SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Tuesday, November 8, 2011

PERSEDIAAN REKOD MENGAJAR: MERANCANG ATAU MELAPOR? (LESSON PLAN AND LEARNING PERFORMANCE DOCUMENTATION)

Walaupun tersedia garis panduan dan pekeliling tentang penulisan buku rekod mengajar, masih terdapat bermacam-macam fesyen dan tafsiran tentang perkara-perkara yang perlu dimasukkan. Kini, apabila sekolah-sekolah dibenarkan menyediakan persediaan mengajar dalam talian (e-record book), dan guru akademik tingkatan 6 dengan folio PdP, maka kemungkinan untuk wujud perbezaan format dan cara penulisan tidak dapat dielakkan. Namun, selagi tertera tajuk dan subtajuk, objektif, aktiviti dan refleksi, catatan persediaan mengajar harian sudah dikira lengkap.

Kini, pada penghujung tahun, semua dokumen penting, termasuk buku rekod mengajar perlu dibuat rumusan dan diserahkan kepada pihak pentadbiran sekolah sebagai bahan arkib yang perlu disimpan hingga 7 tahun sebagai rujukan andai ada perkara berbangkit pada hari-hari muka. Malah, buku rekod mengajar ialah ganti kepada dokumen sasaran kerja tahunan, pelaksanaan, tinjauan semula pelaksanaan dan butiran pencapaian pembelajaran murid. Maka, guru mesti mengambil berat dengan kandungan dan akur dengan segala kehendak penulisan yang piawai.

Dari segi perancangan tahunan PdP, persediaan mengajar hendaklah memasukkan:

          1)  sukatan pelajaran dan huraian sukatan pelajaran;
          2)  rancangan pelajaran tahunan (berdasarkan takwim sekolah mengikut minggu);
         3)  butiran pelajar: nama,  status asas pencapaian pelajar (TOV), pencapaian jangkaan (ETR), pencapaian
                sebenar (ATR);
          4)  profil guru;
          5)  takwim persekolahan (penggal dan cuti); dan lembaran tambahan yang diarahkan.

Penulisan rancangan harian

Tajuk: berdasarkan bab
Subtajuk: tumpuan / komponen / pecahan bab (seperti dalam huraian sukatan pelajaran / rancangan mingguan)
Objektif: berbentuk penyataan boleh ukur (perubahan tingkah laku yang dikehendaki)
Aktiviti: merujuk perkara yang murid lakukan, bukan yang guru lakukan
Refleksi: ukuran tentang pencapaian pembelajaran harian, ulasan penambahbaikan terhadap perkara / kelompok murid
                yang tidak menepati pencapaian.

bersambung...

Monday, November 7, 2011

BIAWAK DIBAHAM KAWANAN ANJING LIAR (THE VICTIM IN THE FOOD CHAIN)

Sesudah menghadiri majlis akikah cucu ketiga datuk bandar Ipoh berhampiran SMK Wira Jaya, Ipoh, penulis blog (PB) dan keluarga langsung ke Kampung Sengat. Ketika tiba di tapak tebus guna lombong untuk projek perumahan di situ, kelihatan seekor biawak muncul dari saluran air buangan dan naik ke darat. Tiba-tiba sekumpulan 20 ekor anjing liar entah dari mana datang menerpa dan mengerjakan biawak malang itu.
Biawak itu cuba menyelamatkan diri dengan masuk semula ke dalam kawasan berair. Namun, anjing ikut turun ke dalam air yang cetek itu. Biawak diseret semula ke darat.

Biawak tidak berputus asa. Dengan perlindungan kulit yang keras dan senjata libasan ekornya, sang biawak cuba melawan. Biawak cuba masuk pula ke dalam parit kecil berhampiran.

Anjing terus mengejar dan tidak mahu melepaskan mangsa begitu sahaja. Disebabkan jarak yang jauh dan terdapat kenderaan lain di belakang, PB terpaksa beredar. Nasib sang biawak tidak dapat dipastikan.

Fenomena seperti itu biasa ditonton menerusi saluran televisyen National Geograhic atau Animal Planet sahaja. Si cilik dalam kereta tidak putus-putus berharap supaya biawak dapat melepaskan diri. Kumpulan anjing yang kelihatan ada agihan tugas, menyerang, waspada, mengepung dan menyalak hanya mengikut naluri haiwan dalam sistem rantaian makanan...

