SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, August 18, 2011

TEKS PENGACARA PERSARAAN PENGETUA (HOSTING PROTOCOL EVENT)

TEKS PENGACARA MAJLIS PERSARAAN EN.PHOON CHONG CHEE

(Q: ketibaan En. Phoon Chong Chee dan isteri, selepas isyarat tiupan trumpet)

Mengumumkan ketibaan Encik Phoon Chong Chee dan isteri.

(Q: setelah tetamu dan hadirin mengambil tempat)

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam sejahtera dan selamat pagi

Yang Diraikan En. Phoon Chong Chee, dan isteri

Yang Berusaha Encik Abdul Majid bin Yusuf, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pelajaran Negeri Perak

Yang Berusaha, Puan Noraini bin Mohd Salleh, wakil Pegawai Pelajaran Daerah Kinta Utara

Yang Berusaha tuan-tuan pengetua

Yang Berbahagia, Tan Sri Lee Ooi Hian, Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah,

Yang Berbahagia Dato’ Bro. Vincent Cockery,

En. Joseph Michael Lee, Yang Dipertua PIBG

Tetamu-tetamu yang dihormati

Barisan pentadbir, guru dan warga SMK St Michael, Ipoh sekalian

Jala serawan ikan kelisa


Dibaris dekat kolam buatan


Bersara tuan meninggalkan jasa


Majlis terpahat dalam ingatan

Hari ini, Khamis 18 Ogos 2011 mencatatkan satu lagi detik penting bagi warga SMK St Michael, Ipoh. Pada pagi ini kita meraikan seorang teraju kepemimpinan sekolah yang dikasihi dan disanjung tinggi, yang akan bersara secara rasminya bermula esok. Sesungguhnya warga sekolah akan berasa kehilangan nakhoda kepimpinan yang berwibawa, berpengalaman luas dan sangat berjasa.

Majlis dimulakan dengan lagu Negaraku, diiringi oleh petikan piano. Hadirin diminta bersedia.

(Q: selesai lagu)

Terima kasih. Hadirin dipersilakan duduk.

(Q: usai hadirin duduk)

Bagi memberkati majlis, dengan segala hormatnya menjemput Amirul Syafiq bin Abdul Wahab, dari 4S3 untuk bacaan doa. Dipersilakan.

(Q: tunggu sehingga Amirul Syafiq turun pentas)

Terima kasih Amirul Syafiq.

Majlis diteruskan lagi dengan ucapan Yang Berusaha, En. Mohd Zahir bin Ramli, Penolong Kanan SMK St Michael, Ipoh. Majlis mempersilakan.

(Q: setelah penolong kanan mengambil semula tempat beliau)

Terima kasih Encik Mohd. Zahir.

Kini, majlis mempersilakan En. Joseph Michael Lee, Yang Dipertua PIBG SMK St Michael, Ipoh untuk menyampaikan sepatah dua kata sempena persaraan Encik Phoon Chong Chee.

(Q: setelah YDP PIBG mengambil semula tempat beliau)

Seterusnya majlis akan mengikuti ucapan Yang Berbahagia Tan Sri Lee Ooi Hian, Pengerusi Lembaga Sekolah. Dengan segala hormatnya dipersilakan.

(Q: usai ucapan Tan Sri dan beliau mengambil tempat semula)

Terima kasih Yang Berbahagia Tan Sri Lee Ooi Hian. Ucapan beliau sebentar tadi juga ialah ungkapan rasa kasih warga SMK St Michael, Ipoh kepada En. Phoon Chong Chee yang diraikan.

Kini, majlis akan mengikuti pula ucapan Yang Berusaha Encik Abdul Majid bin Yusuf, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pelajaran Negeri Perak. Majlis dengan sukacitanya mempersilakan.

(Q: usai ucapan KS dan beliau mengambil tempat)

Majlis mengucapkan terima kasih kepada Encik Abdul Majid bin Yusuf atas ucapan yang begitu bermakna sebentar tadi.

Sekarang, marilah sama-sama kita menonton persembahan multimedia yang merakamkan detik-detik kenangan En. Phoon Chong Chee sejak zaman remaja beliau. Mari kita tumpukan perhatian kepada layar skrin di atas pentas.

(Q: usai persembahan multimedia)

Terima kasih pasukan multimedia yang dipimpin oleh Puan Leela Devi.

Bagi meneruskan majlis, Encik Ravindran, kaunselor pelajar akan membacakan biodata En. Phoon Chong Chee. Dipersilakan.

(Q: selesai bacaan biodata dan En. Ravi turun pentas)

Terima kasih En. Ravindran. Kini, khusus ditujukan buat En. Phoon Chong Chee yang diraikan. Terimalah persembahan nyanyian solo pelajar, “Kau Ilhamku”.

(Q: usai nyanyian dan pelajar berkenaan turun pentas)

Terima kasih Joyce Lyn dan Wong Jing Sang. Saya pasti En. Phoon Chong Chee tidak akan melupakan persembahan lagu “Kau Ilhamku” sebentar tadi.

Kini tiba masa yang dinanti-nantikan. Marilah kita bersama-sama menghayati ucapan tokoh pemimpin sekolah yang diraikan, Encik Phoon Chong Chee. Majlis dengan segala hormat dan sukacitanya mempersilakan En. Mohd Zahir bin Ramli Penolong kanan SMK St Michael, Ipoh mengiri Encik Phoon Chong Chee tampil ke pentas.

