mampu berdikari. Pelajar harus tetap berpegang kepada pendirian itu sepanjang masa.

Memang benar bahawa pembelajaran terbaik berlaku dalam persekitaran yang ceria dan menarik. Pelajar pula memiliki kesempatan untuk mengambil bahagian dalam proses pembelajaran mereka. Wujud interaksi yang sihat antara pelajar dengan guru, serta antara pelajar dengan pelajar.

Sumbangan setiap individu pelajar dalam bilik darjah sangat didambakan jika segala perancangan aktiviti yang menjurus kepada peningkatan pengetahuan, kemahiran dan sikap yang baharu hendak dicapai. Pelajar mesti bertingkah laku sejajar dengan perancangan atau pelan pembelajaran yang telah disediakan oleh guru. Pelajar perlu memastikan bahawa segala tingkah laku yang dipamerkan akan sentiasa sejajar dengan perancangan pembelajaran yang telah direka bentuk oleh guru berdasarkan kehendak kurikulum dan komponen pentaksiran yang merangkumi pelbagai aras diskriminasi.

Perwatakan atau karekter yang ditunjukkan oleh pelajar sedikit sebanyak akan mempengaruhi kelancaran dan mood pembelajaran pada sesuatu masa. Malah, sebarang bentuk lencongan tingkah laku terpaksa diuruskan dengan segera supaya tidak mencuri waktu pembelajaran yang begitu berharga. Pelajar perlu akur akan konsep mendahulukan kepentingan organisasi (kelas) daripada kepentingan diri sendiri semata-mata.

Cara pelajar duduk (posture) ialah bahasa tubuh yang memberi gambaran akan kesungguhan dalam proses pembelajaran. Hal itu tidaklah bermakna bahawa pelajar mesti diam membatu atau kaku macam patung. Maksudnya, pelajar mengambil kira cara duduk dalam sesuatu majlis yang bersifat rasmi.

Pelajar harus duduk arah ke hadapan dan menunjukkan minat untuk turut serta dalam aktiviti pembelajaran yang sedang berlaku. Andai kata pelajar kurang sihat atau berasa tidak selesa, guru perlu dimaklumkan serta-merta. Pelajar tidak wajar bertindak sendiri dengan cara duduk yang tidak kena atau dengan selamba meletakkan kepala di atas meja.

Seterusnya cara pelajar bertutur hendaklah sopan dan tidak menyinggung perasaan sesiapa pun, sama ada rakan, mahupun guru. Lagu suara (intonasi) dan tahap kelantangan bercakap hendaklah dikawal dengan baik. Sebarang pergerakan anggota tubuh (gesture), terutama tangan, dan mimik muka harus melambangkan adab yang tinggi.

Pelajar juga mesti berpegang kepada jati diri, bukan sentimental. Jika seseorang pelajar hendak bertahan lebih lama dalam organisasi sedia ada (bilik darjah, sekolah), maka dia harus bersikap akomodatif, iaitu sedia untuk sejajar dengan persekitaran yang ada. Seseorang pelajar tidak harus menjadikan kehendak peribadi sebagai tanda aras penerimaan rakan, guru dan organisasi.

Kecenderungan memberi label suka atau tidak suka terhadap mana-mana rakan, guru, mata pelajaran, komponen pembelajaran dan organisasi ialah antara contoh sikap sentimental yang mengundang risiko. Sebagaimana kita tidak mampu memuaskan hati semua orang, demikian juga orang tidak dapat memuaskan hati kita sepanjang masa. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung... 

Tuesday, September 6, 2011

"FORUM 2020" DRAMA KOMSAS TINGKATAN 4 (THE ALIEN WISDOM)

Pengenalan

Naskhah nukilan Sharif Shaary (antologi Harga Remaja: 229 - 242) boleh dianggap ringan dan mudah difahami. Hanya terdapat 5 watak, iaitu Salmah, Chandran dan Chong, mahasiswa sebaya, 22 di sebuah universiti tempatan. Setelah berbincang serius, mereka letih dan tertidur, lalu didatangi makhluk asing dari Planet Utopia.

Adegan 2

Sebaik mendarat, Makhluk Utopia 1 (MU1) dan Makhluk Utopia 2 (MU2) mendekati 3 sahabat tadi, lalu memulakan debat (melontarkan provokasi). Setelah memperkenal diri dan menyatakan tujuan, MU1 mengingatkan tentang tahap kritikal makhluk bumi yang menuju kemusnahan. MU2 menambah bahawa Malaysia berpotensi sebagai model keamanan dan moral sejagat.

Perkataan potensi itu dibantah justeru bukti menunjukkan betapa Malaysia telah mencapai kualiti yang mencukupi. Contohnya, dari segi bahasa, kebudayaan, etika kerja dan dasar ekonomi baru (DEB). MU1 bersetuju, tetapi mengatakan pencapaian itu sekadar di tahap perasaan dan impian. 3 sahabat tadi terus berhujah tentang Jambatan Pulau Pinang, kereta nasional dan projek lebuh raya.

MU1 terus mengasak dengan mengatakan bahawa semua yang disebut ialah sumbangan generasi dahulu. Chong yang sedikit emosional mengancam untuk beredar sahaja, tetapi MU2 meminta mereka bersabar. MU1 kemudian menyatakan kata-kata mereka cuma untuk menguji cinta mereka kepada tanah air.

MU1 membuka isu baharu tentang era kritikal baik dari segi moral, sosial, mahupun mental. Pegangan agama yang lemah mengakibatkan keruntuhan moral, dan seterusnya menghilangkan rasa hormat kepada orang lain, waimah diri sendiri. Kehidupan moden yang memuja kebendaan (materialistik) menyerang masyarakat seluruh dunia hingga generasi muda menjadi mangsa.


Chandran cuba menyalahkan generasi dewasa, tetapi MU2 menegaskan bahawa kecenderungan salah-menyalah itu dianggap sebagai kerja sia-sia. Lebih baik belajar daripada kesilapan, serta tidak mengulanginya lagi. Sebelum pamit (beredar), MU2 dan MU2 memuji sifat gigih, kental dan berani 3 sahabat itu.


Adegan 3


Ketiga-tiga orang sahabat seperti baru tersedar daripada pengalaman aneh bagaikan mimpi. Mereka masih ragu, tetapi cuba meyakinkan diri masing-masing akan peristiwa yang baru dilalui. Salmah dapat menebak bahawa Chong tidak senang kerana sukar menerima kritikan. Apabila Chong menggesa supaya mereka hanya perlu memberi tumpuan kepada peranan pelajar, Salmah menyarankan agar ego peribadi diketepikan. 


