Saturday, April 25, 2009
Bowling SMI: Bidang VT muncul pemenang
Tanggal 25 April 2009 (Sabtu) meninggalkan memori berwarna-warni kepada pemain bowling berstatus "supranovis" dalam kalangan anggota Kelab Staf SMK St Michael, Ipoh (SMI). Dalam tempoh dua jam bermula seawal 2.30 petang di Ampang Superpowl, Ipoh Parade sebanyak lapan buah pasukan bertarung merebut trofi kejuaraan Kelab Staf SMI buat julung-julung kalinya. Seperti yang diramalkan, bidang Vokasional dan Teknik (VT) mencatat kejayaan besar!
Cikgu Maulid bin Ismail, guru Pengajian Perniagaan dan Ekonomi Asas, merekodkan 298 jatuhan pin untuk meninggalkan jauh pencabar lain. Wakil bidang kemanusiaan (Cikgu Haji Zulkifli) sekadar berpuas hati dengan 281 jatuhan pin, manakala wakil pejabat, En. Redzuran 265 jatuhan pin. Ketika ditemui, Cikgu Maulid mengatakan jumlah jatuhan itu masih rendah jika dibandingkan dengan rekod pencapaian peribadi beliau. Sebagai presiden kelab staf merangkap penganjur pertandingan, beliau terpaksa membahagikan tumpuan antara peranan sebagai peserta pertandingan dengan peranan sebagai penganjur.
Bidang VT juga berjaya muncul sebagai pemenang tempat ketiga keseluruhan apabila rangkaian empat orang pemainnya mencatat 687 jatuhan pin, mengekori "rapat" pasukan pejabat (893 jatuhan pin) dan pasukan bidang kemanusiaan (725 jatuhan pin). Pasukan pejabat dibarisi oleh En. Redzuran, En. Badrul, En. Shahrul dan Puan Nurul. Syabas kepada pasukan pejabat yang ditaja dan diurus sepenuhnya oleh Tuan Haji Tauhid Ahmad bin Haji Shamsuddin, Penolong Kanan SMI!
Hadiah kepada para pemenang akan disampaikan pada majlis sambutan hari guru SMI yang dijangkakan berlangsung sebelum cuti pertengahan tahun nanti. Bagi peserta yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke arena bowling, pastinya memasang impian untuk penampilan yang lebih hebat pada saingan seterusnya. Panjang umur murah rezeki, mudah-mudahan!
Terima kasih atas sokongan semua dalam menjayakan aktiviti sulung Kelab Staf sesi 2009 / 2010. Banyak lagi aktiviti yang dirancang untuk mengukuhkan lagi ikatan kekeluargaan warga SMI. Semoga usaha Kelab Staf ini bakal menyumbang terhadap kecemerlangan SMI, khususnya dalam meningkatkan tahap pencapaian pembelajaran pelanggan utama sekolah, iaitu murid dan pelajar yang menjadi sebab utama kewujudan sesebuah sekolah.
Wednesday, April 22, 2009
Berita Terkini: Pertandingan Bowling Kelab Staf SMI
Masa : 2.00 - 5.00 petang
Tempat : Ampang Bowl, Ipoh Parade,
Jalan Sultan Abdul Jalil, Greentown, Ipoh
Penyertaan : Enam pasukan (setiap pasukan terdiri daripada empat orang
peserta)
Maklumat tambahan:
Bilangan pasukan yang mengambil bahagian terpaksa dikurangkan memandangkan hari Sabtu ialah waktu puncak tempahan gelanggang. Bidang Vokasional dan Teknik hanya dibenarkan menghantar satu pasukan yang dibarisi pemain terhebat diketuai En. Maulid dengan tiga pemain lain iaitu Puan Low, Puan Hajjah Nor Hamesah dan Puan Rasidah.
Sasaran untuk menjuarai pertandingan bowling Kelab Staf yang julung-julung kali diadakan masih dikekalkan.
Dijemput pembaca blog ini hadir memeriahkan suasana pertandingan pada hari yang berkenaan. Jika ada kesempatan dan penajaan, Kelab Staf SMI mungkin menganjurkan pertandingan bowling persahabatan dengan kelab staf sekolah-sekolah berdekatan.
Krisis Ekonomi Global: Tempiasnya Kepada Kita
Ahli ekonomi menyifatkan krisis kali ini sebagai yang terburuk sejak "era kemelesetan agung" (the great depression) pada dekad 1930-an. Sebelum ini dunia mengalami kegawatan ekonomi 1985 - 1988; 1997 - 1998 (serangan mata wang Asia), dan kelembapan ekonomi Jepun dan Amerika Syarikat (2001).