(Q: usai ucapan En. Phoon)

Sebuah ucapan yang sangat sentimental dan penuh falsafah. Ucapan tuan akan menjadi kenang-kenangan sekalian yang hadir dalam majlis pada pagi yang hening ini. Encik Phoon Chong Chee diminta tunggu sebentar di atas pentas.

Sekarang, majlis mempersilakan En. Mohd Zahir bin Ramli mengiringi Yang Berusaha Encik Abdul Majid bin Yusuf, Ketua Sektor Pengurusan sekolah, JPN Perak untuk menyampaikan sijil penghargaan persaraan kepada En. Phoon Chong Chee. Majlis mempersilakan.

(Q: usai penyampaian sijil)

Terima kasih tuan ketua sektor.

(Q: setelah KS mengambil tempat semula)

Boleh berjabat kedua tangan

Jalan bersama ke tempat nyonya

Oleh-oleh sahabat tanda kenangan


Sudikan terima buat seadanya

Sahabat-sahabat En. Phoon Chong Chee ingin menyampaikan hadiah kenang-kenangan sempena persaraan beliau.

(Q: rujuk senarai jawatankuasa hadiah / pendaftaran tetamu)
Dipersilakan:

1

2

hingga selesai



(Q: usai acara penyampaian cenderamata)

Tahniah En. Phoon Chong Chee. Majlis mengucapkan terima kasih.

(Q: En. Phoon mengambil tempat)

Sekarang, terimalah persembahan dua kumpulan pelajar.

Military Band bakal mempersembahkan rentak percussion;

Diikuti oleh sekumpulan pelajar tingkatan 6 Atas dengan Musical Ensemble (sebut: on zambel)



(Q: tamat kedua-dua persembahan. Pelajar mengambil tempat)

Terima kasih kepada semua pelajar yang membuat persembahan.



Angsa sekawan nampak serupa


Berenang setempat di kolam buatan


Jasa tuan kami tak lupa


Kekal terpahat dalam ingatan



Tuai padi antara nampak

Esok jangan layu-layuan


Intai SMI antara nampak


Esok jangan rindu-rinduan

Saya bagi pihak majlis sekali lagi merakamkan ucapan tahniah atas perkhidmatan, kepimpinan dan sumbangan En. Phoon Chong Chee selama ini. Kita seakan-akan tidak percaya bahawa Encik Phoon Chong Chee yang segak bergaya akan bersara. Mudah-mudahan En. Phoon tidak melupakan warga SMK St. Michael, Ipoh di sini.

Bagi mengakhiri majlis yang penuh bermakna ini, marilah sama-sama kita mengikuti nyanyian lagu sekolah oleh pelajar-pelajar tingkatan 6 Atas dengan iringan piano. Dipersilakan.

(Q: usai nyanyian)

Terima kasih semua.

Beli cendawan di pekan Ara


Mari diisi kelapa di tangan


Meski tuan akan bersara


Kami di SMI dilupa jangan

Bagi pihak majlis, saya mengucapkan selamat bersara buat En. Phoon Chong Chee. Salah dan silap harap dimaafkan. Panjang umur murah rezeki kita bertemu lagi.

Kini majlis dengan takzimnya menjemput En. Phoon Chong Chee dan isteri, dengan diiringi oleh kepimpinan sekoalh dan para tetamu bergerak ke arah luar dewan untuk upacara send off.

***********************************************************************************************

Sekian. Terima kasih. Wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Tuesday, August 16, 2011

MENGINSTITUSIKAN AL-QUR'AN DALAM KEHIDUPAN (THE FINAL SYNTHESIS OF WISDOM AND PRACTICE)

Tanggal 17 Ramadan ialah detik bersejarah turunnya ayat al-Qur'an yang pertama kepada baginda Junjungan Nabi Muhammad Salallahu Alaihi Wasallam menerusi perantaraan malaikat Jibrail di Gua Hira'. Ayat pertama yang diwahyukan ialah Iqra' yang bererti bacalah. Sejak itu al-Qur'an tidak putus-putus dibaca, ditelaah, dikaji dan dijadikan rujukan muktamad umat Islam merentas ruang dan waktu.

Al-Qur'an ialah mukjizat yang diturunkan kepada baginda Junjungan Nabi Muhammad Salallahu Alaihi Wasallam untuk menjadi pegangan orang-orang yang beriman dan digandingkan dengan al-Hadith atau sunnah baginda. Allah sendiri yang memelihara al-Qur'an walaupun orang-orang kafir sentiasa berusaha menjauhkan al-Qur'an daripada umat Islam. Sebarang cubaan mereka untuk menafikan kesucian kitab al-Qur'an akan menemui kegagalan.

Para sarjana orientalis (orang Barat yang mengkaji masyarakat Islam dan timur) mengakui hakikat kebenaran al-Qur'an, tetapi justeru hati mereka ada penyakit, maka mereka bertindak sebaliknya. Tony Blair, mantan Perdana Menteri Britain dilaporkan membaca naskhah terjemahan al-Qur'an setiap hari. Begitu juga pendeta-pendeta Yahudi dan Nasrani yang fasih tentang al-Qur'an, tetapi mereka bertujuan melakukan putar belit tentang mesej al-Qur'an.

Pemuka-pemuka Barat sebenarnya tidak kisah jika umat Islam membaca al-Qur'an secara lafaz zahir sahaja. Kalau boleh biarlah al-Qur'an hanya dibacakan untuk orang-orang yang sedang nazak, atau dalam majlis-majlis kematian dan di pusara. Selain itu, naskhah al-Qur'an tersimpan dalam rak yang tinggi tanpa dibaca.

