Sunday, September 16, 2012
PENGALAMAN SEBAGAI GURU KAUNSELING (INTROSPECTIVE AND ADJUSTING THE SAIL)
Prinsip utama sesuatu sesi kaunseling ialah penerokaan kendiri, iaitu menggunakan perspektif diri sendiri sahaja dalam melihat sesuatu isu atau masalah. Maksudnya, klien (pengguna perkhidmatan kaunseling) akan dibimbing supaya meletakkan peranan diri sendiri, tanpa membabitkan orang lain atau pihak ketiga. Punca sesuatu perkara ditelek berdasarkan tingkah laku kendiri, bukan untuk menyalahkan sesiapa.
Catatan ini sekadar pengalaman peribadi dan bukan bersifat analisis teori seumpama model Rodgers atau psikoanalisis. Penulis blog (PB) pernah menjadi ketua unit kaunseling di sebuah sekolah selama empat tahun. Ketika itu, jawatan guru kaunseling (kaunselor pelajar) sepenuh masa baru hendak diwujudkan.
Sebagai ketua unit, waktu mengajar PB ialah 12 waktu sahaja, manakala secara rasmi 12 waktu lagi direkodkan sebagai peruntukan khidmat kaunseling. PB dibantu oleh empat orang guru lain, termasuk guru wanita memandangkan sekolah berkenaan ialah sekolah bercampur lelaki dan perempuan. Sebuah bilik kaunseling yang agak selesa disediakan oleh pihak sekolah.
Sebaik sahaja PB dilantik sebagai ketua unit bagi menggantikan Tuan Haji Abdul Rahman yang dinaikkan pangkat ke sekolah lain, perkara pertama yang PB lakukan ialah menggariskan perancangan tahunan menerusi carta Gantt. Langkah pertama ialah naik taraf bilik kaunseling seperti peralatan yang lebih selesa dan unit komputer, pencetak dan mesin imbas sendiri, supaya tidak perlu menumpang peralatan pejabat.
Kali pertama, segala peralatan yang berjaya diperoleh menerusi kerjasama PIBG telah diambil oleh pihak sekolah justeru didapati tidak sesuai, iaitu dianggap sedikit mewah. Kali kedua, peralatan yang sama berjaya diperoleh daripada pejabat kemajuan negeri, tetapi sekali lagi tidak mendapat kelulusan pihak sekolah untuk ditempatkan di bilik kaunseling. Akhirnya, Unit Kaunseling beroperasi dengan peralatan yang sudah sedia ada.
Pengalaman untuk mendapatkan tiga unit papan putih juga agak melucukan. Pihak sekolah hanya meluluskan satu unit, sedangkan keperluan ketika itu memang tiga unit. Maka, pesanan dibuat dalam saiz yang besar, kemudian dipecahkan kepada tiga unit papan putih akhirnya.
Rekod sesi kaunseling individu dan kelompok dicatat dalam sebuah buku log khas. Borang-borang lain yang berkaitan disimpan dalam fail yang berasingan. Pendek kata, pentadbiran unit dilakukan secara profesional.
Program latihan pembimbing rakan sebaya (PRS) juga diberi keutamaan khas. Pengisian ceramah dan latihan dalam kumpulan (LDK) dikendalikan oleh guru kaunseling terlatih. PRS kemudian dilantik secara rasmi bersekali dengan pengawas sekolah, pengawas pusat sumber dan majlis ketua kelas.
Salah satu biro PRS termasuk "Embun Hidayah" yang bertujuan khusus bagi menggalakkan murid yang didapati masih berhadapan dengan kecelaruan identiti mendapat peluang berkongsi luahan perasaan untuk membaiki diri masing-masing. Perubahan positif yang dijelmakan menerusi "Embun Hidayah" telah mendapat perhatian pengetua ketika itu. Beliau sendiri datang merasmikan kolokium khas dan menyampaikan ucapan yang penuh semangat hampir satu jam.
Unit Kaunseling juga menjemput pakar motivasi, termasuk Encik Izuddin (kini Profesor Izi Haji Ali, selebriti Hot.fm) yang datang dari Terengganu menaiki bas bersama isteri. Bayaran beliau ketika itu hanya RM150 untuk slot selama dua jam. Motto beliau "renung-renungkan dan selamat beramal" juga belum terungkap...
Saturday, September 15, 2012
KEPENTINGAN PENCAPAIAN PEPERIKSAAN PERCUBAAN (SEPARATING RAPID LEARNERS FROM THE STRUGGLING ONE)
Pentaksiran sumatif ialah cara bagi mengukur pencapaian pembelajaran dalam jangka masa tertentu. Peperiksaan percubaan di sekolah dilaksanakan setelah keseluruhan sukatan pelajaran (dengan kadar ralat 5 - 10 peratus) berjaya diselesaikan. Peperiksaan percubaan pada asasnya ialah urusan dalam sekolah, tetapi seringkali diselaraskan di peringkat daerah, negeri atau kebangsaan.
Dengan mengambil kira jangka masa masa yang munasabah untuk urusan pemeriksaan, penyediaan kad laporan dan analisis data, peperiksaan percubaan biasanya dijalankan dua bulan sebelum peperiksaan sebenar. Pencapaian peperiksaan percubaan ialah petunjuk kritikal kepada pihak sekolah untuk melakukan sesuatu pada detik genting menjelang peperiksaan sebenar. Tempoh sebulan terakhir boleh digunakan sepenuhnya bagi mengenal pasti kesempatan yang masih berbaki untuk pecutan kecemerlangan dan pencapaian minimum.
...
...
...
...
...
...
