SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, May 31, 2009

SELAMAT DATANG JUN (WELCOME JUNE)

Mei 2009 berlalu jua. 1 Jun (bersamaan 7 Jamadil Akhir 1430) kini menjengah jendela kehidupan kita. Alhamdulillah, dengan Inayah dan Kurnia-Nya, dipanjangkan usia kita dan dimurahkan rezeki kita. Tentang rezeki, lihatlah orang di bawah kita (yang kurang beruntung). Tentang ilmu, lihatlah orang di atas kita (yang lebih bijak). Moga hari ini lebih baik daripada semalam, hari esok lebih baik daripada hari ini.

Masa ialah kehidupan. Sebab itu manusia mengukur masa berdasarkan pengalaman hidup masing-masing. Ada orang merasakan masa begitu cepat berlalu. Orang yang lain pula merasakan masa bagaikan terhenti dan setiap detik dapat dihitung lambat-lambat.

Alvin Toffler, seorang penganalisis futuristik (karya: Megatrends, Future Shocks, dll) merumuskan bahawa perasaan tentang cepat atau lambatnya pergerakan masa dinisbahkan dengan usia seseorang. Kanak-kanak merasakan satu jam sebagai terlalu lama kerana menisbahkan masa dengan umurnya sendiri. Contohnya 1 jam / 6 tahun; berbanding seorang dewasa 1 jam / 40 tahun. Bukankah anda selalu mendengar rungutan orang dewasa betapa cepatnya masa berlalu, sedangkan kanak-kanak gelisah justeru kekurangan aktiviti?

Dengan berlalunya masa, macam-macam perubahan berlaku. Fetus menjadi janin. Janin menjadi bayi. Bayi menjadi kanak-kanak. Kanak-kanak mencapai akil baligh dan menjadi remaja. Remaja menjadi orang muda. Orang muda menjadi dewasa. Dewasa menjadi tua. Tua menjadi tua bangka. Sebahagiannya menyahut panggilan Ilahi sebelum sempat melalui proses perubahan yang disebutkan.

Perubahan fizikal, mental, emosi dan ruhani juga tidak dapat ditahan-tahan. Ada pengaruh genetik (faktor warisan ibu bapa), dan ada pengaruh persekitaran (rakan sebaya, media, pemimpin pendapat, masyarakat,teknologi, dan lain-lain). Persoalannya, siapa atau apa yang melakukan kawalan terhadap masa yang kita peruntukkan? Diri kita sendiri atau faktor luar diri kita?

For Muslims, they have a very clear sense of direction. Human being are always in total losses except those who maintained their faith, good behaviour and conduct, reminded each other with the truth, and reminded each other with patient (al-Asr).

Minta maaflah menggunakan laras Manglish. Lebih kurang tujuannya mere to express, not to impress. Kepada yang hendak membuat pembetulan, dipersilakan dengan senang hati dan dengan segala hormatnya. Mari kita berkongsi segala kebaikan.

Sekali lagi, selamat datang Jun. Marilah kita merancang dan merencanakan sesuatu yang bermakna dalam pengisian masa kehidupan kita yang mendatang. Mudah-mudahan kita senantiasa dalam Lindungan dan Redha-Nya jua, insya-Allah.

Saturday, May 30, 2009

PTK UNTUK GURU: MENGAPA BANYAK SEKATAN?

Penilaian Tahap Kecekapan (Kompetensi) yang diperkenalkan seawal era Sistem Saraan Malaysia (SSM) memang tidak sunyi daripada kritikan dan kontroversi. Pada tahun pertama penganalannya (2003) hanya 0.9 peratus guru seluruh negara lulus untuk kategori DG 41. Baki 99.1 % lagi mendapat pangkat "kandas". Hanya apabila semakan semula dilakukan bilangan lulus bertambah. Kumpulan yang lulus dan cukup syarat perkhidmatan kemudian dilantik ke gred DG 44 dan diberi anjakan gaji (P1 ke P2, atau P2 ke P3).