Malaysia turut terjejas kerana sebagai sebuah negara sedang membangun, 50 peratus pendapatan negara datangnya daripada sektor eksport. Asas pasaran domestik (perbelanjaan pengguna tempatan) juga dianggarkan susut sehingga 40 peratus. Foto yang dipaparkan ialah situasi terkini zon komersial Nilai 3, berhampiran Seremban, Negeri Sembilan pada hujung minggu. Walaupun promosi harga tsunami digembar-gemburkan, ternyata bahawa pengguna tidak memberi respons yang diharapkan. Masyarakat dilihat sebagai berhati-hati dan berhemat dalam mengatur perbelanjaan. Seorang peniaga memberitahu saya bahawa dia sukar melelapkan mata hingga melepasi detik 12 tengah malam justeru memikirkan sama ada jualan hari yang berkenaan sekurang-kurangnya mampu membayar faedah pinjaman bank. Belum masuk kira pokok pinjaman. "You government servant o k lah, survived with fix income," ujarnya dalam sebutan Manglish (Malaysian English, bukan queen"s english).
Krisis ekonomi dunia berlaku semakin kerap sejak globalisasi semakin "berkuasa". Apabila sektor hartanah Amerika Syarikat mengalami kemerosotan permintaan, dan diikuti dengan hutang pemaju dengan pihak bank dan insurans (AIG, American Insurance Group) yang tidak berbayar, banyak lagi projek tersadai, dan orang kehilangan pendapatan. Amerika Syarikat yang mendukung sistem ekonomi kapitalisme memang rancak dengan kegiatan spekulasi. Hartanah dibeli oleh orang yang sudah sedia kaya untuk mendapat keuntungan segera apabila harganya meningkat kemudian hari. Donald Trump, pemilik empayar judi dan kasino Las Vegas, juga dikenali dengan rancangan realiti televisyen The Apperantice melepaskan pegangannya dalam banyak syarikat apabila enggan menanggung beban pembayaran bunga kepada pemegang bon.
Pakar-pakar ekonomi percaya bahawa menjelang Mei ini, krisis ekonomi global ini bakal melepasi tahap kritikal. Ibaratnya seorang pesakit tenat di wad rawatan rapi (ICU) sudah boleh dipindahkan ke wad biasa, tetapi masih dalam pengawasan rapi para doktor. Bagi orang awam yang tidak pernah mempelajari disiplin ekonomi secara formal, mereka barangkali hairan dan mempunyai persepsi tersendiri tentang fenomena ekonomi yang tidak menentu ini.
Dalam kajian makroekonomi, terdapat konsep yang disebut sebagai ayunan KNK, iaitu sesuatu ekonomi akan mengalami edaran melambung (boom) dan meleset (recession). Jadi, apabila dibandingkan dengan keadaan ideal (baca: KNK potensi), iaitu peningkatan berterusan yang digambarkan dengan garis lurus yang bercerun positif, maka akan wujudlah jurang KNK.
Keadaan ekonomi melambung cenderung menyebabkan inflasi, iaitu berlaku tekanan perbelanjaan agregat. Antara langkah campur tangan kerajaan secara tidak langsung (menerusi dasar fiskal) ialah dengan mengecilkan saiz pendapatan boleh guna. Sama ada cukai dinaikkan, atau perbelanjaan kerajaan dikurangkan, atau dilaksanakan serentak, dipercayai bahawa langkah sedemikian akan menurunkan kuasa beli. Keseimbangan dalam perbelanjaan dapat diwujudkan, dan jurang KNK dapat dihapuskan.
Sebaliknya, ekonomi meleset bererti kekurangan perbelanjaan agregat. Kuasa beli masyarakat menjadi rendah disebabkan pendapatan boleh guna yang susut. Kesannya, permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan merosot, majikan mengurangkan pekerja, pengangguran meningkat, dan pusingan kejatuhan kuasa beli berterusan menyebabkan perbelanjaan pengguna semakin jatuh. Dasar fiskal untuk meningkatkan semula kuasa beli masyarakat boleh dilaksanakan dengan mengurangkan cukai dan dalam masa yang sama meningkatkan perbelanjaan kerajaan supaya projek-projek awam dapat mewujudkan semula peluang pekerjaan, yang akhirnya akan meningkatkan pendapatan boleh guna supaya saiz pengganda menjadi lebih besar.
Namun, opsyen untuk melaksanakan dasar fiskal sering mencetuskan kontroversi. Contohnya pakej rangsangan ekonomi yang dilaksanakan. Masalahnya ialah penyaluran dana rangsangan menerusi segelintir usahawan (baca: kontraktor) tidak menjamin pemulihan yang diharapkan. Malah, kemelesetan ekonomi antara lain berpunca daripada hakikat bahawa sebahagian besar harta kekayaan negara dibolot oleh segelintir orang kaya. Model Pareto (20 : 80) yang sangat masyhur mengatakan bahawa 20 peratus manusia menguasai 80 peratus kekayaan, manakala baki 80 peratus manusia berebut-rebut baki 20 peratus kekayaan. Terdapat ahli ekonomi yang menulis nisbah lebih ekstrem, iaitu 10 : 90!