Hakikatnya al-Qur'an perlu dibacakan kepada orang-orang yang masih hidup lagi sihat kerana hanya mereka yang memiliki daya upaya bagi melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Umat Islam perlu menelusuri sirah  baginda Junjungan Nabi Muhammad Salallahu Alaihi Wasallam supaya mereka dapat mempelajari bacaan al-Qur'an yang sentiasa dipindahkan terus dalam segala urusan kehidupan, tanpa kecuali. Dalam kata lain, isi kandungan al-Qur'an diinstitusikan dalam kehidupan individu, keluarga, masyarakat, negara dan hubungan antarabangsa.

Al-Qur'an bukanlah alunan melankolik mendayu-dayu sekadar halwa telinga. Kandungan al-Qur'an sarat dengan kisah teladan umat terdahulu, khabar gembira dan ancaman. Al-Qur'an telah menggerakkan generasi awal Madinah untuk mengabdikan diri hanya kepada Allah, hingga akhirnya kekuatan yang dibina memungkinkan umat pernah menguasai dua per tiga muka bumi.

Seperti yang diisyaratkan lewat hadith, umat Islam akhir zaman bagaikan buih (di permukaan air), iaitu jumlahnya besar, tetapi tidak kuat. Mereka berjaya dijauhkan daripada tunjang kekuatan mereka sendiri, iaitu al-Qur'an dan as-Sunnah. Sebahagian umat menderita penyakit cintakan dunia dan takutkan mati.

Sempena memperingati Nuzul Qur'an, marilah kita kembali kepada tujuan al-Qur'an diturunkan menerusi pelaksanaan isi kandungannya sepertimana yang ditunjukkan oleh baginda Junjungan Nabi Muhammad Salallahu Alaihi Wasallam, keluarga dan para sahabat. Kalam Allah dalam al-Kitab juga menggesa umat supaya mengambil pelajaran daripada Ayatullah fi'l-kaun, iaitu tanda-tanda kebesaran Allah di muka bumi.Wahai Tuhan kami, tidak Engkau ciptakan semuanya dengan sia-sia, Maha Suci Allah, jauhilah kami daripada api neraka (ali-Imran,3: 191-192). Amin...

Monday, August 15, 2011

SEMBANG BAHASA DENGAN BUDAK SMK SULTAN YUSUF (MUCH IN LITTLE JUST NICE)

Batu Gajah, Selasa: 16.8.11 / 16 Ramadan 1432

Cogan kata, slogan atau tag line yang terdapat pada lencana SMK Sultan Yusuf, Batu Gajah (SYS) begitu menarik untuk direnungkan. "Banyak dalam sedikit" membawa konotasi pegangan orang budiman dan pintar. Golongan budiman dan pintar hanya perlu berkata-kata sedikit, tetapi sarat makna. 
Dalam istilah ekonomi, much in little pula sejajar dengan konsep kecekapan, iaitu dengan sumber terhad, hasil yang diperoleh begitu banyak. Pengeluar beroperasi pada kos minimum, tetapi hasil yang optimum. Pengguna pula membayar sesuatu barang dan perkhidmatan pada harga minimum, tetapi memperoleh kepuasan maksimum.

Orang-orang budiman dan pintar tidak gemar bercakap banyak, tetapi berfikir lebih banyak. Mereka tahu persis detik untuk melafazkan sesuatu perkara pada tempat yang betul dan kepada orang yang betul. Mereka tidak bercakap hanya semata-mata kerana suka-suka hendak bercakap.

Demikian juga halnya dengan menyempurnakan sesuatu tugasan. Terlebih dahulu aras tugasan mesti dikenal pasti terlebih dahulu supaya sumber jawapan dapat dimuktamadkan. Kemudian baharulah ditentukan kata tugas dalam ayat soalan bagi menentukan batasan dan liputan jawapan.

Aras soalan umpama destinasi yang hendak dituju dalam sesuatu perjalanan, manakala kata tugas ialah penggunaan segala sumber yang tepat supaya akhirnya dapat tiba ke destinasi yang telah dikenal pasti tadi. Kejayaan mentakrifkan tugasan bernilai sepauh tugasan telah selesai. Tanpa proses itu, nescaya berlakulah pembaziran jawapan dan mungkin sekali terus terpesong.

SYS ialah sebuah sekolah premier yang menjadi sandaran pencapaian cemerlang Jabatan Pelajaran Perak (JPN). Baru semalam Pengarah Pelajaran Perak berkunjung secara khusus ke SYS dalam majlis berbuka puasa penghuni asrama. Datuk Mohd Rauhi nyata sangat berpuas hati dengan persekitaran pembelajaran di SYS.

Walaupun SYS memiliki guru-guru bahasa yang berpengalaman luas dan disegani, pihak sekolah masih menjemput guru-guru bahasa sekolah lain supaya berlaku perkongsian pengalaman pembelajaran daripada latar belakang sekolah yang berlainan. Penulis blog (PB) sebagai pemudah cara bengkel kepada lebih daripada 150 orang pelajar tingkatan 5 SYS memberi tumpuan kepada keakuran jawapan. Slogan SYS sentiasa diulang-ulang supaya mesej yang disampaikan menjadi pedoman yang bererti...