Sunday, November 6, 2011

PERMINTAAN AYAM DAN LEBIHAN PENGGUNA (FESTIVE SEASON TREND)

Nampaknya isu ayam naik harga tidak dipedulikan oleh pengguna yang lebih sibuk berebut-rebut mendapatkan bahan utama rendang juadah hari raya haji. Walaupun amalan ziarah tidak begitu rancak sebagaimana hari raya puasa, kecuali di Kelantan, kesempatan berkumpul bersama-sama keluarga dilengkapkan dengan juadah istimewa seperti ketupat, lemang dan nasi himpit yang disekalikan dengan rendang ayam. Walaupun harga ayam proses mencecah hingga RM9.00 sekilogram, pengguna tidak bersungut pun.

Seorang penual ayam memberitahu, dalam masa tidak sampai sejam, dia berjaya menjual 50 ekor ayam proses di sebuah pasar tani pinggir pekan yang kecil. Orang kuat persatuan pengguna juga ikut berbaris dengan sabar untuk tidak melakukan boikot, tetapi demi memastikan rendang ayam dapat disediakan juga. Harga sudah tidak menjadi perhatian.

Bertepatan dengan teori ekonomi bahawa saat tiba musim perayaan, hukum permintaan yang merujuk hubungan songsang antara harga dengan kuantiti diminta, dikecualikan. Walaupun diandaikan harga ayam masih sama, permintaan ayam bertambah, dan keluk permintaan beralih ke sebelah kanan, atau sebelah atas. Harga keseimbangan tetap sama, tetapi kuantiti keseimbangan juga beralih ke kanan.

Penjual ayam yang sama memberitahu bahawa pada suatu hari yang biasa, dia sempat menguap berkali-kali kerana bilangan pembeli tidak ramai. Maka, dia terpaksa menurunkan harga daripada RM8.30 sekilogram kepada RM7.80 sekilogram. Daging ayam proses akan bertukar menjadi pucat jika terbiar lama di luar peti sejuk khas.

Keadaan masih lengang dan dia masih menguap. Setelah hampir sejam, tiba-tiba sahaja ramai pembeli datang berkerumun. Rupa-rupanya, jualan di gerai-gerai lain sudah selesa!

Si penjual ayam kemudian menyedari bahawa tempat dia menjual ayam tidak strategik kerana terlindung oleh penjual buah-buahan. Akhirnya, dia terpaksa membawa balik baki 20 ekor ayam yang tidak laku. Dia macam terlupa untuk membuat lelongan harga jika sudah hampir balik modal bagi mengelak kerugian yang lebih banyak.

Dalam kes penurunan harga, tindakan si penjual ayam mungkin menambah saiz lebihan pengguna. Harga yang ditawarkan ilah RM7.80, sedang pengguna mungkin sanggup membayar RM8.50 sekilogram. Jika pada mulanya pengguna hanya beroleh RM0.20 sebagai lebihan pengguna, kini harga baharu itu menyebabkan lebih pengguna meningkat kepada RM0.70 bagi setiap kilogram.

Jika pada hari perayaan, pengguna yang berpusu-pusu untuk "mengurat" ayam proses si penjual mungkin sanggup membayar RM10 sekilogram daripada pulang dengan tangan kosong akan memiliki lebihan pengguna yang jauh lebih besar. Pada harga RM8.30, saiz lebihan pengguna ialah RM1.70 bagi setiap kilogram, dan RM2.20 sekilogram. Berat minimum seunit ayam proses biasanya 1.5 kilogram...

Saturday, November 5, 2011

IBADAH KORBAN LAMBANG KEPATUHAN (SUBMISSION WITH VIRTUE)

Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim alaihi'-salam dan Nabi Ismail alaihi's-salam telah acap kali menjadi tajuk wacana menjelang sambutan hari raya haji. Hari ini, 10 Zulhijjah 1432 Masihi, ibadah korban dilaksanakan oleh masyarakat Islam di sana sini. Kebanyakan pilihan korban ialah lembu yang dibahagi kepada 7 panggu (bahagian) dengan setiap panggu bersamaan dengan RM350 hingga RM400, bergantung kepada timbangan dan usia lembu berkenaan.
Insya-Allah, penerimaan ibadah korban bergantung kepada niat yang tulus ikhlas semata-mata kerana Allah. Ikhlas mudah dilafazkan, tetapi Allah jua yang tahu hakikat sebenar status niat seseorang hamba-Nya. Moga kita termasuk dalam kalangan hamba yang meraih redha Ilahi.

