Saturday, October 20, 2012
KEMUDAHAN SURAU DI PASAR RAYA (TIME CONSUMING AT SHOPPING COMPLEX)
Kunjungan ke sesebuah gedung perniagaan besar seperti pasar raya sudah pasti memakan masa yang cukup panjang. Terdapat bahagian pasar raya dan aneka toko pelbagai jabatan, restoran makanan segera, bank, medan selera dan gerai penjaja di bawah satu bumbung berhawa dingin. Kalau mahu diikutkan hati, sehari suntuk pun tidak akan mencukupi, melainkan dari rumah lagi telah menetapkan barang yang hendak dibeli.
Terang atau gelap, hujan atau panas dan sebagainya di luar kompleks beli belah tidak disedari. Maklumlah di dalam pasar raya keadaannya tetap sama, iaitu terang benderang, kecuali berlaku gangguan bekalan elektrik. Maka, pengunjung perlu rajin menjeling jam tangan atau telefon bimbit masing-masing supaya sedar diri dan tidak leka sehingga terlepas sebarang kewajipan.
Bagi pengunjung beragama Islam, waktu solat tidak boleh diabaikan dalam apa-apa juga keadaan, apatah lagi jika berada dalam suasanan yang begitu nyaman dan selesa di pasar raya. Maka, sejajar dengan peraturan di sebuah negara yang mengangkat Islam sebagai agama persekutuan, pihak pemilik gedung perniagaan dikehendaki menyediakan kemudahan tempat solat, iaitu surau. Di samping untuk memenuhi keperluan pegawai dan kakitangan Islam, kemudahan surau dapat dimanfaatkan oleh para pengunjung supaya tidak menjadi insan yang lalai.
Sesetengah gedung perniagaan hanya menyediakan surau ala kadar, sepertimana pasar raya komputer dan gajet telekomunikasi terkemuka, Plaza Low Yatt di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Namun, kompleks Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman menyediakan ruang surau yang cukup luas di aras bumi meletak kereta. Nampaknya kepekaan pihak pengurusan gedung perniagaan terhadap kemudahan surau bergantung kepada permintaan, ketegasan dan tekanan pihak-pihak yang berkepentingan, khususnya pihak berkuasa agama dan pertubuhan pengguna Islam.
Kompleks membeli belah mega Aeon Ipoh di Stesen 18, Pasir Puteh yang dibeli daripada pemaju hartanah di situ, iaitu Keris Properties turut menyediakan kemudahan surau yang boleh tahan juga. Walaupun saiz ruang surau yang agak kecil jika dinisbahkan dengan kompleks yang tersergam itu, sekurang-kurangnya pekerja dan pengunjung masih memiliki kesempatan untuk menunaikan kewajipan solat. Masalah hanya mungkin berlaku pada waktu puncak dalam waktu solat yang singkat, iaitu Maghrib.
Kemasan lantai yang baik, ruang wuduk yang selesa, hembusan udara pendingin hawa dianggap satu bonus untuk keselesaan pengunjung menunaikan solat. Alangkah baiknya jika azan boleh dikemundangkan sebaik sahaja masuk waktu solat dan segala bunyian muzik yang lain memberi laluan. Paling tidak pengumuman dibuat supaya pengunjung Islam diberi peringatan tentang kewajipan mereka.
Khabarnya pihak Aeon telah membeli sebidang tanah di Jalan Kuala Kangsar bagi membina sebuah lagi gedung perniagaan mega mereka di sana sebagai ganti premis sewaan Jaya Jusco di Kinta City dekat Taman Ipoh Selatan. Sekali lagi pihak Aeon mempunyai kerjasama strategik dengan pihak Keris Properties yang memajukan projek perumahan bercampur di sana. Diharap pihak berkuasa tempatan yang meluluskan reka bentuk kompleks mega berkenaan akan memberi perhatian terhadap kemudahan surau yang lebih luas dan selesa.
Kemunculan kompleks pasar raya mega satu demi satu di bandar raya Ipoh menyaksikan tapak pasar malam semakin lengang. Penjual ikan merungut kerana tidak berupaya menandingi harga yang ditawarkan oleh pasar raya mega dan kelihatan banyak masa lapang untuk berbual sesama sendiri. Tambahan pula, pasar malam langsung tidak menyediakan kemudahan untuk peniaga dan pengunjung menunaikan solat Maghrib yang singkat itu...