Friday, September 14, 2012
SISTEM KERETA API METRO MUDAHKAN PERGERAKAN JEMAAH HAJI (SOPHISTICATED TRANSPORTATION IN MECCA)
Projek kereta api laju metro antara lokasi penting ibadah haji di Makkah yang dijangka turut menghubungkan kota Madinah bakal meningkatkan ciri keselesaan dan keselamatan jemaah haji dan umrah sebagai tetamu Allah di dua buah tanah suci. Sebelum ini jemaah haji diangkut dengan menggunakan perkhidmatan bas yang agak uzur, serta menggunakan pemandu dari negara-negara sekitar Arab Saudi seperti Mesir dan Syria. Kesesakan jalan raya tidak dapat dielakkan hingga perjalanan dari Mina ke Makkah yang hanya berjarak 7 kilometer boleh mengambil masa sembilan jam untuk tiba.
sumber ambilan foto: wartashubhi.blogspot.com
Tidak diketahui sama ada perkhidmatan metro berkenaan bakal menyebabkan terowong pejalan kaki dari Mina ke Makkah yang mengambil masa satu jam setengah perjalanan akan menjadi lengang. Namun, caj sebanyak USD27 untuk 4 hari dan USD67 untuk seminggu mungkin masih berat bagi jemaah India, Pakistan dan benua Afrika. Cuma, perkara yang pasti ialah perkhidmatan bas akan tinggal dalam lipatan sejarah.
Projek metro bernilai USD1.8 bilion atau kira-kira RM6 bilion itu menjadi kenyataan setelah pihak istana merestui usaha pembaharuan dua tanah haram (al-haramain) demi keselesaan dan keselamatan jemaah haji. Masjid'il-Haram dan Masjid Nabawi (Madinah) juga telah dibesarkan. Laluan sa'ei ditambah, manakala tempat melontar jamrah pula kini berjumlah lima tingkat dan berupa laluan sehala.
Penceramah kursus haji perlu melakukan penambahbaikan dalam skrip kursus bakal haji. Isu seperti bayaran baksis (tip) dan tempat berkumpul dari hotel ke Muzdalifah, Mina dan Arafah sudah tentu mengalami perubahan dengan maklumat yang kemas kini. Kebarangkalian untuk tersilap jalan seperti yang berlaku dalam perkhidmatan bas juga sangat kecil.
Jika perkhidmatan metro dari Madinah ke Makkah sudah bersedia, jemaah haji dan umrah tidak lagi perlu menempuh perjalanan dalam tempoh lapan jam menaiki bas yang agak berusia. Tambahan pula, kemudahan lebuh raya seperti kawasan rawat dan rehat begitu terhad. Kemudahan menunaikan hajat pula dimiliki oleh pemilik kedai makan dan izin mereka diperlukan.
Pergerakan di dalam gerabak kereta api juga tentu lebih selesa berbanding dengan di dalam perut bas yang sukar diramalkan dari segi kelajuan dan kestabilan. Kemudahan bilik air dan untuk warga emas dapat disediakan dengan lebih baik di dalam gerabak kereta api metro. Ruang tempat duduk dalam gerabak kereta api juga boleh dilaras dengan lebih mudah tanpa mengganggu penumpang yang lain.
Selain itu, perkhidmatan metro akan mengurangkan gangguan perjalanan akibat sekatan lalu lintas dan saman had laju. Hakikat bahawa jumlah warga asing yang melebihi warga tempatan mengakibatkan keperluan tahap kawalan dan pemeriksaan yang lebih ketat. Perjalanan biasa selama lapan jam mungkin bertambah antara satu hingga tiga jam lagi untuk urusan yang itu.
Pengalaman bas mengalami kerosakan juga sering mencemaskan jemaah haji dan umrah. Apatah lagi tiba minggu memulakan kerja haji apabila ribuan bas terkandas dalam kesesakan yang sangat luar biasa. Memang benar bahawa kesusahan yang dialami ialah ujian keikhlasan diri, tetapi nikmat keselesaan dan kesenangan juga ilah ujian yang tidak kurang hebatnya... Wallahu a'lam.
Thursday, September 13, 2012
MAKLUM BALAS PBS: KEKALKAN PERUBAHAN ATAU BALIK KEPADA CARA LAMA? (PLANNING FOR THE BEST EDUCATIONAL PRACTICE)
Seorang ahli farmasi mengatakan bahawa anaknya yang berada dalam tingkatan satu sepertinya tertekan dek kesibukan menyiapkan pelbagai folio yang diminta oleh guru. Sementara itu, murid tingkatan satu sudah biasa mengeluh, "folio lagi..!" Guru-guru pula sibuk mengusung kotak folio dan memasukkan maklumat penilaian folio secara atas talian.
Hari ini (15/9/12) ialah hari terakhir memasukkan markah folio pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) ke dalam sistem data Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) secara atas talian. Calon-calon persendirian perlu menghantar folio mereka untuk dinilai oleh pemeriksa dalam kalangan guru terlatih yang sedang berkhidmat di sekolah bantuan penuh kerajaan. Guru sekolah swasta hanya boleh membimbing murid menyediakan folio PBS, tetapi tidak diperuntukkan kuasa untuk memberi markah penilaian
PBS ialah pembaharuan yang sangat diinginkan oleh pengkritik sistem orientasi peperiksaan, khususnya secara berpusat. Pendekatan kecerdasan pelbagai yang diilhamkan oleh Howard Gardener tentunya tidak serasi dengan sistem orientasi peperiksaan. Tambahan pula, PBS dikatakan lebih mirip dengan pelaksanaan konsep pengukuran formatif dan sumatif.
Seperti yang banyak kali ditegaskan bahawa perubahan akan mengakibatkan banyak sekali kehilangan. Misalnya, PBS akan mengakibatkan kehilangan kedudukan hierarki sistem orientasi peperiksaan. Hanya mata pelajaran teras yang akan mengekalkan komponen kertas peperiksaan secara berpusat, tetapi wajaran markahnya semakin mengecil.
Modul ulang kaji dan pembelajaran ala peperiksaan juga akan mengalami kehilangan pengaruh. Buku-buku ulang kaji komersial di pasaran juga hanya layak dihantar ke kilang kitar semula. Pendek kata, kumpulan status quo tegar akan terjejas dengan teruk, serta semakin tidak relevan dengan era generasi Y dan pembelajaran elektronik bestari maya.
