Pinjaman perumahan kakitangan kerajaan diuruskan oleh Bahagian Pinjaman Perumahan, Perbendaharaan (Kementerian Kewangan Malaysia, klik di sini). Kalau berkesempatan, boleh terus ke ibu pejabat bahagian berkenaan di Persiaran Perdana, Presint 2, Putrajaya. Pegawai dan kakitangan kaunter yang bertugas bersedia melayan kemusykilan yang diajukan tanpa mengambil masa yang panjang.
Harga rumah tetap melambung tinggi dengan pelbagai alasan kos walaupun harga minyak dunia terus menunjukkan arah aliran menurun. Harga seunit rumah teres satu tingkat boleh mencecah RM250,000 manakala teres dua tingkat menghampiri RM400,000. Jika bernasib baik dapat membeli rumah lelong atau menerusi Mudah.com mungkin boleh membida rumah berkembar atau banglo dengan harga yang lebih rendah daripada itu.
Pembelian rumah daripada pemaju menjadi pilihan kerana proses pinjaman dan urusan bayaran lebih mudah berbanding dengan membeli rumah terpakai atau membina rumah di atas lot tanah sendiri. Hanya wang pendahuluan diperlukan bagi menempah unit yang dikehendaki, di samping melantik peguam yang akan membantu urusan seterusnya. Secara mudah, hitungan bayaran balik bulan (secara konservatif) ialah jumlah ribu yang dipinjam darab dengan 5.6.
Contohnya, pinjaman sejumlah RM300,000: 300 X 5.6 = RM1,660 sebulan termasuk harga takaful sebagai perlindungan risiko andainya peminjam menyahut panggilan Ilahi sebelum tamat tempoh bayaran balik. Waris yang dinamakan akan memperoleh hak milik rumah berkenaan tanpa perlu melangsaikan bayaran justeru ditanggung oleh pihak takaful. Pada kebiasaannya, kelayakan pinjaman ditentukan berdasarkan jumlah bayaran balik yang tidak melebihi 40 peratus gaji pokok peminjam (baca lebih lanjut di sini).
Dalam contoh di atas, gaji pokok kakitangan awam yang meminjam sepatutnya lebih kurang RM3,500 sebulan. Tujuannya supaya kakitangan awam tidak menanggung beban hutang yang berat sehingga bercanggah dengan tatatertib perkhidmatan. Maka, peminjam boleh merancang sumber-sumber lain jika berhajat memilik rumah idaman yang melebihi kelayakan pinjaman.
Andai kata, setelah menikmati kenaikan pangkat dan emolumen yang tinggi, seseorang penjawat awam teringin pula menaik taraf kediaman rumah teres kepada banglo yang dibina di atas lot tanah sendiri. Jika kakitangan itu hendak memohon pinjaman kedua, terlebih dahulu dia kena melunaskan semua baki pinjaman perumahan kali pertama secara sekali gus (lump-sum). Hitungan rebat yang muktamad boleh diperoleh terus dari Bahagian Pinjaman Perumahan dengan menulis surat permohonan rasmi kepada mereka.
Setelah proses bayaran selesai, langkah seterusnya ialah memeriksa jumlah pinjaman kedua yang layak dinikmati. Hitungannya memang berbeza kerana gaji pokok semasa dan tarikh bersara akan diambil kira. Jumlah kelayakan pinjaman ialah berdasarkan 60 peratus gaji pokok semasa, serta tertakluk kepada syarat bayaran balik bulanan yang tidak melebihi 40 peratus tadi.
Permohonan perlu dibuat secara atas talian, tetapi salinan bercetak yang mendapat perakuan ketua jabatan kena dihantar kemudian. Dokumen sokongan tentang pelan rumah yang beroleh kelulusan pihak berkuasa tempatan, profil kontraktor pembinaan yang dilantik dan lain-lain hendaklah ditandatangani oleh peguam pemohon. Anggaran belanja upah melukis pelan RM8,000, peguam RM15,000 dan lain-lain memang sudah disediakan lebih awal sebelum memohon pinjaman.
Rumah ialah keperluan asas sama seperti makanan, pakaian dan pengangkutan. Suatu dasar tegas yang melindungi kebajikan pembeli, khususnya harga yang lebih munasabah, serta menghukum pemaju yang mengaut keuntungan melebihi had yang dibenarkan wajar digubal segera. Suruhanjaya khas yang mengawal selia hal perumahan sebagaimana Suruhanjaya Persaingan Malaysia yang pernah mendenda MAS dan Air Asia barangkali boleh ditubuhkan segera ...