SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, October 8, 2009

UNIVERSITI MALAYA KEMBALI KE MERCU (UNIVERSITY OF MALAYA REGAIN WORLD CLASS RANKING POSITION)


Selaku universiti tertua dan terulung di negara kita, Universiti Malaya (UM) berjaya kembali dalam kelompok 200 buah universiti terbaik dunia, iaitu di tangga ke-180. Walaupun kriteria yang mengukur kedudukan berkenaan terdedah kepada perdebatan, setidak-tidaknya penarafan yang diterbitkan oleh Times Higher Educational Supplement  (THES) itu mendapat perhatian institut pengajian tinggi dan kerajaan seluruh dunia. Sebagai alumni UM, penulis blog tumpang berbangga walaupun ketika menuntut di sana, UM pernah mencatat kedudukan nombor 89!

Keluasan kampus UM mungkin lebih kecil berbanding dengan universiti lain di Malaysia, namun kedudukannya di kawasan segi tiga emas ibu negara memberikannya kelebihan yang tersendiri. Tambahan pula, siswazah UM telah memberi sumbangan besar di serata dunia dengan menyandang pelbagai peranan penting, termasuk sebagai Presiden UNGA, United Nations General Assembly (Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu - menerusi Tan Sri Razali Ismail, siswazah Pengajian Bahasa Inggeris UM). Kebanyakan cendekiawan tersohor negara, pemimpin politik, tokoh korporat dan pegawai tinggi awam juga pernah menjalani pengajian di UM.

Sebagai sebuah universiti senior, walaupun tidak berjaya meraih status universiti Apex (yang berjaya dibida oleh USM), UM masih menjadi penanda aras pencapaian IPT tempatan. Universiti terkemuka lain termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berada pada kedudukan 291, boleh dianggap pencapaian yang hebat memandangkan usia penubuhannya tidak sampai 40 tahun (diasaskan pada tahun 1970, berbanding dengan UM yang mula bertapak di Singapura pada penghujung 1950-an). Penulis blog turut berbangga dengan UKM justeru pernah menuntut di sana untuk ijazah sarjana muda di Fakulti Ekonomi.

UM dan UKM berpotensi besar untuk menempatkan diri dalam kelompok 50 universiti terbaik dunia jika beberapa bidang keutamaan (niche area) diberi penekanan. Misalnya, memperbanyak penerbitan jurnal penyelidikan bertaraf antarabangsa, menawarkan lebih banyak tempat untuk ijazah tinggi (Sarjana dan Ph.D) kepada pelajar asing dan mengadakan hubungan kecendekiawanan lebih kukuh dengan universiti terhebat dunia seperti Harvard, MIT, Yale dan Princeton (USA), serta Cambridge dan Oxford (UK). UKM pernah berada di tangga 50 universiti terbaik dunia dalam disiplin sains dan teknologi. UM pula boleh menambah nilai aktiviti R & D dan menjemput lebih banyak profesor tamu di Institut Asia-Eropahnya untuk menyelia disertasi calon doktor falsafah.

Memandangkan UM dan UKM berupaya bolos ke puncak tertinggi menara gading sedunia, pihak kerajaan dan swasta boleh menyalurkan lebih banyak dana untuk kegiatan penyelidikan dan pembangunan, selain peruntukan IRPA sedia ada. UM dan UKM mesti berbeza dengan institusi penyelidikan lain yang bertaraf agensi kerajaan seperti FRIM, MARDI dan Puspati. Universiti sebagai gedung ilmu tidak betah berimej vokasional atau terlalu bersifat hands-on (kononnya) demi mengambil hati pihak industri.

Universiti harus tegak sebagai pemimpin ilmu yang membimbing manusia ke arah kebenaran dan keadilan. Ketika pihak lain rebah direntap oleh keserakahan industri yang hanya tamakkan laba, biarlah universiti terus berdiri sebagai benteng terakhir peradaban dan tamadun dengan selama-lamanya berpaksikan kebijaksanaan dan nilai. Universiti menerajui, bukan diterajui!

Tahniah UM dan UKM!