Masalah kuasa beli dan perbelanjaan agregat tidak akan ada kesudahannya selagi mekanisme agihan pendapatan (ekuiti kekayaan, kek kemakmuran) masih ditentukan oleh tangan ghaib pasaran. Orang kaya (affluent) akan terus menikmati peluang menimbun harta, dilayan oleh pihak bank dengan pelbagai kemudahan pembiayaan, dan mampu membida tender berskala mega. Si miskin (have-nots) hanya mampu terlopong sambil mengharapkan kalau-kalau ada titisan ihsan daripada si kaya. Model paradigma palsu yang dinamai big push dan trickling down effect ini telah ditolak oleh ahli-ahli ekonomi pembangunan sejak dekad 1960-an lagi.
Fungsi kerajaan dalam ekonomi semata-mata untuk memaksimumkan kebajikan rakyat. Kerajaan wajib mencari jalan supaya kuasa beli rakyat dapat menyumbang terhadap pertumbuhan ekonomi yang mapan, guna tenaga penuh, kadar inflasi yang terkawal, serta imbangan bayaran yang positif. Golongan yang memiliki kuasa beli yang rendah mesti dikenal pasti dan dibantu supaya tidak membebankan orang lain. Golongan penganggur, OKU, ibu tunggal, warga emas, anak-anak yatim, dan lain-lain diberikan hak untuk mengambil bahagian dalam meningkatkan aktiviti ekonomi, iaitu menerusi perbelanjaan.
Jika negara maju seperti England dan Australia mewujudkan skim elaun pengangguran, negara sedang membangun seperti Malaysia boleh mengembangkan skim kredit mikro, dan mengukuhkan instrumen agihan seperti zakat, wakaf, sedekah, infaq, dan hadiah kepada golongan (asnaf) yang ditentukan, maka kuasa beli yang dimiliki akan menjamin tercapainya tahap aktiviti ekonomi yang dikehendaki, adil kepada semua, dan bersifat menang-menang.
Di sekolah, murid dan pelajar dipupuk supaya memiliki sikap asertif, yakni menjaga hak orang lain tanpa mengabaikan hak diri sendiri, bukan bersifat agresif (menjaga hak diri sendiri sahaja, tidak mempedulikan hak orang lain), dan bukan bersikap pasif (menjaga hak orang lain sahaja, tidak mempedulikan hak diri sendiri). Maka, modal insan minda kelas pertama sebagai keluaran sistem pendidikan acuan Malaysia boleh dijadikan model masyarakat madani yang menggabungkan tuntutan kebendaan, kerohanian, dan sahsiah mulia yang saling membantu semasa susah dan semasa senang. Dengan ini, negara bakal memiliki ekonomi yang berdaya tahan, iaitu mampu mengharungi segala bentuk ancaman krisis global dengan penuh bergaya.
Tuesday, April 21, 2009
Tip Peperiksaan Pertengahan Tahun 2009: penulisan ayat
A) Prinsip membina ayat berdasarkan perkataan / frasa yang diuji
1. Mematuhi tugasan soalan: sehingga jelas maksud dan penggunaan perkataan yang
diuji;
2. Mematuhi hukum sintaksis (binaan ayat): ada subjek dan ada predikat; dan
3. Mematuhi hukum semantik (bermakna): jelas dan munasabah.
B) Sebab ayat ditolak
1. Perkataan / frasa yang diuji dijadikan nama khas;
2. Perkataan / frasa yang diuji dijadikan peribahasa / cogan kata;
3. Menulis lebih daripada satu ayat (jika arahan soalan sedemikian);
4. Walaupun satu ayat, tetapi kelihatan seperti dua ayat justeru membubuh penanda
wacana di tengah-tengah ayat;
5. Menambah imbuhan pada perkataan / frasa yang diuji;
6. Mengubah suai perkataan / frasa yang diuji;
7. Menulis ayat yang bersifat pelarian: contohnya, “saya tidak faham erti perkataan
……”
8. Berunsur negatif / bertentangan dengan nilai murni.
C) Ayat yang dikenakan penalti (pemotongan markah)
1. Terdapat kesalahan ejaan, tanda baca dan pelanggaran hukum tatabahasa:
2. Tidak membubuh tanda “ “ , dan nama pelaku untuk ayat cakap ajuk;
3. Ayat yang tidak jelas: perkataan / frasa yang diuji boleh digantikan dengan
perkataan / frasa yang lain tanpa menjejaskan ayat
D) Kecenderungan yang perlu dihindari
1. Ayat yang terlalu panjang: ayat majmuk yang boleh dipecahkan kepada lebih
daripada tiga ayat tunggal;
2. Cuba berjenaka dengan melibatkan tokoh yang dikenali dengan perlakuan yang
kurang sesuai.
