SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Monday, March 21, 2011

CERPEN "DENDAM" KOMSAS TINGKATAN 2 (THE CHILDHOOD SIBLING RIVALRY PSYCHOLOGY)

Watak:

1  Along: kakak sulung / penghuni sekolah asrama

2  Angah: adik kepada Along / tinggal di rumah bersama ibu dan bapa

3  Ibu Along dan Angah: berpendidikan tinggi

4  Ayah Along dan Angah: hakim mahkamah

Along menyimpan perasaan dendam yang membara terhadap kelakuan Angah yang sering mengoyak buku latihan, buku kerja dan buku teks kepunyaannya. Along ligat berfikir untuk mengenakan Angah ketika ketiadaan ibu yang dianggapnya sebagai terlalu menyebelahi Angah. Along berasa tidak menerima layanan yang adil apabila sering dihukum atas kesalahan Angah. Ketika Angah sedang asyik mengoyak majalah kesayangan Along, peluang pun tiba. Along terus menampar Angah dan menolaknya hingga tubuh kecil itu jatuh tidak berdaya. Along dimarahi ibu, tetapi dia mula berani membantah. Kemudian, ayah turut melabel Along sebagai kakak yang tidak berguna apabila membiarkan Angah masuk ke bilik ayah lalu mengoyakkan kertas kerja. Along sudah berani menyanggah cakap ayahnya walaupun ibu cuba menegah. Ibu menempelak Along sebagai biadap, manakala ayah terdiam membisu. Di bilik, Along melempar segala pemberian ibu ayah. Tiba-tiba Angah masuk dan menyatakan perasaan sayangnya terhadap Along, dan tidak setuju dengan tindakan ayah dan ibu. Namun, Along berkeras menolak lagi Angah hingga terjelepuk, tetapi Angah ketawa di ruang tamu. Akhirnya Along mengatur rancangan rapi mengenakan Angah dengan memutuskan rantai mutiara pusaka ibu. Apabila ayah menuntut bukti, Along memulangkan paku buah keras justeru selama ini dia dihukum tanpa bukti. Akhirnya Angah disebat dengan tali pinggang. Timbul kasihan di hati Along hingga dia memasuki kamar Angah, lalu melihat bekas sebatan di tubuh kecil Angah. Along menyesal, tetapi Angah tetap dengan keletah manjanya membalas erat pelukan kakaknya itu. Malah, Angah tersenyum dan mengatakan dia telah menyimpan rahsia perbuatan Angah. Buat pertama kali Along memeluk dan mencium Angah, dan menyedari betapa Angah mendambakan perhatian satu-satunya saudaranya itu...

Perbincangan


Tema

Perwatakan

Latar masyarakat

Nilai

Persoalan

Pengajaran

bersambung...

LIBYA MANGSA TERBAHARU AGENDA BARAT (HIDDEN AGENDA OF UNCLE SAM AND ALLIANCES)

Sikap degil Muammar Gadaffi yang enggan melepaskan tampuk pemerintahan diktator, kuku besi atau totalitarian beliau selama 42 tahun di Libya kini menjerumuskan negara berkenaan kepada penjajahan semula kuasa Barat yang dikepalai Amerika Syarikat. Umpama telunjuk lurus kelingking berkait, kuasa ketenteraan Barat dengan tanpa berlengah menggunakan alasan menguatkuasakan resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk mensasarkan 112 peluru berpandu Tomahawk ke atas 20 sasaran strategik penyokong Gadaffi. Liga Arab yang lebih bersifat kuda tunggangan Barat ternyata menzahirkan kebimbangan yang minimum, sedangkan Pertubuhan Negara Islam (Organisation of Islamic Countries, OIC) hanya diam membisu.

