Monday, April 1, 2013
KESALAHAN UMUM BAHASA DALAM URUSAN RASMI, PENULISAN (PERFECTION AND PERSISTENCE)
Pengenalan
Perbincangan tentang hal di atas telah berulang kali ditulis dalam pelbagai media dan diperincikan dalam kelas bahasa. Namun, pengguna bahasa masih terus melakukan kesilapan yang sama sama ada berpunca daripada sikap kurang peka atau memang tidak pernah ambil kisah. Malah, salah satu item penting dalam peperiksaan awam sama ada UPSR, PMR, SPM atau STPM memasukkan analisis kesalahan bahasa sebagai komponen tugasan soalan.
Memperoleh atau memperolehi?
Dalam sistem tatabahasa Zaaba, memperoleh ialah istilah yang tepat. Kata dasar perkataan berkenaan ialah oleh. Jika memperolehi diterima, bermakna bahawa kata dasar oleh telah menerima maksimum tiga imbuhan, iaitu mem, per, i. Keadaan itu disebut sebagai lewah atau berlebih-lebihan.
Hukum D-M (Diterangkan - Menerangkan)
1) goreng pisang = kata kerja, pisang goreng = kata nama
2) cili sos (struktur bahasa Inggeris); sos cili (yang betul)
Kata jamak
1) semua murid-murid, sepatutnya semua murid
2) para hadirin sekalian, sepatutnya hadirin (yang dihormati0
3) setiap doa-doa, sepatutnya setiap doa
4) antara sebab-sebab, sepatutnya antara sebab, atau sebab-sebab
Darjah paling tinggi
1) paling baik sekali, sepatutnya paling baik, atau baik sekali
2) paling terawal, sepatutnya paling awal, atau terawal
gg, kk, ny
1) mengalakan, sepatutnya menggalakkan
2) kebaikkan, sepatutnya kebaikan
3) menyakinkan, sepatutnya meyakinkan
Kata sendi 'di'
1) diatas, sepatutnya di atas (kata tunjuk dieja terpisah)
2) di ambil, sepatutnya diambil (kata kerja dieja bercantum)
3) di masa, sepatutnya pada masa (di untuk tempat dan kata kerja sahaja)
Kata pinjaman / serapan bahasa asing (pengecualian keselarasan vokal)
1) aneh, bukan anih
2) aneka, bukan anika
3) gembleng, bukan gembeling
4) perabot, bukan perabut
5) prihatin, bukan perihatin
6) reda, bukan redha
Kata hadapan juru, tata (dieja bercantum)
a) juruaudit, bukan juru audit, bukan juru-audit, bukan juruodit
2) tatacara, bukan tata cara, dan bukan tata-cara
Kata hadapan pinjaman / serapan bahasa asing
1) prabayar, bukan pra-bayar, dan bukan pra bayar
2) pascamerdeka, bukan pasca-merdeka, dan bukan pasca merdeka
3) prodemokrasi, bukan pro-demokrasi, dan bukan pro demokrasi
4) antidadah, bukan anti-dadah, dan bukan anti dadah
5) anti-Amerika (nama khas), bukan antiAmerika
Pengimbuhan
Selain hukum D-M, kesalahan imbuhan termasuk dalam kategori kesalahan berat yang menjejaskan pentaksiran markah bahasa dalam peperiksaan. perkara ini bakal dibincangkan kemudian.
Penutup
Sekian dahulu buat kali ini. Sebenarnya masih banyak bentuk kesalahan umum yang berlaku dalam penggunaan kata (morfologi) dan binaan ayat (sintaksis). Perbincangan seterusnya bergantung kepada maklum balas dan permintaan...
Sunday, March 31, 2013
TEORI PERANGKAP KECAIRAN (KEYNESIAN VS CLASSICAL ECONOMICS)
Secara umum, perangkap kecairan ialah keadaan apabila kadar bunga sudah mencapai paras paling rendah (minimum) dan tidak akan jatuh lagi, lalu menyebabkan harga bon mencapai tingkat tertinggi (maksimum). Orang ramai akan membuat keputusan untuk menjual semua bon dan memegang kecairan (tunai). Secara gambar rajah, perangkap kecairan boleh ditunjukkan seperti keluk di bawah:
sumber: http://econfix.wordpress.com/tag/liquidity-trap/
Perangkap kecairan merujuk kepada permintaan wang untuk spekulasi (Ls). Dalam gambar rajah di atas, perangkap kecairan diwakili oleh bahagian keluk Ls yang anjal sempurna (selari dengan paksi Ls) apabila tingkat kadar bunga mencecah X. Orang ramai menjual bon untuk memegang kecairan.