Chong tetap mengatakan bahawa hujah MU1 dan MU2 hanya sedap didengar. Salmah cuba menarik perhatian Chong dan Chandran terhadap hujah tentang agama dan Tuhan. Akhirnya Chong bersetuju bahawa tanpa agama, kepandaian boleh memusnahkan, lalu Salmah memberi contoh seperti sikap sombong, oportunis, pura-pura dan rasuah. 


Chandran berpendapat bahawa strategi kepimpinan hendaklah dirancang. Disiplin generasi muda menjadi kunci utama perancangan. Salmah pula mahu masalah kemerosotan moral diselesaikan, manakala Chong menganggap perpaduan mesti erat.

Contoh Tugasan


Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawap soalan-soalan berutnya.


CHONG:  Bolehkah kami tanya satu soalan? Antara ramai orang, mengapa kami bertiga yang saudara pilih?

MU I:  Saudara kami pilih kerana saudara mewakili generasi muda yang merupakan bahagian besar penduduk negara ini.

CHANDRAN:  Untuk lebih tepat lagi, mengapa kami bertiga yang saudara pilih?

MU I:  Kami pilih kerana saudara merupakan bakal pemimpin negara ini.

      Ketiga-tiga pelajar memandang sesama sendiri dengan tanda tanya dan seronok.


SALMAH:  Betul ke ni?

MU I:  Tapi, jangan terlalu seronok!

CHONG:  Mengapa pulak?

MU II:  Kerana saudara belum lagi menjadi pemimpin!

MU I:  Sebagai bakal pemimpin, saudara perlu menjalani banyak ujian dan cabaran. Ini disebabkan muda mudi masa kini, iaitu generasi saudara sedang mengalami suatu era kritikal baik dari segi moral, sosial mahupun mental.

SALMAH:  (Kembali tidak sabar) Nampaknya saudara menghina kami ni!

MU I:  Bertenang saudara. Bukan menghina, tapi kenyataan. Kehidupan moden hari ini semakin menjadi semakin materialistik! Ia sedang menyerang masyarakat manusia seluruh dunia! Dan generasi mudalah yang bakal menjadi mangsanya.

MU I:  Tidakkah saudara membaca, mendengar radio atau menonton televisyen? Tiap-tiap hari tersiar berita keruntuhan moral generasi muda.

MU II:  Generasi muda sudah tidak tahu dan tidak mahu menghormati lagi. Tidak menghormati orang tua, tidak menghormati guru, tidak menghormati sesama manusia dan tidak menghormati diri sendiri.

CHONG:  (Nada perli) Lagi?

MU I:  Dan lagi, atas segala-galanya ialah kepercayaan keagamaan dan ketuhanan. Generasi muda masa kini amat longgar kepercayaan keagamaannya. Inilah punca utama yang menyebabkan berlakunya keruntuhan moral dalam kalangan belia.

i)     Apakah maksud era kritikal?          (2 markah)

ii)    Siapakah yang tidak dihormati oleh generasi muda?        (3 markah)

iii)   Jelaskan dua langkah bagi mengatasi masalah keruntuhan moral dalam kalangan generasi muda mengikut pendapat anda.     (4 markah)

Analisis Tugasan Soalan


i)  Aras soalan:  maksud rangkai kata
     
    Ambilan jawapan:  menjelaskan maksud rangkai kata yang diuji


ii)  Aras soalan:  petikan


     Ambilan jawapan:  daripada petikan (seperti yang tercetak)


     Kata kunci tugasan:  Siapakah.


iii)  Aras soalan:  kbkk


     Ambilan jawapan:  luar petikan (idea sendiri)


     Kata kunci tugasan:  Jelaskan dua langkah (huraian = selain subjek dan predikat dalam ayat yang sama).




Cadangan Jawapan


i)   Maksudnya ialah zaman yang mencabar.


ii)   Generasi muda tidak menghormati orang tua, guru, sesama manusia dan diri sendiri.


iii)   Pada pendapat saya, keruntuhan moral dalam kalangan generasi muda dapat diatasi dengan menerapkan lebih banyak nilai murni dalam sistem pendidikan di sekolah dan institut pengajian tinggi. Selain itu, ibu bapa harus memberi contoh teladan kepada anak-anak muda di rumah.

Monday, September 5, 2011

"DUA GELIGA HIKMAT" PROSA KLASIK TINGKATAN 5 (THE POWER OF IMAGINATION)

Pengenalan

Kisah bermula apabila Inderaputera mendekati Tasik Semendera Jin, lalu bercakap dengan mayat yang memberitahu akan kewujudan peri raksasa yang kerjanya menindih sesiapa yang ada di situ hingga mati. Maka, Inderaputera pun berpura-pura tidur, lalu peri raksasa itu cuba menindihnya. Inderaputera pun segera menangkap rambut  peri. Sebagai balasan melepaskan rambut peri, Inderaputera diberikan geliga hikmat Mayan Bedi, dan diakui sebagai cucu peri.

Perkembangan Cerita

Cerita peri sebagai penunggu tasik menimbulkan keinginan Inderaputera untuk bertemu Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran yang memiliki satu lagi geliga hikmat yang luar biasa hingga boleh mengeluarkan negeri lengkap dengan rakyat jelata, peri dan dewa. Geliga hikmat itu diletakkan di kemuncak mahligai puteri. Peri mengajar Inderaputera supaya mengambil baju puteri ketika dia turun mandi di tasik sebagai tukaran perjanjian untuk memperoleh geliga hikmat puteri.

Diringkaskan cerita, tuan puteri pun turunlah, tetapi wajahnya pucat dan tidak berseri-seri sebagaimana biasa. Puteri memberitahu bidadari bahawa baginda bermimpi naga memagut pinggang baginda, diselimuti bunga harum, lalu gemala hikmat di kemuncak mahligai ditelan naga. Bidadari mentafsir mimpi puteri sebagai segera bernikah dengan Raja Dewa Lela Mengerna, tunang baginda. 

Tuan puteri turun dengan menaik tabak (seperti talam) melayang pantas mendarat di tepi tasik. Inderaputera segera keluar daripada lubang persembunyian dan berjaya mengambil baju antakesuma tuan puteri. Keadaan menjadi kecoh apabila Inderaputera sengaja muncul menyebabkan segala bidadari cuba mencari baju masing-masing, sedangkan tuan puteri bersembunyi di balik pohon kurma.

Melihat bidadari tersenyum sesama sendiri, puteri menitahkan bidadari tua berulang-alik menemui Inderaputera yang berpura-pura tidak tahu apa-apa. Akhirnya tuan puteri sendiri berjumpa Inderaputera, lalu menawarkan perjanjian memenuhi kehendak Inderaputera. Maka, Inderaputura mengikut puteri menuju mahligai dengan menaiki tabak hingga ditinggalkan Padang Belantara Hairani, sedang puteri ghaib di udara.

Ujian yang dihadapi oleh Inderaputera

1   Gajah besar di muka pintu mahligai. Dirantai pada pohon beringin. Mata gajah tidak berkelip menandakan ia hanya gajah hikmat. Rantai diputuskan dan gajah rebah tiada bergerak lagi.

