SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, May 3, 2015

BERITA BAIK UNTUK ORANG BERTUBUH PENDEK (CORRELATION BETWEEN HEIGHT AND LIFE SPAN)

Tidak dinafikan bahawa perasaan rendah diri (inferiority complex) sering menghantui insan yang memiliki susuk tubuh yang agak kerdil, termasuk yang rendah. Mereka begitu terasa dengan sindiran seperti bantut, katik, ketot, kemetot, pendek, rendang dan seumpamanya. Hakikatnya, setiap kejadian ciptaan Ilahi wajib disyukuri justeru sudah pasti terdapat hikmah yang tersembunyi.

Kajian sekumpulan sarjana perubatan Universiti Hawaii, Amerika Syarikat membawa khabar gembira buat golongan yang sering tersisih dalam pekerjaan yang mensyaratkan ketinggian fizikal yang tertentu. Umpama sinar di hujung terowong, kelebihan dari segi potensi kesihatan yang dimiliki oleh golongan bertubuh pendek memberi semangat baharu kepada mereka. Maknanya, perasaan rendah diri yang bersarang selama ini boleh diusir buat selama-lamanya.
keratan akhbar Kosmo!

Kajian bersifat longitud (tempoh pengumpulan data yang panjang) melebihi 40 tahun, serta saiz sampel yang besar (8,003 orang) bererti bahawa dapatan tersebut adalah signifikan dengan ralat tidak melebihi 10 peratus. Walaupun penyeluruhan yang muktamad terhadap populasi memang dibataskan oleh pemboleh ubah di luar kawalan, tetapi kesimpulan yang berasaskan data yang sah jauh lebih baik daripada pernyataan popular yang bertaraf falasi atau palsu (claim). Dalam kata yang lebih mudah, dapatan kajian tersebut mempunyai tahap kesahan dan kebolehpercayaan yang tinggi.

Memiliki tubuh yang pendek mungkin satu bentuk kekurangan dalam masyarakat yang suka melakukan perbezaan atau diskriminasi fizikal yang keterlaluan. Namun, sejarah membuktikan betapa golongan berkenaan pernah muncul sebagai tokoh yang hebat seperti Adolf Hitler. Ringkasan kajian yang dimaksudkan disalin seperti di bawah:


Facts at a Glance


Study Conclusions: Shorter men live longer, according to new research based on the Kuakini Honolulu Heart Program (HHP) and Kuakini Honolulu-Asia Aging Study (HAAS). Those men, all of Japanese Ancestry, were followed closely for over 40 years. The findings by researchers at the Kuakini Medical Center, UH John A. Burns School of Medicine and the U.S. Veterans Affairs are published in PLOS ONE, a peer-reviewed medical journal.


The researchers showed that shorter men were more likely to have a protective form of the longevity gene, FOXO3, leading to smaller body size during early development and a longer lifespan. Shorter men were also more likely to have lower blood insulin levels and less cancer.


The researchers suggest that more study is needed to verify the findings and determine whether they can be generalized to other ethnic groups or populations, beyond Americans of Japanese Ancestry.


Study participants: 8,003 American men of Japanese ancestry, whose health conditions were monitored closely for almost 50 years. The men were participants in the Kuakini HHP and Kuakini HAAS (note that the overall count for HHP is 8,006 participants, but three of those did not participate in this study).
  

(bacaan lanjut: klik di sini)

...

...

...

...

Saturday, May 2, 2015

JAMBATAN KEDUA PULAU PINANG MASIH LENGANG? (WAITING FOR THE COMPLETE PROJECT)

Walaupun sudah dibuka secara rasmi pada 1 Mac 2014 (klik di sini dan di sini), baru hari ini (2 Mei 2015) penulis blog (PB) bersama keluarga berkesempatan merentasi Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah sepanjang hampir 24 kilometer itu. Ketika datang ke Pulau Pinang buat kesekian kalinya PB menggunakan laluan jambatan pertama yang hanya berjarak lapan kilometer dengan bayaran tol sebanyak RM7.00. Maka, apabila mahu kembali ke tanah besar Semenanjung, PB memilih jambatan kedua yang bersambung terus dengan Lebuh Raya Utara Selatan (Plus).