KOKURIKULUM TINGKATAN 6: PENGAKAP KELANA SMI TERUS AKTIF (MICHAELIAN'S ROVER SCOUT TO MEET SIXTH FORM CO-CURRICULUM EXCELLENCE)

Matlamat asas kegiatan kokurikulum tingkatan enam ialah ke arah pemupukan kepimpinan, perkhidmatan dan pengalaman pembelajaran luar bilik kuliah. Kejayaan melaksanakan kegiatan kokurikulum bakal melengkapkan pakej penjenamaan semula tingkatan enam sebagai laluan pengajian prauniversiti yang terunggul. Apabila menjejakkan kaki ke menara gading, lepasan tingkatan enam berupaya mempamerkan ciri peribadi dan kualiti disiplin yang serba serbinya hebat dan matang.


 Pasukan Pengakap Kelana di SMK St Michael, Ipoh ialah antara badan pakaian seragam yang boleh dibanggakan. Walaupun baru bermula, pasukan ini sudah boleh diketengahkan sebagai model sebuah organisasi pelajar prauniversiti yang memiliki potensi besar dan teratur. Kelebihan pasukan pengakap di SMI ialah kemudahan kawasan aktiviti yang tidak dimiliki oleh pasukan lain. Pengakap SMI memiliki bangunan sendiri, padang kawat sendiri, gajet dan peralatan yang mencukupi.





Dengan memiliki bangunan sendiri, anggota pasukan pengakap dengan sendirinya perlu mempelajari hal-ehwal pengurusan lojistik. Kebersihan kawasan, susun atur gajet dan peralatan, serta aktiviti yang dirancang mesti diberi perhatian yang berterusan. Anggota pasukan yang dijadualkan bertugas harus akur dan mematuhi segala keputusan pasukan. Peraturan tetap penggunaan premis bangunan wajib dihormati.







Di samping rutin kawat kaki sebagai asas disiplin pasukan, aktiviti lain yang boleh dilaksanakan dalam kawasan wisma pengakap SMI termasuklah ikhtiar hidup dan perkhemahan dalaman. Dalam aktiviti mingguan Rabu (7 Ogos 2009), antara lain pasukan pengakap kelana telah bersama-sama mengaplikasikan kemahiran ikhtiar hidup bagi menghidupkan api dengan bahan dan peralatan daripada alam persekitaran, teknik memanggang ikan dan menyediakan pemanis mulut secara kreatif. Tunjuk  cara dibuat oleh oleh guru pemimpin dan pengerusi pasukan.











Kunjungan Ketua Guru Kokurikulum Tingkatan 6


Ruang mesyuarat wisma pengakap SMI








Peralatan tersimpan kemas dalam bilik stor wisma pengakap SMI














Hormat Jalur Gemilang

Tuesday, October 6, 2009

CALON PMR ST MICHAEL MELANGKAH YAKIN (MICHAELIANS PMR CANDIDATES TO EXCEL)

Rabu, 18 Syawal 1430 / 7 Oktober 2009


Sejumlah 367 orang murid Tingkatan Tiga SMI memulakan langkah kecemerlangan dalam pembelajaran menengah dengan menduduki peperiksaan Bahasa Melayu dan Pendidikan Islam PMR bermula hari ini. Sebelum memasuki dewan peperiksaan, mereka dihimpunkan di gelanggang badminton untuk taklimat terakhir dan imbasan suhu badan. Pengetua dan Penolong Kanan turut berada di situ bagi memberi kata-kata perangsang dan nasihat supaya calon dapat menghadapi peperiksaan dengan jayanya.







Terdapat sedikit kelainan tatacara berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya. Kali ini semua calon menjalani imbasan suhu badan bagi tujuan berjaga-jaga terhadap penularan wabak H1N1. Namun, tiada kes pengasingan atau kuarantin dilaporkan.





Selain itu, Unit Disiplin turut membuat pemeriksaan bagi memastikan bahawa calon tidak membawa item terlarang yang boleh mengganggu perjalanan peperiksaan. Tahap kecergasan calon juga diperhatikan. Jika ada yang kelihatan tidak bermaya, tindakan selanjutnya akan diambil seperti menyediakan makanan atau ubat kepada calon berkenaan.