2   Harimau hikmat buatan permata berharga. Dirantai pada pohon delima. Juga rebah setelah tali pesawat diputuskan.

3   Singa hikmat yang dirantai pada pohon anggur.

4   Badak hikmat dirantai pada pohon kurma. Diperbuat daripada hablur dan besi kersani.

5   Naga hikmat berkepala tujuh.

6   Geroda hikmat dirantai pada pohon cemara. Diperbuat daripada batu berani, pualam, intan dan besi kersani.

7   Raksasa naik kuda hijau hikmat. Tali pesawat tersembunyi dalam tanah diputuskan.

Setelah melepasi semua halangan, Inderaputera dijemput ke taman ghairah. Inderaputera diminta mandi dalam kolam  dan diberi persalinan indah. Inderaputera saling berbalas pantun dengan puteri sambil menikmati makan minum yang lazat.

Inderaputera kemudia beradu (tidur) di Balai Rangga Puspa Berahi yang dihias indah. Setelah bersugi dan kemudian santap keesokan harinya. Inderaputera bertanya semula tentang gelaga hikmat yang dijanjikan. Tuan Puteri segera menunaikan janji sambil menerangkan kegunaan gemala hikmat yang boleh mencipta negeri lengkap dengan pegawai dan rakyat jelata, dan untuk menurunkan hujan, angin atau api dengan hanya mencita nama Dewa Langkurba, nenek puteri yang berada dalam laut...   

MENGHARGAI TOKOH SEMASA HAYATNYA (REWRITE HISTORY)

Dokumentari buah tangan Shuhaimi Baba yang tersiar di saluran Astro History tentang seniman agung negara, Allahyarham Tan Sri (Dr) P. Ramlee ialah sebuah kisah pengakhiran lara dalam dunia nyata. Kisah benar seperti itu patut diambil iktibar oleh pelbagai pihak. Betapa P. Ramlee yang telah menyenangkan banyak orang, terutama tauke wayang, telah dilupakan begitu sahaja hingga hidup melarat.

Pada zaman kejatuhan beliau, hanya nasi berlaukkan telur goreng sebagai alas perut. P. Ramlee sampai sanggup turun ke persembahan berskala kecil seperti di Chenderong Balai, Perak untuk memperoleh bayaran yang tidak seberapa. Tauke filem, syarikat rakaman dan penganjur persembahan langsung tidak ambil pusing akan P. Ramlee, apatah lagi untuk mengenang sumbangan beliau. Hanya beberapa orang rakan karib yang prihatin, yang juga hidup ala kadar, datang menjenguk dan menghulurkan bantuan seadanya.

Penulis blog (PB) bukanlah penyokong industri hiburan, tetapi sekadar mahu melihat aspek-aspek positif ikon seniman Melayu yang terus diingati walaupun telah pergi hampir 4 dekad lamanya. Sudah tentu banyak aspek syariat dan akhlak Islam yang perlu dibincangkan tentang kerja perfileman sejak penulisan skrip, pergaulan bukan mahram dan banyak lagi. Alasan pekerjaan atau darurat, atau membuat perbandingan dengan kerja kecemasan dalam bidang perubatan tentu sekali tidak kena.

P. Ramlee mengecap era gemilang ketika Studio Jalan Ampas, Singapura masih beroperasi hinggalah diarahkan tutup oleh pemerintah republik itu. Kemunculan Studio Merdeka bersebelahan Zoo Negara, Hulu Kelang dengan serba kekurangan, ditambah dengasn kebanjiran filem-filem Holywood dan Hindustan telah menyempitkan ruang filem Melayu. Pengaruh pop yeh-yeh dan hippies telah menjadikan Studio Merdeka bungkus!

Nasib P. Ramlee hampir sama dengan watak Kasim Selamat, peniup saksafon terkenal, dalam filem "Ibu Mertuaku". Beliau dikhianati oleh banyak pihak yang tidak tahu menghargai persahabatan dan suci hati. Seorang lagi tokoh filem yang pernah diasuhnya tega "merampas" tugas pengarahan filem Perfima daripada P. Ramlee.

Ketika meninggal dunia, P. Ramlee tidak meninggalkan wang tunai untuk isteri beliau, seniwati Saloma. Anak kandung beliau, Nasir memilih haluan sendiri dalam bidang seni. Mujur sahabat karib beliau menghulurkan RM3,000 untuk urusan pengkebumian.

Setelah tertubuhnya MACP yang diasaskan oleh Freddie Fernandez (kumpulan Revolvers, abang kepada pemilik Air Asia, Tony Fernandez), perjuangan menuntut bayaran royalti lagu ciptaan P. Ramlee yang mencecah jutaan ringgit di bawa ke mahkamah. Walaupun hanya sejumlah 390 melodi gubahan beliau, mutu muzik yang dihasilkan mencapai tahap antarabangsa. Lagu-lagu seperti "Getaran Jiwa" dan "Jeritan Batinku" dimainkan oleh orkestra simfoni tersohor dunia dalam dewan berprestij tinggi pula.

Kebanyakan lagu gubahan dan nyanyian beliau masih tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Pendek kata, naskhah muzik ciptaan P. Ramlee bersifat malar hijau. Tema cinta negara, keagamaan, patrotisme dan kasih sayang berjaya disampaikan hingga menusuk kalbu.

P. Ramlee semasa hayat beliau tentu tidak menjangka akan mendapat penghormatan untuk bergelar seniman agung, Tan Sri dan dianugerahkan ijazah tertinggi, doktor falsafah kehormat oleh Universiti Malaya. Khazanah seni P. Ramlee menjadi bahan penyelidikan sosial yang penting di universiti dalam dan luar negara. Nama P. Ramlee juga diabadikan untuk jalan, dan bangunan penting.

Kisah duka seperti P. Ramlee jga pernah dialami oleh bapa sosiologi moden, Ibnu Khaldun. Semasa hayatnya, segala idea Ibn Khladun dianggap gila, dan beliau disumbat ke dalam penjara. Hanya 4 abad setelah ketiadaannya, karya-karya beliau dihargai dan dikaji....

Sunday, September 4, 2011

BAHASA SEBAGAI SARANA BUDAYA TINGGI (LARGE-SCALE INTELLECTUAL MILIEU)

Sesuatu bahasa yang dapat mengungkapkan ilmu pengetahuan hingga mendorong kemajuan dan tamadun sesuatu bangsa akan dikagumi, dipandang tinggi dan memiliki nilai ekonomi. Walaupun demikian, kehebatan sesuatu bahasa juga boleh tenggelam jika masyarakat penutur jati bahasa berkenaan mulai angkuh dan dalam masa yang sama enggan mengakui arus perubahan yang berlaku sepanjang masa. Apa sudah jadi dengan bahasa Sanskrit, dan bahasa Yunani (Greek) yang pernah bertakhta dalam bidang falsafah dan persuratan berabad-abad lamanya?