Akibat terlalu takut kehilangan kuasa dan kemaruk harta duniawi yang melimpah ruah, Gadaffi nyata sekali menggadaikan sebuah lagi negara umat Islam untuk terperangkap dalam muslihat Barat sepertimana yang menimpa Afghanistan dan Iraq. Alasan Barat nampak lunak demi melindungi orang awam daripada kekejaman Gadaffi, tetapi niat Barat untuk memetakan semula negara-negara Arab supaya tidak muncul sebagai ancaman kepada negara haram Yahudi tidak dapat disembunyikan. Simpanan petroleum yang begitu banyak di perut bumi Libya pula akan dikawal oleh Barat jika mereka berjaya dalam tindakan ketenteraan itu.

Penganalisis politik timur tengah menyifatkan Liga Arab jelas lemah dan hanya kelihatan seperti kelab eksklusif untuk beberapa kerat pemimpin yang mahu berkuasa selama mungkin bagi membolehkan mereka hidup mewah. OIC pula yang sering disindir sebagai Oh, I See kena menunggu persidangan tergempar bagi mengeluarkan sebarang pengisytiharan yang tidak mempunyai apa-apa kesan substantif. Sementara itu, negara ke-17 terbesar dunia itu, dengan keluasan hampir 1.8 juta kilometer per segi dan dengan jumlah penduduk hanya 6.4 juta orang, akan menjadi medan tunjuk kuasa oleh Barat.

Laungan retorik yang cuba diteriakkan oleh pemimpin yang meraih sokongan tidak sampai 5 peratus rakyat Libya akan tenggelam dalam bedilan tentera berikat Barat. Gadaffi hanya mampu memasang keajaiban mimpi dengan persenjataan usang bagi menghadapi bala tentera bersekutu Barat yang dilengkapi peluru berpandu bumi, laut dan udara yang boleh diaktifkan pada bila-bila menerusi pangkalan tentera mereka yang berselerak di negara-negara Arab sendiri. Permusuhan dan sekatan yang ditunjukkan oleh pemerintahan rantau Arab terhadap kaum intelektual mengakibatkan kelemahan minda dan rasa rendah diri yang ketara dalam kalangan rakyat jelata.

Telah dijanjikan bahawa apabila umat gagal bersatu padu atas dasar keimanan, kaum asing yang zalim akan datang melanggar mereka. Pemimpin yang menipu rakyat jelata bagaikan menjaja fatamorgana. Negara musnah gara-gara tangan penguasa bergelumang dosa akibat dibuai tujuan hidup yang palsu.

Libya di ambang bahaya. Sama-samalah kita berdoa dari jauh agar rakyat Libya mampu mengharungi saat-saat getir mempertahankan kedaulatan tanah air mereka. Moga diktator lain yang masih bersalut kehidupan mewah yang keterlaluan segera insaf akan nasib agama, bangsa dan tanah air mereka sebelum terlambat...

Sunday, March 20, 2011

TEKS PENGACARA MAJLIS PERSARAAN GURU (RETIREMENT FUNCTION: ADDRESS BY MASTER OF CEREMONY)

(Q: ketibaan tetamu kehormat, Dato’ Bro. Vincent Corkery / En Joseph Michael Lee, Pengerusi PIBG)


Mengumumkan ketibaan tetamu kehormat: Yang Berbahagia Dato’ Bro. Vincent Corkery /

En. Joseph Michael Lee, Pengerusi PIBG SMK St Michael, Ipoh

(Q: setelah tetamu dan hadirin mengambil tempat)

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam sejahtera dan selamat pagi

Yang Berbahagia Dato’ Bro. Vincent, En. Joseph Michael Lee,

En. Phoon Chong Chee, Pengetua SMK St Michael, Ipoh

En. Mohd Zahir bin Ramli, Penolong Kanan

Drs. Rajendran Naidu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid

Puan Tan Cheng Choo, Penolong Kanan Tingkatan 6

Puan Hajah Normah, Penolong Kanan Kokurikulum

Guru-guru Kanan, guru-guru

Pemimpin-pemimpin pelajar dan seterusnya pelajar yang dikasihi sekalian

         Guru umpama bintang cemerlang


         Walau bersara jasa dikenang

Hari ini, Selasa 22 Mac 2011 mencatatkan satu lagi lembaran sejarah bagi warga SMK St Michael, Ipoh. Pada pagi ini kita meraikan seorang guru yang akan bersara secara rasminya bermula esok. Majlis dimulakan dengan lagu Negaraku, diiringi oleh pasukan pancaragam sekolah. Hadirin diminta bersedia.