E) Latihan
Analisiskan ayat-ayat berikut dari segi ketepatan, kesalahan, dan penalti
Bil Ayat
1 Cikgu mengajar kami makna porak peranda.
2 Nama kawan saya mat keroncong.
3 Orang muda itu patah hati kerana lamarannya telah ditolak.
4 Kegiatan mencandat sotong menjadi rancak pada musim tengkujuh
5 Jangan bela orang yang melakukan kesahan, kata Lim kepada Lam.
Bina ayat daripada perkataan / frasa di bawah:
1. ceria; __________________________________________________________________________________________
2. menceriakan: ___________________________________________________________________________________
3. kumat-kamit: ____________________________________________________________________________________
4. berdolak-dalik: ___________________________________________________________________________________
© http://cikguazharrodzi.blogspot.com
Saturday, April 18, 2009
Tip Peperiksaan Pertengahan Tahun 2009
Ada pendapat popular mengatakan bahawa sangatlah tidak adil untuk mengukur pencapaian seseorang murid, pelajar atau calon dalam tempoh tidak sampai 200 minit di bilik peperiksaan, sedangkan mereka telah menghabiskan masa bertahun-tahun lamanya sebelum menduduki sesuatu kertas. Namun, kita harus ingat bahawa tempoh bertahun-tahun itu sebenarnya ialah fasa perancangan yang kebiasaannya mewakili 85 peratus, fasa pelaksanaan 5 peratus, fasa penilaian (post-mortem) 10 peratus. Seseorang atlet pecut 100 meter menghabiskan masa bertahun-tahun untuk latihan, tetapi hanya bertarung 10 saat di balapan!
Sementara sistem peperiksaan kita sedemikian rupa, teruslah mengatur strategi. Jangan hanya berharap bahawa nasib akan berubah justeru akan ada rombakan sistem peperiksaan yang tidak dapat dipastikan pelaksanaannya. Menolong orang membawa bahagia, mengharap orang membawa derita!
Secara amnya, rahsia besar kejayaan dalam peperiksaan ialah kebolehan mentakrif soalan dengan tepat. Banyak calon masih membaca soalan sambil lewa, dan terus menjawab tanpa berfikir dua kali. Calon yang bijak akan memperuntukkan sedikit masa untuk menganalisis soalan dari segi:
i. aras soalan;
ii. tugasan soalan; dan
iii. kata kunci soalan.
Calon yang bijak juga akan membuat perancangan agihan masa berdasarkan peruntukan markah. Selain itu, calon yang bijak begitu peka untuk membezakan soalan yang hanya menghendaki isi tanpa huraian dengan soalan yang menghendaki isi dengan huraian. Calon yang bijak juga tahu maksud huraian, iaitu isi pokok yang tidak diikuti dengan sebarang penerangan lanjut, sama ada contoh mahupun implikasi.
Akhir sekali calon harus ingat bahawa setiap mata pelajaran mempunyai cara menulis jawapan yang tersendiri. Misalnya, laras jawapan bahasa tidak bersesuaian untuk Ekonomi dan Kimia, dan sebaliknya. Namun demikian, sesuai dengan konsep bahasa merentas kurikulum, penggunaan umum tanda baca (noktah, koma, dan lain-lain), serta penggunaan kata hubung dan penanda wacana terpakai untuk semua kertas yang diduduki.
Sekian dahulu, bertemu kita di puncak jaya!
Menjejak Kenangan di Parit Jawa
Parit Jawa ialah sebuah pekan kecil di pinggir bandar Maharani, Muar. Terdapat sebuah sekolah menengah, iaitu SMK Seri Menanti. Di Johor, memang banyak tempat dinamai dengan berpangkalkan "parit". Antara yang terkenal ialah Parit Sulong. Agaknya orang Johor suka tinggal "di dalam parit", berbanding dengan Perak yang ada satu "Parit", di samping parit-parit kecil yang diberi nombor siri (di Sungai Manik) yang setaraf dengan sebuah lorong atau persiaran di sesebuah taman perumahan.
Saya tidak dapat memastikan sama ada Parit Jawa mendapat nama justeru diterokai oleh orang-orang Jawa, ataupun majoriti penduduknya berketurunan Jawa. Kalau di Shah Alam ada Padang Jawa (saya pernah tinggal di sana), dan ada Kampung Jawa. Di Perak, kawasan yang banyak penduduk berketurunan Jawa ialah di Bagan Datoh, dan Chenderong Balai (saya pernah bertugas di sana: SMK Seri Muara, dan SMK Sultan Abdullah). Masyarakat Jawa memang amat terkenal dengan bahasa halus dan nasi ambang.
Banyak peristiwa lucu berlaku kerana salah faham. Saya sempat belajar bahasa Jawa: sici, loro, telu, papat (kiraan 1, 2, 3, 4), waras (apa khabar), wes mangan (sudah sarapan?), turu (tidur), orak eneng, dan lain-lain. Masyarakat Jawa yang saya kenali sangat menghormati tetamu dan mempunyai ikatan kekeluargaan yang amat kukuh dan unik. Anda boleh mengenali beberapa ciri masyarakat Jawa lewat sinetron Indonesia yang disiarkan di kaca televisyen, walaupun bahasa dan cara interaksinya sudah dipengaruhi gaya hidup moden, serta bahasa slanga (basahan).