Dalam era globalisasi ini, bahasa Inggeris dianggap sebagai paling berpengaruh. Apatah lagi hakikat bahawa bahasa Inggeris dijadikan bahasa rasmi di 52 buah negara, khususnya bekas jajahan atau terokaan empayar British. Selain itu, bahasa Peranchis juga megah sebagai bahasa rasmi di lebih 30 buah negara, manakala bahasa Sepanyol dituturkan di seluruh Amerika Tengah dan Amerika Selatan, kecuali Brazil yang menggunakan bahasa Portugis.

Bahasa Mandarin juga dianggap berpengaruh justeru memiliki penutur yang melebihi satu bilion jiwa di China. Bahasa Mandarin dipelajari di serata dunia atas tujuan ekonomi, iaitu bagi merebut pasaran China yang bersaiz mega itu. Dunia masih menunggu saat pasaran China dibuka lebih luas, dan nilai mata wang Yuan diapungkan dalam pasaran kewangan bebas.

Bilangan umat Islam yang mewakili hampir 25 peratus penduduk dunia pula menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa yang paling berpengaruh. Bahasa Arab ialah bahasa rasmi umat Islam. Walaupun tidak boleh bertutur bahasa Arab untuk tujuan komunikasi, setiap orang Islam akan menggunakan bahasa Arab dalam urusan ibadah fardu ain mereka.

Di rantau Nusantara pula, Bahasa Melayu ialah bahasa paling berpengaruh dalam urusan seharian masyarakat. Malaysia dan Indonesia telah meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Bahasa Melayu telah menjadi wahana paling berkesan bagi menyatukan rakyat pelbagai latar belakang budaya, dialek dan sejarah. Bahasa Melayu turut dituturkan di Thailand, Singapura, Kemboja, Afrika Selatan, dan sedikit sebanyak di Makkah, Madinah dan Karachi.

Pada zaman keemasan empayar Melaka sebagai pusat perdagangan serantau dan antarabangsa, bahasa Melayu mencapai taraf lingua franca. Sejak itu, bahasa Melayu begitu dekat dengan bahasa Arab yang dibawa oleh pedagang-pedagang Islam dari timur tengah, China dan India. Kosa kata dan lenggok bahasa Melayu menerima pengaruh bahasa Arab.

Keruntuhan empayar Uthmaniah Turki pada tahun 1924 menyaksikan giliran penjajah British menguasai sebahagian besar benua Asia dengan misi emas, kemegahan dan penyebaran agama (Kristianisasi). Bahasa Melayu makin kuat dipengaruhi bahasa Inggeris. Kemajuan teknologi dan penyelidikan yang menjadi tunjang kesenangan dan keselesaan hidup manusia berpusat di Amerika Syarikat dan Britain yang menjadi tuan bahasa Inggeris.

Bahasa Inggeris mungkin gah di Amerika Syarikat, Australia, Kanada, New Zealand dan negara-negara komanwel, tetapi hanya dipandang sebelah mata di benua Eropah sendiri. Belanda, Jerman, Itali, Sepanyol, dan Peranchis yang begitu terkenal dengan kejuruteraan termaju lebih selesa dengan bahasa ibunda masing-masing. Di Asia Timur, Jepun dan Korea Selatan muncul sebagai kuasa ekonomi dan teknologi tanpa mengkagumi bahasa Inggeris, walaupun keselamatan negara mereka dikawal oleh tentera Amerika Syarikat yang bertutur bahasa Inggeris.

Di United Kingdom sendiri, Scotland, Wales dan Ireland lebih berbangga dengan bahasa Scottish, Irish dan Welsh. Mereka tidak mahu bahasa ibunda mereka pupus begitu sahaja sebagaimana nasib yang menimpa bahasa Sanskrit dan bahasa Yunani Greek. Bahasa Inggeris hanya unggul di England yang berkeluasan tidak sampai 100 ribu kilometer persegi itu.

Di negara kita, bahasa Melayu sedang menempuh cabaran getir akibat kecelaruan minda sesetengah kaum elit yang kagum akan bahasa Inggeris melebihi orang-orang Eropah sendiri. Sudah tentu kita perlu menguasai bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa asing yang lain. Namun, keinginan itu tidak boleh memadam peruntukan perlembagaan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan dasar-dasar pendidikan pascamerdeka yang mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu... 

Friday, September 2, 2011

TEORI PERDAGANGAN ANTARABANGSA (ABSOLUTE ADVANTAGE, COMPARATIVE ADVANTAGE)

Pengenalan Konsep

Perdagangan Antarabangsa (PAB) merujuk kepada kegiatan pertukaran barang (dan perkhidmatan) yang berbeza menerusi urus niaga eksport (X) dan import (M). Secara teori, negara-negara terbabit akan menikmati penggunaan barang dan perkhidmatan di luar keluk kemungkinan pengeluaran, walaupun pengeluaran hanya  tercapai pada keluk berkenaan. Pada amnya, negara-negara yang berdagang akan melakukan pengkhususan kerana harga relatif, atau kos lepas relatif yang lebih rendah bagi sesuatu keluaran.

Andaian
Bagi memudahkan analisis teori, sejumlh andaian diperlukan:

1   hanya ada 2 buah negara yang berdagang
2   hanya ada 2 keluaran
3   hanya 2 orang buruh bagi setiap negara
4   kecekapan buruh sama
5   tingkat teknologi sama
6   mobiliti faktor (buruh) sempurna
7   ekonomi berada pada guna tenaga penuh
8   kos pengangkutan sifar
9   tiada sekatan PAB (sistem PAB bebas)
10  semua baki penggunaan (dalam negara) akan berjaya dieksport

Andaian ke-3, iaitu hanya ada 2 orang buruh adalah sangat penting dalam hitungan pengkhususan. Sebelum pengkhususan, setiap keluaran diandaikan memiliki seorang buruh. Selepas pengkhususan, buruh daripada  keluaran yang dihentikan akan berpindah ke sektor keluaran pengkhususan.

Maka, keluaran pengkhususan akan memiliki 2 orang buruh, manakala keluaran yang dihentikan tiada lagi buruh. Jumlah keluaran pengkhususan akan meningkat sekali ganda, manakala keluaran yang dihentikan menjadi 0. Setelah itu, baharulah jumlah penggunaan ditentukan, manakala lebihan yang ada akan dieksport sepenuhnya ke negara yang satu lagi.