Friday, October 19, 2012
PENGALAMAN SEBAGAI JURUAUDIT (EVALUATION OF CERTAINTY)
Kini, setelah pembentangan usul belanjawan negara oleh menteri kewangan, laporan ketua audit negara pula mendapat perhatian serius ahli politik, pakar ekonomi dan rakyat jelata. Berdasarkan latar belakang pendidikan masing-masing, pelbagai versi pendapat dan ulasan yang dikeluarkan. Proses audit kewangan negara ialah suatu penilaian terhadap pematuhan tatacara kewangan yang amanah, berhemah, tadbir urus yang cekap, telus dan tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan.
Semua organisasi yang berdaftar melaksanakan proses audit secara dalaman dan juga oleh firma audit yang berlesen. Bagi jabatan kerajaan, termasuk sekolah, proses audit dilakukan secara berkala mengikut keperluan. Namun, hal yang pasti ialah audit wajib yang dibuat secara tahunan.
Prinsip tanggungjawab dalam organisasi pada akhirnya akan terpikul di bahu ketua organisasi berkenaan. Andai kata, pertanyaan audit tidak dapat dijawab dengan memuaskan, ketua organisasi mungkin akan dikenakan siasatan lanjut, atau paling minimum ialah tindakan tatatertib dalam bentuk denda (surcaj) kewangan berdasarkan amaun tertentu. Ketua organisasi sebagai superior wajib membimbing subordinat organisasi, iaitu pegawai dan kakitangan organisasi dalam hal-ehwal kewangan, tetapi jika masih berlaku kesilapan, beban tanggungjawab tetap ditujukan kepadanya.
Tidak semua teguran audit menjurus kepada isu salah laku atau pecah amanah dalam organisasi. Sebaliknya, dari sudut yang positif, teguran audit ialah bagi menambah baik pematuhan tatacara kewangan organisasi. Misalnya, sistem rekod buku tunai, panjar wang runcit, kunci kira-kira dan segala akaun yang lain mungkin tercicir maklumat atau tersilap tempat.
Di sekolah, pengetua dan guru besar sering mengingatkan para guru supaya mematuhi semua tatacara pembelian harta modal, inventori dan stok yang bermula dengan nota minta, borang pesanan, baucar, invois dan resit rasmi. Maklumat murid dalam buku daftar kehadiran (register) dianggap sangat mustahak sebagai rekod retan sekolah yang rasmi bagi memperoleh geran atau waran peruntukan kewangan per kapita murid dan hitungan pemberian kerajaan yang lain.
Selain guru, murid sekolah juga didedahkan dengan prinsip audit kewangan organisasi menerusi pertubuhan kepimpinan murid dan juga segala persatuan, kelab, unit pakaian seragam dan permainan. Walaupun amaun kewangan yang terbabit sangat sedikit, atau tiada langsung, sekurang-kurangnya murid pernah diberitahu tentang perkataan juruaudit dan tanggungjawab organisasi untuk menjaga kepercayaan anggota organisasi dan pihak sekolah. Tahap kesedaran awal telah diaktifkan dalam kalangan murid supaya tidak mengambil mudah tentang tatacara kewangan, khususnya apabila membabitkan kepentingan sesebuah organisasi.
Penulis blog (PB) pernah menerima lantikan selaku juruaudit dalaman sebuah koperasi sekolah. PB telah menerima jemputan kursus audit oleh Jabatan Koperasi Malaysia di sebuah pusat latihan di bandar raya Ipoh. Kursus separuh hari ini telah memberi keyakinan yang tinggi kepada peserta untuk melaksanakan tugas audit dalaman koperasi sekolah dengan adil dan jujur. Konsep audit bersyarat juga dijelaskan dengan panjang lebar.
Apabila tiba waktunya melaksanakan proses audit sebenar, PB dan seorang lagi guru dengan cepat dapat mengesan butiran yang tertinggal kerana angka berkenaan dicatat dengan pensil. Pertanyaan audit yang diajukan menerusi satu borang khas disambut dengan wajah yang agak kelat oleh bendahari koperasi. Bukanlah bendahari koperasi sekolah tidak mengaku kesilapan itu, tetapi dia mungkin kaget bahawa pelaksanaan audit dalaman sahaja sudah mewujudkan keperluan supaya sentiasa cermat dalam catatan kewangan walaupun sudah memiliki ijazah perakaunan...