Kisah Nabi Ibrahim alaihi's-salam sangat signifikan dalam membawa makna ibadah korban. Sebaik mendapat perintah Allah, Nabi Ibrahim tidak ragu untuk memberitahu putera kesayangan baginda, Nabi Ismail alaihi'-s-salam. Dalam congak manusia biasa, perbuatan menyembelih anak sendiri tidak dapat diterima oleh akal yang sihat, tetapi Nabi Ibrahim mendapat perintah langsung dari Sang Pencipta!

Nabi Ismail alaihi's-salam juga redha menjalani perintah Allah. Kedua-dua beranak menghadapi dugaan iman yang paling berat. Namun, atas keikhlasan yang tidak berbelah bahagi, Allah telah menggantikan sembelihan korban kepada seekor kibas.

Peristiwa tersebut memberi isyarat bahawa dalam perjalanan untuk taat kepada Allah, manusia perlu banyak berkorban. Ada perkara yang manusia suka, tetapi dibenci oleh Allah. Ada pula perkara yang manusia tidak suka (benci), tetapi Allah suka.

Nabi Ibrahim alihi's-salam dan Nabi Ismail alaihi's-salam tidak berdolak-dalik dalam melaksanakan perintah Allah. Konsep sami'na wa ato'na, kami dengar dan kami patuh sentiasa menjadi pegangan. Iman mereka benar-benar kental.

Marilah sama-sama kita belajar daripada peristiwa korban yang pertama dalam ajaran tawhid. Kita jangan lagi memberi alasan yang berjela-jela panjangnya untuk mengelak diri daripada taat kepada perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan membebankan hamba-Nya yang perintah yang tidak tertanggung oleh mereka...

MANSUH PPSMI TINDAKAN TEPAT (EXCLUSIVE AND INCLUSIVE EDUCATION)

Keputusan kerajaan memansuhkan dasar pembelajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris (PPSMI) sesungguhnya melegakan semua pihak, kecuali kumpulan mentaliti Inggeris seperti Page. Walaupun kita harus akur akan kepentingan bahasa Inggeris, tetapi kita tidak wajar memaksa semua murid dan semua peringkat pembelajaran menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar pendidikan. Di peringkat sekolah, konsep pendidikan inklusif, iaitu pendidikan bermutu untuk semua murid atau juga disebut sebagai pendemokrasian pendidikan mesti dilaksanakan.

Pihak yang terlalu mendewa-dewakan bahasa Inggeris harus faham akan konsep jati diri dan kontrak sosial dalam perlembagaan negara. Sejak Penyata Razak lagi telah ditegaskan tentang proses memperkasa bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara. PPSMI bukanlah tidak baik secara total, tetapi dasar berkenaan lebih menjurus kepada pendidikan eksklusif, iaitu khusus buat golongan tertentu.

Seperti yang dilaporkan, dapatan kajian Kementerian Pelajaran sendiri menunjukkan betapa tujuan asal PPSMI sendiri tidak tercapai. Majoriti murid didapati bukan sahaja tidak meningkat dari segi penguasaan bahasa Inggeris, malah menunjukkan kemerosotan dalam pencapaian mata pelajaran sains dan matematik. Maka, apa lagi hujah Page dan kumpulan yang sealiran?

Tidak ada yang pelik apabila sains dan matematik dipelajari dalam bahasa Melayu. Kebanyakan istilah yang digunakan pun sama, kecuali sedikit ubah suai ejaan dan sebutan. Misalnya oxygen dieja sebagai oksigen, photosynthesis sebagai fotosintesis, dan bacteria sebagai bakteria.

Istilah dalam bahasa Melayu juga sangat dekat dengan budaya tempatan dan pengalaman harian murid. Pembezaan (dahulu pengkerbedaan) lebih senang difahami berbanding dengan differentiation. Halaju lebih mudah menangkap imaginasi murid berbanding dengan velocity.