(nota: semua andaian boleh digunakan semula apabila hendak mengkritik teori PAB kelak)

Teori Faedah Mutlak


Dipelopori oleh Adam Smith. Sesebuah negara sanggup mengkhusus terhadap sesuatu keluaran apabila mampu mencapai tingkat pengeluaran lebih tinggi berbanding dengan negara lain (berdasarkan sejumlah faktor dan teknologi sedia ada). Sama ada menggunakan kaedah jadual, atau kaedah keluk, sesebuah negara dengan jelas memiliki kelebihan dalam keluaran sesuatu barang jika dibandingkan dengan negara yang satu lagi.

Contohnya, sebelum pengkhususan berlaku keluaran bagi Malaysia dan Jepun ditunjukkan menerusi jadual di bawah:

                                     makanan                pakaian

          Malaysia                  100                        20

          Jepun                         80                        40

Keluaran dunia               180                        60

Jelas didapati bahawa Malaysia memiliki kelebihan dalam pengeluaran makanan (100 unit), berbanding dengan Jepun hanya 80 unit. Jepun pula memiliki kelebihan yang jelas dalam keluaran pakaian iaitu sebanyak 40 unit, berbanding dengan Malaysia sebanyak 20 unit. Maka, Malaysia akan mengkusus dalam keluaran makanan, manakala Jepun akan mengkhusus dalam keluaran pakaian.

Bagi Malaysia, buruh dari sektor pakaian akan berpindah ke sektor pakaian. Maka, keluaran sektor makanan akan menjadi 2 buruh X 100 unit = 200 unit makanan. Bagi keluaran pakaian akan menjadi 0 buruh X 20 unit = 0 unit pakaian.

Bagi Jepun, buruh sektor makanan akan berpindah ke sektor pakaian. Maka, keluaran sektor pakaian akan menjadi 2 buruh X 40 unit = 80 unit pakaian. Keluaran makanan akan menjadi 0 buruh X 20 unit = 0 unit makanan.

Secara jadual, keluaran selepas pengkhususan bagi Malaysia dan Jepun ialah:

                                     makanan                pakaian

          Malaysia                  200                        0

          Jepun                         0                         80
      
Keluaran dunia               200                       80   

Perhatikan bahawa keluaran dunia telah meningkat bagi kedua-dua barang. Makanan telah bertambah sebanyak 20 unit (200 - 180). Pakaian juga meningkat 20 unit  (80 - 60 unit).

Untuk menikmati faedah mutlak dalam perdagangan antarabangsa, Malaysia mesti mengeksport lebihan penggunaan makanan kepada Jepun, dan mengimport pakaian dari Jepun. Jepun pula akan mengeksport lebihan penggunaan pakaian, sambil menimport makanan dari Malaysia. Kadar pertukaran ditentukan menerusi pilihan harga relatif antara dua keluaran.

(Bagi memudahkan hitungan, pilih harga relatif yang lebih jelas, iaitu yang menghasilkan angka bundar sahaja)

Harga relatif dihitung berdasarkan jadual sebelum pengkhususan. 

Di Malaysia, harga relatif  = 100 makanan : 20 pakaian, iaitu 1 : 0.2 (nisbah dikecilkan)

Di Jepun, harga relatif = 80 makanan : 40 pakaian, iaitu 1 : 0.5 (nisbah dikecilkan)

Maka, kadar pertukaran hendaklah ditetapkan antara 1:0.2 dengan 1:0.5.

Katakan Malaysia bercadang menggunakan 110 unit makanan, maka lebihan 90 unit lagi akan dieksport ke Jepun. Dengan kadar pertukaran 1 : 0.4, Malaysia akan memperoleh 90 X 0.4 = 36 unit pakaian. Jepun akan menggunakan baki 44 unit pakaian (80 - 36).

                                      makanan                pakaian

          Malaysia                  110                        36 

          Jepun                         90                        44
      
Keluaran dunia               200                        80   

Jika dibandingkan sebelum pengkhususan dan PAB, kini Malaysia menikmati penggunaan makanan lebih tinggi, iaitu 110 - 100 = bertambah 10 unit, dan penggunaan pakaian lebih tinggi, iaitu 36 - 20 = bertambah 16 unit. Jepun  pula menikmati tambahan 10 unit makanan (90-80) dan tambahan 4 unit pakaian (44-40). Kedua-dua negara memperoleh laba (keuntungan) setelah berlaku pengkhusan dan PAB.

bersambung...

PROSES MEMBUAT KEPUTUSAN DI SEKOLAH (PARTICIPATION OF TEACHERS IN THE SCHOOL ADMINISTRATION)

Pengenalan

Sebagai sebuah organisasi formal, membuat keputusan adalah bersifat sine qua non bagi sesebuah sekolah yang pada asasnya merupakan suatu struktur pembuat keputusan (Hoy,2001:317). Keupayaan membuat keputusan yang berkesan merupakan tugas generik seseorang pemimpin organisasi pendidikan dan menjadi penentu pencapaian, kejayaan dan kecemerlangan sekolah (Snowden,1998:3). Berpandukan kajian-kajian terdahulu, kertas ini bertujuan untuk menyediakan suatu senarai semak pembuatan keputusan di sekolah yang bakal memberi gambaran sama ada proses berkenaan masih dipengaruhi oleh faktor intuisi dan pengalaman pemimpin semata-mata, atau terdapat sebarang model tertentu yang berkemungkinan digunakan.


2        Definisi dan Konsep

Simon, 1970 mendefinisikan keputusan sebagai all judgements which affect a course of action, yakni semua pertimbangan yang mempengaruhi arah sesuatu tindakan (Hamzah, 1972:9). Pembuatan keputusan (DM) pula boleh didefinisikan sebagai upaya kolektif, teknik atau corak interaksi antara individu bagi menghasilkan tindak balas kolektif yang relevan dan berpadanan (Ibid).

DM juga berupa suatu proses yang dipengaruhi oleh maklumat dan nilai, dengan masalah dikenal pasti, penyelesaian dikemuka dan dipertimbangkan, serta pilihan dibuat yang diikuti dengan pelaksanaan dan penilaian (Snowden,1998:6). Dari sudut pandangan psikologi kognitif pula, DM ialah pengaliran aktiviti kognitif dari peringkat kecerdasan ke peringkat mereka bentuk, dan seterusnya ke peringkat pemilihan (Muhamed,1990:13).

DM hendaklah dibezakan daripada penyelesaian masalah dan juga dengan pertimbangan. Penyelesaian masalah merujuk kepada suatu aktiviti berfikir yang bertujuan mengatasi halangan tertentu sebelum tercapainya sesuatu matlamat. Dalam usaha mengatasi halangan, kadangkala berlaku DM bagi memilih salah satu daripada alternatif yang diketahui. (Ibid:12). Ini bermakna DM merupakan komponen kritikal dalam proses penyelesaian masalah yang mempunyai kerangka lebih luas.