Sekilas pandang, jambatan kedua itu lebih kurang sama dari segi reka bentuk dan keluasan dua lorong bagi setiap hala. Cuma dengan jarak yang hampir tiga kali ganda, jambatan kedua lebih berkeluk-keluk dan kelihatan lebih canggih. Namun, PB tidak sempat menjengah kawasan rawat dan rehat yang tidak jadi di bina di bahagian gerbang tengah antara kedua-dua hala.

Sama seperti jambatan pertama, bayaran tol hanya dikenakan di bahagian menghala masuk ke Pulau Pinang, tetapi mahal sedikit iaitu RM8.50. Maka, perjalanan kali pertama itu kira percuma sahaja. Pemandangan di kiri kanan juga sangat menakjubkan dengan deretan pulau kecil tanpa penghuni.

Kekurangan jiran (kenderaan lain di hadapan, belakang dan sebelah) bagaimanapun bukanlah suatu perkara yang baik sepenuhnya. Jadi, sambil memandu kena banyak-banyak berdoa, membaca tasbih, tahmid dan takbir supaya pergerakan merentas Selat Melaka lancar lagi selamat. Maklumlah bahawa di laut luas begitu sudah tentu banyak makhluk ghaib, selain faktor keadaan kenderaan yang sukar diramal.
Jawapan kepada kemusykilan betapa kurangnya kenderaan yang memilih laluan jambatan kedua boleh diperoleh apabila menuju garis bermula jambatan. Oleh sebab jejambat yang menghubungkan Bayan Lepas dengan jambatan masih dalam proses pembinaan, pemandu harus berpusing-pusing di kawasan perindustrian di situ walaupun jambatan sudah seperti di hadapan mata. Buat sementara ini, kilang Benchmark benar-benar berfungsi sebagai penanda aras dan petunjuk sudah hampir tiba di bahagian permulaan jambatan kedua.

Barangkali setelah jejambat yang mendekatkan Bayan Lepas dengan jambatan, sambutan pengguna jalan raya terhadap jambatan kedua dapat diukur dengan lebih tepat. Buat masa ini, pengguna sanggup bersesak-sesak di jambatan pertama kerana faktor jarak dan waktu perjalanan. Promosi tentang kelebihan jambatan kedua perlu lebih agresif supaya memiliki daya tarikan yang tersendiri.

Ura-ura pembinaan terowong bawah laut dan kereta kabel (skyway) merentas Selat Melaka jika menjadi kenyataan bakal mewujudkan persaingan dari segi memenangi bilangan pengguna yang tinggi. Dari sudut penyuraian lalu lintas pada waktu puncak dan musim perayaan memang berbaloi, tetapi bagaimanakan dengan keberkesanan kos? Penilaian projek (kajian kmungkinan, feasible study) termasuk analisis input-output, kadar pulangan dalaman (IRR) dan nilai kini bersih (NPV) sudah pasti mengambil kira keperluan dan juga kebajikan orang ramai.

Sesungguhnya pengalaman kali pertama merentasi Selat Melaka dengan menggunakan laluan jambatan kedua (Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah) memang mengujakan. Pergerakan yang lancar, pemandangan yang indah serta ciri keselamatan jambatan yang tahan gempa sehingga berskala magnitud 8.2 dalam jarak 300 kilometer suatu jaminan psikologi. Kekerapan pasukan bantuan meninjau jika ada kenderaan yang bermasalah meningkatkan keyakinan pengguna bagi memilih laluan jambatan kedua ...

Friday, May 1, 2015

PADANG KOTA WAKTU MALAM: MERIAH DAN PENUH MANUSIA (FAMILY OUTING AND EATING SPOT AT PENANG)

Tabiat pengambilan hidangan berat pada waktu malam nampaknya agak sukar untuk dikikis daripada rakyat Malaysia. Banyak yang mendakwa bahawa mereka tidak mudah tidur jka perut berkeroncong dan tidak diisi. Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut senanglah hati!

...

...

...

...

...

...

...