Kini, sebahagian (saya ketiadaan data untuk penghujahan ilmiah) generasi muda Jawa tidak lagi bertutur bahasa Jawa, mahupun menyarung kostum tradisional Jawa walaupun adat resam dan norma hidup Jawa masih dikekalkan. Tulisan Jawa dan kesusasteraan Jawa pula hanya dipelajari di universiti tertentu sahaja.
Namun, pengetahuan tentang masyarakat Jawa sangat penting justeru bilangan masyarakat Jawa di negara kita agak besar jumlahnya. Di Indonesia, pulau Jawa yang menjadi jantung dan nadi negara puluhan ribu pulau itu menampung lebih kurang 100 juta jiwa masyarakat Jawa. Dari segi ekonomi, pasaran sebesar itu perlu direbut dan ditawan dengan menawarkan barangan dan perkhidmatan yang berdaya saing.
Berbalik kepada Parit Jawa, Muar. Suatu ketika dahulu, saya pernah berulang alik ke sini saban (hujung) minggu. Urusannya, ... peribadi. Menaiki bas ekspres juga banyak peristiwa melucukan. Kini memandu sendiri, juga ada lucunya, kerana ada lebuh raya baharu dibuka, dengan panorama indah dan masih sunyi sepi (LEKAS, Lebuh Raya Kajang - Seremban). Pada kesempatan yang lain, insya-Allah bolehlah diceritakan sikit-sikit. Sekian, salam dari Parit Jawa!
Friday, April 17, 2009
Program Nilam menyerlahkan kejayaan di SMI
Sebagai contoh, ialah program Nilam (Nadi Ilmu Amalan Membaca) dan konsep sekolah dalam pusat sumber. Kini, semakin bertambah jumlah pelajar yang mencapai tahap gangsa, menghampiri perak dan seterusnya. Dalam perhimpunan mingguan juga, satu slot khas Nilam untuk memperkenalkan sesebuah buku dilaksanakan tanpa gagal. Selama ini pun warga SMI memang kuat membaca, cuma barangkali aspek rekod dan dokumentasi yang perlu diberi penekanan.
Dengan galakan yang berterusan daripada pihak pentadbiran sekolah, bimbingan guru, dan sokongan murid, SMI pasti mampu mendaki kedudukan teratas dalam carta Nilam peringkat zon, daerah, negeri dan seterusnya kebangsaan. Bunyinya mungkin sedikit mendabik dada, namun hakikatnya senarai panjang warga SMI yang mencapai tahap dunia dalam pelbagai lapangan (hingga kini) tidak menemui titik noktah.
Tradisi membaca dan menulis sememangnya menjadi asas pembentukan tamadun agung sejak dahulu kala. Walaupun konsep buku tradisional (berbentuk fizikal dan bercetak) sedang disaingi hebat oleh buku berkonsep maya (menerusi blog, portal, dan laman web), serta gajet mudah alih yang lain, pembacaan dan penulisan buku fizikal tetap kekal relevan justeru ciri autentiknya lebih jelas.
Dahulu, slogan "KUBUKU BUKU" (baca: kubu ku buku) selalu diuar-uarkan. Maka, program Nilam bakal membuka jalan supaya slogan berkenaan dapat disemarakkan semula. Selamat maju jaya kepada semua warga SMI yang bersama-sama menyokong Nilam!
Berita Kelab Staf SMI
Jabatan Bahasa dikepalai oleh Tuan Haji Mohamad Sidik bin Haji Zakaria, jabatan Kemanusiaan (Cik Tan Mee Hong), Jabatan Sains (Puan Chong Sau Han), dan Jabatan Vokasional dan Teknik (penulis blog ini yang menjalankan tugas guru kanan). Setiap jabatan akan menghantar dua pasukan. Turut menghangatkan saingan kelak ialah pasukan pejabat yang bakal diketuai oleh tuan pengetua sendiri.
Saya tidak tahu kehebatan pasukan lain, tetapi pasukan Vokasional dan Teknik mempunyai pemain berpengalaman seperti En. Veeriah, En. Mohd Zumairi, En. Saiful Bahri, Puan Rasidah, Puan Hajjah Norhamisah Haji Ibrahim, Puan Jot Mao Tan, Cik Rossabarina, Puan Low, dan lain-lain. Jabatan ini mensasarkan untuk muncul sebagai juara, maka awas pasukan lain!
Semua warga SMI dan pembaca blog ini dijemput memeriahkan hari pertandingan. Maklumat lanjut akan dihebahkan dari masa ke masa, insya-Allah.
Wednesday, April 15, 2009
Proton Exora: Anda Pasti Terpegun!
