SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Tuesday, October 9, 2012

KEPENTINGAN MEMATUHI JADUAL WAKTU MENGAJAR (UTILISING CONTACT TIME IN SCHOOL)

Secara rasmi, di sekolah setiap waktu pengajaran dan pembelajaran (PdP) di bilik darjah ialah 40 minit. Namun, jika ada keperluan, dan tentunya setelah mendapat kelulusan pihak berkuasa pelajaran, peruntukan masa berkenaan boleh dipendekkan sedikit, misalnya 35 minit untuk sekolah dua sesi, atau ketika bulan puasa. Malaysia juga tidak melaksanakan peruntukan masa lima minit sebagai jeda pertukaran guru mata pelajaran yang berikutnya sebagaimana di Jepun.

Secara prinsipnya juga, murid di dalam sesebuah bilik darjah tidak boleh dibiarkan tanpa kehadiran guru kerana dikhuatiri boleh mengundang risiko yang tidak dijangka. Murid sekolah daripada tahap prasekolah hingga tingkatan lima masih dalam lingkungan usia juvana, serta perlu perlindungan penuh orang dewasa, iaitu guru PdP.

...

...

...

...

...

...

...

...

Monday, October 8, 2012

KESELARASAN PEMARKAHAN DI SEKOLAH (MARKING SCHEME FOR TEACHERS)

Setelah akur dengan segala keperluan proses pembinaan item soalan, pentadbiran ujian dan peperiksaan, guru akan meneruskan tugas pemeriksaan skrip jawapan murid berdasarkan skema pemarkahan yang disediakan oleh panel penggubal soalan dan disahkan oleh ketua panitia. Walaupun kesuntukan masa, sesi penyelarasan pemarkahan hendaklah dijalankan terlebih dahulu. Segala rubrik penandaan dan tatacara pemberian markah mesti jelas dan persis.

Sejajar dengan konsep profesionalisme keguruan, sesi penyelarasan dan taklimat pemarkahan ini boleh direkod sebagai sesi latihan dalam perkhidmatan (Ladap) untuk enam jam kredit, iaitu bersamaan sehari kursus. Semua peserta dikehendaki membawa dokumen tertentu, iaitu naskhah kertas soalan dan alat tulis yang perlu. Peserta juga akan dibekalkan dengan naskhah peraturan pemarkahan dan tiga salinan skrip calon kategori cemerlang, sederhana dan lemah yang dipilih secara rawak, tetapi nama murid berkenaan dirahsiakan.

Ladap berkenaan dijalankan di bilik mesyuarat yang selesa dan bersesuaian dengan bilangan peserta. Tempat duduk peserta ditetapkan terlebih dahulu supaya segala perancangan taklimat dapat berjalan lancar. Namun, sesuai dengan prinsip andragogi, kawalan yang berlaku itu hendaklah dalam lingkungan etika keguruan dan semangat ikhtisas yang tertinggi.

....

....

....

....

....

....

....

Sunday, October 7, 2012

KEBERKESANAN PROGRAM MOTIVASI (THE SUCCESSFUL SPEAKER)

Berbanding dengan orang putih yang suka melafazkan penghargaan dan pujian, masyarakat Asia dikatakan bersikap sebaliknya. Sebagai contoh, seorang ayah begitu lambat dan payah mengucapkan syabas kepada anak yang begitu teruja dengan kejayaan yang dicipta walaupun kecil sahaja. Akhirnya, si anak tidak lagi mahu bercerita, lalu beralih perkongsian luahan perasaan kepada rakan sebaya yang lebih memahami.

Demikian antara inti pati ucapan penutup program motivasi alihan pelajar (MAP) oleh pengasasnya, Dr. Tengku Asmadi pada petang Ahad, 7/10/2012. Beliau menggesa ibu bapa memberi galakan yang bersungguh-sungguh supaya anak dapat mengekalkan semangat yang berkobar-kobar semasa program motivasi. Perubahan yang berlaku mungkin berlaku serta-merta, perlahan atau seperti tidak berhasil.

Seorang bekas peserta kursus MAP tujuh tahun yang lalu membuat penampilan khas di pentas. Wanita berusia awal 20-an itu kini Penolong Pengarah, Lembaga Hasil Dalam Negeri. Di samping itu, hadirin dipertontonkan tayangan video tentang seorang bekas peserta yang mulanya masuk dalam kategori nakal dan tidak cemerlang, akhirnya menyandang kedudukan Pegawai Khas Timbalan Perdana Menteri.