Luahan rasa kurang puas hati dan rungutan di sana sini mungkin melegakan hati golongan status quo buat seketika. Mereka masih berharap dapat kembali bersatu dengan kenangan silam era orientasi peperiksaan dan kawalan bilik darjah cara lama. Sayang sekali bahawa kepesatan perubahan persekitaran pendidikan terlalu kuat untuk dilawan.
PBS ialah permulaan era pendidikan masa hadapan. Sifat sesuatu permulaan ialah keperluan penambahbaikan dan proses ubah suai yang berterusan. Justeru, segala maklum balas tentang pelaksanaan PBS ialah bagi meningkatkan keberkesanan dan kecekapan sistem PBS, bukan berpatah balik kepada kenangan lalu...
Wednesday, September 12, 2012
MOTIVASI BELAJAR: BARANG BERHARGA ADA CABARAN (LEAST EFFORT BUT TOP RESULT)
Pelajar yang dikasihi
Demi kelangsungan hidup, manusia sanggup melakukan pelbagai ikhtiar dan pekerjaan, sama ada secara baik-baik atau sebaliknya. Di sekeliling kita ada insan yang hebat lagi mulia, tetapi dalam masa yang sama kita perlu awas terhadap orang-orang yang ada penyakit di dalam hatinya, iaitu insan yang berniat jahat seperti penjenayah. Masing-masing ligat berfikir tentang pelbagai cara untuk memperoleh sumber pendapatan untuk membiayai kehidupan yang diinginkan.
Demi sesuap nasi, ada insan yang sanggup mengutip cebisan kotak, botol dan barang terbuang untuk dijual kepada kilang kitar semula. Ada yang bekerja sebagai pemungut sampah dengan pendapatan RM30 sehari walaupun terpaksa menghidu bau busuk dan kulit 'hangus' terbakar dek panahan matahari. Banyak lagi insan yang sanggup menanggung risiko kehilangan nyawa dengan bekerja di tempat bahaya seperti loji kimia, pencawang voltan tinggi atau rawatan sisa cemar.
Pengawal keselamatan di kedai emas harus sanggup menahan kebosanan dengan duduk atau mundar-mandir memerhatikan pergerakan orang ramai di sekitar kawasan premis majikan mereka. Begitu juga dengan jurujual di pasar raya yang akan berdiri selama lapan jam dengan melakukan kerja rutin setiap hari. Penjual burger sanggup bersengkang mata hingga larut malam menunggu pelanggan yang tidak kunjung datang.
Banyak juga yang sanggup berpisah dengan keluarga untuk berkelana ke bumi asing untuk memperoleh pendapatan yang lebih tinggi. Penyelam mutiara berulang alik ke laut dalam di Darwin, Australia bagi mengejar upah yang lumayan. Jururawat berpengalaman sanggup berjauhan dengan suami dan anak untuk bekerja di timur tengah dengan bayaran RM15k sebulan.
Pelajar harapan agama, bangsa dan negara sekalian,
Proses belajar juga tidak ubah seperti ikhtiar perjuangan untuk menikmati kehidupan yang selesa, mampu berdikari dan tidak menjadi beban kepada orang lain. Ilmu dan kebijaksanaan ialah barang yang hilang daripada orang-orang yang beriman. Maka, ilmu perlu dikutip tidak kira di mana-mana sahaja daripada bermacam-macam punca yang sah.
Proses belajar juga tidak ubah seperti ikhtiar perjuangan untuk menikmati kehidupan yang selesa, mampu berdikari dan tidak menjadi beban kepada orang lain. Ilmu dan kebijaksanaan ialah barang yang hilang daripada orang-orang yang beriman. Maka, ilmu perlu dikutip tidak kira di mana-mana sahaja daripada bermacam-macam punca yang sah.
Sepertimana insan yang berjuang dalam dunia pekerjaan dan mencari rezeki, proses belajar juga tidak sunyi daripada cerita suka dan duka. Walaupun ahli-ahli pendidikan menghimpun saranan terbaik agar proses pembelajaran menjadi aktiviti yang sentiasa berkesan, menarik dan menyeronokkan, hakikatnya pelajar sebagai insan biasa turut dipengaruhi oleh perubahan perasaan dan persekitaran. Keserasian dengan sesuatu reka bentuk aktiviti pembelajaran tidak sama antara individu pelajar.
Maka, bagi mencapai kejayaan, antara syarat utama kepada pelajar ialah kesanggupan melakukan banyak pengorbanan. Pelajar mesti bersedia berpisah daripada keseronokan jangka pendek demi kepentingan jangka panjang. Keadaan di bilik darjah tentulah tidak sama dengan keadaan di bilik bacaan di rumah yang dilengkapi dengan pendingin hawa dan meja tulis persendirian.
Pelajar juga harus akur bahawa pembelajaran bermakna usaha meneroka sejumlah ilmu pengetahuan baharu yang diungkapkan menerusi istilah, konsep, prinsip, model dan rumus yang tertentu. Hanya dengan ilmu, pelajar akan berasa lebih jelas dan pasti tentang peristiwa rencam yang berlaku sejak dahulu kala. Nilai modal insan dalam diri mereka meningkat dengan hebat, lalu mereka akan lebih berkeyakinan untuk berada di tengah-tengah masyarakat dengan penghormatan dan kewibawaan.
Pelajar yang dimuliakan,
Ilmu ibarat permata yang tidak terhingga nilainya. Hanya insan yang bertuah dan murah rezeki memiliki kesempatan beroleh permata seumur hidup. Demikian juga proses mencari ilmu tidak semudah memetik jari memanggil pelayan hotel, atau seperti kisah dongeng Aladin dengan lampu ajaib.
Ilmu ibarat permata yang tidak terhingga nilainya. Hanya insan yang bertuah dan murah rezeki memiliki kesempatan beroleh permata seumur hidup. Demikian juga proses mencari ilmu tidak semudah memetik jari memanggil pelayan hotel, atau seperti kisah dongeng Aladin dengan lampu ajaib.