Thursday, October 18, 2012
PERANAN GURU DATA DI SEKOLAH (PRIVATE AND CONFIDENTIAL INFORMATION)
Aplikasi sistem pangkalan maklumat atas talian memungkinkan profil dan sejarah perkhidmatan seseorang guru tidak lagi bergantung kepada salinan bercetak dalam fail bertali hijau yang disimpan di dalam laci bilik khas pejabat sekolah. Sebahagian maklumat guru kini boleh diakses menerusi pelbagai aplikasi, misalnya Emis, Hrmis, e-pangkat, SPLG dan lain-lain. Setakat ini, reka bentuk keselamatan data menerusi tatacara penggunaan nama pengguna dan kata laluan peribadi berjaya menghalang risiko serangan penggodam atau penularan virus.
Sebahagian tugas penyimpanan data guru juga berpindah daripada kendalian kakitangan pejabat (pembantu tadbir) kepada guru data yang dilantik secara khusus. Guru data bertanggungjawab kepada Penolong Kanan dan Pengetua, serta berhubung rapat dengan pegawai data di pejabat pelajaran daerah dan jabatan pelajaran negeri. Guru data perlu melaksanakan kemas kini maklumat guru, termasuk pentadbiran sekolah, dari masa ke masa.
Kebiasaannya guru data diperuntukkan sejumlah 12 waktu mengajar di bilik darjah, manakala 12 waktu lagi diperuntukkan untuk tugasan berkaitan dengan maklumat guru. Namun, seperti tugas keguruan yang lain, sebahagian kerja berkaitan harus diselesaikan di luar waktu tugas rasmi, bahkan dibawa balik ke rumah. Terdapat banyak maklumat segera yang perlu dimasukkan tanpa boleh ditangguh.
Norma perjawatan guru data ialah berasaskan sekolah, iaitu tertentu kepada sekolah yang berkenaan sahaja. Andai kata guru data berkenaan berpindah sekolah, atau menyambung pengajian, maka jawatan guru data yang disandang akan luput secara automatik, melainkan menerima lantikan semula. Lazimnya, jawatan guru data diamanahkan kepada guru yang memiliki kemahiran sistem komputer dan jaringan.
Memandangkan hakikat bahawa guru data memiliki akses yang tidak terhad terhadap maklumat perkhidmatan guru, termasuk hal yang dianggap sulit, iaitu butiran gaji, maka guru data terikat kepada etika kerahsiaan yang tinggi. Sepertimana doktor perubatan, guru data tidak boleh menyebarkan maklumat yang berada dalam kawalan tugasnya, kecuali kepada pihak yang diberi izin dan sah. Kepercayaan yang tinggi terhadap guru data dapat menjamin keharmonian dalam organisasi sekolah.
Guru data perlu menjalin hubungan yang baik dengan semua guru, termasuk pentadbir sekolah, bagi melicinkan proses kemas kini maklumat atas talian yang bakal mempengaruhi kemajuan kerjaya setiap orang guru. Segala urusan perkhidmatan seperti cuti belajar, naik pangkat dan permohonan tukar sekolah tertakluk kepada maklumat yang dikemas kini oleh guru data. Faktor hubungan dengan pihak atasan tidak lagi menjadi sebab utama seseorang guru untuk dicalonkan jawatan naik pangkat atau kelulusan permohonan yang lain.
Bagi memastikan proses kerjasama guru berada pada tahap tertinggi, guru data perlu menyampaikan keperluan kemas kini maklumat guru menerusi hebahan nota papan kenyataan, edaran bercetak, pengumuman lisan semasa mesyuarat rasmi guru, atau menerusi portal dan laman sesawang sekolah. Guru data juga sentiasa bersedia dengan senarai semak penerimaan maklumat agar tidak berlaku sebarang keciciran. Pendek kata, guru data kena ada sistem rekod maklum balas yang autentik.
Guru data akan menerima banyak permintaan daripada pihak berkuasa pelajaran untuk kemas kini maklumat guru apabila wujud keperluan tertentu. Apabila tiba masanya, nama guru yang sudah layak naik pangkat, atau perlu membuat pengisytiharan harta akan timbul di dalam aplikasi sistem atas talian. Seseorang guru data yang cekap begitu berjasa kepada pihak sekolah dan cukup membantu semua guru di sekolah untuk menikmati kemajuan kerjaya yang hebat...
Wednesday, October 17, 2012
PERSEDIAAN TERAKHIR KERTAS EKONOMI STPM (EFFICIENCY AND PLANNING TO SCORE)
Baik kohort terakhir STPM terminal (pelajar tingkatan 6 Atas) mahupun kohort sulung STPM modular (pelajar tingkatan 6 Rendah), baki masa yang tinggal untuk persiapan peperiksaan sudah sangat suntuk, tetapi masih belum berakhir. Selagi belum melangkah ke tempat duduk peperiksaan, bermakna masih ada sesuatu yang boleh dirancang. Pada tahap ini, tumpuan seharusnya diberi terhadap strategi kecekapan menulis jawapan berdasarkan peruntukan markah dan peruntukan masa.