Pertimbangan pula merujuk kepada proses membuat anggaran tentang kebolehjadian dan konsekuen berkaitan dengan kebolehjadian itu, sedangkan DM melibatkan proses menilai konsekuen yang membawa pemilihan  salah satu daripada beberapa alternatif berkenaan (Ibid:27). Dalam kata lain, pertimbangan membabitkan DM sebagai suatu tugas membuat anggaran tentang taburan kebarangkalian bagi tiap-tiap keadaan atau peristiwa dalam suatu proses yang berlaku secara berturutan. Ertinya DM boleh berada di mana-mana peringkat pertimbangan, tertakluk kepada turutan keadaan atau peristiwa.

3   Kerangka Teori

Walaupun mungkin berbeza dari segi motif kewujudan, sekolah sebagai satu organisasi formal berkongsi ciri-ciri organisasi lain, sama ada entiti perniagaan, korporat, atau pentadbiran (Hoy, 2001:99). Sekolah dikategorikan kepada 4 jenis struktur, iaitu kacau-bilau (chaotic), authoritarian, weberian dan profesional. Dari segi DM, masing-masing dibezakan dengan keputusan tidak rasional bagi chaotic, bentuk atas-bawah dan rasional bagi authoritarian, perkongsian dan rasional bagi weberian, dan melintang, rasional serta incremental  bagi profesional (Ibid:105).

Dalam era perubahan tidak menentu dan tanpa amaran ini, yang mampu meruntuhkan sesuatu organisasi sekelip mata, maka hanya organisasi yang menggembleng seluruh deria mata, telinga, serta minda dan emosi semua individu dalam organisasi dengan menggalakkan pegetahuan dan kepercayaan sahaja akan terus bertahan. Kerencaman dan ketidaktentuan masalah yang muncul mengakibatkan PDM bertambah mustahak, dan  DM tidak lagi tertumpu kepada individu tertentu dalam hierarki organisasi. Dalam kata lain, elemen tradisional organisasi (model mesin) masih wujud, tetapi dalam konteks persekitaran moden yang mudah ubah (flexible). 

Secara lebih khusus, model DM yang berasaskan rasionaliti, teori atau pengalaman boleh dibahagikan kepada 4, iaitu klasikal, pentadbiran (administrative), inkremental (incremental) dan campuran (mixed-scanning). Model klasikal menekankan pengoptimuman, pentadbiran menekankan kepuasan, inkremental menekankan perbandingan kejayaan, dan campuran menekankan penyesuaian kepuasan (Hoy, 2001:334). Model terakhir merupakan gabungan ketiga-tiga model sebelumnya. Matlamat DM dilihat secara lebih luas dan DM lebih bersifat tentatif.

Pendekatan tidak rasional pula terjelma dalam garbage can model (model tong sampah?) yang menggambarkan organisasi sebagai suatu set pilihan yang melihat isu, masalah dan rasa untuk DM. Objektif organisasi muncul secara spontan, cara dan matlamat dihubungkan oleh kebolehjadian, dan peluang yang menentukan DM dipadankan dengannya.  Ia hanya menerangkan bagaimana sesuatu DM berlaku, dan bukan tentang saranan tindakan. Model juga dikaitkan dengan metafora organisasi anarki.

Selain itu terdapat model konflik yang dimajukan oleh Irving Janis dan Leon Mann, 1977. Model ini cuba meneliti kesan tekanan (stress) terhadap kualiti DM dan  penggunaan tatacara DM oleh individu bagi menghasikan pilihan keputusan yang tidak akan cepat disesali. Hal ini disebabkan tekanan sering menjadikan orang membina pelbagai bentuk helah bela diri (defensive mechanisms). Terdapat dua ekstrem kesilapan kognitif, yakni pergantungan keterlaluan terhadap sampel yang kecil, atau berlebihan maklumat sehingga cenderung untuk menggunakan pendekatan DM yang mudah dengan menerima sahaja nasihat pakar (Ibid: 338 – 340)

Model yang paling mendapat tumpuan ialah penglibatan dalam membuat keputusan (PDM) yang diperkenalkan oleh Lester Coch dan John French, 1948. Hampir semua kajian menunjukkan bahawa PDM meningkatkan produktiviti organisasi. Dalam konteks sekolah, PDM meningkatkan semangat berpasukan, kepuasan kerja dan penerimaan. Kepemimpinan pengetua yang menggalakkan PDM digemari oleh guru. Namun, bidang PDM mestilah berpadanan dengan keadaan masalah yang dikenal pasti ((Ibid:341).

Maknanya  PDM tidak perlu dilakukan jika berada dalam zon penerimaan subordinat. PDM menjadi perlu apabila melibatkan kawasan luar zon penerimaan dengan tujuan mencapai keputusan bersama. Maka seorang pengetua yang bijak akan dapat menentukan tahap kepakaran atau kepentingan subordinat yang diperlukan atau tidak diperlukan sebelumkan mempertimbangkan PDM. Di samping itu pengetua mesti menentukan tahap kepercayaan (trust) terhadap subordinat dalam PDM agar dapat menyumbang kepada keberkesanan organisasi sekolah pada keseluruhannya.


4   Tinjauan Bacaan


Kajian Mohd Hanafi (2001) di dua buah sekolah di Pahang dan kajian Noor Fauza (1998) ke atas 193 orang guru di Pendang, Kedah  mendapati bahawa tahap penglibatan guru adalah sederhana dalam domain kurikulum, tetapi rendah dalam domain lainnya. Halangan PDM paling tinggi ialah dalam domain hal-ehwal murid. Karuppiah (1997) juga mendapati keadaan yang sama di lima buah sekolah di Labis, Johor, dan juga mengenal pasti bidang dasar, perancangan dan kewangan sekolah paling kurang PDM. Kajian Muhamad Nor (1897) menyarankan pendekatan kepemimpinan domakratik humanistik bagi menggalakkan PDM jika mahukan enthusiastic dan komitmen guru.

Ho Beng Tat (1997) mendapati bahawa tahap PDM guru yang berpengalaman sebagai ketua panitia adalah lebih tinggi berbanding dengan guru yang tiada pengalaman sedemikian walaupun telah menjadi guru senior. Sannee Jaid (1998) juga mendapati bahawa status guru dalam hierarki sekolah mempengaruhi PDM. Kedua-dua dapatan adalah konsisten dengan teori distributive justice Alutto dan Belasco yang menyarankan bahawa taburan PDM di kalangan guru adalah berbeza (Hamzah: 1972:75).

Lau Siew Ting (1999) mendapati tiada unsur absolutism dalam semua lapan bidang utama, iaitu pentadbiran am, kurikulum, kokurikulum, hal-ehwal murid, tugas khas guru, harta modal, kewangan dan keceriaan. Walaupun terdapat perbezaan taburan penglibatan, bagi setiap bidang terdapat guru menyatakan bahawa penglibatan PDM mereka adalah tinggi. Zuraiza (2003) mendapati tiada perkaitan signifikan antara tahap PDM dengan pengalaman mengajar, dan juga dengan komitmen terhadap kerjaya perguruan itu sendiri.