(Q: selesai lagu)

Terima kasih. Bagi membacakan biodata guru yang diraikan, majlis dengan segala hormatnya menjemput Puan Choong Sau Han ke pentas. Dipersilakan.

(Q: tunggu sehingga Pn. CSH mengambil semula tempat beliau)

Terima kasih Puan Choong Sau Han.

Majlis diteruskan lagi dengan ucapan Tuan Pengetua, En. Phoon Chong Chee. Dipersilakan.

(Q: setelah pengetua mengambil semula tempat beliau)

Terima kasih tuan pengetua. Kini tiba masa yang dinanti-nantikan. Marilah kita bersama-sama menghayati ucapan guru yang diraikan, Puan Tan Eng Sim. Majlis mempersilakan.

(Q: usai ucapan; tunggu hingga Pn Tan ES mengambil tempat)

Terima kasih Puan Tan Eng Sim.

Ucapan puan akan menjadi kenang-kenangan sekalian yang hadir dalam majlis pada pagi yang hening ini. Sebagai tanda penghargaan warga SMI dan sebagai simbolik kenang-kenangan peribadi Puan Tan Eng Sim yang telah berkhidmat begitu lama di SMI, majlis menjemput Puan Tan Cheng Choo mengiringi Puan Tan Eng Sim untuk acara memotong kek. Dijemput.

(Q: usai acara potong kek)

Terima kasih Puan Tan Cheng Choo. Terima kasih Puan Tan Eng Sim.

(Q: dan kedua-dua Pn Tan mengambil tempat)

Sekarang, khas buat Puan Tang Eng Sim yang diraikan, terimalah persembahan pelajar SMI.

Persembahan pertama oleh Yee Jing Wah dan Young Hui Ling dari UA1 dengan deklamasi sajak

Diikuti persembahan kedua oleh kumpulan yang menamakan diri mereka Beh Heng Jian and The Girls dengan koir berjudul "Music of my heart"

Persembahan terakhir ialah muzik harmonis pancaragam sekolah

(Q: tamat persembahan. Pelajar mengambil tempat)

Terima kasih kepada semua pelajar yang membuat persembahan.

          Tuai padi antara masak


          Esok jangan layu-layuan


          Intai SMI antara nampak


          Esok jangan rindu-rinduan

Perkhidmatan Puan Tan Eng Sim sebagai pendidik sepanjang lebih tiga dekad lamanya sangatlah besar maknanya untuk negara. Sebagai tanda terima kasih pihak majikan, iaitu kerajaan Malaysia, majlis dengan penuh takzim menjemput Tuan Pengetua, En. Phoon Chong Chee bagi menyampaikan sijil perkhidmatan Kementerian Pelajaran Malaysia kepada Puan Tan Eng Sim.

Sekali lagi majlis mempersilakan Puan Tan Eng Sim naik ke pentas bagi menerima sijil berkenaan.

(Q: usai penyampaian sijil)

Terima kasih Tuan Pengetua. Puan Tan Eng Sim diminta tunggu sebentar.

(Q: setelah pengetua kembali ke tempat duduk)

Acara berikut ialah penyampaian cenderamata kenang-kenangan.

Majlis menjemput En. Joseph Michael Lee, Pengerusi PIBG menyampaikan cenderamata PIBG kepada Puan Tang Eng Sim.

(Q: setelah En. Joseph ML mengambil tempat)

Majlis mempersilakan pula wakil Kelab Staf untuk menyampaikan tanda mata kenang-kenangan guru dan kakitangan SMI. Dipersilakan En. Mohd Zahir bin Ramli, Penasihat Kelab Staf.