Pelajar prauniversiti tingkatan 6 Rendah akan menghadapi peperiksaan STPM terlebih dahulu, iaitu mulai 2.30 petang pada hari terakhir, iaitu 8 November ini. Waktu petang memang agak mencabar, terutama faktor cuaca yang boleh menyebabkan calon di dewan peperiksaan lebih kerap menguap. Calon mesti mencari jalan supaya mereka kekal cergas dan bertenaga untuk merancang isi jawapan dan seterusnya menulis jawapan berdasarkan keperluan tugasan.
Bagi calon sistem modular, hanya Ekonomi 1 (Mikroekonomi) akan diuji dalam tempoh dua jam. Terdapat tiga bahagian soalan, iaitu 20 soalan aneka pilihan, 4 daripada 6 pilihan soalan esei dan dua daripada tiga pilihan soalan kuantitatif. Bahagian A memperuntukkan 20 markah, bahagian B sebanyak 40 markah, dan bahagian C sebanyak 20 markah.
Maknanya, 80 markah untuk 120 minit. Secara hitungan konservatif, satu markah bersamaan 1.5 minit. Namun, reka bentuk aras kesukaran soalan yang berbeza membolehkan calon tidak terikat dengan nisbah masa : markah secara ketat.
Peribahasa 'ukur baju di badan sendiri' boleh dianggap relevan dengan strategi merancang dan menulis jawapan berdasarkan peruntukan masa dan peruntukan markah. Jika calon telah membuat persiapan yang mencukupi untuk semua tajuk dan bersedia untuk menjawab sebarang soalan, maka pembahagian masa secara khusus boleh dilakukan. Dengan mengambil kira laporan Majlis peperiksaan (MPM) bahawa kebanyakan calon didapati kurang cekap dalam penulisan jawapan esei, maka saranan berikut boleh dipertimbangkan:
2.30 - 2.55 petang : Bahagian A - aneka pilihan
2.55 - 3.20 petang : Bahagian C - kuantitatif
3.20 - 4.10 petang : Bahagian B - esei
4.10 - 4.30 petang : Semakan dan penambahbaikan
...
...
...
...
....
....
...
...
...
Tuesday, October 16, 2012
BIBIT SELISIH FAHAM DALAM ORGANISASI (REMINDER FOR THOSE EXTROVERT)
Air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Diam-diam besi berkarat, diam-diam ubi berisi. Kedua-dua peribahasa berkenaan menjelaskan pengamatan terhadap golongan yang pendiam, tidak banyak cakap, tetapi lebih suka mendengar dan menyendiri.
Lawan kepada si pendiam ialah orang-orang becok yang banyak cakap. Entah dari mana datangnya stamina golongan kepoh dan bermulut murai itu? Golongan ini tidak betah hidup sepi, sebaliknya suka 'memaksa' orang lain mendengar celoteh mereka.
Dalam disiplin psikologi terdapat konsep introvet bagi mewakili si pendiam dan ekstrovet mewakili si mulut murai. Pemisahan secara ekstrem antara dua bentuk tingkah laku berkenaan hanyalah bersifat akademik, sedangkan insan memiliki kedua-dua jenis pembawaan berkenaan, bergantung kepada tindak balas mereka terhadap persekitaran.
Konsep introvet dan ekstrovet diperkenalkan oleh Carl Jung, seorang pakar jiwa (psikiatri) yang berasal dari Switzerland pada awal abad ke-20. Sejak itu, banyak penyelidikan tentang teori keperibadian atau personaliti telah dilakukan bagi mengenal pasti ciri-ciri bagi introvet dan ekstrovet, serta kesannya atas tingkah laku. Masyarakat didapati sering memberi perhatian yang berlebihan terhadap golongan ekstrovet, berbanding dengan potensi tersembunyi golongan introvet.
Golongan ekstrovet lebih mirip kepada ciri agresif, iaitu lebih cenderung menjaga hak diri sendiri sahaja, tetapi kurang peka terhadap hak orang lain. Bagi mereka, membujur lalu, melintang patah. Orang ekstrovet menganggap sikap terus terang sebagai suatu proses terapi, iaitu luahan perasaan yang dapat melepaskan segala perkara yang terbuku di dalam hati.