...

...

...

...

...

...

...

...

... 

Saturday, October 6, 2012

GURU SISWAZAH IPGM, IPTA DIBERI PENEMPATAN TAHUN HADAPAN (INTERIM AND PERMANENT POST IN SCHOOL)

Sejumlah 10,715 orang siswazah pendidikan menerima khabar gembira berikutan pengumuman Kementarian Pelajaran tentang urusan penempatan mereka yang dijangka selesai menjelang awal tahun 2013. Proses penempatan secara interim akan ditawarkan kepada 2,960 orang siswazah, terdiri daripada 2,478 daripada program J-Qaf (Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain), 368 TESL, 90 KPLI, 14 program bahasa Perancis dan 10 orang calon mengulang temu duga. Mereka akan mula melapor diri pada 16 Oktober ini.

Kumpulan berkenaan telah menamatkan pengajian sebelum bulan Julai lalu, manakala baki 7,775 orang lagi yang bergraduat selepas tarikh itu akan menjalani temu duga Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP). Sementara menunggu keputusan temu duga untuk lantikan tetap, mereka juga ditempatkan secara interim. Dahulu, pelantikan secara interim dikenali sebagai penempatan guru sandaran terlatih.

Status guru interim bermaksud mereka layak menikmati segala ganjaran kewangan dan faedah sampingan sepertimana penjawat awam yang lain, kecuali status perkhidmatan secara tetap. Tempoh interim tidak akan diambil kira sebagai perkhidmatan tetap, termasuk senioriti dan hitungan sagu hati persaraan (gratiuiti). Tarikh lantikan tetap akan tertakluk kepada keputusan temu duga SPP, sama ada mulai tarikh temu duga, atau diundur sehingga saa dengan tarikh penepatan secara interim.

Kepada calon temu duga SPP dinasihatkan supaya membuat persiapan yang rapi dan tidak hadir sesi temu duga SPP dengan tangan kosong. Penampilan dan pakaian hendaklah menggambarkan perwatakan seorang guru. Buat senarai semak terlebih dahulu sebelum melangkah menuju tempat temu duga, termasuk tanda nama dan tali leher (bagi lelaki).

Apabila ditempatkan di sekolah, guru sandaran terlatih atau interim tadi harus cepat-cepat membina hubungan mesra (rapport) dengan guru-guru yang sedia ada. Walaupun guru baharu kaya dengan input pedagogi terkini, guru-guru lama pula kaya dengan pengalaman. Maka, sebagai anak muda yang budiman dan beradab sopan, guru baharu harus bersedia menghormati guru yang lebih lama.

...

...

...

...

...

Friday, October 5, 2012

SAHOM DAN SUNGAI SIPUT SELATAN (THE REMOTE 'GLOBAL VILLAGE')

Kalau Sungai Siput Utara, biasa kita dengar dan mungkin juga pernah singgah untuk mesyuarat, atau sekadar menziarahi rakan taulan. Sungai Siput Utara juga ialah sebuah kawasan parlimen yang terkenal dan dianggap kawasan panas. Maka, bagaimanakah pula agaknya Sungai Siput Selatan?
Rasa ingin tahu membawa penulis blog (PB) menuju ke sana tengah hari tadi (Sabtu, 6/10/12). Dari arah Kampar, kenderaan perlu membelok ke kanan sebelum simpang ke kawasan rekreasi Gua Tempurung. Kalau dari arah Ipoh, lebih mudah justeru tidak perlu melintas jalan yang agak sibuk.

Tidak sangka jalan sempit menuju ke Sungai Siput Selatan begitu panjang dan dihiasi dengan pemandangan gunung batu kapur,serta kuari. Penempatan di sepanjang jalan pula berselang-seli antara kampung Melayu dengan kampung baharu (Cina). Kalau terus sampai penghujung jalan, maka alamat sampai ke Tapah. 