ULASAN KERTAS KERJA SEMINAR (COMMUNICATION AT HOME)

Tajuk Seminar: Persidangan Keluarga Negara

Anjuran : Pusat Pembangunan Keluarga, Universiti Malaya

Tarikh : 27 Ogos 2003

Tempat : Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya

Tajuk Kertas Kerja: Bahasa Mesra dalam Keluarga

Pembentang: Prof Madya Dr Ishak Ramly

Pembentang membandingkan lamunan anak muda sebelum mendirikan rumah tangga dengan realiti setelah lama hidup bersama menerusi dua petikan sajak.  Berlakunya kerapuhan rumah tangga berpunca dari mulut, iaitu keluarnya ucapan yang pilu, daif, hiba dan menyeksa.  Sepatutnya bahasa mesra yang dituturkan supaya menjadi penawar kepayahan dan penderitaan.  Bahasa mesra ialah bahasa yang indah dan baik untuk didengar, tertib, santun, memujuk, serta tidak menimbulkan kesangsian, bangkangan atau penolakan daripada pendengar.  Kebahagiaan dan keberkatan disusurgalurkan menerusi komunikasi keluarga sebagai saluran deria ikatan lebih sepakat dan harmoni.  Perbuatan kecil komunikasi termasuk bahasa pergerakan berperanan menebalkan kasih sayang dan hormat-menghormati yang berpanjangan.  Mesra dijelmakan dalam interaksi berteraskan keikhlasan dan kejujuran.  Kuasa bahasa mesra ibu bapa boleh dikesan jika anak sentiasa merindui suara dan bahasa indah yang dibutirkan oleh ibu bapa sehingga menjadi pendorong dan pembakar semangat keramat mereka.  Pembentang seterusnya menggariskan 14 panduan bahasa mesra dengan tumpuan terhadap kemahiran mendengar di kalangan ibu bapa.  Masalah komunikasi yang wujud dikategorikan dalam 10 perkara termasuk kritikan, melabel, ancaman, memberi arahan, mimik muka, kurang perhatian, sentiasa bercakap, bahasa tinggi, bercakap laju, dan tidak tentu hujung pangkal.   Anak ibarat permata yang perlu sentiasa digilap supaya kelihatan bercahaya, iaitu digilap menerusi keluarga bahagia yang kaya dengan budi bahasa.

Saturday, August 13, 2011

KEMBARA AMIRA BAB 17 (MONOLOGUE IN THE DARKNESS)

Pengenalan

Bertentangan dengan bab 16, bab kali ini hanya meliputi 7 halaman dan berfokus kepada watak Malique yang bermonolog di dalam sebuah ruang sempit dan terhad, setelah dibawa oleh seseorang daripada lokasi kemalangan. Cahaya yang sedikit menyebabkan Malique tidak pasti siapa yang menolong dan menghulurkan makanan, biasanya daging panggang, melalui lubang kecil di bawah pintu. Malique hanya mampu melayan perasaan dan teka-teki yang bersarang di dalam benaknya.

Peristiwa Penting

Imbas kembali cerita ibu bahawa bapanya berasal dari Australia menimbulkan persoalan tentang fizikalnya sendiri yang langsung tidak padan dengan kedua-dua ibu bapanya. Dalam ruang bilik berbau tengik itu, Malique bertekad untuk segera keluar dari hutan bagi mencari jawapannya.

Watak:  Malique
Perwatakan:  Kritis / tidak mudah percaya / suka menyiasat (kebenaran) / berhati-hati / teliti
Latar masyarakat:  masyarakat yang kritis / tidak mudah percaya / suka menyiasat / berhati-hati / teliti
Nilai:  Berhati-hati / ketelitian 
Persoalan: Berhati-hati / ketelitian dalam menerima maklumat
Pengajaran:  Kita hendaklah berhati-hati dalam menerima maklumat

Manusia misteri yang tidak dapat dicam wajahnya sering muncul dalam mimpi-mimpi Malique. Manusia itu sering membantunya apabila diserang oleh haiwan berbulu hitam. Malique cuba meneka maksud tersirat dalam mimpi-mimpinya itu.

Watak:  Malique
Perwatakan:  Suka berfikir / menaakul
Latar masyarakat:  Masyarakat yang suka berfikir / menaakul
Nilai:  Ketajaman berfikir
Persoalan:  Ketajaman berfikir menaakul petunjuk / simbol
Pengajaran:  Kita hendaklah berfikiran tajam dalam menaakul petunjuk / simbol

Malique meletakkkan harapannya untuk diselamatkan silih berganti antara O'Hara, Roslan dan Amira. Dalam saat-saat genting begitu, Malique tidak boleh berputus asa. Malique juga perlu menerima makanan yang dihulurkan oleh manusia misteri supaya dia terus bertenaga.

Watak:  Malique
Perwatakan:  Tidak mudah putus asa / tabah
Latar masyarakat:  Masyarakat yang tidak mudah putus asa; masyarakat yang tabah
Nilai:  Ketabahan
Persoalan:  Ketabahan dalam menghadapi saat-saat genting
Pengajaran:  Kita hendaklah tabah dalam menghadapi saat-saat genting

bersambung... 

UTAMAKAN YANG HIDUP (ENJOY THE FESTIVE DAY)

Bulan puasa sudah masuk separuh kedua. Sekolah taqwa yang dilalui seharusnya sudah sedikit sebanyak membawa transformasi dalam diri insan yang memiliki kesungguhan beramal. Permulaan puasa ialah rahmat, pertengahannya keampunan dan pengakhirannya bebas daripada api neraka.

Separuh kedua bulan puasa benar-benar menguji tahap istiqamah umat Islam, kerana azam untuk melaksanakan amal berlipat kali ganda berhadapan dengan persiapan hari raya. Kepadatan ruang solat masjid dan surau pada 10 hari pertama puasa juga diuji dengan hebatnya. Perancangan sebulan berhari raya dalam kalangan masyarakat kita mengakibatkan keutamaan puasa tidak lagi dominan.