Golongan ekstrovet juga menganggap gurau senda sebagai perkara biasa yang tidak perlu diambil serius. Mereka menyangka bahawa semua orang sebagai sama dengan mereka, iaitu tidak kisah tentang usik-mengusik dan lawak slapstik. Sebab itu, orang ekstrovet suka bercakap lepas, asalkan dirinya berasa puas hati tanpa mengira percakapan mereka mungkin menyinggung perasaan orang lain.
Sasaran golongan ekstrovet lebih kepada lawan mereka, iaitu golongan introvet yang dianggap lebih mudah menjadi mangsa. Orang ekstrovet sengaja melakukan provokasi lisan supaya lawan introvet yang suka memendam rasa akhirnya akan bersuara. Maka, kalau hal itu yang terjadi, orang ekstrovet menganggap bahawa diri mereka sudah berjaya.
Orang introvet tidak selama-lamanya hanya berdiam diri, membatu dan membiarkan lawan ekstrovet mereka melakukan 'penindasan' tanpa sebarang sekatan. Malah, tindak balas orang introvet mungkin lebih bahaya hingga membawa perbalahan secara terbuka dan hubungan menjadi renggang. Orang introvet boleh sahaja mendapatkan akses tindak pentadbiran dan perundangan.
Dalam sesebuah organisasi, sama ada besar mahupun kecil, golongan ekstrovet pada zahirnya lebih berpengaruh dan dominan. Mereka mungkin menguasai keputusan mesyuarat dan memimpin pendapat populis. Orang ekstrovet juga lebih menonjol dalam acara dan majlis rasmi.
Golongan introvet lebih mementingkan intuisi, nurani dan domain kognitif dalam diri mereka. Orang introvet beranggapan bahawa panjang akal sebagai lebih utama daripada panjang lidah. Mereka tidak suka pembawaan ekstrovet yang disifatkan sebagai mulut lebih laju daripada otak.
Imam al-Ghazali, seorang ahli falsafah dan cendekiawan terbilang pernah menulis naskhah bertaraf magnum opus tentang judul 20 bahaya lisan. Orang yang beriman hendaklah menjaga lidah masing-masing supaya tidak tergelincir kepada perkara dosa dan maksiat. Sebaliknya, kata-kata yang baik umpama pohon yang baik, iaitu akarnya teguh dan dahannya menjulang ke langit (merimbun), lalu menjadi naungan kepada orang datang kepadanya (Ibrahim, 14:24).
Imam al-Ghazali, seorang ahli falsafah dan cendekiawan terbilang pernah menulis naskhah bertaraf magnum opus tentang judul 20 bahaya lisan. Orang yang beriman hendaklah menjaga lidah masing-masing supaya tidak tergelincir kepada perkara dosa dan maksiat. Sebaliknya, kata-kata yang baik umpama pohon yang baik, iaitu akarnya teguh dan dahannya menjulang ke langit (merimbun), lalu menjadi naungan kepada orang datang kepadanya (Ibrahim, 14:24).
Hakikatnya, kedua-dua golongan introvet dan ekstrovet boleh menyumbang secara sihat terhadap organisasi. Pemimpin organisasi perlu menggembleng kekuatan yang dimiliki demi kebaikan, sambil dalam masa yang sama memadam kemungkinan berlaku selisih faham yang meruncing antara dua golongan berkenaan. Pemimpin organisasi ialah pendamai, bukan mengambil kesempatan untuk mengamalkan doktrin pecah dan perintah supaya kawalan organisasi berada di dalam genggaman mereka...
Monday, October 15, 2012
ISU PEMBANTU RUMAH DI MALAYSIA (HOUSEHOLD MANAGEMENT)
Kos sara hidup yang tinggi mengakibatkan sebahagian besar pasangan suami isteri bekerja di luar rumah bagi menampung segala keperluan dan kehendak yang sejajar dengan tuntutan semasa. Apabila pulang dari tempat kerja, masing-masing sudah tersadai lesu dan menginginkan masa rehat. Keadaan dalam rumah akan berselerak dan tidak terurus, melainkan pada huung minggu.
Ibu bapa mengambil sarapan pagi dan makan tengah hari di tempat kerja masing-masing, manakala anak yang sudah bersekolah di tempat belajar masing-masing. Bayi dan kanak-kanak yang belum boleh berdaftar sebagai budak prasekolah akan dilayan di pusat asuhan kanak-kanak. Hanya pada sebelah malam seisi keluarga mungkin berkesempatan menikmati hidangan bersama-sama, tetapi air tangan mamak atau makanan segera yang kaya dengan pelbagai kandungan lemak trans dan kolestrol jahat.