Berbanding dengan Sungai Siput Utara yang berupa sebuah pekan yang agak besar, siap dengan pasar raya Bilion dan TF, Sungai Siput Selatan tidak lebih daripada sebuah kampung baharu. Di situ ada SJKC Min Sin dan ada sebuah balai polis yang sederhana. Terdapat sederet kedai yang biasa-biasa sahaja.
Setelah berpuas hati tentang gambaran sebenar Sungai Siput Selatan, PB meneruskan perjalanan ke Kampung Sahom yang terkenal dengan buah durian yang sangat istimewa. Petanda sesebuah kampung Melayu (Islam) ialah masjid. Sama seperti dalam catatan sirah bahawa perkara terawal yang dilakukan oleh Nabi ialah membina masjid, contohnya di Quba'.

Dahulu, Sahom mungkin sebuah kampung yang terpencil, tetapi kini di kanan dan kiri tersergam rumah banglo yang dihiasi bunga-bungaan yang cantik. Kenderaan jenama mewah juga bukan suatu pemandangan yang asing. Malah, terdapat litar motorcross di Sahom.

Kecuali operasi sebuah kilang kuari yang berhampiran, Sahom masih sebuah kampung yang cantik. Alur sungai kecil yang berpunca daripada air gunung juga kelihatan begitu indah sambil dipenuhi batu kerikil gunung seperti diletak-letak. Masih ramai anak muda dan remaja di Sahom, mungkin kerana kedudukannya yang tidak begitu jauh dari Ipoh, kampar dan Tapah yang tersambung menerusi jalan raya berturap yang boleh dikatakan bermutu tinggi.

Tidak lama lagi, apabila lot tanah perumahan di bandar raya Ipoh, bandar Kapar dan Tapah semakin terhad, kemungkinan Sahom diintai oleh peminat lot banglo bukan mustahil. Namun, penduduk Sahom tidak harus gelap mata dengan tawaran harga yang tinggi. Sekali tanah terlepas ke tangan pihak lain, sama seperti tanah air terlucut milik buat selama-lamanya...

PERBEZAAN PENDAPAT DALAM ORGANISASI (TOLERANCE SETTING AND PEACEFUL ENDING)

Rambut sama hitam, hati lain-lain. Insan pada umumnya tidak akan sama sepenuhnya, baik jasmani, mahupun  fikiran. Walau mirip bagaimana sekalipun, dua orang insan masih boleh dibezakan menerusi struktur DNA.

...

...

...

...

...

...

...

...

...

...

...

Thursday, October 4, 2012

ISU GURU BERTUGAS DI LUAR SEKOLAH (CORE BUSINESS AND LARGE SCALE CONTRIBUTION)

Kini, segara maklumat pergerakan guru yang bertugas di luar kawasan sekolah seperti mesyuarat, taklimat, mengawas peperiksaan, mengiringi murid ke acara pertandingan dan tugas rasmi yang lain direkodkan dalam sistem pangkalan data atas talian e-gerak. Pada prinsipnya, seseorang guru hanya dibenarkan berada di luar kawasan sekolah tidak melebihi 30 peratus daripada waktu bertugas, atau bilangan hari bertugas. Pengecualian mungkin hanya diberi berdasarkan keperluan yang dianggap kritikal dan tidak dapat dielakkan, tetapi masih perlu mendapat kelulusan pihak Jabatan Pelajaran.

Setiap jemputan kepada guru untuk bertugas di luar kawasan sekolah juga tertakluk kepada kebenaran ketua jabatan masing-masing, iaitu pengetua (sekolah menengah) dan guru besar (sekolah rendah). Kawalan yang dilakukan bertujuan untuk memastikan bahawa proses pembelajaran di sekolah tidak terjejas akibat ketiadaan guru di bilik darjah. Sistem guru ganti atau aktiviti alternatif boleh diaturkan supaya maksud murid datang ke sekolah untuk memupuk pembelajaran tercapai sepenuhnya.

Musim guru bertugas di luar kawasan sekolah biasanya paling tinggi pada awal penggal persekolahan, iaitu penyertaan murid dalam pertandingan koakademik, sukan dan kawad kaki. Pada penghujung tahun pula, banyak guru akan menghadiri taklimat pengawasan peperiksaan dan seterusnya tugas dokumentasi yang lain. Guru yang dilantik sebagai jurulatih utama (JU) pula akan mengendalikan slot latihan untuk guru di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. 