Pengetua dan Penolong Kanan sering menekankan prinsip in loco parentis, iaitu melayan murid dan pelajar bagaikan anak sendiri. Namun, selaras dengan konsep langkah berjaga-jaga (duty of care), terdapat beberapa isu yang perlu diberi perhatian. Maka, dengan hubungan baik yang dipupuk antara semua warga SMI, tradisi kecemerlangan sekolah sejak penubuhannya 98 tahun yang lalu terus dapat dipertahankan.

JAMUAN AKHIR TAHUN KELAB STAF SMI PENUH GIMIK (SMI STAFF CLUB CLUB ANNUAL DINNER UPDATE)



Dari kiri:  Encik Maulid (Pengerusi), Encik Panirchelvam (AJK), Cik Mimi Ashikin (Setiausaha), Cik Farah (Bendahari), Encik Raizuran (AJK), Encik Pritam Singh (AJK) dan Puan Shalija (AJK).

Tiada dalam gambar: Penulis Blog (Naib Pengerusi) dan Encik Prakas Rao (Penolong Setiausaha)

Tarikh : 28 0ktober 2009 (Rabu)

Masa : 7.30 malam - 10.30 malam

Tempat : Restoran Simpang Tiga, Greentown

Tema : "Candle Light Dinner"

Atur Cara : Ketibaan hadirin dan tetamu

: Ucapan aluan Pengerusi Kelab Staf

: Ucapan Tuan Pengetua

: Ucapan Guru yang berpindah (tempat bertugas)

: Penyampaian cenderamata

: Cabutan Bertuah

: Anugerah Khas (Kehadiran Bertugas)

: Permainan Pintar


Bilangan anggota Kelab Staf SMI ialah 165 orang. Kelab Staf berharap semua anggota dapat meluangkan masa untuk memeriahkan majlis, walaupun pengalaman lalu mencatat lebih kurang 85 peratus kehadiran. Kebanyakan yang tidak dapat hadir mempunyai urusan yang tidak dapat dielakkan pada saat-saat akhir.


TAJAAN HADIAH DIALU-ALUKAN !!!

  

Monday, October 5, 2009

MAJLIS BACAAN YASIN DAN SAMBUTAN RAYA GURU SMI (RAYA GATHERING'S AT ST MICHAEL'S INSTITUTION)

Ipoh, Selasa 17 Syawal 1430 / 6 Oktober 2009

Badan Kebajikan Guru-guru Islam SMI (Berkat) sesi pagi telah menganjurkan program sambutan Aidil Fitri secara sederhana tetapi meriah di perkarangan Surau SMI. Majlis yang bermula pukul 9 pagi diisi dengan bacaan Yasin oleh guru-guru yang berkelapangan waktu (tiada p & p). Tujuannya ialah menzahirkan kesyukuran ke Hadrat Ilahi justeru semua warga Muslim SMI selamat menjalani ibadah puasa Ramadan, di samping mendoakan keselamatan dan kejayaan seluruh warga SMI yang bakal menduduki peperiksaan awam bermula esok.




Antara menu juadah ialah nasi goreng, sate, nasi impit, lemang, ketupat dan kuih muih. Minuman pula ialah jus oren berperisa khas. Selai itu, air mineral turut disediakan.


Walaupun lorong surau SMI bersaiz kecil, namun dengan kreativiti susun atur majlis, ruang seakan-akan begitu luas.



 
Turut mengunjungi "rumat terbuka" Berkat ialah tuan pengetua, dan Penolong Kanan HEM, En. Velu. Pengetua sangat tertarik dengan konsep majlis yang dianjurkan dan berharap dapat diteruskan saban tahun. Guru-guru yang ditemui juga menyatakan pujian kepada jawatankuasa penganjur yang diketuai oleh Penolong Kanan, Tuan Haji Tauhid, dan diselaraskan oleh Puan Hajjah Zaleha.


Guru sesi petang telah mengadakan program sambutan yang sama pada hari Jumaat yang lalu. Konsep majlis itu ialah secara pot luck. Guru petang meraikan hari tersebut dengan pakaian bertemakan hari  raya.