Dengan sesaran 125 kuasa kuda, dan dengan kelajuan maksimum 165 kilometer sejam, ia dikira sepadan dengan kapasiti 1.6 liter transmisi gear automatik yang dijana oleh enjin Campro, selain menerima sentuhan kejuruteraan Lotus. Nilai tambah yang ditawarkan termasuk sistem audio video dengan paparan cecair Kristal (LCD), pilihan GPS dan i-pod,serta kawalan pendingin hawa individu memungkinkan pengalaman pemanduan dan perjalanan yang santai dan mengujakan.
Sesuai dengan ciri sebuah kereta keluarga, Exora mungkin sekali ditujukan kepada bakal pemilik kenderaan berusia 35 tahun ke atas. Walaupun mampu membuat pecutan, pendakian dan pergerakan yang lancar di atas permukaan yang kasar, aksi-aksi drift barangkali tidak sesuai untuk Exora edisi pertamanya. Namun, pada masa depan siapa tahu bahawa inovasi dan kreativiti bisa membuat minda konservatif dan biasa-biasa ini terkesima.
Sehari dua kita akan ghairah menjenguk-jenguk Exora menjalar di jalan-jalan raya di hadapan mata kita. Kemudian, kita memasang angan-angan bahawa yang duduk di kerusi pemandu dan penumpangnya ialah kita dan keluarga. Tidak salah, bukan? Layan…
Maklumat lanjut Exora di alamat http://www.proton-edar.com.my/exora
First Love Never Dies **
Bagi pelajar remaja, sudah pasti bahawa persoalan cinta kepada negara (patriotisme), cinta alam sekitar, cinta kedamaian, dan yang seumpamanya tidak bisa menangkap imaginasi mereka. Itu cinta mat skema, kata mereka. Kalau cinta kasih sayang, baru kami mahu dengar!
Baiklah kalau begitu. Memang dalam karya klasik Melayu misalnya terdapat kisah Uda dan Dara, naskhah Romeo and Juliet dalam sastera Inggeris, dan lain-lain. Bahkan sepasang manusia pertama, Adam dan Hawa juga dikaitkan dengan naluri yang normal, iaitu keinginan untuk hidup berpasang-pasangan.
Maka tidak hairanlah bahawa kisah cinta mudah meraih perhatian pelajar remaja. Novel remaja yang dipersembahkan dengan gaya bahasa yang melankolik dan puitis laris di pasaran. Segala imaginasi indah dan bait-bait lara dimanipulasikan dengan bijak sekali oleh sang pengarang.
Seseorang pelajar remaja yang terkena panahan cinta asmaradana akan dibuai perasaan dan khayalan. Maka, apa-apa jua bentuk ancaman terhadap cinta yang berputik akan ditentang habis-habisan. Nasi lemak buah bidara, sayang selasih hamba lurutkan, buang emak buang saudara, kerana kasih hamba turutkan! Kalau ini terjadi, ia sudah masuk dalam fasa bahaya.
Jika bertepuk sebelah tangan alamatlah merana, jika cinta bersambut dikhuatiri akan membibitkan pergaulan bebas. Lalu, apakah jalan penyelesaiannya? Facebook? e-mel? friendster? sms? mms? kaunseling? solat istikharah?
Tunggu jawapannya dalam posting akan datang...
** terdapat lagu Inggeris yang menggunakan tajuk contengan (grafiti) berkenaan!
Monday, April 13, 2009
kawat kebakaran smi 2009: fakta menarik!
UNIT KESELAMATAN, KEBERSIHAN DAN KECERIAAN
LAPORAN KAWAT KEBAKARAN 2009
Pendahuluan
Latihan berkenaan dijayakan pada hari Rabu, 8 April, 2009 bermula dengan deringan loceng kecemasan yang berterusan selama dua minit. Keberkesanan latihan dibuat berdasarkan soal selidik guru, dan laporan penyelia dan penolong penyelia insiden yang dipilih daripada kalangan anggota kadet bomba. Bahagian pertama laporan ini akan menumpukan dapatan tinjauan soal selidik guru.
Latar Tinjauan
Soal selidik yang ditadbirkan mengandungi tujuh item pernyataan, yang diikuti dengan empat skala pilihan ( 4 = amat setuju; 3 = setuju; 2 = kurang setuju; 1 = tidak setuju ). Walaupun demikian, dapatan akan turut memasukkan tiada jawapan supaya konsistensi data lebih terkawal. Selain itu, cadangan bertulis guru juga akan dicatatkan.
Dapatan kuantitatif
Daripada sejumlah 40 set soal selidik yang diedarkan, 31 set telah dikembalikan
Berdasarkan dapatan,dua item yang signifikan dan memerlukan perhatian segera pegawai insiden kawat kebakaran ialah:
1. tahap kesungguhan (seriousness) murid terhadap latihan; dan
2. pergerakan murid.