(Q: teruskan mengikut giliran)

Dijemput wakil-wakil tingkatan 3, 4, 5 dan 6 Atas.

Wakil-wakil kelab dan persatuan.

(Q: upacara berakhir, buat pengumuman)

Terima kasih Puan Tan Eng Sim. Terima kasih semua.

Acara sent off dimulakan. Murid tingkatan 3, 4 dan 5 diminta terus berada di tapak perhimpunan.

Kepada pelajar tingkatan 6 Atas sila beratur mengikut susunan yang akan diselaraskan oleh En. A. Thedarajaran dan Puan Hajjah Zaleha.

          Kampung Dermawan di Pulau Ara
         
          Mari singgah menjengkal rotan
          
          Walau puan akan bersara
          
          Budi dan jasa kekal di ingatan

Bagi pihak majlis, saya mengucapkan selamat bersara buat Puan Tan Eng Sim. Salah dan silap harap dimaafkan. Panjang umur murah rezeki kita  bertemu lagi.

Wabillahi taufiq wal hidayah Wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh…

BELAJAR SENDIRI ATAU BERKUMPULAN? (THE STYLE OF REVISION)

seisi keluarga mengayuh sebuah basikal unik di kota Jakarta

Pemandangan seperti dalam rakaman gambar di atas mungkin tidak pernah kita lihat di negara kita. Barangkali terdapat juga basikal panjang yang dikayuh serentak oleh dua tiga orang di kawasan taman tema, atau basikal air (aquacycle) di kawasan tasik rekreasi. Lazimnya juga tiada atap dipasang pada basikal yang dimaksudkan. 

Walaupun tukang kayuh basikal lebih daripada seorang, tukang jaga handle hanyalah seorang. Dalam gambar di atas, nampaknya sang bapalah yang menjaga arah haluan pergerakan basikal dan juga penekan pedal brek apabila diperlukan. Sebagai pemimpin, sang bapa tidak boleh sama sekali mengelamun, walaupun anggota keluarga yang lain boleh mengayuh sekuat hati.

Demikianlah ibaratnya belajar secara berkumpulan. Jumlah anggota kumpulan hendaklah dipilih dengan teliti supaya berlaku persamaan hala tuju dan tiada sesiapa pun diberi kesempatan untuk memesongkannya. Selain itu, bilangan anggota kumpulan juga mesti dihadkan supaya tidak berlebihan beban (overload).

Dalam kumpulan yang dibentuk juga mesti ada seorang pemimpin (amir) yang tegas dan tetap pendirian dalam menjaga pencapaian hala tuju bersama. Namun, pemimpin kumpulan juga hendaklah berupaya mengawal dirinya sendiri agar tidak bertindak selaku autoritarian atau diktator yang hanya menggagalkan impak hebat kumpulan yang diharapkan. Peranan pemimpin kumpulan belajar dihadkan setakat menjaga hala tuju kumpulan dan mematahkan cubaan pemimpin pendapat (opinion leaders) yang terpesong.

Kumpulan belajar tidak semestinya berfokus kepada aktiviti lisan, seperti penerangan dan soal jawab semata-mata. Kaedah belajar senyap juga boleh dipraktikkan sama seperti kelas persediaan (prep) budak asrama. Hanya apabila wujud keperluan, baharulah izin dipohon untuk perbincangan yang khusus.

Walaupun kepintaran individu kekal penting, tetapi kepesatan perubahan yang meningkat berkali-kali ganda menyebabkan kepintaran kumpulan makin diutamakan. Maknanya, dalam sebuah organisasi yang berdaya saing, kepintaran individu digabungkan dalam satu kumpulan atau jaringan supaya keputusan dan tindakan dapat diambil dengan lebih cepat dan tepat.

Keberkesanan kaedah belajar berkumpulan bergantung kepada kepimpinan yang berupaya menjaga hala tuju kumpulan dan dapat mengawal dirinya sendiri. Kumpulan belajar hendaklah disifatkan sebagai sebuah kelab eksklusif atau elit, seperti Club of Rome yang hanya mengehadkan keanggotaan kepada 100 orang dari seluruh dunia. Kumpulan belajar mungkin tidak melebihi 7 orang anggota.