Beza teori kuantiti wang klasik (TKW) dengan teori keutamaan kecairan Keynes
1) TKW mengehadkan Ld untuk tujuan urus niaga sahaja (Lt), sedangkan Keynes memasukkan Ld untuk tujuan awasan (masih lagi Lt) dan untuk tujuan spekulasi (Ls).
2) Klasik mengandaikan guna tenaga penuh (gtp) selalu tercapai, Keynesian mengandaikan gtp jarang-jarang tercapai
Beza Lt dengan Ls
1) Lt = f(Y), iaitu permintaan wang untuk tujuan urus niaga dan awasan dipengaruhi oleh pendapatan, hubungan positif --> keluk Lt bercerun +ve
2) Ls = f(r), iaitu permintaan wang untuk spekulasi dipengaruhi oleh kadar bunga, keluk Ls pada mulanya bercerun -ve, kemudian anjal sempurna
Pembentukan keluk Ld
Campuran geometrik mendatar keluk-keluk Lt + Ls
Paksi diseragamkan kepada kadar bunga (r) lawan kuantiti wang (W)
Maka, keluk Lt akan menjadi tidak anjal sempurna kerana Lt ≠ f (r )
...
...
...
...
...
Saturday, March 30, 2013
VADAI LARIS DI JALAN TAR, PASAR MALAM (STREET SELLING ATTRACTION)
Hampir dua jam memerhatikan perniagaan jalanan di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR), Kuala Lumpur, penulis blog (PB) menganggarkan tidak kurang 200 biji ulunthu vadai dan 200 biji masala vadai berjaya dijual. Anggaran dibuat berdasarkan tiga kali bekas besar yang penuh dicurahkan dalam dulang jualan. Di sebelah meja jualan vadai, terdapat pula meja jualan putu mayam dan kacang kuda.
Harga vadai di Jalan TAR lebih murah jika dibandingkan dengan di pasar malam sekitar Ipoh. Di situ, tiga biji vadai berharga RM1 sahaja, berbanding dengan di Ipoh RM1.20, iaitu 40 sen sebiji. Saiz vadai dan mutu masakan vadai di Jalan TAR juga lebih baik.
Jualan vadai dalam dulang di atas meja dengan lokasi pesiar kaki nampak seperti bukan usaha individu. PB berpendapat vadai dimasak di restoran mamak berdekatan, kemudian pekerja tertentu bertugas untuk membuat jualan vadai yang masih panas kepada orang ramai yang lalu-lalang. Konsep itu lebih kurang sama dengan jualan telefon bimbit, tudung dan item lain di ruang legar pasar raya, walaupun kedai induk mereka berada dalam pasar raya yang sama.
Peniaga Melayu juga sudah pandai menjual vadai yang dimasak sendiri. Buktinya, di kawasan Simpang, berdekatan dengan Changkat Jering, Taiping terdapat banyak gerai tepi jalan milik penjaja Melayu menjual vadai dan telinga keling (denderam, peniaram). Resepi tidak menjadi masalah kerana mudah dirujuk menerusi laman sesawang, misalnya ulunthu vadai di sini dan masala vadai di sini.
Orang Kuala Lumpur tekenal dengan makanan 'rasmi' mereka, iaitu donut dan karipap, serta vadai. Orang Kuala Lumpur juga sudah tidak kisah tentang jualan tepi jalan atau tepi longkang kerana mereka mengejar masa dan melayan perut yang berkeroncong. Risiko pemindahan cecair badan kepada mereka yang lemah antibodi juga seperti dilupakan.
Barangkali antibodi orang Kuala Lumpur memang kuat dan sukar diceroboh oleh tentera bakteria dan virus pembawa penyakit seperti hepatetis B dan C, pembunuh senyap seperti sakit jantung. Makanan yang terdedah di tepi jalan mudah tercemar oleh debu, air liur penjaja dan orang ramai, serta asap kenderaan. Namun, aroma dan kerangupan vadai yang terhidang bagaikan magnet yang berkuasa.