Tidak menjadi kesalahan untuk membuat persiapan hari raya asalkan tidak menjejaskan tumpuan terhadap ibadah puasa dan amalan yang menjurus kepada peningkatan taqwa. Kejayaan menyempurnakan genap sebulan berpuasa dirayakan pada 1 Syawal, hari yang diharamkan berpuasa. Umat Islam dituntut bergembira pada hari mulia sebagai tanda syukur atas kejayaan menjalani ibadah puasa, serta melepasi ujian hawa nafsu semata-mata bagi menuju keredaan Ilahi.

Hari raya ialah hari gembira. Hari raya dipenuhi dengan lafaz takbir, tasbih dan tahmid bagi memuji keagungan Ilahi. Amalan saling menziarahi dilakukan bagi mengukuhkan ikatan kekeluargaan, kejiranan, persahabatan dan perasaan muhibah. Tiada niat untuk bermegah-megah atau menunjuk-nunjuk dengan aneka juadah dan hiasan rumah, melainkan bagi mengalu-alukan tetamu yang sudi berkunjung.

Sebagai hari gembira, bab-bab yang boleh mengakibatkan hal sebaliknya, iaitu perasaan hiba, pilu, sedih dan seumpamanya hendaklah disimpan dahulu. Amalan ziarah pusara misalnya hendaklah dikemudiankan setelah amalan ziarah orang hidup dilakukan sepanjang hari raya. Misalnya, ziarah pusara secepat-cepatnya dilakukan pada sebelah petang atau pada hari raya kedua.

lokasi Thaqifah Bani Sa'idah berhampiran hotel Fairoz Anwar di Madinah,
tanpa sebarang label atau keterangan sejarah.

Saranan di atas dinyatakan oleh Datuk Sheikh Mohd Noor Mansur al-Hafiz, bekas Pengarah Jabatan Hal-Ehwal Islam Perak dalam slot tazkirah Ramadan Perak.fm petang tadi. Berdasarkan dalil hadith dan sirah baginda, jelas bahawa begitulah tuntutan Islam yang sebenar. Peristiwa pelantikan khalifah Islam pertama di  Thaqifah Bani Sa'idah menjadi satu lagi bukti keutamaan terhadap urusan orang hidup... Wallahu a'lam.

KEMBARA AMIRA BAB 16 (THE ANCIENT CERAMIC)

Pengenalan

Kemunculan matahari di Desa Karpus membolehkan kerja cari gali arkeologi diteruskan setelah hujan turun dengan lebat sebelumnya. Sambil tulang karpus, manik tulang dan serpih tembikar selamat sampai di universiti, Amira dan Jacinta berdebar-debar akan penemuan pertama mereka, iaitu bekas air tembikar yang diukir dengan lakaran berbentuk baji. Istimewanya ialah kesan warna biru kehitaman yang menunjukkan penggunaan warna dalam kalangan masyarakat prasejarah.

Bab 16 ini ialah bab paling panjang dalam novel Kembara Amira, iaitu setebal 21 halaman, sama banyak dengan bab 26. Banyak sekali watak dan peristiwa yang diceritakan. Bagi tujuan pembelajaran, murid digalakkan membuat analisis peristiwa tertentu, tetapi bukanlah teknik mengingat semua sekali.

Peristiwa penting

1   Pujian Dr. Zawawi tentang penemuan artifak tembikar menyebabkan Amira tidak dapat menyembunyikan rasa bangga. Namun, Amira segera melapik cakapnya dengan mengatakan bahawa penemuan tulang korpus oleh Rusdi lebih hebat. Dia tidak mahu Rusdi berkecil hati.

Watak:  Amira
Perwatakan:  berbudi bahasa / merendah diri
Latar masyarakat: masyarakat yang berbudi bahasa / merendah diri; masyarakat pelajar
Nilai: budi bahasa
Persoalan:  budi bahasa dalam pertuturan
Pengajaran:  kita hendaklah berbudi bahasa dalam pertuturan


2   Rusdi turut memuji penemuan oleh Amira dan JC, malah dia terkejut dengan pertanyaan Amira yang khuatir dirinya kecewa. Rusdi tidak kisah tentang sesiapa yang melakukan penemuan, kerana baginya kejayaan kumpulan lebih utama.

Watak:  Rusdi
Perwatakan:  Budiman / setia kawan
Latar masyarakat:  Masyarakat yang budiman / setia kawan
Nilai:  Kesetiakawanan
Persoalan:  Kesetiakawanan dalam kerja kumpulan
Pengajaran:  Kita hendaklah mengamalkan setia kawan dalam kumpulan

3   Kedatangan Tau buat pertama kalinya ke Desa Karpus disambut dengan perasaan yang bercampur-campur. Tau menjelaskan kejadian misteri di sekeliling Desa Karpus pada waktu malam, sambil menawarkan penyelesaian tujuan kajian arkeologi di situ. Prof. Zaidah perlu membuat keputusan yang menyenangkan kerja kajian dan perasaan Tau.

Watak:  Tau
Perwatakan:  Tegas / berterus terang / jujur
Latar masyarakat: masyarakat orang Asli; masyarakat yang tegas / berterus terang
Nilai:  ketegasan / kejujuran
Persoalan:  tegas / berterus terang / jujur dalam menyatakan pendirian
Pengajaran:  kita hendaklah tegas / berterus terang / jujur dalam menyatakan pendirian (apabila sesuai)

4   Prof. Zaidah memutuskan hanya Dr. Zawawi, Rusdi, Amira dan Jacinta sahaja mengikut Tau, sedangkan penghuni lain perlu meneruskan kerja kajian. Penyertaan penghuni lain akan bergantung kepada laporan Dr. Zawawi. Penghuni Desa Karpus, terutama pelajar universiti terpaksa akur walaupun berharap sebaliknya.