Syed Muhammad Naquib al-Attas, profesor falsafah tersohor negara mengatakan bahawa ilmu ialah ketibaan makna. Sebab itulah ilmu itu sangat dekat dengan kebenaran dan sekali gus membongkar kepalsuan. Berapa banyakkah cakap-cakap dan saranan tidak lebih daripada kata-kata palsu yang tidak ada asas ilmu, sebaliknya berpunca daripada emosi dan hawa nafsu serakah?
Kebijaksanaan silam mengungkapkan peribahasa 'berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian'. Dalam proses pembelajaran, pelajar harus menggembleng keupayaan akal, kemahiran dan sikap bagi menghadapi kesukaran dalam mengungkapkan ilmu. Semakin tinggi aras kesukaran sesuatu ilmu pengetahuan, semakin terserlah perbezaan dan perpisahan antara pelajar cemerlang dengan pelajar biasa-biasa.
Pelajar cemerlang bukan sahaja sanggup bertungkus-lumus dan berkorban demi pembelajaran, tetapi juga mencari kaedah terbaik untuk memudahkan tugas mencari ilmu. Bagi memperoleh hasil yang luar biasa, pelajar cemerlang berusaha secara luar biasa, iaitu pemikiran di luar kotak. Pelajar cemerlang sangat menghargai ilmu sebagai permata yang terbentuk jutaan tahun, serta perlu dicari gali menerusi teknologi tinggi dan perbelanjaan yang sangat mahal...
Tuesday, September 11, 2012
10 PERATUS CALON EKONOMI STPM DAPAT 'A' (HIGH, AVERAGE AND LOW ACHIEVERS)
Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) melaporkan bahawa sejumlah 1,677 orang calon atau 9.92 peratus berjaya memperoleh gred A dan A- dalam kertas Ekonomi STPM 2011. Jumlah calon gred A ialah 852 orang (5.04%) dan A ialah 825 orang (4.88%). Berdasarkan skrip jawapan calon cemerlang berkenaan, MPM mendapati bahawa calon bukan sahaja membuat perancangan jawapan yang rapi, bahkan berupaya mengintegrasi antara teori dengan aplikasi, serta mempersembahkan jawapan deskriptif dan kuantitatif dengan lengkap.
Majoriti calon berada dalam kumpulan sederhana (gred B+, B, B-, C+, C), iaitu sebanyak 7,661 calon atau 45.33 peratus. Ciri calon kumpulan sederhana ialah perancangan jawapan yang kurang rapi akibat kecenderungan belajar secara menghafal. Mereka mungkin berupaya menjawab tugasan definisi dan fakta, tetapi mengalami kesukaran dalam membuat penjelasan aplikasi teori.
Calon kategori lemah atau lulus sebahagian, iaitu gred C-, D+ dan D mewakili 22.29 peratus jumlah calon atau 3,767 orang. MPM mendapati mereka memiliki asas matematik yang begitu lemah untuk membuat penjelasan pemboleh ubah secara deskriptif, apatah lagi untuk menyelesaikan tugasan kuantitatif. Calon lemah juga didapati kurang peka terhadap label gambar rajah dan unit ukuran sesuatu pemboleh ubah.
Bilangan calon yang gagal penuh, atau gred F ialah 3,796 orang calon atau 22.46 peratus. Calon kategori ini sama ada tidak cuba untu menjawab langsung, kecuali bahagian aneka pilihan, atau menulis jawapan seperti membuat karangan biasa. Tiada konsep ekonomi, keluk atau rumus yang berjaya dipersembahkan dalam skrip jawapan.
Jangkaan calon bahawa kertas 1 (mikroekonomi) lebih mudah untuk memperoleh gred lebih tinggi juga meleset. Perkara itu berlaku justeru kebanyakan calon masih mengulangi kesilapan yang sama ketika peperiksaan dalaman di sekolah, iaitu tidak membaca tugasan soalan dengan cermat. Di samping itu, calon didapati cenderung untuk 'mencedok' jawapan naskhah ramalan tanpa pernah merujuk buku teks yang disyorkan dan sukatan pelajaran sebenar.
Sebagai contoh, untuk soalan esei panjang nombor 10, calon dikehendaki menjelaskan maksud industri dengan contohnya sekali. Tugasan 'menjelaskan' membawa maksud pernyataan umum sahaja tidaklah memadai. Kalau calon menulis bahawa industri ialah gabungan firma yang mengeluarkan barang yang sama, maka jawapan itu hanyalah bersifat umum (rubrik Gn = general).
Pencapaian kertas makro walaupun didapati meningkat, tetapi masih dalam kategori sederhana. Perancangan jawapan yang kurang rapi menyebabkan sering berlaku perulangan fakta atau menulis jawapan sesuka hati tanpa menggunakan istilah, konsep dan teori ekonomi. Calon masih belum boleh membezakan kaedah induktif dan deduktif, sehingga tidak mampu membezakan tugasan yang memerlukan huraian keluk dan contoh berangka, atau sekadar perlu huraian deskriptif sahaja.
...
...
...
...
...
PENGURUSAN KERJA RUMAH PELAJAR (THE EXTENSION OF SCHOOL LIFE AT HOME)
Kanak-kanak zaman moden dikatakan tidak memiliki kesempatan untuk membesar dan tumbuh dewasa dalam persekitaran pengalaman yang santai. Mereka menjadi sibuk dengan urusan pembelajaran sepanjang hari atas kehendak ibu bapa yang juga harus melalui jadual kegiatan harian yang padat. Pada sebelah pagi, tugas menjaga kanak-kanak diserahkan kepada pihak sekolah dan disambung dengan pusat tuisyen.
Sesekali isu kerja rumah mendapat perhatian kerana wujud perbezaan pendapat sama ada semua kegiatan pembelajaran, termasuk tugasan lanjutan diselesaikan di dalam bilik darjah, atau dibawa balik ke rumah. Dilema yang berlaku bagi pilihan pertama ialah ibu bapa akan merungut jika anak mereka tidak dibekalkan dengan sejumlah kerja rumah. Mereka berasa tidak senang duduk jika anak-anak mereka kelihatan relaks di hadapan skrin komputer atau televisyen, atau tidak melekat di rumah.