Di kampung, orang Melayu lebih kenal masala vadai berbanding dengan ulunthu vadai. Malah, masala vadai diberi nama lain sebagai masak lodeh. Orang Melayu sudah lama menerima masala vadai sama seperti pisang goreng panas sebagai hidangan ringkas.
Sekarang ini, masala vadai dan ulunthu vadai segera yang disejuk beku telah dijual di pasar raya dan kedai sejuk beku. Tiada masalah untuk mencari tepung kacang hitam atau ramuan yang lain, sebaliknya hanya tinggal dimasukkan di dalam kuali untuk proses gorengan. Jika makanan yang berasal dari selatan India itu boleh memasuki negara kita, apa kata jika pelbagai makanan tradisional Melayu diangkat ke peringkat antarabangsa?
Friday, March 29, 2013
BAHASA MELAYU SERING MENJADI MANGSA? (THE NATIONAL IDENTITY CRISIS)
Akta Bahasa Kebangsaan (baca di sini) menjelaskan lagi maksud Perkara 152 perlembagaan persekutuan (klik di sini dan di sini). Sudah terang lagi bersuluh bahawa pada akhirnya kedudukan bahasa Melayu mestilah tertinggi, walaupun bahasa Inggeris masih dibenarkan dalam urusan rasmi, tertakluk kepada perkenan DYMM Yang Dipertuan Agong dan parlimen. Jika berlaku percanggahan dalam dokumen undang-undang, versi bahasa Melayu dianggap sah, bukan sebaliknya seperti yang banyak berlaku sekarang.
Penegasan tentang kedudukan bahasa Melayu tiada kaitan dengan sikap perkauman, melampau, atau taksub secara melulu. Silakan belajar bahasa apa-apa pun, tiada sekatan dan teguran. Namun, kehebatan bahasa ibunda dan bahasa asing tidak boleh seperti kaduk naik junjung yang cuba merendah-rendahkan martabat bahasa Melayu sebarang lambang jati diri dan perpaduan kebangsaan.
Pada zaman kegemilangan empayar Melaka (abad 15), bahasa Melayu telah menikmati status sebagai bahasa dagang dan lingua franca. Bahasa Melayu bukan sekadar layak mengungkapkan puisi dan karya sastera, tetapi telah memiliki nilai ekonomi yang tinggi. Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1970 pula telah membuktikan bahawa bahasa Melayu memang berupaya mengangkat status pelajar aliran Melayu dalam bidang sains dan perubatan.
Pejuang-pejuang bahasa Melayu sangat cemas dengan ruang yang diberikan kepada pengkagum bahasa Inggeris sehingga mereka begitu berani dan berleluasa mencadangkan kedudukan bahasa Inggeris setara dengan bahasa Melayu. Malah, baru-baru ini terdapat anggapan bahawa bahasa Melayu, Inggeris dan Mandrin ialah sebahagian jati diri rakyat Malaysia.
Pemimpin politik, korporat, sukan dan sebagainya semakin galak bercakap dalam bahasa Inggeris semasa sidang media walaupun bersifat bahasa basahan. Kecintaan terhadap bahasa Melayu semakin pudar dan layu, seolah-olah tiada berharga lagi. Jika asas perlembagaan sudah tidak dihormati, apakah jaminan bahawa jati diri rakyat Malaysia dapat dibanggakan?
Daya usaha MABBIM (klik di sini) sangat tepat pada waktu kedudukan bahasa Melayu teumbang-umbang bagaikan dilanda krisis psikologi yang parah. Hendaknya ilmu watan dan tamadun Melayu yang diangkat sebagai agenda penting persidangan tidak meminggirkan pencapaian ilmu sains dan teknologi yang disampaikan dalam bahasa Melayu. Langkah DBP menerbitkan kamus bahasa Inggeris yang bersumberkan bahasa Melayu juga suatu langkah terbaik bagi mengingatkan pemuja bahasa Inggeris bahawa bahasa Melayu tidak lebih rendah daripada bahasa ilmu yang lain di seluruh dunia.
Pemuja tegar bahasa Inggeris masih cuba untuk mengembalikan aliran sekolah bahasa Inggeris seperti awal kemerdekaan hingga lewat 1970-an. Mereka mahu lebih daripada dasar PPSMI yang telah dimansuhkan sepenuhnya menjelang tahun 2016. Pertubuhan ibu bapa elit seperti Page kelihatan seperti hendak bersaing dengan PIBGN tentang perkara berkenaan.