Namun guru kajian Francis (1997) dan Leele Susana (2003) mendapati bahawa guru tidak begitu berkeinginan untuk meningkatkan tahap PDM mereka, sebaliknya berpuas hati dengan tahap PDM sedia ada. Tor Siong Hin (1997) pula mendapati bahawa keinginan PDM guru banyak dipengaruhi oleh kepentingan (personal stake) dan kepakaran (expertise) yang mereka miliki. Keadaan ini sama dengan analisis zon penerimaan yang dipelopori oleh Barnard 1938, Simon 1947, Chase 1951, Bridges 1967 (Hoy,2001:342)

Walaupun gaya kepemimpinan pengetua lebih menjurus ke arah autokratik, halangan PDM paling besar sebenarnya datang daripada faktor diri para guru, iaitu kemahiran DM yang rendah. Disebabkan PDM merupakan fenomena baru, maka timbul konflik peranan di sekolah. Selain mendefinisikan semula peranan kepemimpinan dan subordinat di sekolah, isu seperti pengiktirafan, latihan, beban tugas dan susunan keutamaan harus menjadi kriteria utama untuk membudayakan PDM (Chan Kok Hing, 1990). Di samping itu, aspek penilaian, kecekapan dan keberkesanan organisasi dan nasihat kepakaran juga menjadi prasyarat kejayaan PDM (Hamzah, 1972: 74 – 79)

Sistem pendidikan berpusat tidak menjadi penghalang pelaksanaan PDM. Sebenarnya apabila wujud pemusatan, maka akan wujud juga disentralisasi. Dalam konteks sekolah, seseorang pengetua atau guru besar tidak berupaya membuat keputusan berseorangan justeru kurang kepakaran dalam domain tertentu, beban tugas, persekitaran tempatan, atau sebagai permainan taktikal kepemimpinan untuk menggembeleng kerjasama dan sokongan seluruh subordinat.

Sukar untuk kita menemui amalan berpusat mutlak yang menetapkan semua tugas guru semata-mata mengikut pekeliling dan peraturan yang rigid atau di ekstrim lain, sistem disentralisasi mutlak yang bergantung kepada penggunaan kepakaran sama ada dalam atau luaran semata-mata. Lazimnya sistem campuran lebih praktikal untuk menjamin tingkat kepuasan guru  menerusi PDM, dan dalam masa yang sama mengekalkan kelangsungan dan keteraturan organisasi (Hamzah, 1972: 12, 36 – 37)

Kajian yang dijalankan oleh EPRD dengan kerjasama IIEP, Unesco mendapati bahawa sistem jawatankuasa merupakan saluran paling utama dalam DM di semua tingkat hierarki Kementerian Pendidikan Malaysia (Malaysia,1989). Memandangkan sistem berpusat yang diamalkan, semua keputusan berbentuk makro, yakni dasar dan perancangan strategik dilakukan di peringkat Kementerian, manakala keputusan bersifat mikro, yakni pengurusan pelaksanaan dan operasi dilakukan oleh organisasi pendidikan di tingkat lebih rendah. Setiap keputusan yang dibuat mengambil kira data yang dikutip oleh tiap-tiap tingkat hierarki berkenaan.



5    Kesimpulan dan Penutup


Proses pembuatan keputusan di sekolah memang dipengaruhi oleh amalan kepemimpinan dan penglibatan subordinat untuk mencapai matlamat kepuasan dan penerimaan yang menyeluruh.  Amalan kepemimpinan di sekolah yang dikaji menunjukkan kecenderungan demokratik dan transformasi diterima baik oleh guru.  Dapatan kajian  ini  konsisten dengan dapatan Lau Siew Ting (1999) dan Zuraiza (2003).

Bidang penglibatan guru dan pihak berkepentingan lain di peringkat sekolah dipengaruhi oleh kedudukan dalam struktur  organisasi, kepakaran, serta darjah kepentingan subordinat dalam suatu isu, jenis masalah dan resolusi yang hendak diputuskan. Hal ini selaras dengan pendapat Hoy (2001: 341)  serta dapatan kajian oleh Karuppiah, Ho Beng Tat, Tor Siong Hin (1997) dab Sanee (1998).

Sesuai dengan iklim terbuka yang diterapkan oleh kepemimpinan sekolah menghasilkan kepuasan dan penerimaan yang tinggi di kalangan subordinate. Namun,  penerimaan subordinate akan lebih kukuh jika ruang penglibatan dalam proses membuat keputusan diperluas. Dalam hal ini, pemimpin sekolah seharusnya menggunakan permainan taktikal politik supaya sesuatu keputusan walaupun bersifat generik tidaklah kelihatan seolah-olah berciri autokratik. Dapatan kajian adalah konsisten dengan teori Zon Penerimaan (Hoy dan Tarter, 1995).

Kesimpulannya, proses membuat keputusan di sekolah perlu  diurus dengan sebaik mungkin oleh pemimpin sekolah sambil menggalakkan penglibatan subordinat sebagai asas hubungan manusia untuk untuk memastikan keberkesanan, kepuasan hati dan penerimaan. Pendekatan sebegini harus lebih diutamakan berbanding dengan pendekatan orientasi tugas  untuk menghadapi persekitaran pendidikan yang sentiasa berubah.

 BIBLIOGRAFI

Ab. Aziz Yusof  (2004). Kepemimpinan Dalam Mengurus Perubahan Dari Dimensi Kemanusiaan. Petaling Jaya: Pearson Prentice Hall

Chan Kok Heng (1990). The Participation of Middle Managers in the Management of Singapore Secondary Schools. National University of Singapore: Tesis M.Ed tidak diterbitkan

Chedin Arshad (1997). A Conceptual Model of Teacher Participation in School Decision Making. Iowa State University, USA: Tesis M.Sc tidak diterbitkan

Cohen, Alan R. & Stephen L. Fink (2001). Effective Behavior in Organizations – Cases, Concepts, and Student Experiences. New York: McGraw-Hill

Francis, Victor Rajendran (1997). A Survey of Male and Female Teachers Involvement in Decision Making in 4 Secondary Schools in the Klang Valley in Selangor. University of Bristol, UK: Tesis M.Ed tidak diterbitkan

Hamzah Salas (1972). Decision Making in the Secondary School Administration with Special Reference to Malaysia. Oxford University, UK: Tesis Adv. Cert. Ed tidak diterbitkan

Ho Beng Tat (1997). Teacher Empowerment: An Empirical Analysis of the Relationship Between Participation In Decision Making and Job Satisfaction. UIAM Kuala Lumpur: Tesis M.Ed tidak diterbitkan

Hoy, Wayne K. & Cecil G. Miskel (2001). Educational Administration – Theory, Research and Practice. Singapore: McGraw-Hill International Edition

Jaffee, David (2001). Organization Theory – Tension and Change. Singapore: McGraw-Hill International Edition

Lau Siew Ting (1999). Teachers Participation in Decision Making Process in a Secondary School. Universiti Malaya Kuala Lumpur: Tesis M.Ed tidak diterbitkan

Karuppah, Nagalingam (1997). A Survey of Teacher Participation in Decision Making in Primary and Secondary School in State of Johor, Malaysia. University of Bristol, UK: Tesis M.Ed tidak diterbitkan

Leele Susana Jamian (2003). Participation in Decision Making during school staff meetings as Perceived by Teachers in Two selected Secondary Schools. UIAM Kuala Lumpur: Tesis M.Ed tidak diterbitkan

Malaysia, Kementerian Pendidikan (1989). Information and Decision Making: A Case Study on the Use of Information in the Educational Planning in Malaysia. Kuala Lumpur: Educational Planning and Research Division, EPRD.