Agihan tugas yang terancang akan membantu kumpulan menjana pembelajaran yang optimum. Peruntukan masa untuk proses perbincangan akhir (seperti sidang pleno seminar) hendaklah ditetapkan lebih awal. Jika terdapat kemusykilan yang masih belum selesai, tindakan merujuk pakar (guru, pensayarah) hendaklah diusulkan...

Friday, March 18, 2011

PENGGANDA EKONOMI 3 SEKTOR (MOVING SMALL AMOUNTS OF RESOURCES INTO LARGER OUTPUT)

Perbelanjaan kerajaan (G) ialah suntikan ke dalam aliran pusingan pendapatan, manakala cukai (T) ialah bocoran yang mengecilkan saiz aliran pusingan pendapatan. Maka, pertambahan perbelanjaan kerajaan membawa kepada pertambahan penggunaan, dan seterusnya pertambahan pendapatan negara ( +∆G  à +∆Cà +∆Y ). Sebaliknya, pertambahan cukai akan mengurangkan penggunaan dan seterusnya menurunkan pendapatan negara ( +∆T  à  - ∆C à  - ∆Y ).

Model Keynesian tentang keseimbangan pendapatan negara memberi tumpuan kepada perbelanjaan agregat (AE), kerana ∆AE menjadi sebab kepada ∆AS. Maka, rumus umum untuk pengganda M ialah ∆Y / ∆AE. Bagi mengukur kesan perubahan perbanjaan kerajaan, sama ada bertambah atau berkurang ( +∆G @ -∆G) dihitung menerusi rumus:

                                M =  ∆Y / ∆G, atau

                                         1 / (1 – MPC)


Sementara itu, setakat mana perubahan cukai (∆T) mempengaruhi saiz perubahan pendapatan negara (∆Y) bergantung kepada nilai pengganda M. Rumus yang digunakan ialah:

                                  M =  ∆Y / ∆C, atau

                                  M  =  1 / (1-MPC)(1-t);    t  =  kadar cukai


Bukti:   MPC  =  ∆C / ∆Yd

               ∆Yd  =  ∆(Y-T)   =   ∆(Y-tY)   =   ∆Y(1-t)

               MPC  =  ∆C / ∆Y(1-t)


Contoh kes:

C = 10 + 0.8Y;  I = 50;  G = 30;  +∆G = 20;  ∆Y = 100

i)    Nilai M = 1 / (1 – MPC)  =  1 / 1 - 0.8  =  1 / 0.2  =  5

ii)   Andaikan berlaku -∆G = 10

                        M  =  ∆Y / ∆G

                        ∆Y  =  M. ∆G

                               =  5 X -10  =  -RM50 juta   ...............  (1)

iii)   Keseimbangan asal  Y  =   C + I + G  =  (10 + 0.8Y) + 50 + 30

                                                                  =  90 + 0.8Y

                                              Y - 0.8Y  =  90

                                               0.2Y  =  90

                                               Y   =   90 / 0.2   =   RM450 juta   .................   (2)

                                              Maka, keseimbangan baru

                                              (2)  +  (1)   =   450 - 50  =   RM400 juta
                      

"SAJAK LAUT" KOMSAS TINGKATAN 2 (FISHING AND MARINE CONVERSATION)

Pengenalan

Laut menyimpan khazanah yang amat berharga kepada kehidupan makhluk seisi alam. Sebahagian besar daripada 38 juta orang nelayan dan penternak ikan seantero dunia bergantung kepada laut sebagai sumber memperoleh tangkapan ikan. Sajak Laut yang termuat dalam antologi Gema Sepi Gadis Genius pada muka surat 26 - 27 menggambarkan kekaguman penyajak (Ismail Sharif) terhadap keindahan laut dan persekitarannya, serta kehidupan nelayan dan burung laut.