Terdapat juga sebilangan guru yang terlibat aktif sebagai pemudah cara program motivasi, kepimpinan dan antidadah. Sumbangan guru untuk program Biro Tatanegara juga memerlukan mereka memperoleh pelepasan cuti tanpa rekod yang terhad untuk 30 hari setahun. Guru cemerlang pula sering menghadiri persidangan untuk merangka modul amalan bilik darjah, atau menggubal item pentaksiran sumatif terselaras.

Kebetulan semasa latihan praperkhidmatan, para guru begitu banyak menerima pendedahan kejurulatihan dan pengadil pertandingan, malah sebahagian guru memiliki tauliah daripada organisasi sukan peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Sebagai contoh, pengadil bola sepak Fifa, badminton dan ragbi. Maka, tugasan mereka boleh menjangkau ke luar negara.

Namun, sekali berdaftar sebagai guru, selama-lamanya akan bergelar guru walaupun selepas bersara. Dalam tempoh perkhidmatan, tugas asasi guru ialah menolong pelajar dalam proses memupuk pembelajaran. Walaupun sibuk dengan pelbagai tugas sampingan, bilik darjah tetap menduduki senarai teratas.

Sumbangan guru dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman masyarakat juga semakin didambakan. Rukun tetangga, Rela, polis bantuan, JPA3 dan askar wataniah mengharapkan penyertaan aktif kaum guru. Bagi sesetengah organisasi sedemikian, guru diberi kedudukan sebagai pegawai tertinggi, misalnya sebagai pemerintah kawasan bagi rejimen askar wataniah.

Proses pembelajaran di bilik darjah pada amnya dianggap lebih berkesan menerusi kaedah bersemuka, berbanding dengan guru meninggalkan tugasan bertulis untuk mereka. Bimbingan dan kawalan langsung guru di bilik darjah dapat membantu murid mencapai tahap akses pembelajaran.

...

...

Wednesday, October 3, 2012

CABARAN PELAKSANAAN KAEDAH KULIAH DI SEKOLAH (REINVENTING PEDAGOGICAL WISDOM)

"Harapan setinggi gunung, hancur berderai menjadi debu..." Demikian lirik sebuah lagu saduran Let Just Kiss and Say Goodbye yang pernah dipopularkan oleh kumpulan 'Tulang Anjing Hitam' (Black Dog Bone) kira-kira tiga dekad yang lalu. Namun, bukan menjadi tujuan tulisan ini untuk melayan lagu 'jiwang' itu yang ditujukan barangkali untuk anak-anak muda yang mabuk asmara, dan terjebak dengan pergaulan bebas lepas.

Mesej pendek yang hendak diambil ialah sering terjadi jurang antara harapan dengan kenyataan, antara realiti dengan fantasi, dan antara langit dengan bumi. Guru masuk ke bilik darjah dengan semangat yang berkobar-kobar dan dengan persiapan yang cukup rapi untuk melunaskan amanah agama, bangsa dan negara, serta supaya setimpal dengan gaji yang ditanggung oleh pembayar cukai. Maka, tentulah sangat sayang jika sambutan murid begitu dingin, bagaikan membungkus hingga ke tulang sum-sum.

Sebagai ahli ikhtisas yang berbekalkan segala input falsafah pendidikan, psikologi, sosiologi, pedagogi dan amalan kurikulum, guru sentiasa bersedia menerima hakikat bahawa sebagai insan biasa, mereka hanya mampu merancang, tetapi pada akhirnya Tuhan yang menentukan hasilnya. Tingkah laku kanak-kanak mungkin boleh diramalkan, tetapi tindak balas mereka terhadap ransangan persekitaran tetap misteri. Maka, guru yang telah lazim dengan bimbingan kecerdasan emosi akan mampu bersabar, bertolak ansur dan bersedia melakukan proses penyesuaian aktiviti pembelajaran yang perlu.

Kaedah kuliah lebih kuat penerimaannya dalam kalangan pelajar pengajian tinggi dan prauniversiti seperti matrikulasi, A Level, foundation dan baccalaureate. Namun, untuk pelajar tingkatan enam yang masih dipengaruhi persekitaran sekolah, kaedah kuliah menempuh jalan yang agak sukar. Hanya di tangan guru yang kreatif, kaedah kuliah dapat dipakej semula dan diberi nafas baharu. 