Md Hanafi Taswirjo (2001): Persepsi Guru-guru SMT (Pertanian) Chenor dan SMV (ERT) Puteri Temerloh Pahang Terhadap Penglibatan Mereka Dalam Membuat Keputusan Bersama Di Sekolah. UPM Serdang: Tesis M.Sc. tidak diterbitkan

Mohamad Najib Abdul Ghafar (1999). Penyelidikan Pendidikan. Skudai: Penerbit UTM

Muhamed   Awang   (1990).   Membuat   Keputusan.   Kuala   Lumpur:    Dewan   Bahasa dan Pustaka

Muhammad Nor Ismail (1987): Teachers Responses to the Leadership Styles of Malaysian Primary Headteachers. University of Bristol, UK: tesis M.Ed tidak diterbitkan

Noor Fauza Zabidi (1998): Perceptions of Secondary School Teachers Regarding The Extent To Which Shared Decision Making Is Utilized In Their Schools. University of Houston, USA: Tesis M.Ed tidak diterbitkan

Sannee Jaid (1998). A Survey on Reported Actual Participation and Expressed Desire for Participation in Decicion making amongst Teachers in Government and Aided Secondary Schools in Malaysia. University of Bristol, UK: Tesis M.Ed tidak diterbitkan

Sahban Muksan (1989): Hubungan Guru Dengan Pengetua Dalam Proses Pembuatan Keputusan Kurikulum di Sekolah. Universiti Malaya Kuala Lumpur: tesis M.Ed tidak diterbitkan

Snowden, Petra E. & Richard A. Gorton (1998). School Leadership and Administration – Important Concepts, Case Studies and Simulations. New York: McGraw-Hill

Tor Siong Hoon (1998). Teachers Involment in Decision Making: A Study of Secondary School Teachers in Temerloh, Pahang. UIAM Kuala Lumpur: Tesis M.Ed tidak diterbitkan

Thursday, September 1, 2011

NOVEL "LESTARI BUKIT MENGHIJAU" KOMSAS TINGKATAN 2 (PSEUDO OR GENUINE PROFESSOR?)

Pendahuluan

Terlebih dahulu penulis blog (PB) harus memohon maaf kepada Tuan Syed Mahadzer bin Syed Ibrahim, 50, kerana berterus terang bahawa novel "Lestari Bukit Menghijau" (LSB) tidak begitu pantas bagi menggambarkan tahap intelektual watak Profesor Osman Yunus yang berakhir penuh lara di sebuah bukit, walhal beliau lebih layak menyandang kerusi profesor emeritus, profesor pelawat universiti terbaik dunia, atau profesor ulung. Watak sehebat itu digambarkan begitu lemah berhadapan dengan pemergian Kamariah (isteri), serta Zahirah dan Zuwairah (anak) yang menjadi mangsa pemindahan darah cemar HIV setelah terbabit dengan kemalangan di Chicago, Amerika Syarikat.

Sebagai anggota pasukan yang menemukan penawar AIDS, agak mustahil beliau langsung tidak dikenali di Kampung Alor Rambai, Sungai Jeneri, Jeniang, Kedah. Paling tidak, Cikgu Idham, 45, sebagai pengetua sekolah menengah pasti tahu akan pencapaian tokoh yang begitu hebat itu. Demikian gambaran watak Pak Tua yang memerlukan Zahiran supaya beliau akhirnya bebas daripada tohmahan orang kampung yang bersangka buruk hingga mengatakan Pak Tua ialah pembekal najis dadah.  

Watak dan perwatakan

Pak Tua

Membeli 4 hektar tanah bukit daripada seorang tauke Cina. Hidup bersendirian dan jarang-jarang solat jemaah di madrasah (surau). Nama Bukit Bintangor diberi oleh beliau berdasarkan nama spesies pokok yang dibawa dari belantara Sarawak yang menjadi punca ekstrak penawar Aids yang beliau temui. Kecintaan Pak Tua terhadap tumbuhan menghijau begitu mendalam apabila pernah melarang Zahiran daripada menebang pohon cempaka dan menegur perbuatan Lebai Yunus, ketua kampung daripada menebang pokok kacang kelor. 

Zahiran

Budak Tingkatan 3 SMK Alor Rambai yang akhirnya berjaya mendapat tempat kursus matrikulasi sains sebagai persediaan universiti. 

Seleman

Didorong oleh sokongan membuta tuli Kasa dan Setopa, Seleman ghairah untuk menabur fitnah bahawa Pak Tua ialah penjenayah dan tauke dadah. Dia iri hati kerana Pak Tua punya jip, sedangkan dirinya motosikal cabuk pun tidak ada. Kemuncak dengkinya ialah apabila dia membakar pokok bintangor kesayangan Pak Tua. Namun, menerusi kepintaran Zahiran, Seleman pergi memohon maaf dan berbaik-baik dengan pak Tua. 

Cikgu Idham

Pengetua muda yang mengajar sains pertanian. Mengilhamkan projek taman lestari alam lengkap dengan flora dan fauna. Mendapat kerjasama murid, bekas murid dan seluruh penduduk kampung.

Hamzah

Anak Pak Hamid, dan kawan karib Zahiran. Pesakit demam kuning pertama di kampung itu yang dikesan oleh Pak Tua.

Pak Hamid

Bapa Hamzah, percaya kepada dukun. Tinggal jauh di hujung kampung yang hanya boleh dilalui oleh basikal. Menghidap untut, tetapi atas daya usaha Pak Tua berjaya sembuh setelah rawatan di Hospital Appolo, Chennai, India.

Pak Long Hamad

Pemilik kedai runcit, tempat berkumpul masyarakat kampung. Bersikap tegas dan tetap pendirian, serta tidak mudah terpengaruh dengan fitnah dan tuduhan melulu.

bakal bersambung, insya-Allah...