Perbincangan

          Laut ini begitu biru
          laut ini begitu luas
          laut ini begitu indah.

Penyajak menggambarkan laut yang begitu biru, luas dan indah.

          Betapa bahagianya hati
          laut ini membuatku bahagia
          laut ini begitu tenang
          begitu kaya.

Penyajak melafazkan betapa laut telah membuatkan hatinya begitu bahagia. Laut juga begitu tenang dan kaya (dengan pesona).

          Kulihat pasir putih
          kulihat kerang
          kurasakan ombak menyapa kaki
          angin pantai membelai.

Penyajak melihat pasir putih dan juga kerang. Ombak singgah di kaki penyajak, manakala angin pantai membelai diri penyajak.

          Seorang nelayan jauh di sana
          berdiri di atas perahu kecil
          menebarkan jala
          mencari ikan untuk keluarga.

Penyajak melihat seorang nelayan di kejauhan berdiri di atas sebuah perahu kecil sambil menebarkan jala. Dia menangkap ikan untuk menyara keluarga.

          Burung-burung laut menari-nari di sana
          mengepak-ngepakkan sayapnya
          begitu gembira mereka bernyanyi
          bagai berlumba
          dengan nyanyian ombak.

Gelagat burung-burung laut turut menarik perhatian penyajak. Burung laut mengepakkan sayap sambil berkicau riang. Kicauan burung laut senada dengan deruan ombak.

          Setengah matahari kulihat di seberang
          di seberang laut biru ini
          bagai malu-malu ia mengintip
          namun dengan setia
          memberi sinarnya.

Matahari berbentuk separuh bulat kelihatan muncul di seberang laut yang membiru. Matahari tetap dengan fungsinya memberikan sinaran.

          Hai, laut biru
          hari ini juga aku nyatakan
          kau adalah saudaraku!

Akhirnya penyajak menyatakan pengakuan bahawa dirinya dan laut biru adalah bersaudara. Maksudnya, penyajak merasakan dirinya telah benar-benar sebati dan begitu menyayangi laut biru itu.

Tema: Keindahan laut dan persekitarannya yang menyumbang terhadap kehidupan makhluk lain.

Persoalan

1   Keindahan alam yang membahagiakan manusia

2   Pergantungan kaum nelayan terhadap laut

3   Kehidupan fauna yang serasi dengan persekitaran laut

4   Pemandangan matahari menyinari hidupan laut

5   Perasaan cintakan alam sekitar

LIHATLAH PERBEZAAN SECARA POSITIF (PRUDENT ENVIRONMENTAL SCANNING)

Setiap kejadian memiliki ciri dan keunikan yang tersendiri. Sejumlah 6 bilion manusia yang masih hidup di bumi memiliki profil DNA, cop jari, suara dan wajah yang tidak sama. Kemungkinan mirip atau seiras memang ada,tetapi hanya dalam beberapa dominan sahaja.

Dari segi jantina, manusia dikategorikan kepada lelaki dan perempuan. Seterusnya masyarakat terbentuk daripada pelbagai suku dan bangsa yang bertutur dalam bermacam-macam bahasa. Adat resam, budaya, cara hidup, dampak seni dan ekonomi setiap satunya juga berlainan.

Asas pembentukan sesebuah keluarga ialah institusi perkahwinan yang mencantumkan sejumlah perbezaan. Persefahaman memerlukan pengorbanan dan tolak ansur, serta kesanggupan menghargai kelebihan yang ada pada pasangan. Sang isteri memiliki kekuatan emosi dan intuisi yang luar biasa untuk memenuhi fungsi fisiologi kehamilan dan melahirkan anak.

Sang suami pula memilki kekuatan akliah (akal) yang menjadi faktor kritikal kepimpinan rumah tangga. Suami yang normal harus dapat bersabar dengan tingkah laku isteri yang berbeza dari segi pertimbangan dan proses membuat keputusan. Suami isteri mesti memilih jalan yang terbaik supaya perbezaan yang berlaku tidak mencetuskan krisis yang menggoncang mahligai kebahagiaan yang dikecapi.