PERHIMPUNAN PAGI BERWAJAH BAHARU (THE WINNING FACES AT THE MICHAELIANS ASSEMBLY)


Ipoh, Isnin 16 Syawal 1430 /
5 Oktober 2009

Sudah menjadi tradisi SMK St Michael, Ipoh (SMI) mengadakan perhimpunan awal minggu di medan terbuka walaupun memiliki sebuah dewan yang serba indah. Dengan latar panorama bandar raya yang mempersona, serta pagi yang ceria, minda warga SMI sudah bersedia memulakan hari pembelajaran yang baharu.


Meskipun perhimpunan rasmi mingguan biasanya hanya mengambil masa 35 minit, namun selepas nyanyian lagu Negaraku dan lagu Negeri Perak Darul Ridzuan, serta bacaan doa, hadirin dibenarkan duduk. Beberapa minggu ini, sempena  sambutan kemerdekaan dan Hari Malaysia, Kelab Rukun Negara mengendalikan ikrar dan penerangan rukun negara. Jika dahulu pengacara perhimpunan menjadi tanggungjawab guru bertugas, kini semuanya diserahkan kepada pelajar. Guru hanya mengisi slot seperti laporan dan upacara tertentu.

Perhimpunan pagi ini turut menyelitkan upacara penyampaian hadiah dan pingat kemenangan untuk pertandingan menghias kelas sempena kemerdekaan, dan kejohanan badminton sekolah. Selain itu, moderator tingkatan turut menerima sijil penyertaan motivasi pelajar Islam untuk disampaikan kepada pelajar yang mengambil bahagian. Selain pengiktirafan, hadiah, pingat dan sijil bakal menjadi oleh-oleh kenangan kepada pelajar apabila meninggalkan bangku persekolahan kelak.


Pertandingan Menghias kelas Sempena Sambutan Kemerdekaan kali ke-52
(Tema: Satu Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan)

Senarai pemenang tempat pertama mengikut tingkatan:
USS4, LSS3, 5S5, 4S2, 3A6, 2 Loyalty, 1 Kindness

Senarai pemenang kedua: UA1, LA1, 5S3, 4S2, 3A1, 2 Courage, 1 Courage

                        

Kelihatan tuan pengetua sedang bertanyakan sesuatu kepada pemenang pertandingan badminton peringkat sekolah. Sejumlah 264 orang pelajar lelaki dan perempuan telah mengambil bahagian. Manalah tahu, mungkin akan muncul seorang lagi Khoo Ken Khiat, kalaupun tidak legenda seperti Ng Boon Bee dan Tan Yee Khan!


Nilai hadiah bukanlah ukuran mutlak harga sebuah kejayaan. Perkara yang lebih mustahak ialah proses pembelajaran yang dipupuk dalam setiap aktiviti yang disertai. Maka, harapan untuk melihat kemunculan sebuah generasi muda idaman, sebagai kelompok modal insan minda kelas pertama dan peribadi unggul (towering personality) akan segera menjadi kenyataan...

Sunday, October 4, 2009

MALANG TIDAK BERBAU: SUATU PANDANGAN DASAR (COINCIDENCE AND PUBLIC SAFETY: A POLICY REVIEW)


Warga Ipoh masih memperkatakan peristiwa runtuhan sederetan tujuh pintu rumah kedai yang telah dikosongkan sehingga meragut dua nyawa dua hari lepas. Pastinya insiden berkenaan akan menjadi duluan (precedent) terhadap kes-kes kecuaian kerja awam di negara kita pada masa hadapan. Walau apapun analisis dan ulasan, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kepada keluarga dan sahabat kedua-dua korban diucapkan takziah dan moga tabah menghadapi kehilangan yang tidak diduga ini.




Nasib yang menimpa orang awam seperti yang berlaku itu buat kesekian kalinya membuka mata banyak pihak terhadap beberapa isu dan dasar awam yang perlukan ketegasan dan penambahbaikan. Kita tidak boleh terus bersikap sudah terantuk baru terngadah! Dalam kata lain, suatu kaedah perancangan dasar tentang segala kerja awam mematuhi segala piawaian ketat alam sekitar (EIA, environmental impact assessment) dan keselamatan manusia wajib diperincikan sebelum kelulusan sesuatu projek diberikan.