Watak:  Prof. Zaidah
Perwatakan:  Bijak / cekap / tegas dalam membuat keputusan
Latar masyarakat:  masyarakat pensyarah universiti / profesor arkeologi; masyarakat yang bijak / cekap / pintar
Nilai:  Kebijaksanaan / kecekapan / ketegasan
Persoalan:  Kebijaksanaan / kecekapan / ketegasan dalam membuat keputusan
Pengajaran:  Kita hendaklah bijak / cekap / tegas dalam membuat keputusan

5   Apabila Jacinta menerima ketulan emas yang diserahkan oleh Itai atas kompromi Pak cik Tau dengan Ludin, serta majlis adat mereka, dia berjanji untuk menyimpan rahsia. Jacinta menghargai pengorbanan Amira, Itai dan Tau. Kemesraan mula terjalin.

Watak:  Jacinta
Perwatakan:  memegang janji, tahu menghargai
Latar masyarakat:  masyarakat remaja; masyarakat yang berpegang kepada janji; masyarakat yang tahu menghargai
Nilai:  menjaga janji /  rahsia
Persoalan:  Menjaga janji / rahsia yang diamanahkan
Pengajaran:  Kita hendaklah berpegang kepada janji / menyimpan rahsia

6   Ketika hendak bergerak meninggalkan Desa Karpus, Amira dikejutkan dengan kedatangan Pak Lias yang membawa sekali Roslan yang pertama kali dikenali. Roslan membawa berita buruk bahawa Malique hilang di hutan kerana keretanya dihanyutkan banjir lumpur. Kini Prof. Zaidah perlu dirujuk lagi kerana keinginan membantu hanya boleh dilakukan dengan pertolongan Tau yang mahir dengan selok-belok hutan.

Watak:  Roslan
Perwatakan:  berterus terang / jujur
Latar masyarakat: masyarakat pekerja di hutan; masyarakat yang berterus terang / jujur
Nilai: terus terang / kejujuran
Persoalan: berterus terang / jujur dalam menyampaikan berita
Pengajaran: kita hendaklah berterus terang / jujur dalam menyampaikan berita

Friday, August 12, 2011

KEMISKINAN ANCAM KEKUATAN UMAT (KILLING THE HARDCORE HAVE-NOTS)

Tiada manusia yang mahu terperangkap dalam putaran ganas kemiskinan, hidup kebuluran, melarat atau sengsara. Hakikatnya, 20 peratus manusia di muka bumi menguasai 80 peratus kekayaan, manakala baki 80 peratus manusia lagi berebut-rebut hanya 20 peratus kekayaan. Model Pareto 20:80 dikatakan memburuk kepada nisbah lebih ekstrem, iaitu 10:90 apabila kaum pemodal (kapitalis) makin rakus dan berleluasa.

Menurut perangkaan Bank Dunia yang terkini, rantau paling miskin ialah Asia Selatan (India-Pakistan-Bangladesh) yang mewakili 39 peratus penduduk berpendapatan di bawah USD1 sehari, diikuti oleh Asia Timur (Indochina), 33 peratus dan pinggir Sahara, Afrika, 17 peratus. Peralihan daripada ekonomi berasaskan pengeluaran (p-economics) kepada ekonomi berasaskan pengetahuan (k-economics) mengakibatkan kadar pengangguran dalam kalangan masyarakat miskin meningkat lebih mendadak. Hampir semua peluang disambar oleh anak-anak golongan kaya yang memiliki akses kepada nilai modal insan yang lebih tinggi menerusi pendidikan dan latihan yang dilalui.

Masyarakat miskin mungkin terperangkap dalam putaran ganas kemiskinan selama tiga generasi, melainkan terdapat campur tangan (intervention) luaran. Maksudnya, sistem agihan kemakmuran dan kekayaan sesebuah negara perlu lebih adil dan lebih cekap. Anjakan paradigma tentang kepentingan pendidikan dan kerja kuat mesti ditanamkan dalam minda ibu bapa dalam kalangan masyarakat miskin.

Konsep ekonomi berpendapatan tinggi yang dicetuskan dalam Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) di negara kita ialah satu contoh usaha memecahkan putaran ganas kemiskinan yang masih membelenggu masyarakat yang masih miskin  walaupun bilangannya sudah makin kecil. Sejak mencapai kemerdekaan lebih setengah abad, negara kita telah berjaya mengurangkan peratus kemiskinan tegar ke tahap minimum. Namun, kes-kes kemelaratan masih berlaku akibat sikap masyarakat yang kurang peduli tentang nasib masyarakat kurang beruntung seperti warga tua yang diabaikan, ibu tunggal, anak-anak yatim piatu, serta golongan sebatang kara yang disisihkan oleh kaum keluarga.

Kemiskinan tidak semestinya berpunca daripada warisan seperti putaran ganas tadi. Iklim perniagaan yang lembap atau kos sara hidup yang tinggi akibat inflasi juga mengakibatkan masyarakat jatuh miskin secara tiba-tiba. Masyarakat yang miskin memiliki kuasa beli yang terhad.

Kuasa beli yang lemah bererti perbelanjaan agregat dalam ekonomi juga lemah. Selanjutnya, peniagaan akan menjadi perlahan dan pengeluaran di kilang terpaksa dikurangkan. Pekerja sedia ada terpaksa diminta berhenti, dan putaran ganas kemiskinan akan bermula sekali lagi.