Pemuja tegar bahasa Inggeris masih cuba untuk mengembalikan aliran sekolah bahasa Inggeris seperti awal kemerdekaan hingga lewat 1970-an. Mereka mahu lebih daripada dasar PPSMI yang telah dimansuhkan sepenuhnya menjelang tahun 2016. Pertubuhan ibu bapa elit seperti Page kelihatan seperti hendak bersaing dengan PIBGN tentang perkara berkenaan.
...
...
...
Thursday, March 28, 2013
CARA BELAJAR EKONOMI YANG BETUL (FOCUS ON LECTURE, NOT TO GOSSIP)
Pencapaian sebahagian calon STPM modular dalam kertas Mikroekonomi baru-baru ini memang mendukacitakan. Seperti biasa, bilangan calon yang memperoleh gred A masih dalam lingkungan 10 peratus, tetapi yang mendapat gred F masih setinggi 30 peratus. Bilangan calon yang hanya lulus sebahagian (C-, D+ dan D) juga besar, tetapi sekurang-kurangnya masih berjaya mendapat nilai mata PNG bagi membantu pencapaian PNGK secara keseluruhan.
Perbincangan ini hanya memberi tumpuan kepada kumpulan besar gred F tadi. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa mereka berkongsi ciri pembelajaran yang sama, iaitu membuat keputusan yang sipi justeru dipengaruhi oleh hasutan negatif dari dalam sendiri dan rakan sealiran, maksudnya yang enggan bersusah payah sedikit. Dari awal penggal lagi sudah meluahkan kata-kata kononnya tidak mengapa, kerana nanti boleh diulang dalam penggal tiga.
Lalu, kumpulan berkenaan mengorbankan pembelajaran ekonomi untuk memberi tumpuan terhadap mata pelajaran yang dirasakan lebih mudah seperti Pengajian Am, Bahasa Melayu dan Sejarah. Akhirnya, semua pun tidak cemerlang, bahkan ekonomi terus gagal dengan parah. Guru sudah memberi nasihat, tetapi pengaruh ketua kumpulan sipi berkenaan ternyata lebih kuat.
Tidak salah untuk mencuba lagi bagi meningkatkan gred kertas ekonomi, tetapi secara tidak sedar mereka telah menambahkan beban pembelajaran untuk penggal tiga. Nasi sudah menjadi bubur, tiada apa-apa yang boleh ditangisi. Hanya ucapan selamat berjuang buat kumpulan gred F penggal satu mikroekonomi.
Maka, kesilapan yang sama jangan diulang lagi untuk kertas makroekonomi penggal dua ini. Kalau gaya pembelajaran masih sama, dan alasan juga masih sama, kalian hanya menempah jalan yang sukar. Kini, masa berbaki dua bulan sebelum peperiksaan STPM penggal dua tiba.
Seperti yang selalu ditegaskan bahawa disiplin dan pembelajaran ibarat irama dan lagu yang tidak mungkin dapat dipisahkan. Antara komponen disiplin atau adab belajar yang unggul ialah menghormati guru. Semasa kuliah, pelajar wajib memberi tumpuan secara tuntas, bukan banyak keluhan atau melayan perasaan sentimental yang tidak membawa kalian ke mana-mana pun.
Sebagai mata pelajaran separuh kuantitatif, pelajar ekonomi kena banyak dan rajin membuat latihan. Selain buku teks, pelajar hendaknya bermurah hati membeli naskhah kertas ekonomi spesimen (dalam lingkungan RM5 sahaja) dan kertas latihan topikal (RM8). Buat apa dengan baucar RM250 baru-baru ini?
Proses membuat latihan hendaklah disekalikan dengan ujian masa sebenar peperiksaan. Maksudnya, pelajar dapat mengenal pasti tempoh yang diperlukan untuk mencapai markah lulus (C) atau kepujian (C+, B-, B). Jika masih terkial-kial, ulangi proses yang sama berkali-kali lagi sehingga boleh.
Pencapaian cemerlang ibarat permata yang bernilai tinggi dan sukar pula untuk diperoleh. Terdapat ungkapan bahasa Inggeris, no pain no gain. Sudah tahu diri sendiri kurang cekap, maka peruntukan masa pembelajaran mesti lebih panjang daripada pelajar yang lebih cekap.