Thursday, April 30, 2015

SARAPAN BERSAMA KETUA POLIS PULAU PINANG (BY-ELECTION DUTY AT PERMATANG PAUH)



Bilik penginapan aras bumi di Hotel Seri Malaysia hanya bersebelahan dengan kafe. Bagi penginapan keluarga, kupon sarapan untuk tiga orang termasuk dalam pakej promosi pihak hotel. Tempoh masa srapan ialah antara pukul tujuh hingga pukul sepuluh pagi.

Penulis blog (PB) sekeluarga memilih untuk ke kafe pada pukul 8.30 pagi. Dari muka pintu lagi sudah kelihatan ramai anggota pasukan keselamatan berkumpul menunggu giliran di gerai telur goring dadar di situ. Lebih ramai pula rakan mereka sedang menikmati sarapan di dalam kafe.

PB mengambil serba sedikit hidangan buah-buahan tempatan, karipap dan makanan campur. Walaupun bukan amanalan harian, tetapi kalau di hotel biasanya jus buah-buahan sejuk menjadi pilihan. Rasanya masakan di Hotel Seri Malaysia Kepala Batas lebih enak secara berbanding.
Pada mulanya PB tidak peduli sangat dengan kumpulan berpakaian seragam itu. Namun, setelah mereka berkerumun untuk bergambar, disertai oleh sekumpulan orang awam berpakaian kasual, barangkali wartawan, barulah PB tumpang sekaki. Petugas kafe memberitahu bahawa individu yang menjadi tumpuan itu ialah Dato’ Abd Rahim bin Hanafi, ketua polis negeri Pulau Pinang.

Bersama beliau ialah pegawai kanan polis yang lain, mungkin termasuk dari Bukit Aman. Tidak diketahui dengan tepat tujuan mereka berada di Hotel Seri Malaysia Bayan Baru ini, tetapi kehadiran mereka dalam skala besar itu barangkali berkaitan dengan bahang pilihanraya kecil Permatang Pauh yang menjadi tumpulan seluruh negara. Kerusi parilmen Permatang Pauh menjadi kosong apabila petisyen pengampunan penyandangnya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, mantan timbalan perdana menteri, dilupuskan.

Pilihan raya kecil Permatang Pauh yang membabitkan pertarungan empat penjuru itu dijadualkan berlangsung pada 7 Mei yang telah diisytiharkan sebagai cuti umum oleh kerajaan Pulau Pinang. Isteri Dato’ Seri Anwar, Dr. Wan Azizah, 63, yang pernah memenangi kerusi berkenaan sebanyak dua penggal bakal berhadapan dengan Suhaimi Shabudin, awal 40-an, seorang ahli perniagaan merangkap setiausaha bahagian Umno Permatang Pauh, serta dua orang lagi calon bebas. Pemerhati politik berpendapat bahawa keputusan satu lagi pilihan raya parlimen di Rompin, Pahang pada tanggal 5 Mei tidak banyak mempengaruhi pola pengundian di Permatang Pauh.

Permatang Pauh terletak di bahagian tanah besar Semenanjung Malaysia Barat (Tanah Melayu). Namun, kedudukannya dengan bahagian pulau tidaklah begitu jauh dengan adanya dua buah jambatan yang menghubungkan kedua-dua buah tempat. Apabila meter kehangatan kempen memuncak kelak, sudah pasti bilik penginapan di bahagian tanah besar akan penuh, lalu melimpah ke bahagian pulau pula.

Setelah dua puluh minit, Dato’ Halim dan rombongan beliau meninggalkan kafe sambil menyapa beberapa orang anggota pengurusan hotel yang berada di situ. Beliau kelihatan ceria walaupun hidangan sarapan boleh diberikan penarafan biasa-biasa sahaja. Barangkali pegawai tinggi polis seperti beliau sudah mangli dengan rutin tugas yang sarat dengan peristiwa dramatik dan tekanan …

Wednesday, April 29, 2015

CATATAN PERJALANAN KE PULAU MUTIARA (CONGESTED HIGHWAY TRAFFIC, BUT LESS HASSLE AT THE CITY)



Penulis blog (PB) sekeluarga bergerak dari MRSM Parit hampir pukul enam petang. Pergerakan kenderaan macam kura-kura berhampiran plaza tol Ipoh Selatan menimbulkan kebimbangan bahawa laluan ke utara Semenanjung mengalami kesesakan luar biasa. Namun, kemungkinan bahawa terdapat kerja naik taraf lebuh raya atau sekatan pihak polis yang menjadi punca.