Saidina Ali karamallah wajhah pernah mengungkapkan bahawa "andainya kemiskinan itu wujud sebagai makhluk yang hidup, nescaya aku bunuh." Yang hendak dibunuh ialah kemiskinan, bukan orang miskin. Alasannya mudah, iaitu kemiskinan mendekatkan manusia kepada kekufuran (tercabut iman) sebagaimana yang dilaporkan lewat hadith.

Salah satu komponen doa al-Ma'thurat yang dihimpun oleh Hassan al-Bana ialah tentang menghindari miskin tegar (fakir). Kemiskinan mendedahkan seseorang kepada eksploitasi dan manipulasi pihak-pihak yang hendak menjerumuskan mereka ke arah kesesatan akidah. Mereka juga mungkin dihasut oleh syaitan supaya meletakkan kesalahan terhadap konsep takdir yang palsu.

Demikian antara inti pati mimbar Jumaat minggu ini. Hendaknya segala dasar ekonomi dan sumber organisasi agihan seperti Baitul-Mal berpegang semula terhadap keutamaan yang tepat. Isu kelemahan akidah mendambakan perhatian segera...

Thursday, August 11, 2011

CERPEN "TRAUMA EMBAH" KOMSAS TINGKATAN 1 (THE PSYCHOLOGY OF AGING)

Pengenalan

Embah ialah panggilan bagi nenek atau opah dalam kalangan masyarakat Jawa. Menerusi karya Haryati Abu Nasir dalam antologi Kasut Kelopak Jantung ini, embah digambarkan sebagai wanita lanjut usia yang sudah tidak mengurus diri sendiri, di samping diburu oleh kenangan silam tentang dirinya yang terpaksa akur dengan segala kehendak suaminya yang begitu bengis dan panas baran. Ibu mengambil alih tugas menjaga embah daripada mak cik yang tinggal di Kuala Lumpur apabila suaminya mati mengejut.

Watak dan perwatakan

Embah: Isteri ketiga datuk, punya lima orang anak. Isteri yang taat, serta akur akan segala kata-kata suami (datuk). Contohnya, Embah tidak berani membantah kasut getah sempit pemberian datuk untuk kerja mengutip susu getah. Akibatnya, jari telunjuk kaki embah menjadi herot dan menenggek di atas ibu jari. Embah juga terpaksa menahan perasaan sedih kematian anak kerana ditegah oleh datuk menyebabkan embah trauma hingga ke usia tua (80 tahun).

Datuk: Berkahwin tiga kali. Dengan isteri pertama, tiada zuriat, yang kedua empat orang anak. Kahwin lain hanya setelah isteri yang ada meninggal. Suami dan ayah yang tegas, bengis dan tidak suka dibantah. Contohnya, apabila datuk melihat mak cik Rafiah membuat rambut keriting, datuk melontar parang pendek ke arahnya, tetapi terkena tumit kaki ibu hingga berparut. Meninggal lebih awal.

Ibu: Wanita yang tabah, awet muda dan penyayang. Walaupun hanya berpeluang belajar setakat sekolah rendah (dilarang datuk), ibu bijak menjalankan perniagaan "parti serbaneka" di kampung-kampung. Jualannya ialah peralatan dapur, serta cadar dan permaidani dibayar ansuran. Kelihatan awet muda justeru menurut saranan "aku" (penulis) mengambil makanan tambahan dan vitamin.

Aku: Penulis cerita (sudut pandangan pertama). Telah mempunyai anak. Sering menziarahi ibu dan abah, terutama setelah embah dijaga oleh ibu. Suka mengambil iktibar daripada trauma yang dialami oleh embah, serta kasih sayang mak cik dan ibu terhadap embah.

Abah: Sentiasa menyokong kegiatan ibu. Setelah bersara sebagai guru, menumpukan perhatian terhadap jemaah surau dan masyarakat kampung.

Mak cik:  kakitangan syarikat telekomunikasi yang sibuk. Menjaga embah selama 20 tahun sebelum suaminya, fasilitator (pemudah cara) di Institut Aminuddin Baki (tempat kursus pengurusan sekolah). Mempunyai 4 orang anak.

Perbincangan

Tema:  Kasih sayang anak terhadap ibu yang telah banyak berkorban.

Teknik penceritaan: sudut pandangan pertama (menurut kaca mata penulis cerpen)
                             :  imbas kembali (kisah datuk dan embah semasa datuk masih hidup)
                                                      (kisah perniagaan ibu dan abah sebelum abah bersara)

Perwatakanpenyayang (ibu, mak cik, aku sangat prihatin terhadap kesihatan dan penderitaan embah)
                     cekal / gigih (ibu menjalankan perniagaan walaupun tidak mempunyai ilmu perniagaan)
                     patuh / taat (embah menuruti segala kehendak datuk, tidak pernah membantah walaupun mendatangkan mudarat)
                     sabar / tabah (embah memendamkan perasaan pilu kehilangan dua orang anak lelaki sekali gus kerana tegahan datuk)
                     tegas / autoktratik (datuk tidak suka dibantah; cubaan mak cik Rafiah menyembunyikan rambut keriting gagal)

Nilai: kasih sayang, kecekalan, kegigihan, kesabaran, ketabahan, ketegasan

Persoalan:  Kasih sayang sesama keluarga
                  Kecekalan / kegigihan dalam menghadapi cabaran hidup
                  Kesabaran / ketabahan dalam menghadapi kerenah ahli keluarga
                  Ketegasan dalam pegangan / prinsip hidup datuk tidak suka suka dibohongi anak)