Ibu bapa yang berkemampuan barangkali mampu mengupah pembantu rumah, khususnya 'bibik' dari tanah seberang untuk membersihkan rumah, di samping menjaga bayi kesayangan. Namun, belakangan ini, pengambilan bibik Indonesia sering menimbulkan masalah seperti panjang tangan, culas dan malas, tiada kemahiran memasak, sibuk melayan panggilan telefon bimbit dan lepak melayan sinetron. Upah minimum RM700 seperti yang dituntut oleh pihak Indonesia juga memeningkan, justeru kos makan minum dan tempat tinggal tidak diambil kira.
Para isteri juga sering menaruh rasa curiga akan kerenah bibik yang dianggap sebagai cuba menarik perhatian suami mereka. Beberapa kes terpencil pernikahan suami majikan dengan bibik pun dibesar-besarkan. Kalau bibik yang agak berusia pula sering sakit dan berulang alik ke klinik.
Sesekali kes bibik didera oleh majikan yang tidak berhati perut menjadi tajuk utama akhbar harian arus perdana. Majikan sedemikian menganggap bahawa zaman perhambaan barangkali masih wujud. Mereka lupa bahawa terdapat peruntukan undang-undang tentang hubungan, hak dan tanggungjawab majikan terhadap pembantu rumah yang tidak boleh dilanggar.
...
...
...
...
...
Sunday, October 14, 2012
PERANAN BEKAS MURID DI SEKOLAH (THE LEGEND IN AN EFFECTIVE SCHOOL)
Sesebuah sekolah yang berkesan memiliki tokoh yang berjaya dalam kalangan bekas murid. 'Tokoh yang berjaya' itu dimaksudkan sebagai seseorang yang mencatat pencapaian atau sumbangan yang signifikan dalam mana-mana bidang yang menonjol terhadap masyarakat dan negara. Sebagai contoh ialah kepimpinan akademik, politik, pentadbiran awam, korporat, sukan, kebajikan, kesukarelaan dan organisasi ikhtisas.
Sudah tentu semua tokoh yang dikenali dalam masyarakat dan negara pernah melalui sistem persekolahan di dalam negara, kecuali segelintir golongan bangsawan yang memilih untuk belajar di luar negara. Maka, sekolah-sekolah yang berkaitan dengan tokoh mesti menghebahkan kejayaan mereka sebagai buah mulut dalam kalangan murid semasa. Papan kenyataan khas 'Jejak Legenda' harus menjadi paparan wajib yang sentiasa disebut-sebut dalam kalangan warga sekolah.
...
...
...
...
...
...
...
...
Saturday, October 13, 2012
PELAJAR PRAUNIVERSITI MODULAR BELUM BERSEDIA? (HIGHER LEVEL LEARNING SHOCK FORM LOWER SIX)
Peperiksaan penggal satu Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di bawah sistem modular hanya tinggal tiga minggu, tetapi sebahagian calon tingkatan 6 Rendah masih kelihatan belum bersedia. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan sebahagian mereka tidak melepasi tahap kesedaran (awareness) yang sepatutnya. Mereka berlagak seperti tiada apa-apa yang bakal berlaku, lalu tiada tanda kesegeraan (sense of urgency).
Calon jurusan sains yang cekap dalam matematik tulen mungkin tidak berhadapan dengan masalah besar bagi meneruskan kecemerlangan sepertimana pencapaian di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kertas Fizik dan Kimia bukanlah terlalu sukar buat mereka, melainkan faktor masa dalam dewan peperiksaan yang boleh menyekat mereka daripada mencatat gred terbaik. Dalam tempoh dua tiga minggu, tumpuan perlu dibuat terhadap ujian kecekapan masa supaya calon sempat menjawab semua tugasan soalan dalam tempoh masa yang diperuntukkan.
Berlainan hanya dengan calon jurusan kemanusiaan atau sastera. Mereka berhadapan dengan sebahagian mata pelajaran yang boleh dikatakan baharu seperti Ekonomi, dan Pengajian Perniagaan. Mereka mengalami kejutan apabila mata pelajaran sedemikian memerlukan analisis konsep, prinsip, model, rumus dan teori yang bersifat mujarad (abstrak).