Tukang puja bahasa penjajah itu juga kononnya khuatir bahawa perkembangan sains dan teknologi yang pantas tidak dapat ditampung dengan kaedah terjemahan. Siapa yang suruh terjemah dan susah apa terjemah? Google dan banyak lagi perisian percuma internet boleh menterjemah daripada bahasa apa pun dengan sekelip mata walaupun perlu dibaiki di sana sini.

Itali, Jepun, Jerman, Sepanyol dan Switzerland tidak payah bergantung kepada bahasa Inggeris untuk bidang kejuruteraan termaju mereka. Tiada rasa rendah diri kerana tidak fasih berbahasa Inggeris. Malangnya, si kulit sawo matang berasa malu dengan peradaban dan tamadun bangsa mereka sendiri.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ialah bukti kejayaan bahasa Melayu sebagai sarana ilmu tinggi. Lepasan aliran Melayu telah membuktikan keupayaan mereka bertaraf dunia setelah mengikuti pengajian dalam bahasa Melayu di UKM. Begitu ramai siswazah UKM telah menamatkan pengajian doktor falsafah, Ph.D di universiti terkemuka dunia dalam tempoh 3 tahun tanpa perlu ijazah sarjana.

Siapa sangka anak-anak pesawah padi, anak penoreh getah getah dan anak nelayan dari sekolah kampung mampu mengubah nasib keluarga dan mengalami mobiliti ekonomi, serta transformasi sosial yang hebat setelah berpeluang belajar di menara gading yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di bilik kuliah dan makmal. UKM berjaya memecahkan monopoli lulusan sekolah aliran Inggeris dalam bidang-bidang pengajian yang dianggap kritikal seperti ekonomi, optometri, perakaunan, perubatan dan sains nuklear. Lulusan sekolah aliran Melayu tidak lagi hanya layak memenuhi fakulti sastera dan sains sosial untuk persiapan menjadi pegawai tadbir dan diplomatik (PTD).

Syabas atas keberanian mengembalikan martabat bahasa Melayu dalam sistem persekolahan dan pengajian tinggi negara. Malaysia akan lebih dihormati justeru memiliki jati diri dan maruah. Kepentingan bahasa Inggeris, bahasa Arab, dan bahasa-bahasa asing yang lain akan terus dijaga...

Friday, November 4, 2011

SOALAN RAMALAN KOMSAS: MEMBANTU ATAU MEMBANTUT? (HOW TO TACKLE TRICKY QUESTIONS?)

Menjelang detik peperiksaan SPM kira-kira dua minggu pelbagai analisis tentang kemungkinan soalan dibuat oleh pelbagai pihak. Terdapat juga blog persendirian dan blog komersial yang mengumpulkan semua soalan percubaan negeri-negeri, MRSM dan sekolah berasrama penuh. Kemudian, tajuk-tajuk tertentu dicadangkan untuk persiapan saat-saat akhir.

Tidak menjadi masalah untuk mengambil kira sebarang saranan yang munasabah. Masalahnya hanya apabila calon-calon peperiksaan terlalu bergantung atau terlalu percaya dengan analisis yang hanya bersifat andaian itu. Maka, calon-calon peperiksaan harus kembali kepada pesanan para guru di bilik darjah yang sebenarnya memiliki akses terhadap sukatan pelajaran, huraian sukatan pelajaran, buku teks dan prinsip pembinaan item pentaksiran awam.

Pengamatan terhadap kebanyakan saranan dalam buku-buku panduan yang berlambak di pasaran, portal berbayar dan program tutor sebuah stesen televisyen berbayar didapati berlebihan dan sipi. Khusus merujuk komponen sastera dalam kertas Bahasa Melayu (komsas), saranan terhadap tajuk prosa, puisi dan bidang kajian novel tertentu mengatasi tumpuan terhadap kaedah merancang jawapan sejajar dengan nisbah peruntukan markah dan masa. Sedangkan, antara kemahiran yang dikehendaki dalam sukatan pelajaran ialah membezakan antara pernyataan fakta dengan pernyataan pendapat.

Jika diperhatikan bahawa prinsip pembinaan item soalan komsas dikategorikan kepada aras petikan, aras kbkk dan aras komsas. Berdasarkan aras soalan berkenaan, baharulah calon sepatutnya menentukan sumber ambilan jawapan. Perkara itu sangat penting supaya calon tidak terbawa-bawa dengan penulisan jawapan yang menurut perasaan semata-mata.