Pengajaran:  Kita hendaklah menyayangi sesama keluarga
                    Kita hendaklah cakal / gigih dalam menghadapi cabaran hidup
                    Kita hendaklah sabar / tabah dalam menghadapi kerenah ahli keluarga
                    Kita hendaklah tegas dalam mempertahankan pegangan / prinsip hidup

Latar tempat:  kampung = tempat tinggal embah, datuk, ibu dan aku; lokasi perniagaan ibu
                      masjid kampung Jelutong = tempat yang selalu dikunjungi datuk
                      darat / kebun = tempat datuk menoreh getah / embah mengutip susu getah
                      Kuala Lumpur = lokasi rumah mak cik menjaga embah selama 20 tahun
                      rumah ibu: bau hancing yang cuba diatasi dengan haruman nyata tidak berjaya

Ringkasan cerita / sinopsis:

Cerpen mengisahkan kasih sayang ibu yang mengambil alih tugas menjaga embah yang sering taruma daripada mak cik di Kuala Lumpur. Ibu hanya berpendidikan sekolah rendah, tetapi pandai berniaga dengan sokongan abah, seorang guru. Ibu sangat memahami trauma embah yang terpaksa bertahan dengan kerenah datuk yang bengis dan garang sehingga tidak berani meluahkan perasaan yang terbuku. Ibu sanggup menjaga embah yang makin uzur setelah terkena serangan jantung dan sedikit nyanyuk. "Aku" pila sering mengunjungi rumah ibu untuk menjenguk embah. Peranan abang sulung ibu, Mak Cik Rufiah (kakak ibu) dan adik perempuan bongsu ibu tidak jelas. Abah pula sentiasa di sisi ibu.            

Tuesday, August 9, 2011

PENGURUSAN ORGANISASI KELAS PRAUNIVERSITI (CONFLICT AND INTRIGUE AMONG PEERS)

Sebagai kumpulan pelajar lepas menengah yang berusia 18 dan 19 tahun, pelajar tingkatan 6 seharusnya telah mencapai tahap pemikiran dan kod tingkah laku yang lebih matang dan tinggi nilainya. Semua mata pelajaran dan kegiatan luar bilik kuliah yang ditawarkan akan menjurus ke arah pengalaman pembelajaran tahap tinggi. Pelajar tingkatan 6 sudah boleh membuat keputusan atau menyelesaikan masalah dengan tenang lagi tertib.

Sesebuah kelas atau bilik kuliah prauniversiti ialah gambaran sebuah masyarakat yang bercirikan adab, disiplin dan ilmu. Apa-apa juga perbezaan yang sememangnya ada dianggap sebagai peluang, bukan musibah. Pendek kata, pelajar prauniversiti dalam sesebuah kelas atau bilik kuliah akan mara sebagai satu pasukan yang kuat, mantap, padu, sepakat dan unggul.

Secara individu, sepertimana dalam masyarakat biasa, masing-masing akan bersaing untuk berada pada kedudukan tertinggi, misalnya dalam pencapaian akademik, kepimpinan dan perkhidmatan. Namun, persaingan yang terjadi hendaklah dalam persekitaran yang sihat tanpa menimbulkan perkara-perkara yang menjejaskan organisasi kelas. Kalau boleh, biarlah persaingan itu berlangsung dalam suasana saling membantu, kerana cara terbaik untuk belajar ialah dengan mengajar orang lain.

Hakikat bahawa pengajian prauniversiti ialah persediaan akademik tahap tinggi, kepimpinan organisasi, kecekapan menggembleng sumber yang terhad, kesukarelaan dan sumbangan sosial mestilah diberi perhatian. Dalam tempoh setahun setengah pengajian, segala kualiti, kemahiran, nilai dan sikap yang dipupuk akan menjadi bekalan yang berharga untuk menghadapi cabaran persekitaran dewasa yang penuh liku, onak dan simpang-siur kelak.

Antara perkara asas dalam sesebuah organisasi kelas atau bilik kuliah ialah untuk akur kepada segala peraturan dan tatacara yang ditetapkan walaupun mungkin bertentangan dengan kecenderungan peribadi. Misalnya, amalan menghormati guru dan rakan supaya pembelajaran dapat berjalan dengan lancar dan licin. Biarlah setiap anggota organisasi kelas bagaikan binaan yang saling menyokong, bukan meruntuhkan.

Hierarki kepimpinan kelas juga hendaklah dihormati. Ketua kelas dihormati bukan kerana dirinya secara peribadi, tetapi dihormati kerana tugas dan tanggungjawab yang telah diserahkan. Maka, komunikasi yang terjalin sebenarnya ialah juga suatu proses pembelajaran, atau juga disebut sebagai kurikulum tersembunyi.

Kepintaran atau genius individu bukan tidak penting, tetapi kepintaran dan genius kumpulan sudah menjadi lebih penting. Kebanyakan urusan era maya ini memerlukan komunikasi jaringan dan rangkaian dalam konteks organisasi yang lebih luas hingga melewati batasan geografi. Malah, segala urusan perlu dilakukan dengan cepat, tetapi juga berhemat dan tepat.

Bukan pengalaman konflik dan krisis itu tidak berguna. Pelajar prauniversiti boleh berhujah, berbeza pendapat dan tegas dalam mempertahankan sesuatu prinsip yang beradab dan sah. Maksudnya ialah apabila perlu membuat pilihan, kepentingan organisasi mesti didahulukan daripada kepentingan peribadi...