Selain itu, tiada satu pun item yang mencatatkan 100 peratus pada skala amat setuju dan setuju. Secara amnya sistem penyampaian maklumat perlukan penambahbaikan. Secara lebih lanjut, perkara berikut wajib diberi tumpuan:
1 Kejelasan loceng kecemasan masih tidak mencapai tahap piawai keselamatan, iaitu 100 peratus;
2 Segelintir murid masih sambil lewa dalam mematuhi arahan guru, selaku penolong pegawai insiden kawat kebakaran;
3 Format penyampaian secara lisan dan bercetak kepada guru perlu lebih cekap dan berkesan, misalnya penegasan pegawai insiden (tuan pengetua);
4 Objektif latihan kawat kebakaran masih belum jelas sepenuhnya, termasuk kepada guru
Implikasi dapatan di atas menunjukkan proses penambahbaikan disarankan ialah:
1 Ujian loceng kecemasan diadakan secara berkala oleh pihak sekolah, dengan memberi makluman kepada warga sekolah supaya tidak timbul kekeliruan dengan loceng latihan kawat kebakaran;
2 Ulang uji latihan kawat kebakaran secara serta-merta sehingga mencapai tahap 100 peratus murid mematuhi arahan penolong pegawai insiden, iaitu guru p & p atau wakil;
3 Sesi taklimat khas dirancang dengan penegasan tuan pengetua, penerangan oleh pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Balai Ipoh, dan tayangan video semasa p & p untuk mata pelajaran yang boleh ditetapkan oleh pengetua; dan
4 Jawatankuasa Unit Keselamatan Sekolah menyediakan brosur atau flyer yang jelas dan terperinci untuk guru yang akan berperanan sebagai penolong pegawai insiden. Poster juga boleh dipamerkan di lokasi strategik yang boleh dilihat oleh semua warga sekolah, termasuk murid, staf dan pekerja kantin dan swasta.
Sekian, terima kasih.
Disediakan oleh:
AZHAR BIN MOHD RODZI
Penolong Pegawai Insiden Utama,
Merangkap Penyelaras Latihan Kawat kebakaran
SMK St Michael, Ipoh
Bertarikh: 14 April 2009 (Selasa)
Sunday, April 12, 2009
pejabat basikal taman d r terbakar
Jika anda rajin berkunjung ke taman rekreasi d r, anda tentu biasa melihat trek basikal untuk kanak-kanak bawah 12 tahun. Juga terpampang notis bahawa basikal persendirian tidak dibenarkan sama sekali. Ertinya, kena sewa basikal dengan pengurusan Taman D R.
Tetapi kini larangan itu seakan-akan terbatal secara automatik apabila pejabat mini yang menempatkan basikal sewa itu rentung baru-baru ini. Angkara siapa, mungkin masih dalam siasatan. Namun, dipercayai sebarang pembinaan pejabat baharu bakal mengambil masa justeru ia berupa projek awam yang tertakluk kepada tatacara tertentu.
Maka, anda akan dapat melihat bermacam-macam fesyen basikal yang diangkut sendiri oleh ibu bapa bandar raya yang mahu anak mereka mahir dalam kayuhan asas. Ipoh ialah sebuah bandar raya yang banyak melahirkan pelumba basikal handalan, tetapi kini telah dipintas oleh jagoan bandar kecil seperti Dungun, Terengganu Darul Iman.
Friday, April 10, 2009
KISAH LUCU AIR KELAPA JUMBO
Alkisahnya, selepas lelah bermain badmintoh di gelanggang Majlis Bandaraya Ipoh semalam (Jumaat, 10.4.2008), pukul 10.30 kami (10 orang) singgah minum di Restoran Sabar Menanti bersebelahan Stadium Perak. Semua pun memesan minuman. Seorang kawan, Manan (bukan nama sebenar) seperti lazimnya memesan air kelapa jumbo. Almaklumlah dia bertangki besar. Tapi, si Seman (nama samaran) tiba-tiba berkata, "kalau gitu saya pun nak cuba satu. Tak pernah rasa..".
"Encik Seman, air kelapa jumbo tuh mahal, RM 15, tau!" sayalah yang kata. Sebenarnya saya nak bagi tau bahawa air kelapa jumbo tu disediakan dalam bekas bersaiz jag. Lalukah Seman menghabiskannya? Saiz tangki engkau gamaknya tak padan. "Tak apa, tak kisah pun, apa salahnya mencuba" Seman membalas penuh yakin. Yang si Manan pulak buat selamba je.. seronok kot sebab ada yang mengikut...
Tong tang tong tang bercerita, minuman pun tiba. Apa lagi, air muka si Seman terus keruh walaupun dia cuba berlagak macho dan skema. Mujurlah kawan lain semua sporting, buat-buat macam tiada apa-apa yang berlaku. Maka, si Zidan (peminat Zidane, bekas hero bola sepak Peranchis) nak tolong cover selepas melihat si Seman hanya mampu menghabiskan sepertiga sahaja air kelapa jumbo. Si Zidan ambil sepertiga lagi. Tentu anda dapat memberitahu bakinya, kan?