Kaedah kuliah sehala hampir pasti menyebabkan pelajar cepat hilang tumpuan, sebaliknya lebih sibuk melayan perasaan keremajaan mereka, atau mula bergosip dengan rakan sebelah. Terdapat juga pelajar yang menyiapkan tugasan mata pelajaran lain justeru berasa bahawa isi kuliah yang disampaikan itu nanti boleh dibaca kemudian. Guru yang peka tidak cepat tersinggung atau mula naik marah, sebaliknya cuba menarik perhatian pelajar dengan aktiviti pembelajaran yang berfokus kepada isi pelajaran tanpa menjejaskan sesi kuliah yang sedang berjalan.

Contohnya, guru lebih banyak mendedahkan kemahiran generik pembelajaran, seperti cara mengasingkan setiap pemboleh ubah atau parameter yang terdapat dalam isi pelajaran, kemudian dihubung kait dan diaplikasi dalam pengalaman sebenar pelajar. Kalau guru hanya menyampaikan kuliah ala isi buku teks, pelajar akan membuat keputusan untuk berada dalam zon penolakan pembelajaran. Kalau hal itu yang berlaku, maka sia-sia sahajalah reka bentuk perancangan aktiviti pembelajaran oleh guru.

Guru yang budiman dan inovatif akan sentiasa melakukan muhasabah atau penilaian kendiri terhadap keberkesanan kaedah kuliah yang disampaikan. Guru cuba meletakkan diri mereka sebagai pelajar untuk mengetahui sama ada mereka sendiri sanggup mendengar sesi kuliah atau syarahan melebihi 20 minit. Guru harus cepat membaca daya tarikan dan magnet yang diperlukan oleh pelajar dalam proses pembelajaran.

Sesungguhnya, kaedah kuliah masih relevan kepada pelajar menengah atas dan tinggi, tetapi patut menerima sentuhan kreativiti menerusi banyak aktiviti sokongan yang menjurus kepada penyampaian isi pelajaran. Kuliah tidak lagi sesuai berbentuk sehala, sebaliknya diselang-seli dengan pelbagai 'acara' dan gimik supaya momentum pembelajaran sentiasa dapat dipacu dengan hebat dan bertenaga. Pelajar akan menganggap bahawa guru ialah sebenar-benar rakan kecemerlangan mereka, manakala jurang generasi seolah-olah sirna...

Tuesday, October 2, 2012

MENGGILAP BAKAT TERPENDAM MURID BERMASALAH PEMBELAJARAN (GIVING HOPE TO THE LESS FORTUNATE CHILDREN)

Konsep pendidikan inklusif yang menempatkan murid pelbagai tahap pencapaian kognitif, afektif dan psikomotor di bawah satu bumbung sekolah bertepatan dengan pendemokrasian pendidikan, iaitu pendidikan bermutu untuk semua murid. Sekolah model khas yang melaksanakan konsep pendidikan inklusif tidak mengasingkan murid berdasarkan pencapaian akademik dan keupayaan jasmani. Terdapat kumpulan murid yang berkebolehan dalam bidang akademik dan terdapat juga program pendidikan khas untuk golongan kanak-kanak kelainan upaya, pintar cerdas dan bermasalah tingkah laku.

Integrasi semua murid dilakukan menerusi kegiatan bilik darjah untuk mata pelajaran umum, misalnya muzik dan pendidikan jasmani. Murid berkeperluan khas kemudian dibimbing oleh guru pendidikan khas seperti pemulihan pertuturan, pengurusan diri dan pendidikan pembacaan senyap, serta nyaring. Sekolah juga menyediakan klinik rawatan awal yang dikendalikan oleh kakitangan paramedik yang terlatih untuk menghadapi sebarang kemungkinan mendadak.

Sekolah model khas seperti itu memerlukan reka bentuk prasarana dan kemudahan peralatan yang bersesuaian. Kepimpinan sekolah juga dilantik dalam kalangan pendidik yang memiliki kepakaran dalam pentadbiran sekolah model khas dan pelaksanaan kurikulum pendidikan inklusif. Sekurang-kurangnya, penolong kanan pendidikan khas akan bertindak sebagai figura penting pengetua dalam bidang kepakaran yang dimaksudkan.