Anak-anak memang mewarisi ciri genetik tertentu daripada orang tua mereka, tetapi apabila darjah kebergantungan (dependency) mereka menurun manakala autonomi mereka meningkat, mereka lebih cenderung dipengaruhi faktor persekitaran dan rakan sebaya. Pengalaman pembelajaran yang mereka lalui juga sudah berbeza dengan zaman ibu bapa mereka. Maka, sebarang perbezaan yang masih dalam lingkungan al-ma'lum min-'addin bi'd-darurah hendaklah diterima dengan lapang dada (tasamuh).

Dalam masyarakat pascamoden yang bersifat nukleus, kita tidak lagi dapat memilih jiran tetangga, terutama apabila berkhidmat di luar kampung halaman. Maka, rumah sewaan atau kediaman kerajaan yang kita huni mungkin bersebelahan dengan jiran yang tidak begitu dikenali. Sekali lagi perbezaan yang diakibatkan oleh faktor pendidikan, sosioekonomi dan tatacara ibadah akan menghadirkan cabaran buat kita.

Walaupun demikian, perbezaan latar belakang kejiranan dan masyarakat hendaklah dilihat sebagai suatu kesempatan dan peluang untuk menyampaikan keindahan risalah tawhid secara hikmah. Keunggulan tingkah laku dan sikap sebagai insan yang beriman ialah suatu bentuk da'wah bi'l-hal. Tanggungjawab berkenaan mampu dilaksanakan tanpa disertai apa-apa bentuk indoktrinasi atau desakan yang ketara.

Kesedaran yang utuh terhadap hakikat perbezaan dalam kalangan manusia membolehkan kita berperanan sebagai pemimpin yang berkesan terhadap diri sendiri dan orang lain. Kita tidak melihat perbezaan itu sebagai masalah yang rumit, sebaliknya sebagai satu peluang dan ruang untuk menyampaikan mesej kebenaran dan keadilan secara paling bijak. Persoalan tentang pencapaian kita serahkan semata-mata kepada-Nya...

(sedutan mimbar Jumaat)

Thursday, March 17, 2011

TIADA AIR BANDUNG, MI BANDUNG DI BANDUNG (CONFUSING ABOUT OUR OWN TRADITIONAL CUISINE)

urus niaga peniaga jalanan di pagar hotel di kota Bandung, Indonesia

Sampai bila-bila pun air bandung dan mi bandung tidak akan ditemukan di kota Bandung, Indonesia. Air bandung dan mi bandung ialah menu makanan yang berasal dari Malaysia. Perkataan bandung pada air dan mi itu bermaksud "dua benda yang dirangkaikan / dipasangkan" (Kamus Dewan IV: 120).

Air bandung ialah campuran sirap ros dengan susu cair, manakala mi bandung ialah campuran antara mi dengan telur. Maka, air bandung dan mi bandung tiada kaitan sama sekali dengan kota Bandung di Indonesia. Kunjungan penulis blog (PB) ke Bandung baru-baru ini mengesahkan perkara itu.

Tiada langsung tercatat air bandung atau mi bandung dalam senarai menu jualan makanan di sana, bahkan mereka tidak tahu-menahu tentangnya. Restoran ternama yang sempat dikunjungi (seperti dalam pakej) juga sama. Pendek kata, air bandung dan mi bandung (Muar) bolehlah dipatenkan sebagai menu eksklusif Malaysia sebelum direbut oleh orang lain sepertimana yang berlaku kepada industri batik kita yang telah terlewat untuk berbuat demikian...