Soalan petikan bermakna bahawa sumber ambilan jawapan ialah daripada petikan. Calon hanya perlu mencantumkan ayat soalan dengan fakta yang ada dalam petikan, tidak lebih tidak kurang. Jika tiada huraian atau penjelasan diperlukan, maka frasa penerangan hendaklah digugurkan.

Soalan kbkk pula bermakna bahawa sumber ambilan jawapan ialah idea luar petikan, atau idea calon sendiri. Supaya idea yang dikemukakan tidak berlegar terhadap idea yang sama dan berulang, maka calon harus memiliki kemahiran penyeluruhan (generalisasi). Kemahiran membina "payung" penyeluruhan ini juga tercatat dalam huraian sukatan pelajaran

Hanya tugasan soalan komsas yang memerlukan contoh peristiwa daripada cerpen, drama, prosa klasik, prosa moden, puisi tradisional dan novel mengikut zon. Lazimnya, tugasan soalan menghendaki calon menyatakan unsur komsas bermula daripada tema, watak dan perwatakan, latar (masyarakat, masa, tempat), nilai, persoalan, pengajaran dan teknik plot. Dalam keadaan ekstrem, andai calon tidak pernah membaca keseluruhan karya yang ditanya, kemungkinan untuk hilang markah hanya sekadar 2 markah!

Hakikatnya ialah peperiksaan memang akan akur terhadap segala kehendak sukatan pelajaran dan huraian sukatan pelajaran. Murid yang berjaya menikmati karya komsas semasa proses pembelajaran yang terancang tidak akan terpancing dengan soalan atau tajuk ramalan yang membuat mereka berasa cemas dan terkejar-kejar. Malangnya, disebabkan sudah sekian lama belajar untuk peperiksaan semata-mata membawa akibat murid sekolah tidak benar-benar menikmati pelbagai genre komsas yang disajikan.

Tidak hairan jika calon peperiksaan selalu bertanya tentang berapa panjang jawapan yang perlu mereka tulis. Untuk soalan karangan dan rumusan, memang ada jumlah perkataan tertentu yang mesti dipatuhi. Namun, bagi pecahan soalan komsas yang hanya membawa markah tidak sampai 10 bagi setiap satunya, mengapa harus menulis jawapan hingga hampir semuka surat penuh?

Kesimpulannya, pegangan calon semasa merancang jawapan ialah mengenal pasti aras soalan (petikan, kbkk, komsas), mematuhi tugasan soalan (perhatikan kata kunci: apakah, bagaimanakah, mengapakah), isu tugasan (orang, tingkah laku orang, ciri-ciri persekitaran, aspek ekonomi dan lain-lain). Jika soalan tidak menghendaki huraian, maka tulis sekadar subjek dan predikat. Akhir sekali, huraian ialah frasa penerangan yang boleh dimasukkan dalam ayat yang sama, atau tentang peristiwa yang menyokong unsur komsas yang dikemukakan sebagai jawapan...

Thursday, November 3, 2011

PENGALAMAN SEBAGAI KETUA PANITIA (LEADERSHIP IN A SMALL GROUP)

Sejak tahun pertama penempatan sebagai guru sandaran terlatih, penulis blog (PB) telah diberi amanah menerajui dua panitia sekali gus, iaitu sebagai ketua panita (KP) Ekonomi dan KP Pengajian Am. Sebabnya, di SM Teknik Ipoh ketika itu bilangan pelajarnya sekadar cukup untuk meneruskan kewujudan pengajian tingkatan 6. Syarat menubuhkan panitia pun mesti ada sekurang-kurangnya tiga orang anggota.

Kemudian, setelah kelas tingkatan 6 ditutup, PB diamanahkan pula sebagai KP Sejarah. Anggota Panitia Sejarah lebih ramai justeru mata pelajaran berkenaan telah diangkat sebagai mata pelajaran teras. Bilangan murid yang terlibat juga ramai iaitu keseluruhan murid tingkatan 4 dan 5, iaitu kira-kira 600 orang semuanya.