Kesimpulannya, perkara pertama yang perlu dilakukan untuk pembelajaran ekonomi ialah perubahan sikap, lalu diikuti dengan kaedah pembelajaran yang betul. Ekonomi ialah disiplin kajian yang bermain-main dengan sejumlah konsep, pemboleh ubah, pekali, prinsip, teori, hukum, model dan rumus. Dengan itu, gaya pembelajaran ekonomi harus berbeza dengan mata pelajaran kemanusiaan yang lain...
Wednesday, March 27, 2013
MOTIVASI BELAJAR: PANJANG AKAL DALAM PEMBELAJARAN (NEVER GIVE UP TO EXCEL)
Pelajar yang dikasihi,
Apakah yang membezakan antara pelajar yang berjaya dengan pelajar yang kecewa? Mengapakah dengan sejumlah kesempatan dan sumber yang sama banyak, terdapat pelajar yang cemerlang dan terdapat juga pelajar yang kecundang? Benarkah kemenangan hanya milik pelajar yang gigih berusaha, manakala kekalahan menjadi milik pelajar yang mudah tenggelam punca?
Hakikatnya terlalu banyak soalan boleh dibangkitkan untuk mengenal pasti punca kemajuan seseorang pelajar, atau untuk menyelidiki punca ketinggalan kelompok pelajar yang lain. Pelbagai usaha campur tangan (intervensi) dan saranan dilontarkan sebagai pencerahan minda supaya pelajar mencungkil bakat terpendam dan menggilap potensi diri. Pada ketika orang lain sudah jauh di hadapan, adakah kita masih sibuk mencari alasan demi alasan?
Dalam surah ar-Ra'du ditegaskan betapa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan mereka mengubah apa-apa yang ada dalam diri mereka, iaitu sikap mereka sendiri. Sikap yang betul ialah merebut segala peluang yang muncul supaya masa tidak berlalu dengan sia-sia. Dalam proses merebut peluang itu, seseorang insan yang budiman dan mulia tidak pernah menceroboh hak orang lain walaupun dia mampu berbuat demikian.
Sikap menentukan perspektif, pandangan hidup, wawasan, welstanschauung, tasawwur dan cara bertindak. Perubahan sikap ke arah pembaharuan (islah) dan penambahbaikan merupakan prasyarat menuju pencapaian terbaik. Namun, masih terdapat bahagian sikap yang wajib bersifat kekal seperti pegangan aqidah dan urusan yang bersangkutan dengan akhlaq dan syariat.
Tumpuan wacana kali ini ialah tentang panjang akal dalam proses pembelajaran. Pelajar sudah nipis telinga dengan anjuran belajar gigih dan belajar dengan betul. Biarlah pelajar membiasakan diri dengan mendengar nasihat yang sama berulang-ulang, justeru dalam kehidupan kita seharian, kita banyak sekali melakukan perkara yang sama saban waktu. Malah, bijak pandai mengatakan bahawa pengulangan ialah anak kunci kejayaan.
Panjang akal bermaksud tidak mudak buntu, putus asa atau tenggelam punca. Sesungguhnya pembelajaran bukan semuanya bersifat indah dan mudah. Sebaliknya, pembelajaran ibarat meniti suatu perjalanan yang panjang dan penuh dengan cabaran.
Di sekolah, pelajar tidak pernah bersendirian dalam mengharungi pengalaman dan perjalanan pembelajaran yang tidak ubah seperti tercampak dalam sebuah tasik ilmu yang luas dan dalam. Sentiasa ada guru sebagai penolong dan sentiasa ada kelompok rujukan teladan dalam kalangan rakan sebaya yang ikhlas menghulurkan pertolongan.
Kesedaran bahawa proses pembelajaran membabitkan pertolongan banyak pihak, maka pelajar hendaklah bersikap rendah diri dan tidak berlagak sombong. Pelajar perlu meletak diri sebagai pihak yang bekeperluan (disanvatage) terhadap sumber pembelajaran yang bersifat diperlukan (advantage). Pelajar hendaknya menerima guru dan rakan sebaya sebagai penolong atau rakan kongsi kecemerlangan tanpa banyak syarat yang menyekat perubahan ke arah kebaikan.
...
...