Wednesday, March 16, 2011

TAJUK ULBS BAHASA MELAYU TINGKATAN 5 (THE SCHOOL-BASED ORAL TEST TOPICS)

Perbincangan tentang peranan diri sendiri:

1)  Cara saya menjaga kesihatan diri

2)  Sumbangan terhadap keselesaan bilik darjah

3)  Peranan saya dalam memastikan kesejahteraan keluarga

Perbincangan tentang peranan keluarga:

4)  Pembentukan sebuah keluarga yang bahagia

5)  Kepimpinan dalam keluarga

6)  Komunikasi berkesan dalam keluarga

Perbincangan tentang isu masyarakat

7)  Pemupukan semangat kejiranan dalam kalangan generasi muda

8)  Peranan masyarakat dalam membanteras gejala sosial

9)  Kerjasama masyarakat memerangi  ancaman jenayah

Perbincangan tentang isu negara:

10)  Tanggungjawab pemimpin terhadap rakyat

11)  Pendidikan sebagai asas kemajuan negara

12)  Jati diri rakyat Malaysia

Perbincangan isu antarabangsa:

13)  Kesan bencana alam 

14)  Penyebaran wabak penyakit 

15)  Sukan menyatukan dunia atau punca perbalahan?

Perbincangan isu komsas:

16)  Kepentingan membaca karya sastera

17)  Sepintas lalu buku antologi komsas tingkatan 4 dan 5

18)  Kekuatan novel komsas tingkatan 4 dan 5

Tuesday, March 15, 2011

AYUH JEPUN, BANGKIT LAGI DENGAN KEAJAIBAN (SHARING THE JAPANESE CRY)

Musibah gempa bumi berskala 8.9 dan terjahan tsunami setinggi 10 meter ialah kisah duka yang bukan sahaja dideritai rakyat Jepun, bahkan kesannya tersebar ke seluruh dunia. Kemungkinan gempa dan tsunami susulan menyebabkan rakyat negara matahari terbit itu diuji dengan ketidaktentuan nasib yang terlalu berat untuk ditanggung. Letupan beberapa reaktor nuklear pula dengan segera mendatangkan risiko radiasi yang tidak terurai dalam masa yang panjang mengingatkan semula sejarah ngeri kemusnahan Hiroshima dan Nagasaki dek ledakan bom atom tentera Amerika Syarikat lebih setengah abad yang lalu.

Sungguh tidak beradab bagi membuat andaian-andaian liar ketika negara matahari terbit itu sedang berhadapan dengan mala petaka alam yang tidak dijangkakan. Walaupun persiapan dari segi teknologi pengesanan gerakan gempa dan reka bentuk bangunan di kawasan lingkaran api Pasifik di sana begitu teliti, namun ikhtiar manusia tetap ada hadnya. Bencana dan mala petaka boleh berlaku di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa.

Generasi Hiroshima dan Nagasaki yang masih hidup tentunya belum kebah dengan trauma bom atom. Kini, mereka menyaksikan pula betapa dahsyatnya ujian fenomena alam yang meragut korban yang bukan sedikit. Kegiatan perindustrian yang menjadi teras ekonomi Jepun pastinya terjejas teruk.

Kesan sebaran radiasi menimbulkan rasa panik bukan sahaja kepada rakyat Jepun, bahkan kepada penduduk negara serantau Asia Pasifik. Walaupun pakar nuklear cuba meyakinkan bahawa kegemparan itu tidak berasas, sebagai orang awam, kerisauan mereka harus difahami. Jaminan saintifik nyata tidak memadai.

Dari segi ekonomi, Jepun ialah satu-satunya negara Asia yang menganggotai kumpulan 8 buah negara kaya. Andainya ekonomi Jepun menjadi perlahan, negara-negara rakan dagang termasuk Malaysia akan turut menerima tempiasnya. Permintaan eksport oleh Jepun akan mengalami penurunan.

Jepun pernah bangkit daripada kemusnahan Hiroshima dan Nagasaki. Apakah Jepun masih mampu membina semula kekuatan psikologi rakyatnya untuk cepat pulih daripada trauma yang baru dilalui? Memanglah tiada doraemon, giant robot atau ultraman datang membantu, tetapi Jepun memiliki peribahasa yang bermaksud "jatuh tujuh kali, bangun lapan kali"...