Jika kita hendak menggunakan pendekatan hujah dialektik (pro dan kontra dua pihak), kebaikan PTK ialah memberi peluang kepada guru yang tidak pernah merasa anugerah menegak dan melintang di bawah skim SSB (yang dikaitkan dengan pilihan pengetua) untuk menerima anjakan gaji. Peperiksaan berpusat kendalian Majlis Peperiksaan Malaysia (DG 41) dan kursus (DG 44 ke atas) membolehkan guru yang tidak dipandang oleh pengetua atau PK 1 di sekolah masing-masing mendapat habuan lumayan. Guru yang cekap mendapat akses kepada keperluan PTK, kaedah menulis esei, dan menjawab ujian akhir kursus memiliki peluang cerah untuk pangkat IV bagi kedua-dua kertas Umum (Generik) dan Fungsional.

Golongan yang membantah PTK (terutamanya Ceupacs yang didominasi kumpulan sokongan, tetapi berjaya menaikkan usia persaraan kakitangan awam) mengatakan cikgu yang baru mengajar pun boleh dapat anjakan gaji, sedangkan yang sudah bertaraf otai (old timer) hanya menggigit jari. Kuota dan graf markah menyebabkan pangkat IV tidak lagi berdasarkan markah 80 %, mungkin 96 %, dakwa mereka lagi. Macam mana prestasi boleh diuji dalam satu jam (soalan aneka pilihan pula) @ kursus seminggu, dan dinilai oleh veteran yang mungkin juga gagal kalau disuruh menduduki PTK?

Makin dibuat penambahbaikan, makin berat jadinya. Kini sekatan untuk mendapat IV sudah dikuatkuasakan. Hanya dua kali percubaan dibenarkan. Jika masih di tahap III, terimalah kenyataan bahawa setakat itu sahaja rezeki anda, tunggu time- based sahaja. Kepada yang cuba-cuba nasib dan dapat tahap II sahaja, kena ikut kursus, dan maksimum boleh dapat III sahaja.

Hakikatnya, memang mustahil untuk memuaskan hati semua orang! Di Malaysia, jumlah guru sahaja mencecah 300 ribu orang, sebahagian besarnya memiliki minimum ijazah pertama (sarjana muda). Maka, proses mendiskriminasikan kompetensi golongan sebijak guru teramatlah payah dan terdedah kepada perdebatan yang tiada berpenghujung.

Peratus pencapaian pangkat IV bagi warga Kementerian Pelajaran masih ketinggalan jika dibandingkan dengan kementerian lain. Namun, dari segi bilangan mungkin agak setara justeru saiz perjawatan guru jika dinisbahkan kepada penjawat awam amatlah tinggi. Harus diingat bahawa pada akhirnya norma perjawatan dan tatacara naik pangkat guru mesti melalui JPA (yang dikawal oleh PTD).

Jalan untuk membela kebajikan guru ialah dengan merebut peluang perjawatan terbuka PTD yang boleh diisi oleh mana-mana penjawat awam yang sedang berkhidmat, tanpa menjejaskan senioriti dalam tangga gaji semasa. Jika guru sanggup menyahut cabaran ini, sanggup mengenepikan kecenderungan sedia ada, silakan. Anda mungkin jadi hero kaum guru satu hari nanti.

Berbalik kepada PTK. Tiada formula ajaib untuk meraih pangkat IV. Saranan penulis blog ialah baca tugasan soalan dengan teliti. Jawapan semua logik, tetapi tugasan soalan perlu ditentukan kes atau situasinya. Begitu juga dengan penulisan esei - mesti berdasarkan pengalaman sebenar, bukan ala-ala tesis yang penuh andaian, model, teori dan dapatan kajian. Jangan lupa setiap satu isi mesti diikat (penegasan) dengan tugasan soalan.

Akhir sekali, tidak usah terlalu kecewa dengan PTK. Sekali jadi guru, selama-lamanya guru. Murid dan masyarakat mungkin menjadi hakim yang lebih baik. Mudah-mudahan ...


(semasa catatan ini ditulis, pada aksi akhir FA England, Chelsea mendahului
Everton 2 - 1 (jaringan Drogba,
Lampard; gol minit pertama lawan - Louis Saha
)

Wednesday, May 27, 2009

CUTI DATANG LAGI: BUDAK ST MICHAEL BUAT APA?