Tuesday, March 26, 2013
TARIKH PILIHAN RAYA UMUM KE-13 SEMAKIN HAMPIR (DEMOCRACY IN ACTION)
Jika tanggal 8 Mac 2008, iaitu pilihan raya umum ke-12 diambil kira, maka buat pertama kali dalam sejarah politik di negara kita, pilihan raya umum melepasi tempoh lima tahun. Ketua kerajaan persekutuan, iaitu perdana menteri dan ketua kerajaan negeri (menteri besar, ketua menteri) diperuntukkan kuasa untuk memberi nasihat kepada ketua negara (DYMM Yang Dipertuan Agong) dan ketua negeri (raja, sultan, yang dipertua) untuk perkenan pembubaran parlimen dan dewan undangan negeri (DUN). Jika peruntukan itu tidak digunakan, parlimen dan DUN terbubar secara automatik berdasarkan perkiraan tarikh angkat sumpah anggota dewan.
Negeri Sembilan menjadi DUN pertama yang terbubar secara automatik berkuat kuasa lusa, Khamis 27 Mac 2013 (baca di sini dan di sini). Parlimen pula akan terbubar secara automatik pada 28 April depan. Walaupun tarikh pembubaran setiap DUN dan parlimen berbeza-beza, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mempunyai kuasa pemutus tentang tarikh pilihan raya yang lazimnya dijalankan serentak di seluruh negara, kecuali DUN Sarawak, atas faktor keberkesanan kos dan pentadbiran.
Bahang pilihan raya sudah mula dirasakan apabila perang poster dan perang saraf semakin rancak. Propaganda juga semakin hangat menerusi media cetak dan media sosial, atau juga dikenal sebagai media baharu, media atas talian, media maya dan sebagainya. Kaedah konvensional seperti ceramah dan kunjungan bakal calon pilihan raya bersemuka dengan pengundi tetap diteruskan.
Kelayakan umur mengundi ialah 21 tahun ke atas. Namun, hanya mereka yang telah diwartakan sebagai pengundi sah oleh SPR layak berbuat demikian. Semakan daftar pengundi boleh dilakukan dengan klik di sini.
Penyertaan pengundi dalam pilihanraya pada zahirnya begitu mudah, iaitu dengan memangkah calon parlimen dan DUN pilihan masing-masing. Namun, hakikatnya proses memangkah calon pilihan yang memakan masa beberapa minit sahaja itu bakal menentukan pihak yang berjaya membentuk kerajaan persekutuan dan negeri. Kemenangan calon dikira berdasarkan majoriti mudah walaupun hanya dengan perbezaan satu undi.
Walaupun sesiapa juga boleh menawarkan diri sebagai calon pilihan raya setelah mematuhi semua syarat, termasuk tidak muflis, tetapi hanya calon yang mewakili parti politik sahaja yang diberi perhatian. Calon bebas kebiasaannya hanya memperoleh undi simpati dan hilang wang pertaruhan, melainkan dalam kes yang istimewa seperti dalam kes Cikgu Jabbar di Sepang selama tiga penggal dan Shahrir Samad di Johor Bahru, serta di Sabah dan Sarawak.
Elaun sebagai wakil rakyat tidaklah sehebat gaji pegawai tinggi awam, korporat atau profesional, tetapi masih menjadi rebutan. Di Malaysia, wakil rakyat berpeluang dilantik sebagai menteri, ahli majlis mesyuarat (exco) kerajaan negeri, atau sebagai wakil kerajaan dalam agensi dan badan berkanun, serta pengarah dalam syarikat berkaitan kerajaan. Mereka juga menikmati status sebagai orang kenamaan, atau VIP.
Peranan terpenting wakil rakyat ialah sebagai penggubal undang-undang. Segala rang undang-undang dan perbekalan hanya boleh berkuat kuasa setelah mendapat undian majoriti di parlimen atau DUN. Sekiranya berlaku pertikaian, tafsiran muktamad bakal diputuskan oleh pihak mahkamah.
Sebagai ahli politik, seseorang wakil rakyat mestilah memiliki kesihatan dan stamina yang baik, serta kedudukan kewangan yang stabil. Mereka perlu ke sana ke mari, menghadiri pelbagai majlis sehari suntuk. Masa untuk melelapkan mata mungkin hanya di dalam kereta atau pesawat.