Akhirnya, jawapan kepada andaian yang dibuat ialah pilihan pertama, iaitu kerja naik taraf. Laluan di hadapan menjadi ‘muncung botol’ mengakibatkan kesesakan. Lanjutan itu, pergerakan kenderaan masih perlahan hingga ke plaza tol Ipoh Utara berhampiran Lembah Meru. Setelah kembali lancar, kedaan pergerakan perlahan tadi terjadi semula menghala keterowong Menora, Kuala Kangsar.






KISAH DI SEBALIK KEJADIAN GEMPA BUMI DI NEPAL (BLESSINGS IN THE BIGGER PICTURE)

Upacara pelik memancung binatang ternakan yang menjadi tradisi di beberapa buah perkampungan di Nepal tersebar dalam kalangan warga maya (netizens) dan aplikasi whatsapp, lalu dikaitkan dengan kejadian gempa bumi bermagnitud 7.9 di sana pada hari Sabtu yang lalu. Namun, tiada sebarang ulasan pakar (tentang balasan kezaliman melampau itu) yang boleh menjadi pegangan tentang perkara tersebut. Maka, jalan paling baik ialah mengungkapkan Wallahu a'lam bi's-sawab dan marilah kita merujuk ayat al-Quran, surah ar-Rum, 30:41 sebagai renungan bersama.
Nepal hanyalah sebuah negara yang miskin dan mundur, tetapi terkenal kerana di buminya terletak gunung tertinggi di dunia, iaitu Everest. Sesiapa yang berjaya mendaki gunung berkenaan hingga ke puncak termasuk dalam senarai individu hebat dunia. Rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam menyertai misi pendakian paling ekstrem dan mencabar itu.


Malaysia juga mempunyai hubungan istimewa dengan Nepal sejak zaman penjajahan Tanah Melayu lagi. Askar upahan British yang dikenali sebagai gurkha berasal dari Nepal. Kini, Malaysia masih menerima kebanjiran warga Nepal yang mencari rezeki sama ada sebagai pekerja sah atau pendatang haram.

Kalau suatu ketika dahulu golongan gurkha lebih dikenali sebagai penjual batu permata, kini kebanyakan warga Nepal diambil bekerja sebagai pengawal keselamatan, khususnya di hotel dan kondominium. Mereka sanggup mengisi pekerjaan yang paling membosankan itu. Setakat ini belum kedengaran berita pak pacak warga Nepal membuat hal sebagaimana pak pacak Indonesia, Myanmar dan Vietnam yang banyak terbabit dengan dunia jenayah.
Gempa bumi Nepal tidak mengenal mangsa dan tugasan mereka. Malaikat Izrail sudah sedia menanti mereka di sana tanpa bertangguh walaupun sedetik untuk mematuhi tugasan mencabut nyawa manusia. Pemergian ke kawasan berisiko tinggi memang sentiasa terdedah kepada kemungkinan yang paling buruk.

Walau apa-apa pun jua punca bencana, masyarakat antarabangsa termasuk di negara kita akan tetap segera menghulurkan bantuan kemanusiaan bagi menyelamat dan meringankan beban yang ditanggung mangsa. Sementara kita yang masih sihat walafiat ini mengambil segala iktibar dan peringatan, nasib mangsa yang ditimpa musibah termasuk yang tidak bersalah mesti menjadi keutamaan. Segala perbezaan perlu disimpan terlebih dahulu demi kebijaksanaan jangka panjang.
Rupa-rupanya ada juga musibah yang tersembunyi di sebaliknya hikmah yang di luar fikiran yang munasabah. Misalnya, paparan berita di atas membuktikan bahawa terdapat halangan yang mendatangkan kebaikan yang tidak diduga sama sekali. Maka, andai kata telah melakukan segala langkah yang terbaik, masih ditimpa musibah, bersangka baiklah kepada Yang Maha Mencipta.