Sebagai KP, PB hanya mempunyai satu misi dan satu cogan kata, iaitu pencapaian 100 peratus dalam peperiksaan awam SPM dan STPM. Memang ada antara anggota panitia yang ragu tentang perkara berkenaan. Hujah mereka bersandar terhadap rekod silam.
suasana ceria dalam mesyuarat Panitia Bahasa Melayu SMK St. Michael, Ipoh

PB bertegas tentang misi sifar gagal itu. PB meminta semua anggota panitia menyenaraikan pelajar yang dikenal pasti sebagai kumpulan risiko tinggi untuk dibantu. KP sendiri yang akan bertemu dan mendengar sendiri daripada pelajar berkenaan tentang persepsi mereka terhadap mata pelajaran, menyatakan kesukaran yang dihadapi dalam pembelajaran dan seterusnya memberi fokus terhadap kemungkinan untuk mencatat kejayaan menerusi tajuk pilihan pelajar sendiri.

Panitia juga menganjurkan kem kecemerlangan kepada kumpulan risiko tinggi tadi. Pemudah cara pula terdiri daripada semua anggota panitia. Hanya satu ucapan, iaitu ucapan pengetua. Kem diisi dengan sesi bengkel dan aktiviti fizikal.

Hasilnya memang seperti yang diharapkan. Ketiga-tiga panitia yang PB pimpin berjaya mencatat pencapaian 100 peratus dalam peperiksaan awam. Malah, panitia Sejarah dinobat sebagai panitia terbaik ketika itu.

Di SMK St. Michael, Ipoh (SMI), PB diamanahkan sebagai KP Ekonomi selama 3 tahun sebelum menjalankan tugas guru kanan Vokasional dan Teknik selama setahun. Misi Sifar F masih diteruskan, tetapi cabaran yang dihadapi lebih getir memandangkan bilangan pelajar yang ramai. Namun, setiap tahun terdapat peningkatan pencapaian, dan rekod baharu jumlah calon gred A juga tercatat...

Wednesday, November 2, 2011

MENGAPA KENA BANTU ORANG MISKIN? (REDISTRIBUTION OF WEALTH)

Apabila soalan dilontarkan kepada seorang pelajar ekonomi prauniversiti sama ada wajar atau tidak orang kaya membayar cukai supaya dapat diagihkan semula dalam bentuk penyediaan barang awam, pelajar berkenaan hanya menggeleng ragu-ragu. Lalu, soalan susulan ialah tentang sebab segelintir orang boleh menjadi kaya, manakala majoriti orang hanya hidup cukup makan atau terperangkap dalam kemiskinan. Macam model Pareto 20:80!

Kisah Robin Hood merompak harta orang kaya untuk diagihkan kepada orang miskin turut dibangkitkan. Dari satu sudut, tindakan Robin Hood dilihat sebagai terpuji. Namun, dari segi undang-undang, Robin Hood melakukan aktiviti tidak sah dan bersifat jenayah.

Pembesar zaman dahulu juga mengutip cukai di laluan pengangkutan sungai bagi membiayai upah askar dan kakitangan yang lain. Pada zaman moden ini, kegiatan mengutip cukai dilakukan oleh agensi kerajaan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Selain itu, pelbagai jenis cukai tidak langsung dikenakan atas urus niaga barang dan perkhidmatan.

Segelintir orang berpeluang menjadi kaya justeru sebahagian besar orang lain pasrah dengan kehidupan yang sederhana dan miskin. Orang kaya berjaya menyambar peluang yang lalu di hadapan mata, manakala orang miskin tidak berjaya berbuat demikian. Orang kaya memiliki akses terhadap peluang menimbun harta, tetapi orang miskin seperti jauh panggang daripada api!

Segelintir orang berjaya dalam temu duga justeru sebilangan besar orang lain gagal. Pemenang hadiah biasiswa juga telah mengecewakan lebih 90 peratus pesaing. Pendek kata, seseorang itu berjaya kerana lebih ramai orang lain tidak berjaya.

Maka, bantuan terhadap orang yang tidak berjaya, orang yang tidak beruntung dan orang miskin ialah sebagai ganti rugi atau pampasan terhadap peluang mereka yang selalu terlepas kepada segelintir orang. Dalam satu hadith ada disebut bahawa dalam harta orang kaya, terdapat hak orang miskin. Malah, konsep infaq sama ada zakat, wakaf, sedekah dan seumpamanya merujuk kepada proses membersihkan harta kekayaan.