Ketelusan, keutuhan dan manifesto parti politik yang diwakili oleh calon mengatasi faktor batang tubuh atau keperibadian seseorang calon. Pilihan raya umum ke-13 dalam tempoh terdekat ini (paling lewat pada 26 atau 27 Mei berdasarkan tempoh 60 hari pembubaran DUN NS dan dengan andaian pilihan raya serentak) dianggap paling sengit dalam sejarah politik negara yang kian mirip sistem dua parti seperti yang berlaku di negara-negara maju. Suara rakyat suara keramat, iaitu sebagai tuan sebenar kerajaan yang terlantik kelak...
Monday, March 25, 2013
ANEKDOT BAS EKSPRES (UNWRITTEN SCRIPT)
I: Di hentian Dungun
Ibu pelajar UTP: Encik, nanti berhenti depang UTP kang?
Pemandu kedua: Tugasang saya memandu bas jer
Yang itu kena jaga sendiri
Tak boleh janji, cuba jer...
II: ketika bas baru bergerak kira-kira lima minit (8.40 malam)
Pemandu bas: Apa yang hok dok puas hati?
Nok semayang 40 waktu (rakaat, sunat) sari semalang tok dok sape larang.
Kebebasang jalang sana sini, dok?
Sape jaming orang kite masuk kerja kejaang
Orang laing belum tentu!
Pemandu kedua: ya, ya
III: Di sebuah hentian transit mengambil penumpang (12 tengah malam)
Bapa si gadis: (kepada seorang pelajar lelaki)
Tolong tengok sikit anak perempuan pak cik
Takut terlelap
Pelajar lelaki: Insya-Allah pak cik, sebenarnya ada dua tiga lagi budak perempuan UTP sekali
Ibu si gadis: Awak engineering jugak kan? MRSM mana dulu?
Pelajar lelaki: Saya sekolah biasa jer...
Ibu si gadis: Tolong deh...
Pelajar lelaki: Insya-Allah
Bapa si gadis datang bersalam sambil bertanya: Mari dari mana?
Pelajar lelaki: Dungun, pak cik
IV Di hentian transit yang sama (12.20 tengah malam)
Pemandu bas: Gane tak cukup sorang penumpang nih
Pelajar lelaki: Nanti pak cik, kawan saya baru turun
Pemandu: Gane baru turung?
(Pelajar lelaki meminta rakan di belakang membuat panggilan)
(Setelah lima minit baru muncul tanpa sepatah kata, terus ke tempat duduk)
Pemandu bas: Gane gitu, sudah susah orang, ucap terima kasih pun dok...
Ibu pelajar UTP: Encik, nanti berhenti depang UTP kang?
Pemandu kedua: Tugasang saya memandu bas jer
Yang itu kena jaga sendiri
Tak boleh janji, cuba jer...
II: ketika bas baru bergerak kira-kira lima minit (8.40 malam)
Pemandu bas: Apa yang hok dok puas hati?
Nok semayang 40 waktu (rakaat, sunat) sari semalang tok dok sape larang.
Kebebasang jalang sana sini, dok?
Sape jaming orang kite masuk kerja kejaang
Orang laing belum tentu!
Pemandu kedua: ya, ya
III: Di sebuah hentian transit mengambil penumpang (12 tengah malam)
Bapa si gadis: (kepada seorang pelajar lelaki)
Tolong tengok sikit anak perempuan pak cik
Takut terlelap
Pelajar lelaki: Insya-Allah pak cik, sebenarnya ada dua tiga lagi budak perempuan UTP sekali
Ibu si gadis: Awak engineering jugak kan? MRSM mana dulu?
Pelajar lelaki: Saya sekolah biasa jer...
Ibu si gadis: Tolong deh...
Pelajar lelaki: Insya-Allah
Bapa si gadis datang bersalam sambil bertanya: Mari dari mana?
Pelajar lelaki: Dungun, pak cik
IV Di hentian transit yang sama (12.20 tengah malam)
Pemandu bas: Gane tak cukup sorang penumpang nih
Pelajar lelaki: Nanti pak cik, kawan saya baru turun
Pemandu: Gane baru turung?
(Pelajar lelaki meminta rakan di belakang membuat panggilan)
(Setelah lima minit baru muncul tanpa sepatah kata, terus ke tempat duduk)
Pemandu bas: Gane gitu, sudah susah orang, ucap terima kasih pun dok...