Kita mungkin tidak pernah menjejakkan kaki ke Nepal, tetapi warga Nepal berada di sekeliling kita melalkukan pekerjaan yang mulia, tetapi penuh risiko. Saudara-mara mereka di tanah air mungkin antara mangsa yang terbabit dengan bencana gempa bumi itu. Atas nama kemanusiaan, marilah kita menghulurkan bantuan dalam lingkungan keupayaan masing-masing ...

Monday, April 27, 2015

ISU KESELAMATAN MURID DALAM ACARA SUKAN (THE DUTY OF CARE AND SAFE SCHOOL)

Fenomena cuaca yang sukar diramalkan bermakna bahawa perancangan kegiatan luar bilik darjah yang lebih bersifat luwes (lentur, fleksibel) menjadi sine qua non. Bahang panas ekstrem atau hujan lebat yang bersekali dengan petir menghadirkan risiko yang cukup tinggi dalam melaksanakan kegiatan tersebut. Kepimpinan sekolah wajib memiliki tahap kepekaan yang maksimum supaya tidak berbangkit sebarang kes keselamatan murid yang serius.

Ketika zaman kad 001 begitu dititikberatkan, butiran penting kesihatan murid tercatat di dalamnya untuk rujukan pihak sekolah. Murid yang menjalani ujian tenaga asas juga mengambil kira keadaan jasmani dan keupayaan mereka. Kini, data kesihatan murid juga dimasukkan ke dalam sistem elektronik dengan akses rujukan kepada pihak yang dibenarkan sahaja.

Sebagai contoh, murid yang menghadapi masalah nyah hidrat (dehydration), iaitu kekurangan cecair dalam badan secara mendadak perlu diberi pelepasan daripada kegiatan jasmani yang berat, terutama ketika cuaca panas terik. Dari segi luaran, murid yang mengalami nyah hidrat mungkin kelihatan sihat walafiat, tetapi hakikatnya mempunyai sejarah penyakit warisan keturunan (genetik) atau tahap metabolisme yang rendah. Semua guru telah memiliki pendedahan asas tentang isu kesihatan murid, namun peringatan dan ulang kaji tentangnya perlu dilakukan dari masa ke masa.

Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat masalah kesihatan yang disembunyikan daripada pengetahuan pihak sekolah kerana murid dan keluarga mereka mungkin tidak mahu menampakkan kekurangan diri. Murid mahu diterima dalam kumpulan rakan sebaya secara tuntas dan tanpa syarat. Sebagai ahli ikhtisas bidang pendidikan, guru tidak boleh terlepas pandang terhadap kemungkinan tersebut.

Musim peralihan monsun antara bulan Mac hingga Mei, serta September hingga November mengakibatkan hujan lebat berserta dentuman petir pada sebelah petang. Maka, kegiatan luar bilik darjah sepatutnya dijadualkan semula pada sebelah pagi agar sebarang peristiwa malang tidak berbau dapat dihindari. Pihak berkuasa pendidikan sudah pasti maklum bahawa konsep melindungi masa instruksional murid (MMIM) juga merangkumi kurikulum tersembunyi yang bersifat jangka panjang dan tuntas.

Kreativiti dalam pengurusan kurikulum dan kokurikulum dalam tangan kepimpinan sekolah yang bijaksana dan tajam pengamatan mampu akur terhadap kehendak MMIM secara serentak dengan keselamatan murid. Pegawai tinggi pendidikan yang duduk di kerusi empuk dalam pejabat yang nyaman sekali sekala kena turun untuk berkongsi pengalaman sebenar di sekolah bagi mencari jalan terbaik pelaksanaan MMIM dan sekolah selamat. Lebih elok jika kepimpinan sekolah dibabitkan dengan perkembangan terkini persekitaran pendidikan di sekolah masing-masing secara berterus terang dan telus walaupun amalan sedemikian mungkin berhadapan dengan risiko pentadbiran yang lain.