Tanggal 29 Mei 2009 (Jumaat) memang dinanti sakan oleh budak-budak sekolah (pengecualian kepada 50 orang pemilik motosikal dalam kalangan pelajar SM Teknik Lebuh Cator Ipoh yang dikhianati semalam, moga mampu bersabar dan tabahkan hati!). Setelah berpenat lelah belajar (ewah, ewah!), cuti 16 hari ini bolehlah balas dendam untuk tidur, menghadap Astro, atau mengemas kini blog. Namun, kewajipan asas seperti solat berjemaah, membaca al-Qur’an, menolong ibu bapa dan mengemas rumah jangan pula dilupakan. Untuk meningkatkan kecergasan fizikal, turunlah bermain di padang atau gelanggang. Jangan hanya asyik memerap hingga pipi naik tembam dan mata kuyu semacam.

Tidak sangka bukan, setengah tahun pertama 2009 sudah menjadi sejarah! Kalau rajin, ambil pen dan senaraikan pencapaian anda dalam tempoh itu. Mungkin proses muhasabah diri (introspektif) sedemikian membantu anda supaya lebih bersemangat untuk menghabiskan cuti panjang kali ini.

Ke mana budak-budak SMK St Michael, Ipoh (SMI) bercuti? Ke Eropah, Australia, China, Indonesia, Jepun, Hong Kong atau Amerika? Mexico? Bukankan pendemik influenza A H1N1 (selesema babi) masih mengganas dan kini menular ke hemisfera selatan? Begitu juga dengan laptospirosis yang menyerang mangsa andai kata lemah pertahanan antibodinya.

Apa kata cuti-cuti Malaysia sahaja? Kita ada produk pelancongan tersohor dunia seperti taman geologi Langkawi, Bandaraya Warisan Melaka dan Pulau Pinang, Serambi Makkah (Kelantan), lokasi skuba di Sipadan, Tioman dan Redang. Atau menaiki keretapi laju Ipoh – Kuala Lumpur sambil menikmati panorama pinggir landasan yang penuh misteri? Singgah di gedung Jakel di Jalan Tuanku Abdul Rahman?

Lupakan dunia buku buat seketika? Mendaftar untuk kursus kepimpinan? Semua pilihan di tangan anda. Asal sahaja ongkosnya mampu dibayar. Dalam pengajian ekonomi disebut bahawa kehendak hanya dapat diubah kepada permintaan (berkesan) menerusi kesanggupan membayar sesuatu barangan (barang dan perkhidmatan) pada tingkat harga, kuantiti, jangka masa dan pasar yang tertentu. Maka, ukurlah baju di badan sendiri.

Apa-apa pun yang kalian lakukan, diucapkan selamat bercuti, jaga diri, jangan lupa diri, banyakkan berbakti, hindari perbuatan keji, dan bla bla bla… Macam pesan mak nenek pulak. apa salahnya, kan? Sekali sekala kita kena diberi peringatan dan amaran. Jika tidak, macam orang yang duduk diam dalam sebuah rumah yang senget. Dia tidak sedar sehinggalah orang yang berada di luar rumah memaklumkan bahaya yang dahsyat itu. Sekali lagi, salam percutian.

Jumpa lagi 15 Jun 2009 (Isnin) di SMI. Layan…

Monday, May 25, 2009

LANTIKAN GURU TINGKATAN ENAM: PELAJAR BERPELUANG KE LUAR NEGARA (THE PROMOTION OF THE SIXTH’S FORM TEACHERS)

Tanggal 25 Mei 2009 boleh dianggap bersejarah bagi sebahagian guru yang mengajar tingkatan enam. Mereka telah menerima surat tawaran rasmi kenaikan pangkat ke gred jawatan yang lebih tinggi, atau sekurang-kurangnya bertukar status dari jawatan khas untuk penyandang (K.U.P.) ke jawatan hakiki. Kedua-dua bentuk tawaran itu bersifat laluan pantas (fast track), berbanding dengan kaedah tempoh perkhidmatan (time-based). Bagi guru muda yang berusia dalam lingkungan 30-an berpeluang meningkat hingga ke gred khas C, iaitu bersamaan dengan tangga gaji permulaan seorang profesor di universiti, atau seorang pegawai tinggi bertaraf ketua setiausaha yang menerajui sesebuah kementerian persekutuan (junior).