Guru bertungkus-lumus bagi menarik perhatian pelajar supaya berasa gembira mempelajari perkara baharu. Barangkali pelajar masih terbawa-bawa dengan gaya pembelajaran di peringkat SPM. Justeru, perbincangan yang bersifat abstrak merupakan suatu kejutan buat mereka.
Tidak seperti pelajar prauniversiti matrikulasi, A Level, Foundation, pengajian asasi dan program setara yang lain, pelajar tingkatan 6 berada dalam persekitaran sekolah. Mereka terikat kepada peraturan am sekolah dan harus mengambil bahagian dalam sistem persekolahan. Tumpuan terhadap pembelajaran memang tidak seperti pelajar prauniversiti yang lain.
Untuk berpatah balik ke sistem terminal tidak mungkin berlaku. Maka, walaupun masih dalam proses penyesuaian diri, pelajar tingkatan 6 Rendah harus juga menempuh peperiksaan STPM penggal satu lebih awal daripada pelajar sistem terminal tingkatan enam atas. Pencapaian mereka kelak akan menjadi asas penambahbaikan dalam pelaksanaan sistem modular pada masa hadapan.
Namun, kohort pertama sistem modular bukan pula sampel percubaan, sebaliknya sebagai pelopor perubahan sistem penjenamaan semula pengajian prauniversiti tingkatan enam. Tempoh tiga minggu terakhir ini perlu digunakan sepenuhnya bagi menyediakan calon STPM modular dari segi minda dan penguasaan isi pelajaran. Berdasarkan pentaksiran di peringkat sekolah, strategi yang tepat perlu didedahkan supaya pelajar berpeluang mengecapi kejayaan yang diidamkan.
...
...
...
Thursday, October 11, 2012
TATACARA MEMBINA RUMAH SEBUAH @BANGLO (PLANNING HOME SWEET HOME)
Peluang untuk memiliki sebuah banglo di kawasan bandar boleh dikatakan sebagai sangat terhad dan tertutup. Sebabnya ialah faktor harga rumah jenis berkenaan yang sudah melepasi RM1 juta, diulangi melebihi RM1 juta. Di Ipoh sendiri sebagai contoh, sebuah banglo berangkai (maksudnya berkongsi dinding di bahagian belakang rumah) bersaiz 90' X 60' dijual denghan harga RM1.2 juta.
Projek perumahan eksklusif di Taman Botani, berhampiran Simpang Pulai pula hanya menawarkan enam unit banglo juga dengan harga RM1.2 juta. Maknanya, para jutawan pun harus berebut untuk mendapatkan unit banglo yang sangat terhad itu. Kalau tidak, mereka terpaksa membeli dua buah unit rumah berkembar sebelah-menyebelah berharga RM1.5 juta (saiz 90' X 50' @ 2 buah) untuk dicantum menjadi banglo.
Kakitangan kerajaan hampir boleh melupakan hasrat untuk memiliki banglo mewah yang mencecah harga RM1 juta ke atas. Kelayakan pinjaman perumahan kali pertama bagi pegawai gred 48 ialah sekitar RM500,000. Jikaq suami isteri membuat pinjaman pertama secara bersama, mereka perlu mencari tambahan RM200,000 lagi!
Untuk pinjaman kali kedua, kelayakan pegawai ialah telah melangsaikan semua baki pinjaman pertama. Andaikan bahawa pinjaman pertama berjumlah RM150,000, maka had maksimum pinjaman kedua ialah RM500,000 - RM150,000 = RM350,000. Dengan premium insurans / takaful yang lebih tinggi akibat faktor usia, bayaran bulanan akan melebihi kadar biasa, iaitu darab 5.28 dengan jumlah pinjaman (tanpa angka ribu).
Contoh: pinjam RM100,000 --> bayaran bulanan = RM100 X 5.28 = RM528 sebulan
Premium insurans lebih tinggi, andaikan nisbah darab menjadi 6, maka RM100 X 6 = RM600 sebulan
Pinjaman bersama suami isteri dan pinjaman berasingan mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Kelebihannya ialah dari segi kelayakan jumlah pinjaman, tetapi masalah mungkin timbul apabila berlaku perpisahan atas sebab krisis rumah tangga, atau salah seorang pasangan menyahut panggilan Ilahi terlebih dahulu. Bagi pinjaman bersama, insurans atau takful hanya menyelesaikan baki pinjaman si mati, manaka pasangannya akan terus membayar bahagian pinjamannya sendiri.