Apabila kerja rumah dibekalkan, ibu bapa pula yang perlu membuat 'audit', bertanya dan mungkin memberikan bimbingan. Masalah yang dihadapi ialah perubahan kurikulum, pendekatan dan istilah yang berbeza dengan zaman ibu bapa bersekolah. Pendek kata, ibu bapa tetap serba salah.
Antara sarjana yang pernah membuat penyelidikan tentang beban kerja rumah ialah Dr. Mohd Sani bin Ibrahim dari UKM. Beliau mendapati bahawa pihak sekolah perlu merancang jumlah kerja rumah yang diberi supaya berpadanan dengan jumlah waktu dan keperluan perkembangan kanak-kanak. Satu garis panduan asas tentang pengurusan kerja rumah perlu diselaraskan di peringkat sekolah.
Terdapat beberapa mata pelajaran yang didapati membekalkan tugasan lanjutan yang banyak seperti bahasa dan matematik. Jika di sekolah teknik dan vokasional, kerja rumah lebih menonjol untuk lukisan kejuruteraan. Pelajar prauniversiti tingkatan 6 pula sibuk dengan tugasan Pengajian Am hingga mencuri masa pembelajaran mata pelajaran yang lain.
Kerja rumah matematik dan lukisan kejuruteraan yang banyak tidaklah menghairankan justeru peruntukan waktu pembelajaran di sekolah begitu terhad, iaitu 4 waktu seminggu. Namun, mata pelajaran bahasa dan pengajian am, iaiatu 6 dan 8 waktu seminggu patut dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyiapkan sebahagian besar tugasan di dalam bilik darjah. Selain bimbingan meja ke meja, pelajar dapat dilatih dengan perancangan jawapan dan ujian kecekapan masa.
Aras kesukaran dan amaun kerja rumah juga seharusnya berbeza antara kumpulan murid (berasaskan kelas) bergantung kepada keupayaan murid dan hasil pembelajaran yang diharapkan. Lebih baik jika guru memberi bimbingan tentang kemahiran menguruskan kerja rumah kepada semua murid dan mendapatkan komitmen mereka supaya tugasan berkenaan dapat disiapkan dalam tempoh waktu yang munasabah dan dipersetujui. Murid berasa dihargai kerana memiliki suara dalam proses membuat keputusan tentang kerja rumah, walaupun hakikatnya cara itu ialah sisi politik pembelajaran.
Kreativiti dalam pengurusan kerja rumah perlu diberi perhatian sama ada oleh pihak sekolah, ibu bapa dan murid sendiri. Kerja rumah yang berupa tugasan lanjutan yang tidak sempat disiapkan di sekolah tidak menjadi beban sama sekali, bahkan sebagai pengukuhan pembelajaran yang istimewa di mata murid dan ibu bapa. Kerja rumah tidak pula mengakibatkan pertumbuhan diri kanak-kanak sinonim dengan beban emosi dan tekanan yang berlebihan.
...
...
Monday, September 10, 2012
PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN TUMPU 9 BIDANG KEUTAMAAN (POLICY RENEWAL DRIVEN FOR COMPLEXITY EDUCATIONAL ENVIRONMENT)
Sektor pendidikan sekolah akan terus mendapat perhatian masyarakat di negara kita justeru kira-kira 15 peratus penduduk Malaysia, iaitu hampir enam juta orang murid dan setengah juta orang guru, serta kakitangan di sekolah, pejabat dan kementerian terbabit secara langsung dalam aktiviti memupuk pembelajaran. Selain itu, lebih banyak pihak juga mempunyai hubungan dan kepentingan dengan sekolah, terutama ibu bapa, pembekal buku dan alat tulis, serta penyedia perkhidmatan pengangkutan awam dan kawalan lalu lintas. Sekolah juga berfungsi sebagai 'pusat jagaan' kanak-kanak supaya ibu bapa lebih tenteram untuk keluar bekerja dan masyarakat menikmati manfaat keselamatan jangka panjang apabila anak-anak muda memiliki akses terhadap pendidikan dan ilmu pengetahuan di sekolah.
Kalau diikutkan kehendak ibu bapa yang cenderung untuk 'lepas tangan' terhadap pencapaian anak masing-masing, jangka waktu persekolahan harian biarlah dilanjutkan hingga lewat senja supaya mereka boleh menjemput anak 'sekali harung' apabila pulang dari tempat kerja. Usahawan pusat tuisyen telah menghidu kesempatan itu, lantas menawarkan pelbagai pakej "jagaan" anak kepada ibu bapa yang sibuk dan kekurangan masa untuk memantau perkembangan pembelajaran anak mereka. Di bandar-bandar besar, konsep pusat tuisyen untuk menyiapkan kerja rumah dan folio pentaksiran berasaskan sekolah telah bermula.
Usahawan pusat tuisyen juga bijak membina rapport dengan pihak yang berpengaruh dan memiliki akses terhadap maklumat terkini dunia pendidikan. Misalnya, mereka melantik mantan pegawai tinggi pendidikan sebagai panel penasihat pusat tuisyen mereka, di samping menganjurkan pelbagai program bengkel dan seminar dengan pengisian oleh pegawai kurikulum dan jurulatih utama peringkat kebangsaan di ibu kota. Pendek kata, pusat tuisyen seperti itu begitu serius dalam merebut kepercayaan pasaran yang sebenarnya sangat luas.
Walaupun pusat tuisyen semakin kreatif dan proaktif, tetapi peranan asas sekolah sebagai tapak pemerolehan ilmu pengetahuan, kemahiran, sikap dan segala bentuk pengalaman pembelajaran tidak mungkin dapat ditukar ganti. Selain itu, hanya sekolah yang memiliki wewenang penuh terhadap reka bentuk penilaian, pengukuran dan pentaksiran pembelajaran.