Sebagai sebuah negara yang masih muda (52 tahun merdeka), Malaysia boleh mempelajari pengalaman negara-negara yang lebih maju dalam perancangan dasar awam, terutama dalam aspek keselamatan manusia. Misalnya, sebelum sesuatu kerja membaiki atau menaik taraf jalan raya atau lebuh raya, hebahan tentangnya dibuat tiga bulan lebih awal menerusi segala media yang boleh diakses oleh rakyat. Untuk memudahkan pengguna jalan raya lebih bersedia dan berhati-hati, satu notis besar diletakkan dari jarak 10 kilometer daripada lokasi kerja (juga tiga bulan lebih awal).



Peranan rakyat sebagai pengguna yang bijak perlu diambil kira. Falsafah tukang kayu menyebutkan: ukur dua kali, potong sekali sahaja (measure twice, cut once). Maknanya, sesuatu projek yang membabitkan keselamatan manusia hendaklah mendapatkan maklum balas yang secukupnya supaya segala kerja yang berkemungkinan membabitkan elemen bahaya dan risiko dilakukan secara munasabah dan teratur.






Penggubalan apa-apa juga dasar sama ada di peringkat persekutuan, negeri, daerah, kampung, atau kejiranan harus melalui proses tertentu. Paling utama ialah hujah dialektik (sokong - bantah) kemudian ditadbirkan dalam bentuk tinjauan awam (referendum) bagi memastikan bahawa  orang ramai 'merestui' projek yang dicadangkan. Kajian kemungkinan (feasible study) merangkumi kesan politik, ekonomi, sosial dan teknologi dibuat secara profesional dan telus oleh pakar.

Friday, October 2, 2009

BANGUNAN LAMA MENYEMBAH BUMI HEMPAP EMPAT BUAH KERETA (VACANT BUILDING IN IPOH COLLAPSE CLAIM TWO VICTIMS)

Ipoh, Jumaat 13 Syawal 1430  /  2 Oktober 2009

Penulis blog sekeluarga kebetulan melalui Jalan Fair Park pada pukul 9.40 malam. Tiba-tiba berhampiran Taman Asia, kelihatan orang ramai memandang ke satu arah dan berlaku kesesakan yang luar biasa. Kemudian, semakin ramai yang berlari-lari ke arah yang sama.


Penulis blog membuat keputusan meletak kereta di stesen Caltex. Ketika tiba di lokasi, kejadian runtuhan baru berlaku sepuluh minit. Belum ada pasukan ambulans, bomba dan penyelamat, serta polis di situ.

Tiada halangan. Orang ramai yang ada di situ terus berkerumun betul-betul di kawasan runtuhan. Masing-masing ingin tahu perkara yang berlaku.










Kelihatan beberapa buah kereta yang tidak sempat mengelak runtuhan masih berada di situ. Saksi awal menyatakan beberapa orang pemandu dan penumpang kereta dapat menyelamatkan diri. Penulis blog melihat sendiri seorang remaja yang cedera sedang diberi bantuan rawatan.






Sebuah kereta Viva betul-betul terperangkap  di bawah runtuhan. Pasukan bomba dan penyelamat yang tiba terus memeriksa kereta berkenaan. Runtuhan telah menutupi sebelah kiri Jalan Fair Park yang tidak berapa jauh daripada Hospital Raja Permaisuri Bainun dan kompleks Greentown Mall. Kebanyakan kenderaan yang melalui kawasan itu datang dari arah Stadium Perak dan Stadium Indera Mulia.
Sejurus pasukan bantuan dan keselamatan tiba, tali rentang segera dipasang untuk kerja operasi menyelamat. Orang awam dan pemberita diarah berundur. Dalam pada itu sebuah jentera "misteri" yang dipercayai sedang menjalankan kerja meruntuh bangunan yang telah dikosongkan sebulan lalu kelihatan terkial-kial seolah-olah cuba melarikan diri. Orang awam menjerit-jerit apabila jentera itu membuat pusingan dan bergerak tanpa menghiraukan keselamatan orang awam.