Pinjaman berasingan mempunyai kelebihan dari segi baki bayaran dan pindah milik harta andai kata peminjam harus mengucapkan selamat tinggal kepada dunia yang fana ini. Pihak insurans dan takaful akan menganggung semua baki bayaran. Hartanah rumah itu pula secara automatik akan berpindah kepada pasangan yang masih hidup secara 'percuma'.
Pilihan lain untuk memiliki sebuah banglo mampu milik ialah dengan membeli tanah tapak rumah, sama ada daripada individu atau daripada pemaju yang dilantik oleh majlis daerah dari segi penyediaan kemudahan asas seperti jalan, perparitan dan sistem antiseptik sisa kumbahan. Pembelian tanah daripada tuan tanah yang belum mencapai usia matang 10 tahun akan dikenakan levi 15 peratus daripada harga pihak penilaian bagi mengelakkan kegiatan spekulasi.
Pembelian tanah mesti mengambil kira sejarah kegunaan lokasi tanah yang berkenaan. Kes mendapan tanah yang menyebabkan banglo ditelan bumi harus diambil iktibar. Jika hati sudah terpaut dan tetap hendak juga kepada tanah itu, maka dapatkan anggaran kos menanam cerucuk supaya tanah mampu memnampung beban binaan rumah banglo.
Sebelum menemui pelukis pelan, memilih kontraktor dan melantik peguam, tinjauan rumah contoh terkini dan rujukan media termasuk internet akan memberi idea asas pembinaan sebuah banglo idaman. Pengalaman rakan dan kenalan juga perlu diberi perhatian, tanpa perlu terikat dengan saranan mereka.
...
...
...
...
...
...
Wednesday, October 10, 2012
MOTIVASI BELAJAR: KEJAYAAN YANG TERTUNDA (IT'S NEVER TOO LATE)
Pelajar yang dikasihi,
Setiap doa yang dipohon secara ikhlas pasti akan ditunaikan. Cuma bentuk dan waktu doa berkenaan makbul di luar jangkauan pemikiran insan. Maka, seseorang yang berdoa mesti mengekalkan sangka baik dan terus berharap bahawa setelah segala ikhtiar dilakukan, kejayaan tentu akan berpihak kepada dirinya.
Sebagai contoh, seseorang itu berdoa supaya hidupnya senang-lenang dan serba cukup. Harapan untuk memiliki banyak harta dan wang ringgit mungkin digantikan oleh Allah dengan sesuatu yang lebih baik, serta tidak membawa fitnah (ujian berat) buat dirinya. Nikmat yang dikurniakan mungkin akan berbentuk kesihatan yang baik, bebas daripada ancaman jenayah dan dihormati oleh orang lain.
Proses pembelajaran juga demikian sifatnya. Kesusahan belajar yang dihadapi pada masa ini ialah jalan untuk mengecap kejayaan yang bermakna pada masa hadapan. Proses belajar itu sendiri tidak terhad kepada sukatan pelajaran, tetapi kurikulum tersembunyi yang lain.
Di sekolah, murid akan belajar tentang gelagat organisasi yang rencam. Terdapat pengetua, guru, kakitangan, pekerja swasta, rakan sebaya, murid senior, peniaga kantin, pelawat dan banyak lagi. Selain urusan pembelajaran, sekolah juga berkaitan dengan kemudahan bangunan, keselamatan, sistem lalu lintas, peraturan dan disiplin, majlis khas dan sebagainya.
Pengalaman organisasi itu sangat penting kepada murid sebagai pedoman apabila tamat persekolahan dan perlu hidup berdikari dalam persekitaran masyarakat yang rencam. Walaupun pada ketika itu, banyak kelonggaran dari segi tingkah laku dimiliki, kelebihan bakal berpihak kepada seseorang yang berilmu pengetahuan. Maka, pengalaman organisasi di sekolah akan membantu seseorang itu untuk mengenal pasti segala peluang dan ancaman untuk meniti kejayaan dalam kehidupan.
Pelajar yang dimuliakan,
Selain pengalaman organisasi, murid juga menerima pendedahan tentang kepentingan jati diri dalam kehidupan. Pengalaman tentang kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis (kbkk) akan membantu murid untuk membaca niat yang tersembunyi, atau perkataan yang tidak dilafazkan. Maka, jati diri akan membimbing seseorang itu supaya berupaya mengenal pasti sisi baik atau buruk sesuatu perkara, dan memisahkan diri dengan segala kejahatan walaupun pada zahirnya kelihatan sebagai baik, benar dan berguna.
...
...
...
...
...
Subscribe to:
Posts (Atom)