Setelah dua tahun Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP 2006 - 2010) berakhir, kini muncul pula Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP, bukan akronim nama parti politik), satu rancangan perspektif jangka panjang yang menjangkau hingga tahun 2025. Laporan awal pelan berkenaan baharau sahaja dilancarkan pagi tadi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Laporan itu juga menyatakan Kementerian Pelajaran melancarkan semakan menyeluruh sistem pendidikan pada Oktober 2011 bagi membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan baru berkenaan. Menurut laporan itu, keputusan berkenaan dibuat dalam konteks peningkatan standard pendidikan antarabangsa, aspirasi kerajaan untuk mempersiapkan kanak-kanak di Malaysia dalam menghadapi abad ke-21, serta harapan menggunung masyarakat serta ibu bapa terhadap dasar pendidikan. Dalam tempoh setahun, lebih 50,000 pegawai kementerian, guru, pengetua, ibu bapa, pelajar dan orang ramai dilibatkan dalam pelbagai bentuk perbincangan, malah kementerian juga melantik panel 12 pakar tempatan dan sebuah panel empat pakar antarabangsa bagi memberi input mengenai hasil semakan.
Menurut dokumen itu, Kementerian Pelajaran berharap usaha berkenaan akan memperjelaskan kepada masyarakat usaha mengubah sistem pendidikan negara dan akan mendapatkan maklum balas daripada komuniti mengenai laporan awal berkenaan sebelum pelan dimuktamadkan pada Disember ini. Proses transformasi sistem pendidikan akan dilaksanakan dalam tempoh 13 tahun dengan Gelombang 1 (2012-2015) menumpukan kepada usaha memperbaiki sistem dengan memberi sokongan guru dan tumpuan kepada kemahiran asas; Gelombang 2 (2016-2020) pula mempercepatkan penambahbaikan sistem; dan Gelombang 3 (2021-2025) ke arah kecemerlangan menerusi operasi yang lebih fleksibel. Pelan itu menyasarkan hasil pada lima aspek iaitu akses, kualiti, kesaksamaan, perpaduan dan kecekapan.
Pelan turut menyasarkan pembangunan pelajar yang memiliki enam sifat utama untuk membolehkan mereka bersaing di peringkat global iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran diwbahasa, beretika dan beragama, serta beridentiti kebangsaan.
Sebelas anjakan yang digariskan kementerian ialah:
1. Menyediakan akses sama rata untuk pendidikan berkualiti dengan standard antarabangsa;
2. Memastikan setiap pelajar fasih dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris;
3. Membangunkan rakyat Malaysia yang dipacu nilai murni;
4. Menjadikan perguruan sebagai profesion pilihan;
5. Memastikan pemimpin sekolah berprestasi tinggi di setiap sekolah;
6. Memperkasakan Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah untuk menyelesaikan isu mengikut keperluan;
7. Memanfaatkan teknologi komunikasi dan maklumat untuk meningkatkan kualiti pembelajaran di seluruh Malaysia;
8. Menambah baik keupayaan penyampaian dan kapasiti kementerian;
9. Bekerjasama dengan ibu bapa, masyarakat dan sektor swasta;
10. Memaksimumkan kemenjadian pelajar bagi setiap ringgit yang dibelanja;
11. Meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban umum.
Laporan itu juga menyatakan Kementerian Pelajaran melancarkan semakan menyeluruh sistem pendidikan pada Oktober 2011 bagi membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan baru berkenaan. Menurut laporan itu, keputusan berkenaan dibuat dalam konteks peningkatan standard pendidikan antarabangsa, aspirasi kerajaan untuk mempersiapkan kanak-kanak di Malaysia dalam menghadapi abad ke-21, serta harapan menggunung masyarakat serta ibu bapa terhadap dasar pendidikan. Dalam tempoh setahun, lebih 50,000 pegawai kementerian, guru, pengetua, ibu bapa, pelajar dan orang ramai dilibatkan dalam pelbagai bentuk perbincangan, malah kementerian juga melantik panel 12 pakar tempatan dan sebuah panel empat pakar antarabangsa bagi memberi input mengenai hasil semakan.
Menurut dokumen itu, Kementerian Pelajaran berharap usaha berkenaan akan memperjelaskan kepada masyarakat usaha mengubah sistem pendidikan negara dan akan mendapatkan maklum balas daripada komuniti mengenai laporan awal berkenaan sebelum pelan dimuktamadkan pada Disember ini. Proses transformasi sistem pendidikan akan dilaksanakan dalam tempoh 13 tahun dengan Gelombang 1 (2012-2015) menumpukan kepada usaha memperbaiki sistem dengan memberi sokongan guru dan tumpuan kepada kemahiran asas; Gelombang 2 (2016-2020) pula mempercepatkan penambahbaikan sistem; dan Gelombang 3 (2021-2025) ke arah kecemerlangan menerusi operasi yang lebih fleksibel. Pelan itu menyasarkan hasil pada lima aspek iaitu akses, kualiti, kesaksamaan, perpaduan dan kecekapan.
Pelan turut menyasarkan pembangunan pelajar yang memiliki enam sifat utama untuk membolehkan mereka bersaing di peringkat global iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran diwbahasa, beretika dan beragama, serta beridentiti kebangsaan.
Sebelas anjakan yang digariskan kementerian ialah:
1. Menyediakan akses sama rata untuk pendidikan berkualiti dengan standard antarabangsa;
2. Memastikan setiap pelajar fasih dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris;
3. Membangunkan rakyat Malaysia yang dipacu nilai murni;
4. Menjadikan perguruan sebagai profesion pilihan;
5. Memastikan pemimpin sekolah berprestasi tinggi di setiap sekolah;
6. Memperkasakan Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah untuk menyelesaikan isu mengikut keperluan;
7. Memanfaatkan teknologi komunikasi dan maklumat untuk meningkatkan kualiti pembelajaran di seluruh Malaysia;
8. Menambah baik keupayaan penyampaian dan kapasiti kementerian;
9. Bekerjasama dengan ibu bapa, masyarakat dan sektor swasta;
10. Memaksimumkan kemenjadian pelajar bagi setiap ringgit yang dibelanja;
11. Meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban umum.
Rangka tindakan awal
itu menyatakan Kementerian Pelajaran akan berganding bahu dengan Institut
Pendidikan Guru dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk memastikan kualiti
kurikulum dan pensyarah dinaik taraf bagi melahirkan guru seperti yang
dihasratkan. Ia juga menyatakan bahawa mulai 2013, beban guru dalam bidang pentadbiran akan
diringankan bagi membolehkan mereka memberi fokus terhadap tugas mengajar. Ini akan dicapai dengan memperkemas dan mempermudahkan proses pengumpulan
data dan pengurusan sedia ada, manakala sesetengah fungsi pentadbiran juga akan dipindahkan kepada pusat perkhidmatan terpusat atau kepada guru khusus pentadbiran di
peringkat sekolah," kata laporan itu.