Sebagai langkah keselamatan, laluan kiri jalan ditutup dan semua kenderaan diarah berpatah balik melalui Taman Asia. Sekatan juga dilakukan kepada semua kenderaan yang cuba menghala ke lokasi kejadian. Kira-kira pukul sebelas malam, dua tubuh mangsa berjaya dikeluarkan. Orang awam yang tidak berganjak sejak sejam mula beransur-ansur meninggalkan tempat kejadian.


Seorang pelajar tahun dua jurusan pengajian perniagaan di Institut Teknologi Perak yang penulis blog temui kelihatan masih trauma. Dia menyaksikan kejadian runtuh itu di hadapan mata. Dia langsung tidak berani menghampiri lokasi runtuhan, sebaliknya tidak putus-putus melafazkan kesyukuran ke Hadrat Ilahi justeru masih selamat. Rumah sewanya hanya terletak beberapa meter daripada lokasi runtuhan.


Wednesday, September 30, 2009

TATABAHASA SPM: MUDAH DAN BERSAHAJA (GRAMMATICAL PART OF BAHASA MELAYU SPM: FLEXIBILITY AND RIGIDITY)

Pelajar yang telah menguasai tatabahasa sejak sekolah rendah tidak menghadapai banyak masalah dalam menulis jawapan Bahagian C, atau soalan 3 yang memperuntukkan 30 markah.  Berdasarkan jawapan pelajar SMI, didapati bahawa pecahan (e), iaitu peribahasa mendatangkan masalah. Hampir tiada calon mencatat 6 markah penuh, kebanyakannya meraih 2 markah sahaja.


2.   Biasanya pecahan (c) dan pecahan (d) boleh dijawab dengan cepat, justeru arahannya ialah kenal pasti kesalahan bahasa (ejaan, imbuhan, istilah, tatabahasa), catat perkataan dan tulis pembetulannya. Tiada keperluan menyalin semula keseluruhan ayat atau petikan yang diuji.


3.   Pecahan (a) ialah membina ayat daripada perkataan atau frasa yang diberi. Cuba kita lihat contoh di bawah, dengan perkataan yang diuji ialah siang:

       -   Siang ialah nama kawan baik saya.

       -   Siang perigi hingga bersih, kata emak kepada adik saya.

       -   Terbitnya mentari menandakan siang menjengah kita.


       Manakah ayat yang menepati syarat sintaksis, semantik dan tugasan soalan?


4.    Ayat pertama ditolak justeru perkataan yang diuji digunakan sebagai nama khas. Tugasan soalan menghendaki ayat yang dibina dapat menepati maksud dan penggunaan perkataan yang diuji. Ayat seringkas "Hari siang sesuai untuk bekerja."


5.   Ayat kedua tiada masalah. Siang bermakna membersihkan!. Namun, ayat cakap ajuk (ayat perintah, ayat tanya dan ayat seruan) memerlukan tanda baca pengikat kata (").


6.   Ayat ketiga juga boleh diterima, cuma bau puitisnya agak ketara. Sebagai ayat penyata, tanda baca yang digunakan adalah tepat.


7.   Sebarang penambahan imbuhan (atau pengguguran imbuhan, jika ada) terhadap perkataan yang diuji melanggar tugasan soalan. Hanya penggunaan partikel (lah, tah) dan kata ganti nama "nya" boleh diterima, tetapi tidak digalakkan. Jalan paling selamat ialah mengekalkan perkataan yang diuji seadanya.


8.   Selain perkataan, tugasan membina ayat berdasarkan frasa yang diuji juga membawa prinsip yang sama.Ayat yang dibina akan menjadi mantap andainya frasa yang diuji tidaklah dengan mudahnya ditukarkan dengan frasa lain tanpa perlu mengubah bahagian lain.


9.   Contoh:

      -   Konsep jati diri sesuai diterapkan di sekolah.

      -   Pemupukan jati diri mengukuhkan semangat cintakan negara.