Perkara yang lebih menarik ialah tarikh kuat kuasa pelantikan ialah 1.1.2008 (bagi fasa 1), bermaksud bahawa guru yang berkenaan bakal memperoleh tunggakan gaji dan elaun. Pengiktirafan kepada guru tingkatan enam sememangnya wajar justeru mereka mengendalikan kurikulum prauniversiti, di samping menyediakan pelajar dengan kualiti kepimpinan, etika dan tanggungjawab sosial tinggi yang lain. Tumpuan kepada tingkatan enam sahaja akan mengembalikan era kegemilangan kelas persediaan universiti itu yang begitu berprestij suatu ketika dahulu sebelum munculnya saingan kursus-kursus diploma, matrikulasi dan pelbagai program pengajian swasta.

Seiringan itu, pelajar tingkatan enam pula akan menikmati penambahbaikan dari segi imej, kemudahan, biasiswa dan peluang menyambung pengajian di IPT terbaik dunia. Sistem semester bakal diperkenalkan supaya sesuatu kursus diselesaikan dalam tempoh empat bulan, dan sebahagian besar markah STPM akan diambil daripada tugasan dan penilaian berterusan di peringkat sekolah. Peperiksaan akhir berpusat kendalian Majlis Peperiksaan Malaysia mungkin hanya dikira setakat 40 – 60 peratus sahaja. Semua pelajar tingkatan enam berpeluang mendapat gred tertinggi dalam STPM, dan layak dipertimbangkan pengecualian kredit pengajian di universiti ternama dunia. Maka, tempoh pengajian di universiti dapat disingkatkan, dan dalam usia yang muda pelajar berpeluang meraih ijazah tinggi (sarjana dan Ph.D).

Di SMK St Michael, Ipoh (SMI), seorang Penolong Kanan Tingkatan Enam (gred DG 48) telah dilantik. Beliau akan membantu pengetua dalam semua urusan pengajian dan aktiviti tingkatan enam. Selain itu, tiga orang guru tingkatan enam gred DG 44 bertanggungjawab sebagai guru kanan kokurikulum. Guru gred DG 52 (4 orang) dan DG 48 (lantikan baru dan tukar status KUP ke hakiki) yang lain akan diberi peranan yang bakal diaturkan kemudian. Pendek kata, pentadbiran dan pengurusan tingkatan enam (prauniversiti) kini diasingkan daripada menengah atas (4-5) dan menengah rendah (1-3).

Kepada kumpulan guru lantikan tingkatan enam yang bertuah, sekalung tahniah buat kalian. Kepada guru lain yang masih mencuba, teruslah berusaha dan berdoa. Kepada pelajar tingkatan enam, sokonglah guru-guru anda. Menjelang perayaan 100 tahun SMI (2012), marilah kita kita hadiahkan rekod pencapaian STPM yang terbaik, insya-Allah!


(Nota: SMI juga mendapat lantikan 4 orang guru cemerlang DG 48: Perakaunan, Sejarah, Fizik, dan
Sains. Kepada guru berkenaan, syabas dan tahniah! Bila dapat makan percuma?)

Catatan Hujung:
Gred perjawatan guru siswazah - pelantikan pertama DG 41;
- naik pangkat DG 44 time-based 20 tahun,fast-track minimum 5 tahun pengalaman
- naik pangkat DG 48 time-based (selepas tangga gaji
14 pada DG 44; fast-track minimum 3 tahun
- seterusnya DG 52, 54, gred khas C

Friday, May 22, 2009

ZURA UNGGUL DI GELANGGANG, SASHA BERI SAINGAN



Pasangan beregu kental, Cikgu Zuklifli Sulaiman (Jabatan Bahasa) dan Cikgu Ravindran (Jabatan Kaunseling), ringkasnya ZURA menjuarai sirkit badminton Hari Guru SMK St Michael, Ipoh (SMI). Setelah bertarung sengit dengan pencabar handalan, Tuan Haji Shakir Tayat (Jabatan Pendidikan Islam) yang berganding dengan Cikgu Saiful Bahri (Jabatan Kemahiran Hidup), ringkasnya SASHA, mereka mencatat keputusan 21 – 15. Pertandingan berlangsung di arena Kompleks MBI, Jalan Stadium pada petang Jumaat, 22 Mei 2009.