Kementerian Pelajaran juga bercadang melaksanakan kemajuan kerja berasaskan kecekapan dan prestasi menjelang 2016, apabila guru diberi penilaian setiap tahun oleh pengetua masing-masing, dengan inputnya mungkin diberi rakan setugas mereka. Malah, guru paling baik mungkin dinaikkan pangkat daripada DG41 kepada DG54 dalam tempoh lebih cepat berbanding tempoh kenaikan pangkat purata sedia ada iaitu 25 tahun. Guru yang menghadapi masalah untuk mencapai kualiti minimum pula akan diberi bimbingan sokongan tambahan untuk membantu mereka kembali berada di landasan sewajarnya.
Guru yang sering mencatat prestasi rendah, walaupun sudah menerima sokongan tambahan, akan diberi tugas lain yang mempunyai kaitan dengan fungsi sekolah seperti pentadbiran, pegawai tatatertib atau pengurusan kokurikulum," kata laporan itu
Kementerian Pelajaran juga bercadang melaksanakan kemajuan kerja berasaskan kecekapan dan prestasi menjelang 2016, apabila guru diberi penilaian setiap tahun oleh pengetua masing-masing, dengan inputnya mungkin diberi rakan setugas mereka. Malah, guru paling baik mungkin dinaikkan pangkat daripada DG41 kepada DG54 dalam tempoh lebih cepat berbanding tempoh kenaikan pangkat purata sedia ada iaitu 25 tahun. Guru yang menghadapi masalah untuk mencapai kualiti minimum pula akan diberi bimbingan sokongan tambahan untuk membantu mereka kembali berada di landasan sewajarnya.
Guru yang sering mencatat prestasi rendah, walaupun sudah menerima sokongan tambahan, akan diberi tugas lain yang mempunyai kaitan dengan fungsi sekolah seperti pentadbiran, pegawai tatatertib atau pengurusan kokurikulum," kata laporan itu
...
...
...
9 bidang keutamaan:
·
Memartabatkan profesion keguruan
·
Meningkatkan kepemimpinan sekolah
·
Meningkatkan kualiti sekolah
·
Memantapkan standard kurikulum dan
pentaksiran
·
Meningkatkan penguasaan pelbagai
bahasa
·
Pembabitan ibu bapa, swasta dan
sosial sebagai rakan kongsi
·
Meningkatkan kesediaan murid untuk
pendidikan tinggi dan pasaran kerja
·
Memperbaiki kecekapan dan
keberkesanan sumber
·
Membina kemampuan dan keutamaan
sistem penyampaian
...
...
...
MOTIVASI BELAJAR: KASIHANI DIRI SENDIRI (PLEASE YOURSELF AND OTHERS TOO)
Pelajar yang dikasihi
Mari kita hitung sejenak perbelanjaan yang kita bayar setiap hari datang ke sekolah. Mula-mula bangun pagi gosok gigi, bersih diri dan solat. Sudah ada kiraan untuk bil elektrik, bil air, ubat gigi, gel mandian, bedak dan bahan membasuh pakaian hingga kalian kelihatan sebagai anak muda yang kemas dan berwibawa.
Persalinan pakaian seragam sekolah juga dibeli dengan harga yang tertentu dan perlu dicuci secara tetap. Kemudian, kalian akan menaiki kenderaan yang tentunya membabitkan perbelanjaan. Berapakah pula amaun perbelanjaan untuk menyediakan segala kelengkapan alat tulis dan bahan rujukan pembelajaran kalian?
Seterusnya perbelanjaan makan minum daripada sarapan pagi, waktu rehat, tengah hari dan petang supaya kalian memiliki tenaga untuk belajar. Soal punca datangnya wang saku dan pihak yang berjaya merebut wang kalian itu kita bincangkan kemudian sahaja. Soalan yang patut ditanya ialah adakah perbelanjaan yang kalian tanggung itu berbaloi dan setimpal dengan pencapaian pembelajaran kalian?
Sebenarnya banyak lagi perbelanjaan yang tidak kelihatan justeru kalian tidak pernah membuat bayaran secara langsung, atau dalam bahasa ekonomi disebut sebagai kos lepas. Andai kata kalian tidak ke sekolah, sebaliknya bekerja di suatu tempat, katakan dengan pendapatan RM30 sehari.
Kalian juga tidak membayar upah untuk guru-guru dan kakitangan sekolah yang memberikan perkhidmatan pembelajaran. Mereka telah menjalani proses pengajian akademik yang panjang, serta latihan ikhtisas keguruan yang tidak mudah. Menerusi hitungan konservatif, seorang murid perlu membayar RM100 sehari bagi mendapatkan perkhidmatan keguruan di sekolah.
Disebabkan kalian tidak mengeluarkan wang tunai untuk membayar perkhidmatan keguruan, maka tugas itu ditanggung menerusi sumber dana pembayar cukai. Andai kata bahawa dalam sehari jumlah perbelanjaan yang perlu dibayar ialah RM200, maka sebulan = RM200 @ 20 hari = RM4,000. Maka, kasihani diri kalian kerana telah 'berhutang' dengan pembayar cukai selama masih bergelar murid sekolah.