Sunday, March 24, 2013
PERANAN KEJIRANAN MENCEGAH JENAYAH (LATE NIGHT RIDER SUSPECTED)
Undang-undang tahanan rumah kepada golongan remaja selepas pukul 10 malam seperti di Thailand dan Indonesia memudahkan kawalan terhadap kemungkinan peristiwa jenayah. Jika remaja masih berada di jalanan selepas pukul 10, mereka akan ditangkap tanpa banyak soal jawab. Sebab itu kota mega Jakarta sunyi daripada hiruk-pikuk kenderaan setelah waktu berkenaan.
Di Papua New Guinea pula berlainan. Apabila menjelang malam, seluruh bandar dikuasai oleh gerombolan penyangak dan penyamun sehingga penduduk berkurung dalam rumah sahaja. Tiada jaminan keselamatan bagi sesiapa yang berani keluar pada waktu malam.
Di kebanyakan negara di benua Eropah, semua premis perniagaan, sama ada gedung membeli-belah atau kedai makan ditutup seawal pukul tujuh malam. Konsep mereka ialah waktu malam sebagai waktu rehat dan tiada makan-makan lagi. Hanya kedai roti yang masih dibenarkan beroperasi.
Di negara kita hingga dini hari, malah hingga ke waktu Subuh, restoran mamak masih dipenuhi pelanggan yang menjamu selera dengan hidangan berat dan minuman manis. Segelintir mereka membuka komputer mudah alih sambil berbual dengan rakan dengan menggunakan perkhidmatan wi-fi percuma di situ. Sambutan terhadap restoran mamak telah mendorong rangkaian restoran makanan segera utama seperti KFC dan McDonald beroperasi 24 jam.
Di Kuala Lumpur, keperluan dapur boleh dibeli 24 jam di sekitar Kampung Bharu, Jalan Raja Bot dan Chow Kit. Barangan kulit dan baju sukan tiruan juga boleh diperoleh di pelbagai lokasi uptown dan downtown. Bilakah orang Kuala Lumpur berehat dan tidur?
Penjenayah pula menunggu peluang apabila mendapati mangsa berlaku cuai. Dengan ketiadaan sekatan pergerakan di jalan raya dan kawasan perumahan, kegiatan jenayah berleluasa. Penduduk kawasan perumahan yang sering menjadi mangsa akhirnya bertindak sendiri dengan mengadakan sekatan seperti menutup laluan masuk ke kawasan perumahan mereka selepas tengah malam.
Barangkali tindakan lambat pihak berkuasa tempatan (PBT) menjadi punca penduduk kawasan perumahan terpaksa membuat tindakan sendiri. Teguran Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (baca di sini) tentang hal berkenaan wajar mendapat perhatian kedua-dua belah pihak. Segala proses pencegahan jenayah di kawasan perumahan hendaklah dimudahkan, bukan sebaliknya.
Usaha bersepadu pihak berkuasa dan orang awam mampu menyebabkan penjenayah berputih mata. Segala peluang untuk menceroboh, pecah rumah dan melarikan harta benda penduduk di kawasan perumahan akan tersekat sepenuhnya. Remaja yang menjadi rekrut kumpulan penjenayah tidak lagi memiliki peluang untuk berkeliaran menunggang motosikal sesuka hati selepas pukul 10 malam sama ada sebagai pemberi maklumat, atau bertindak sebagai penjenayah sebenar.
Sebagai ikhtiar, semua laluan utama ke kawasan perumah perlu dipasang dengan kamera litar tertutup yang canggih, serta tidak dapat dikesan untuk dirosakkan oleh penjenayah. Kejadian jenayah pada waktu siang juga tidak kurang hebatnya, terutama apabila seisi rumah sibuk dengan urusan pekerjaan dan pembelajaran. Tiada sebab bagi orang yang bukan penduduk sesuatu kawasan perumahan untuk berlegar-legar di sana dalam keadaan yang mencurigakan.
Dalam jangka panjang, suatu reka bentuk laluan kawasan perumahan selamat perlu dijadikan syarat kelulusan projek. Penduduk kawasan perumahan sudah letih dan serik dengan kejadian jenayah yang menimpa kawasan kejiranan mereka. Jika penjenayah semakin licik, seharusnya pelan pencegahan jenayah jauh lebih licik daripada itu...
Saturday, March 23, 2013
Subscribe to:
Posts (Atom)