Selain menjadi instrumen agihan semula, cukai juga ialah cagaran keselamatan orang kaya. Apabila hak si miskin ditunaikan, mereka tidak akan mengganggu harta benda orang kaya. Sesungguhnya kekayaan itu bukan suatu dosa, dan kemiskinan pula bukanlah perkara yang suci.

Saidina Ali karamallah wajhah pernah mengungkapkan bahawa "andai kemiskinan wujud sebagai makhluk yang hidup, nescaya aku bunuh." Kemiskinan sangat dekat dengan kufur. Sebaliknya, jika harta hanya berlegar di sekitar segelintir orang kaya, maka akhirnya orang kaya juga akan jatuh miskin kerena kekayaan mereka sukar berkembang kerana kuasa beli orang ramai yang lemah menyebabkan permintaan terhadap keluaran syarikat milik orang kaya akan merosot dengan teruk...

Tuesday, November 1, 2011

PERBANDINGAN DASAR FISKAL DENGAN DASAR KEWANGAN (HOW TO REDUCE INFLATION?)

Pendahuluan

Secara am, kedua-dua dasar fiskal (DF) dan dasar kewangan (DK) bertujuan untuk mempengaruhi tingkat aktiviti ekonomi sesebuah negara. Bezanya, DF ialah campur tangan kerajaan secara tidak langsung, manakala DK ialah campur tangan kerajaan secara langsung. Alat DF ialah perbelanjaan kerajaan (G) dan cukai (T), manakala alat bagi DK ialah kadar bunga (r) dan bekalan wang (M).

Menulis Ayat Defenisi

Berdasarkan gambaran am dalam pendahuluan di atas:

DF ialah proses campur tangan kerajaan secara tidak langsung bagi mempengaruhi tingkat aktiviti ekonomi dengan cara mengubah perbelanjaan kerajaan dan cukai.

DK ialah proses campur tangan kerajaan secara langsung bagi mempengaruhi tingkat aktiviti ekonomi dengan cara mengubah kadar bunga dan bekalan wang.

Jalan pintas membezakan DF dengan DK

1   secara langsung (DK); secara tidak langsung (DF)

2   alat:  untuk DF --> G, T  (gatal tangan, good try)
             untuk DK --> rM atau Mr  (Ringgit Malaysia, Encik)

Kalau DK, ingat wang, ingat RM! DF ingat campur tangan, jadi tukar kepada gatal tangan! Cuma jangan lupa bahawa idea kelakar itu hanya untuk tujuan mengingat. 

Setelah ingat, kembalikan RM atau Mr kepada kadar bunga dan bekalan wang; GT kepada perbelanjaan kerajaan dan cukai. Untuk idea kelakar tadi, anda boleh memilih perkataan yang lain. Yang penting, anda mempunyai jalan pintas supaya tidak melakukan sebarang kesilapan.

Contoh Tugasan

Terangkan 3 cara kerajaan di negara anda mengatasi masalah inflasi dan imbangan pembayaran defisit.   (6 markah)

Konsep tugasan soalan:

Inflasi bermakna tekanan perbelanjaan agregat (AE), atau AE melebihi AS (penawaran agregat). Dalam kata lain, pendapatan boleh guna (Yd) dan kuasa beli orang ramai adalah tinggi. Campur tangan yang perlu dilakukan ialah dengan mengurangkan AE dengan menggunakan kedua-dua DF dan DK. Selain DK dan DF, kerajaan juga boleh menggunakan kawalan langsung seperti devaluasi.

Bagi mengurangkan AE dengan cara menurunkan Yd, kerajaan boleh menaikkan T. Selain itu, kerajaan boleh mengurangkan G yang akan memberi kesan kepada kejatuhan pendapatan persendirian (Y). Sama ada +T, atau -G dibuat secara berasingan atau serentak, kesannya tetap sama, iaitu bertujuan mengurangkan AE menerusi penurunan kuasa beli dan Yd.

Apabila AE berjaya dikurangkan, sedangkan As diandaikan tetap, maka Y akan jatuh. Maka, import (M) juga akan jatuh. Dengan andaian, eksport (X) masih sama, maka kini X > M, iaitu Xn akan bernilai positif atau imbangan pembayaran bertambah baik.

bersambung...