Akaun Untung Rugi Pembelajaran
Akaun Untung Rugi Pembelajaran
Keuntungan menjadi pelajar cemerlang
Kerugian menjadi pelajar sebarangan
Siapa yang kalian ingin gembirakan
Diri sendiri atau orang lain?
bersambung...
Sunday, September 9, 2012
GANGNAM STYLE: BELAJAR PENGALAMAN KOREA SELATAN (THE RAPID TRANSFORMATION MODEL)
Dari segi kedaulatan wilayah geografi, kerajaan Seoul bergantung kepada tentera Amerika Syarikat, sebagaimana di Jepun, ekoran perjanjian pasca-Perang Dunia Kedua. Ancaman terbesar datang dari jiran bersaudara, iaitu rejim komunis Pyongyang (Korea Utara) yang saban waktu mempamerkan kekuatan tentera mereka. Maka, tumpuan Korea Selatan lebih menjurus kepada kegiatan ekonomi, inovasi dan teknolgi yang meletakkan negara berkenaan sebaris dengan negara industri termaju dunia.
Pada dekad 1960-an, Korea Selatan hanyalah sebuah negara miskin dengan pendapatan per kapita yang rendah. Korea Selatan juga kurang dikenali berbanding dengan Jepun atau Taiwan. Pencapaian bidang sukan dan teknologi mereka hampir tidak didengari.
Melalui perjalanan masa, sedikit demi sedikit negara empat musim itu bangkit dengan cepat untuk merebut peluang menerokai pasaran sejagat yang masih terbuka luas. Suatu ketika dahulu, jenama Korea Selatan seperti LG dan Daewoo dipandang rendah oleh firma terkemuka Jepun dan Amerika Syarikat. Namun, dalam tempoh yang tidak lama, kedua-dua jenama berkenaan mula menjadi sebutan di serata dunia.
Kemudian, Samsung memperkukuh kedudukan sehingga berjaya membuat gergasi komunikasi Finland (Nokia), Amerika Syarikat (Apple) dan Jepun (Fujitsu, Sony, Toshiba) terpinga-pinga. Kemuncaknya, Samsung didenda oleh mahkamah Amerika Syarikat sebanyak USD1 bilion, dan dengan cepat Samsung akur, lalu menghantar 30 buah treler yang memuatkan duit syiling satu sen sebagai sindiran kepada Apple. Nampak gayanya, lebih banyak kejutan akan dikeluarkan oleh Samsung.
Kejuruteraan automatif Korea Selatan juga semakin melebarkan sayap ke serata pelosok dunia dengan ciri pemanduan dan teknologi mesra alam yang terkini. Jenama kenderaan penumpang seperti Hyundai, Kia, dan Syangyung telah meningkat sebagai jenama mewah yang digilai oleh pasaran, terutama dalam kalangan generasi muda yang bakal membentuk kesetiaan jenama dalam jangka panjang. Isu nilai jualan semula sudah tidak dipedulikan apabila aspek reka bentuk, keselesaan dan keselamatan pemanduan berjaya menambat hati pengguna.
Kepakaran seni bina bangunan dan kejuruteraan awam Korea Selatan juga berjaya dieksport hingga ke Arab Saudi, Malaysia dan negara-negara sedang membangun yang lain. Kontraktor utama negara itu berjaya membida projek mega dengan menawarkan harga yang berdaya saing tanpa mengorbankan mutu reka bentuk dan ketahanan struktur binaan. Jurutera mereka yang tidak begitu fasih dalam bahasa Inggeris nyata tidak menunjukkan sebarang kekurangan dari segi kecekapan kerja.
Dengan munculnya syarikat gergasi tempatan yang seterusnya berkembang sebagai syarikat multinasional, Korea Selatan tidak lagi menghadapi masalah pengangguran. Malah, kuasa beli rakyat Korea Selatan telah meningkat berlipat kali ganda. Apabila pendapatan seseorang (buruh) meningkat, maka mengikut teori ekonomi, mereka mula memperuntukkan masa rehat yang lebih panjang untuk membelanjakan tambahan pendapatan yang diperoleh.
Maka, sebahagian perbelanjaan pengguna Korea Selatan telah beralih kepada sektor hiburan, sukan dan perhiasan. Irama muzik yang progresif telah membawa genre k-pop sebagai suatu fenomena yang mempunyai pengikut di seluruh dunia. Memanglah fesyen pakaian dan tarian penyanyi wanita mereka begitu mencolok mata, tetapi awaslah bahawa tugas menyebarkan budaya kuning oleh Barat telah dirampas oleh Korea Selatan.
Terkini, penyanyi rap berbadan gempal, Psy, 34, telah mencetuskan fenomena muzik luar biasa dengan tarian kuda oleh gadis yang juga berpakaian mencolok mata. Video Gangnam Style yang dimuat naik ke laman perkongsian audio visual You Tube khabarnya telah ditonton sebanyak 120 juta kali. Jika dahulu pelakon-pelakon Slumdog Millionaire dari India diberi sambutan permaidani merah dalam majlis anugerah Academy, kini Psy pula membuat kemunculan dalam majlis anugerah MTV World.
Bidang sukan di Korea Selatan juga sudah mencapai tahap dunia. Dahulu, pasukan bola sepak Korea Selatan lebih kurang setara dengan negara kita, tetapi kini jauh panggang dari api. Begitu juga pasukan hoki negara itu yang telah menduduki carta 10 pasukan terbaik dunia. Atlet mereka juga sedang mencipta nama dalam sukan badminton, tenpin bowling, olah raga, renang, tenis dan disiplin dalam dewan yang lain.
Industri fabrik dan fesyen Korea Selatan juga telah berjaya menafikan pengaruh kental Madrid, Rome dan Paris. Di Malaysia sendiri, sebahagian item jualan kain, termasuk sutera ialah tempahan khas daripada Korea walaupun menggunakan jenama tempatan. Kesungguhan rakyat Korea Selatan dalam meningkatkan daya pengeluaran dan daya saing patut dicontohi, tetapi dalam masa yang sama sisi negatif yang berlaku tetap wajib dijauhi...
Subscribe to:
Posts (Atom)