Guru pendidikan khas yang terlatih memang wajar diberi beberapa keistimewaan seperti bayaran elaun bulanan yang lebih tinggi daripada elaun kritikal lain yang diberikan kepada guru teknikal dan BISP. Tahap kesabaran dan tumpuan mereka dalam membimbing murid berkeperluan khas hanya dapat dilakukan oleh orang-orang yang sanggup berkorban dengan suci hati. Harapan yang terpikul di atas pundak mereka begitu tinggi.

Sekolah harian biasa yang tidak memiliki kemudahan dan kepakaran pendidikan khas sebenarnya juga tidak sunyi daripada masalah murid bermasalah pembelajaran. Hakikatnya, memang ada murid yang kelihatan normal pada zahirnya, tetapi berkeperluan khas hanya jika telah menjalani ujian klinikal atau pengamatan pakar menerusi inventori tertentu. Masalah buta huruf mungkin sudah menjadi kes terpencil, namun bilangan murid yang tidak menaruh minat langsung dalam orientasi akademik tidak kecil jumlahnya.

Penubuhan kolej vokasional di seluruh negara mulai tahun 2013 mungkin menangani sebahagian kes berkenaan, tetapi sebahagian murid bermasalah pembelajaran akan kekal di sekolah harian biasa yang tidak memiliki kemudahan dan kepakaran pendidikan khas. Langkah memperkenalkan pakej mata pelajaran vokasional (MPV) di sekolah harian dijangka menawarkan penyelesaian dan jalan keluar. Andai kata kumpulan murid yang sudah menyertai program harapan lulus (Halus) pun hanya mencatat kemajuan yang terhad, maka MPV boleh menjadi jawapan yang ampuh.

Kebolehan kognitif aras tinggi dengan sejumlah konsep mujarad (abstrak) mungkin sukar dijangkau oleh murid bermasalah pembelajaran. Namun, pakar psikologi percaya bahawa setiap insan mungkin hanya mampu menonjolkan beberapa sisi bakat yang ada dalam diri masing-masing, sedangkan jumlah bakat terpendam yang tidak digilap umpama gergasi yang tidur. Maka, di tangan kepimpinan sekolah yang penyayang dan prihatin, peluang setiap kanak-kanak untuk mengembangkan potensi dan fakulti yang ada dalam diri masing-masing akan diberi tanpa pilih kasih.

Sisi imaginasi dan kreativiti kanak-kanak sering tidak mendapat penghargaan dan pengiktirafan sepenuhnya. Kanak-kanak umpama maknikam (permata yang sangat mahal), manakala guru ialah jauhari (pakar permata). Dalam konteks pendidikan inklusif, tidak syak lagi bahawa kepimpinan sekolah dan guru sangat serasi dengan peribahasa 'hanya jauhari mengenal maknikam'...

Monday, October 1, 2012

UNTUNG EKONOMI DAN UNTUNG PERAKAUNAN (THE REWARD FOR ENTREPRENEURS)

Takrif Untung

Bayaran / ganjaran / pulangan kepada faktor usahawan kerana sedia menanggung risiko.

Untung Perakaunan

=  TR - TC, iaitu jumlah hasil tolak jumlah kos.

Kos merujuk kepad kos eksplisit sahaja:  upah, sewa, bunga, bahan mentah,
tetapi tidak mengambil kira bayaran kepada faktor milik firma, iaitu seolah-olah percuma.

Untung Ekonomi
(membabitkan kos lepas)

=  Untung Perakaunan - Kos implisit / tersembunyi / tidak nampak / tidak ketara

Kos implisit:  upah pemilik firma, sewa tanah pemilik firma, bunga modal pemilik firma

Contoh

Kos buka kilang = RM100,000

Jumlah hasil = RM150,000

Maka:

Untung perakaunan = RM150,000 - RM100,000 = RM50,000

Andaikan:

Upah jika bekerja di tempat lain +  RM30,000

Simpan wang di bank = RM100,000 X 5%  =  RM5,000

Maka:

Untung Ekonomi = RM150,000 - (RM30,000 + RM5,000)

                          =  RM150,000 - RM35,000

                           +  RM115,000

Tugasan:

Dengan bantuan contoh berangka, jelas perbezaan antara untung perakaunan dengan untung ekonomi.
                                                                                                                                      [10 markah]

...

...'

...