Format perlawanan sirkit SMI agak unik justeru kiraan mata 21 bukan diperoleh setiap kali servis, sebaliknya mata hanya dikutip oleh pemegang servis. Maknanya, untuk memperoleh mata, mana-mana pasangan perlu merampas dan menguasai servis. Jika servis pertama dimatikan, masih ada servis kedua. Sebab itulah pertarungan set tunggal itu berlarutan melebihi 20 minit dengan pertukaran gelanggang pada mata sebelas.

ZURA bermula garang dengan mendahului 7 – 1 sebelum SASHA berjaya memintas 11 – 8. Pasangan ZURA yang sudah serasi sejak 20 tahun ketika mula-mula bertugas di Sekolah Izuddin Shah menukar rentak permainan dengan menggunakan serangan psikologi. Cikgu Zul menunjukkan reaksi ”jeritan” setiap kali berjaya mematahkan asakan lawan. Cikgu Ravi pula menggunakan teknik servis yang mengelirukan pihak lawan.

Kehebatan kombinasi SASHA terletak kepada gabungan stroke dan gerak badan yang menjadi senjata ampuh Tuan Haji Shakir, serta pukulan kilas dan smash kencang Cikgu Saiful. Namun, permainan penuh variasi yang diselang seli dengan serangan psikologi memberi kelebihan kepada pasangan ZURA dalam mengekang kemaraan SASHA. Servis ”maut” Cikgu Ravi berjaya memastikan kejuaraan menjadi milik ZURA, sekali gus menebus kekalahan kepada SASHA pada saingan kumpulan sebelum ini.

Kepada ZURA, sekalung tahniah. Kepada SASHA, anda berdua kombinasi yang hebat. Kita masih ada sirkit seterusnya. Ada ura-ura bahawa sirkit selepas ini akan mengasingkan antara pemain tahap prestasi tinggi (elit) dengan kelompok plate.

Moga semangat saingan di gelanggang akan dibawa ke bilik darjah bagi memantapkan pencapaian para pelajar di SMI. Walaupun pada zahirnya saingan gelanggang menguji kekuatan fizikal dan minda, guru SMI mempamerkan kesungguhan dan semangat setia kawan dalam apa-apa jua keadaan. Kelab Staf SMI, menerusi Kelab Kilas Tangkis yang sudah ada t-shirt yang seragam bakal mengatur lebih banyak aktiviti yang pada akhirnya memberi sumbangan terhadap nama baik SMI, insya-Allah.

Wednesday, May 20, 2009

RAJIN TULIS BLOG, MALAS BACA BUKU!

Demikian bunyi dakwaan Pyanhabib, seorang pemuisi tersohor negara seperti yang dipetik oleh "Profesor Serba Tahu, PST dalam majalah Gila-gila, edisi Ogos 2008. Kesimpulan itu dibuat berdasarkan pameran buku antarabangsa Kuala Lumpur dalam bulan yang sama. Ruang dewan utama penuh sesak hingga sukar untuk pengunjung bergerak. Petugas kaunter asyik tersenyum lebar.

Keadaan sebaliknya berlaku di bilik pameran bersebelahan. Lengang! Petugas kaunter muncung. PST mengatakan kalau dia mahu bikin shuffle di situ, tiada masalah langsung. Mengapa bagaikan langit dengan bumi?

Setelah disiasat, rupa-rupanya ruang dewan utama menawarkan majalah dan bacaan ringan. Ruang bilik pameran bersebelahan menawarkan buku ilmiah dan bahasa asing! Maka, secara sepintas lalu, boleh disimpulkan bahawa masyarakat Malaysia sangat rajin membaca, tetapi bahan bacaannya sahaja yang dipertikaikan. Barangkali langkah permulaannya sudah baik, cuma tahapnya perlu dianjak!