Pergerakan memanaskan badan oleh murid yang mengambil bahagian dalam semua acara sukan dapat mengelakkan kejutan kepada otot dan sistem fisiologi mereka. Sebelum guru bertugas melaksanakannya, satu simulasi oleh guru pendidikan jasmani kepada semua guru perlu dibuat terlebih dahulu. Meskipun semua guru telah lulus kursus wajib pendidikan jasmani semasa latihan praperkhidmatan, simulasi yang dilaksanakan menjurus kepada proses penyelarasan dan ulang kaji.

Salah satu slot latihan dalam perkhidmatan (Ladap) perlu diisi dengan kursus pengelolaan acara sukan supaya segala teknik asas pergerakan murid benar-benar mencapai matlamat dasar satu murid satu sukan dan konsep sukan untuk semua. Setelah taklimat audio video di bilik Ladap, semua peserta dibawa ke padang atau gelanggang untuk sesi praktikum. Sesungguhnya kegiatan sukan secara selamat lagi terancang bakal melonjakkan kecemerlangan pendidikan di sekolah ke tahap yang tertinggi ...

Sunday, April 26, 2015

KEJADIAN MENCEMASKAN DI LALUAN BERLIKU PARIT (AGRRESIVE DRIVER SERVE HIS RIGHT)

Pemandu kereta di hadapan sudah memperlahankan kelajuan setelah memberi isyarat untuk membelok ke kanan. Tiba-tiba sebuah Proton Wira meluru laju untuk memintas tanpa menyedari pergerakan perlahan kenderaan yang hendak membelok itu. Pemandu kenderaan terus memberi isyarat tangan supaya tidak berlaku peristiwa buruk.

Alhamdulillah, pemandu Wira sempat menekan pedal brek tetapi kemudian memecut semula dengan kencang seperti pelumba F1 layaknya. Selang beberapa minit, kereta Proton Wira tadi sudah melintang dalam parit di sebelah kanan jalan. Hampir semua pemandu lain memberhentikan kereta untuk memberi bantuan yang patut.

Nasib pemandu Wira itu agak baik kerana bahagian tempat duduk hadapan tersangkut di tebing parit, bukan di dalam air. Dia berjaya membuka pintu kereta dan keluar. Ternyata dia anak muda yang berusia dalam lingkungan akhir 20-an.

Pemandu Wira dengan selamba menghubungi pihak kren untuk menarik keretanya keluar. Dia kelihatan tidak begitu peduli dengan kumpulan pemandu lain yang ingin menghulurkan bantuan. Tiada tanda kecederaan luaran yang dialami.

Seorang pelajar Kolej Taj Ipoh yang ditemui memberitahu bahawa pemandu Wira itu memotong deretan lima buah kereta secara sekali gus. Namun, usai berbuat demikian selekoh tajam menunggunya. Maka, dia menekan brek kecemasan mengakibatkan Wira yang dipandu berpusing-pusing sebelum tersangkut di parit berkenaan.

Ketika kejadian, hujan renyai turun secara berterusan. Permukaan jalan yang licin sangat berisiko kepada kenderaan yang dipandu laju. Tayar kereta mungkin tidak dapat mencengkam permukaan jalan, lalu stereng tidak dapat mengawal arah pergerakan kenderaan.

Barangkali pemandu muda Proton Wira tersebut mempunyai urusan kecemasan dan mustahak yang mendorong terhadap pemanduan agresif dan melulu. Namun, tindakan itu boleh membahayakan keselamatan dirinya sendiri dan pemandu lain yang berjiran. Buktinya, dia terpaksa berhadapan dengan urusan membaiki kenderaan yang rosak teruk itu.

Kenderaan yang dipandu terlalu perlahan di jalan sempit dan berliku-liku seperti Jalan Parit - Batu Gajah - Ipoh turut menyusahkan pemandu lain yang mengekori mereka di belakang. Halaju 70 kilometer sejam lebih munasabah berbanding dengan menyeksa minda pemandu lain apabila memandu antara 50 hingga 60 kilometer satu jam macam back-hole (jengkaut atau jentolak). Pemandu santai dalam kalangan warga emas, penduduk tempatan dan kaum wanita didapati gemar memandu secara santai kerana tiada urusan segera ...

Saturday, April 25, 2015