ESEI EKONOMI STPM TIADA PENDAPAT SENDIRI (JUST CONCEPT AND THEORY)

Calon STPM yang berhasrat memperoleh gred A dalam mata pelajaran Ekonomi harus memberi tumpuan khusus terhadap Bahagian B dan C, iaitu esei pendek dan esei panjang. Calon dikehendaki menjawab 5 daripada 8 soalan dalam bahagian B yang membawa 30 markah. Selain itu, calon hendaklah menjawab 2 soalan dalam bahagian C yang membawa 20 markah.

Memandangkan jumlah masa bagi menjawab keseluruhan kertas mikro dan makro ialah 180 minit tiap satunya, maka nisbah markah dengan masa ialah 100:180, atau 1 markah : 1.8 minit. Maka, untuk esei 50 markah = 50 X 1.8 minit = 90 minit. Kiraan secara konservatif itu hanya sekadar pedoman supaya calon bijak mengagih masa supaya sempat menjawab semua soalan yang dipilih, dan berpeluang meraih gred A.

Bahagian B: 5 esei pendek X 6 markah. Setiap esei = 6 markah X 1.8 minit = maksimum 10.8 minit. Calon dinasihatkan memperuntukkan 10 minit masa sahaja supaya ada baki masa untuk semakan.

Bahagian C: 2 esei panjang X 10 markah. Setiap esei = 10 X 1.8 minit = maksimum 18 minit. Namun, calon disarankan membuat peruntukan masa sekitar 15 minit supaya baki  3 minit lagi digunakan untuk semakan.

Perhatikan betul-betul tugasan soalan sebelum merancang isi dan huraian jawapan. Jawab berdasarkan tugasan dan bukan berdasarkan perasaan. Jangan sesekali berasa obses untuk memasukkan perincian yang tidak diperlukan, atau menulis secara umum sahaja.

Sebagai panduan, langkah di bawah mungkin boleh membantu:

         1   Kenal pasti / tetapkan tugasan soalan

         2   Buat padanan konsep, prinsip atau teori ekonomi yang berkaitan

         3   Jika soalan mengandungi pecahan tugasan, terus jawab soalan tanpa perlu berpanjang lebar

         4   Jika soalan tidak mengandungi pecahan, maka:
              a)  Mulakan dengan definisi atau konsep penting dalam tugasan
              b)  Nyatakan andaian jika perlu
              c)  Huraian berasaskan teori walaupun untuk tugasan berbentuk aplikasi
              d)  Jika tidak dinyatakan "dengan bantuan gambar rajah", maka fokus kepada konsep dan teori sahaja
              e)  Jika dinyatakan "dengan bantuan gambar rajah", huraian mesti merujuk kepada gambar rajah yang lengkap dengan segala label
              f)   Jika dikehendaki contoh berangka, berikan data hipotetikal yang mudah. Tidak mengapa jika data yang dikemukakan itu ada dalam buku teks
              g)  Esei pendek lazimnya perlu 3 isi, manakala esei panjang 5 isi. Calon boleh sahaja melebihkan satu isi sebagai "simpanan"
               h)   Gunakan laras bahasa ekonomi sahaja tanpa dipengaruhi pendapat umum atau laras bahasa mata pelajaran yang lain

Ketika detik peperiksaan makin hampir, calon STPM harus merencanakan startegi tertentu. Sebagai contoh, tumpuan harus diberi terhadap tajuk-tajuk penting, tanpa mengabaikan tajuk-tajuk lain. Sebagai contoh:

         1) Mikro: permintaan, keanjalan, keseimbangan pengguna, pengeluaran, persaingan sempurna, monopoli

          2) Makro: perakaunan pendapatan negara, keseimbangan ekonomi tertutup, terbuka, masalah makro. perdagangan antarabangsa

Tidak perlu buntu jika tugasan soalan berbentuk aplikasi dengan menyebut "negara anda", "pasaran A" dan sebagainya. Sekali lagi diulangi bahawa, semua jawapan mesti berpandukan teori. Sebarang kecenderungan untuk memberi pendapat peribadi atau hujah-hujah emosional hendaklah dielakkan...