PST turut membalun dan membelasah para blogger tempatan yang menulis hal remeh-temeh dan memualkan seperti catatan diari peribadi yang tidak ada intipati (substance) untuk diangkat sebagai wacana yang membina minda. Blogger tempatan juga didapati lebih suka berbalah tentang isu hiburan dan politik yang tidak ketahuan hujung pangkalnya. Pendek kata, tiada pembaharuan dalam idea penulisan mereka, melainkan bertaraf picisan belaka.

Wau, bisanya! Maka, wahai rakan blogger sekalian. Marilah kita melakukan pembaharuan. Tidak salah menulis tentang catatan peribadi, membincangkan isu hiburan dan politik, tetapi jangan lupa menyelitkan sentuhan analisis yang matang, walaupun mungkin kelihatan sangat sederhana.

Kata pujangga:
Orang kerdil menceritakan tentang orang lain,
Orang biasa menceritakan tentang peristiwa,
Orang hebat menceritakan tentang idea!

Mungkin sudah sampai masanya kita membuat segmentasi dalam blog seperti catatan anekdot, berita, santai, dan ilmiah. Dengan demikian, blogger Malaysia bakal lebih dihormati dan disanjung tinggi, insya-Allah.

Sekian, selamat melakukan pembaharuan dalam penulisan anda!

Saturday, May 16, 2009

REMAJA MEMILIH LAGU BARAT, EPL *




Tinjauan rambang terhadap remaja seluruh dunia (menerusi laman blog, sesawang, forum, chatting) mendapati bahawa selera muzik mereka tertumpu kepada karya dari Barat, khususnya UK dan USA. Nama seperti Miley Cyrus, Rihanna, Justin Timberlake (sekadar beberapa nama) meniti di bibir remaja. Aliran muzik alternatif dan indies turut mendapat sambutan hebat dalam kalangan remaja. Sebaliknya, elemen irama asli dan tradisional tempatan seakan-akan terpinggir dan dibuang jauh-jauh. Anda boleh bertanyakan mana-mana remaja yang memiliki gajet seperti telefon bimbit atau i-pod. Koleksi lagu manakah yang dimuat turun atau dijadikan nada dering?

Bab sukan juga demikian. Remaja lebih berbangga menyarung jersi MU, Chelsea, Liverpool, Arsenal, dan Barcelona. Nama seperti Christiano Ronaldo, Frank Lampard, Michael Owen, Didier Drogba, dan David Beckham terpampang di belakang jersi yang mereka pakai. Peniaga juga takut menanggung risiko mengeluarkan jersi pemain liga tempatan yang mungkin hanya laku jika dijual secara lelong (harga bawah kos) , bundle, atau reject di pasar-pasar malam. Memang ada jersi-jersi negeri (Liga Super, Malaysia) dengan nombor pemain, tetapi tiada nama pemain dipaparkan. Itu pun dipakai ketika berlangsungnya perlawanan di stadium. Jika digayakan di pasar raya dan ketika berjalan-jalan, terasa seperti semua orang di sekeling mencebikkan bibir, gelak besar dan mengutuk gitu. Mana ada kelas!

Para pemimpin masyarakat (yang tidak kurang mengkagumi Barat!), tokoh budaya, penggiat seni tempatan, dan media sering menyuarakan rasa cemas terhadap fenomena remaja itu. Apa kurangnya produk tempatan, hujah golongan yang sudah lupa bahawa ketika zaman remaja mereka juga menghafaz lirik lagu balada seperti Feelings, Miracle, Hold Me Close, Green Green Grass of Home, Delilah, You Mean Everything To Me, Grease, How Deep is Your Love, Hopelessly Devoted to You, Hotel California, Soldier of Fortune, Staying Alive, dan terlalu banyak lagi. Stiker Bee Gees, Olivia Newton John, dan Tom Jones ditampal di fail nota dan buku. Pengaruh jambul, kasut tajam dan seluar bell-bottom John Travolta (filem Saturday Night Fever) begitu ketara pada awal 1980-an. Sedangkan pada era berkenaan hanya ada TV1 hitam putih, dan Radio Rangkaian Nasional (sekarang Klasik Nasional), dengan mutu audio gelombang analog, tiada FM atau digital. Namun, terdapat lambakan majalah, katrij dan kaset lagu-lagu Barat. Lagu-lagu Melayu juga sebahagian besarnya ialah saduran lagu Barat.