10.   Ayat pertama tidak mantap justeru frasa yang diuji dengan mudah boleh ditukar dengan frasa lain tanpa mengusik perkataan-perkataan lain dalam ayat yang dibina. Anda cubalah sendiri.


11.   Ayat kedua lebih mantap kerana frasa yang diuji dikaitkan dengan implikasinya.


12.   Pecahan (b) biasanya menguji aspek sintaksis (binaan ayat) secara khusus. Bidang sintaksis ini cukup luas, namun tumpuan boleh diberi kepada klasifikasi frasa dan ayat, bentuk ayat (tunggal, majmuk), jenis ayat (aktif, pasif), susunan ayat (biasa, songsang), dan cakap ajuk cakap pindah.


13.   Pecahan 3 (e) iaitu soalan peribahasa didapati paling sukar bagi pelajar. Namun, tidak salah untuk mencuba daripada membiarkannya tanpa jawapan. Menjelang SPM, anda boleh membuat permainan peribahasa supaya pembelajarannya lebih ringan dan santai. Sesekali lagukan sahaja. Selamat mencuba!


14.    Pendek kata, dalam bahagian tatabahasa perkara yang perlu dipentingkan ialah mematuhi tugasan soalan. Bab-bab bahasa canggih jadikan perkara kedua.

Sekian, selamat maju jaya...



 

BAHAGIAN PEMAHAMAN; MENGENAL PASTI FOKUS TUGASAN SOALAN (QUESTION 2: IDENTIFY THE MOST POWERFUL WORD)

Berdasarkan penulisan jawapan percubaan SPM negeri Perak pelajar SMK St Michael, Ipoh, didapati bahawa langkah yang sewajarnya dalam merancang isi dan huraian jawapan (jika perlu) tidak begitu diambil berat. Kebanyakan jawapan didapati lebih cenderung kepada "cuba nasib" atau menulis dengan panjang lebar dengan harapan supaya ada antara jawapan yang ditulis akan mengena! Walaupun keadaan demikian lebih baik daripada tidak menjawab langsung, namun teknik cuba jaya (trial and error) biasanya terdedah kepada ketidakpastian.


2.  Semua soalan pemahaman merujuk kepada petikan yang diuji:

      a)  petikan umum  (petikan rumusan)

      b)  petikan prosa moden  (cerpen / drama)

      c)  petikan prosa klasik

      d)  petikan puisi  (moden / tradisional)


3.  Debaran menjelang SPM menyebabkan segelintir calon sibuk meneka-neka petikan yang diramalkan bakal keluar sebagai soalan SPM. Sebenarnya bukanlah terlalu penting petikan mana yang keluar, tetapi cara pelajar mempersembahkan jawapan. Semua urusan mempunyai disiplin, pendekatan dan tatacara yang tersendiri, tidak terkecuali pemahaman BM2.


4.   Apakah perkataan yang paling penting sebagai fokus tugasan soalan untuk contoh ini:

      Mengapakah perkhidmatan bomoh masih diterima pada zaman moden ini?"


5.   Adakah anda mengatakan:

      -   bomoh?

      -   zaman moden?

      -   perkhidmatan?


6.   Jika anda memilih bomoh, jawapan anda mungkin sekali berkaitan dengan sikap dan penampilan batang tubuh bomoh itu sendiri.  Jika anda memilih zaman moden, anda mungkin menulis dengan sikap masyarakat zaman moden. Sebaliknya, jika anda memilih perkhidmatan, anda akan menulis tentang ciri perkhidmatan yang menyebabkannya masih diterima.


7.   Hanya satu daripada pilihan di atas membawa jawapan yang betul, manakala dua yang lain mengakibatkan jawapan yang menyeleweng.  Pilihan yang tepat ialah... pilihan ketiga.


8.   Maka, apabila membaca soalan, langkah di bawah disarankan kepada pelajar

      -   tentukan aras soalan: petikan, kbkk, komsas

      -   kenal pasti fokus tugasan soalan: perkataan paling penting dalam ayat soalan

      -   tanda kata tugas soalan.


9.   Merujuk soalan percubaan Perak, aras soalan petikan termasuk:

      2a (ii), 2b (i), 2c (ii)

     
.