Pencinta bola sepak pula lebih mengingati Gerd Muller (Jerman Barat), Johan Cruff (Belanda), Zico (Brazil), Kevin Keegan (England) dan Paulo Rossi (Itali). Mujur juga Malaysia layak ke Olimpik dua kali, pernah menewaskan USA 3-0, mengekang asakan Jerman Barat selama 60 minit sebelum kecundang 0-3, dan dibelasah oleh Maghribi 0-6. Nama seperti Syed Ahmad, Mokhtar Dahari, Namat Abdullah. Arumugam dan Wong Kam Fook cukup popular. Malah, pasukan Malaysia pernah seri 1-1 dengan England B (kemudian tewas 2-4 kepada skuad utama England, dengan dua jaringan mengejut Matlan Marjan, pemain Sabah). Pada masa itu pasukan hebat EPL ialah Liverpool, Queens Park Rangers, Derby County, Stoke City, Leeds United dan Newcastle. MU, Arsenal dan Chelsea hanya muncul gah lewat 1990-an.

Saya bertugas di sebuah sekolah teknik (SMT) selama lebih sepuluh tahun. Keistimewaan SMT ialah lawatan industri. Maka, dalam setahun biasanya dua kali saya akan mengiringi kumpulan pelajar melawat organisasi dan sektor industri seperti Perwaja Steel, ibu pejabat Lembaga Tabung Haji, dan Ladang Jendarata. Maka, dalam perjalanan sudah tentu membosankan jika hanya tidur dan memandang kosong ke luar. Sebagai guru Prinsip Akaun dan Ekonomi Asas, saya biasanya membawa pelajar jurusan perdagangan yang didominasi pelajar perempuan. Dalam kelas bukan main control cun, dan susah nak dengar suara pun! Tahu apa kaset pilihan yang mereka pasang?

Saya bukanlah antimuzik, tetapi berasa pening dan terpaksa menutup telinga. Tahu kenapa? Itu awek (murid sayalah) pasang lagu heavy metal, trash, underground yang saya tak reti nak menikmatinya. Pulak tu, semua sekali bersepakat, tak ada yang membantah. Akhirnya, saya menggunakan veto supaya lagu berirama lebih perlahan dan liriknya agak jelas sahaja dikumandangkan. Komprominya, kalau nak pasang juga lagu keras, perlahankan volume. Mungkin (ya, mungkin) murid saya menganggap cikgunya tak sporting, konservatif, dan kekampungan walaupun baru mencecah usia pertengahan 20-an ketika itu. Bukan, bukan, bukan! Mungkin itu yang dikatakan jurang generasi (generation gap). Para remaja akan memahaminya apabila mula mengetuk pintu pascaremaja (muda belia, dewasa, dan oppps..... tua) nanti. Hampir semua murid (aweks) yang menyertai rombongan hari tu telah grads, sebahagiannya dari universiti ternama UK dan US, dan telah menyandang kedudukan yang tinggi dalam kerjaya, perniagaan dan akademik. Cikgunya... hehehe... masih berulang-alik ke sekolah le...

Dah panjang sangat? O k lah, kita sambung kemudian aje...





* Tulisan ini mengandungi perkataan dan ujaran yang bersifat basahan, yang ditulis secara bold dan italic (bahasa pasar, slanga, dan laras perbualan remaja). Maka, sebarang kemuyskilan bolehlah dirujuk terus kepada penulis blog, atau guru bahasa anda sendiri
)

HARI PERTAMA LA3 BELAJAR EKONOMI

Tanggal 15 Mei 2009 (Jumaat) buat pertama kalinya pelajar LA3 beriteraksi secara langsung dengan guru Ekonomi, mereka, tidak lain tidak bukan, penulis blog inilah. Seperti biasa dalam pertemuan pertama, semua sekali memakai topeng, tunjuk skema, dan serba serbi formal. Keadaan begitu tidak akan bertahan lama, justeru true colours masing-masing, sama ada murid dan guru, tidak boleh disembunyikan dalam tempoh yang lama.

Untuk memecahkan perisai pertahanan (helah bela diri, defence mechanism), rasa curiga, dan terlalu berhati-hati, guru memilih pendekatan pecah ais (ice-breaking). Tiga aktiviti dijayakan, iaitu nombor ajaib, petak segi empat sama tersembunyi, dan rantai nama. Berdasarkan penglibatan pelajar, beberapa kesimpulan telah dibuat, dan dikaitkan dengan pemupukan kemahiran generik pembelajaran aras tinggi. Tahap kenyaringan suara pelajar, perasaan dan perhatian pelajar juga dapat diukur menerusi tanggapan pertama (first impression).

Aktiviti nombor ajaib telah menunjukkan bahawa perbezaan cara, latar belakang dan stail pembelajaran boleh dikekalkan tanpa menjejaskan pencapaian matlamat kecemerlangan. Pelajar juga mengakui bahawa kepekaan terhadap keperluan tugasan yang ditetapkan (masing-masing mesti memilih tiga digit 1 – 9 dengan susunan tertib yang besar dahulu) ialah sine qua non kepada aktiviti bersifat kumpulan. Mungkin ada yang pernah melakukan aktiviti yang sama, namun diberi sentuhan yang baharu, sesuai dengan tahap pelajar prauniversiti.

Aktiviti hidden squares menyerlahkan sikap bertindak tanpa berfikir dua kali sering mengakibatkan kesilapan yang teruk. Dalam kebanyakan kes dan situasi, kita seharusnya memberi ruang untuk fikiran kedua. Selain itu, bagi mencapai tahap persis (jitu), kaedah tertentu hendaklah digunakan. Jika hendak meyakinkan orang lain terhadap sesuatu dapatan dan penemuan kita, penerangan langkah demi langkah wajib dipersembahkan dengan jelas dan mudah difahami. Maknanya, proses ke arah pencapaian sesuatu hasil yang diharapkan adalah lebih penting daripada pernyataan hasil itu sendiri.

Aktiviti rantai nama membangkitkan kelucuan dan rasa bangga apabila rakan yang baru dikenali dapat menyebut nama rakan yang lain secara separuh betul. Ikatan kumpulan (group binding) menjadi prasyarat kejayaan sesuatu organisasi selagi mana tidak wujud penyelewengan, atau pelakuan berakhlak rendah. Aktiviti rantai nama boleh dijadikan titik tolak kaedah pengajaran sebaya (peer teaching) bagi mengimbangi penyampaian guru yang mungkin sekali sipi dengan laras bahasa remaja. Gabungan kehebatan pelajar dan guru Ekonomi memungkinkan rekod baru pencapaian STPM kohort sebelum ini dipecahkan saban tahun, insya-Allah.

Hari Isnin (18 Mei 2009), aktiviti melukis lambang (siling dan unsur alam), rebut 400 akan dibuat. Lembaran pandang seluruh (bird’s view) bidang pembelajaran Ekonomi STPM juga bakal diedarkan. Kepada semua 16 orang pelajar LA3, selamat maju jaya. Ingatlah bahawa, SMI ialah teman kecemerlangan anda!

Wednesday, May 13, 2009

hadiah buat guru

16 Mei hari keramat
hari ditabal mahkota impian
dijunjung, dilambung, disanjung
bakti dilukis jasa dihitung
atas baldu bersulam maknikam

pesta dibuka dengan perutusan
pembesar negara menitip bicara
menyanyi guru setia diikrar
menyalakan cahaya segenap buana

hadiah dihulur bunga disemat
sketsa syahdu sentuhan puisi
luahan yang kudus
mendekam di sanubari

kudrat dua generasi
di gelanggang pertembungan
yang satu memberi laluan
yang satu merelakan

tawa riang lafaz bersusun
juadah disaji layanan bestari
dibawa bayu cerita semalam
bagai terbina istana nan masyhur

esok pasti tiba
kembali ke garis mula
membawa piala kenangan
setahun berselang menunggu


AZHAR BIN MOHD RODZI
13 Mei 2009, Ipoh