Saya rasa anda juga banyak peristiwa lucu di kedai makan, cafe, food court, warung, dan sebagainya. Kepada Encik Seman, jangan marah, ya! Nama anda tetap dirahsiakan. Anekdot ini hanyalah bertujuan santai, merehatkan minda yang diasak dengan pelbagai perkara yang lebih serius.
Bak kata tagline Prof Izi Haji Ali (slot tazkirah di Hot FM, frekuensi 104.5 Ipoh), renung-renungkan dan selamat beramal...
Satu Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan
Demikianlah slogan pentadbiran baru jemaah menteri pimpinan perdana menteri Malaysia keenam. sebelum ini pm ke-5 meminta "bekerja bersama-sama saya, bukan bekerja untuk saya". Juga disebutkan bahawa era kerajaan serba tahu sudah berlalu.
Purata usia menteri Malaysia itu ialah 55.5 tahun, iaitu yang termuda 45 tahun, manakala tertua 67 tahun. Presiden Amerika Syarikat, Barrack Hussien Obama berusia 48 tahun, perdana menteri Thai, Abishit 45 tahun. Namun, ada juga pemimpin negara yang sangat tua seperti Robert Mugabe (Zimbabwe) 85 tahun.
Cabaran utama pemimpin sesebuah negara pada abad 21 ini ialah terbentuknya masyarakat berpengetahuan (k-society) yang menjadi ciri utama masyarakat madani. Generasi muda hari ini mempunyai terlalu banyak pilihan untuk memperoleh maklumat. Komunikasi maya dan gajet mudah alih mengakibatkan media tradisional seperti akhbar dan televisyen mengalami kemerosotan pengaruh dalam penyebaran pemikiran dan propaganda. Kuasa the fourth estate yang diberikan kepada media sedemikian tidak relevan lagi.
Jemaah menteri Malaysia yang baharu mesti berupaya memindahkan slogan berkenaan dalam bentuk penggubalan dasar yang lebih telus, berintegriti dan dilaksanakan dengan konsep tadbir urus (good governance) yang yang cekap dan berkesan. Proses demokrasi ala Malaysia akan menjadi lebih matang apabila sekumpulan individu di tampuk kuasa pemerintahan benar-benar memelihara amanah awam melebihi kepentingan peribadi dan kelompok. Semua rakyat berhak menikmati tahap kebajikan yang maksimum daripada kerajaan, sebagaimana yang dinyatakan dalam teori ekonomi.
Dalam menghadapi krisis ekonomi global, kuasa beli rakyat mesti dipertahankan supaya perbelanjaan agregat pengguna dalam negara dapat memastikan bahawa aktiviti ekonomi terus berkembang. Dasar properniagaan yang mengurniakan projek untuk para kontraktor, dengan harapan peluang pekerjaan dibuka luas seharusnya menjalani kajian kemungkinan (feasible studies) untuk pilihan yang lebih baik. Thailand misalnya memberi tunai terus kepada rakyat miskin (2,000 baht = RM 200), Jerman memberi voucer bernilai hampir RM12,000 untuk pemilik kereta berusia lebih 9 tahun untuk membeli kereta baharu. Mungkin kerajaan Malaysia boleh mempertimbangkan voucer untuk pelajar sekolah membeli buku supaya industri buku turut menyumbang terhadap kesan pengganda.
Kecenderungan generasi muda nampaknya ialah keinginan melihat pemimpin dekat di hati mereka, tidak mempamerkan kemewahan secara keterlaluan, dan menyantuni rakyat. Mereka menolak pemimpin yang bengis, hipokrit, dan berlagak bangsawan. Jika mereka mendapat pemimpin sebegitu, nescaya mereka sanggup susah senang bersama-sama dalam mengharungi pertarungan politik dan ekonomi global. Gejala sosial yang sering dikaitkan dengan generasi muda juga lebih senang diuruskan.
Akhirnya, slogan pentadbiran itu diharapkan bukan sekadar untuk memenangi sokongan dalam pilihan raya semata-mata. Pencapaian jemaah menteri baharu ini akan diadili oleh sejarah. Dalam apa-apa jua keadaan, pertimbangan jangka panjang membabitkan generasi akan datang perlu diambil kira supaya kita tidak dipersalahkan kemudian hari.
Wednesday, April 8, 2009
Prinsip Fonemik dalam Bahasa Melayu
Prinsip fonemik ini jugalah yang menjadi asas bahasa baku yang pernah dipertikaikan oleh kalangan yang tidak sudi merujuk pakar bahasa. Kini, bahasa baku hanya dikhususkan untuk mata pelajaran Bahasa Melayu, sedangkan mata pelajaran lain menggunakan bahasa standard berasaskan sebutan Melayu Johor-Riau.
Fonem merujuk kepada sebutan setiap aksara, sama ada vokal (a, e, i, o, u) dan konsonan. Apa masalahnya untuk menyebut "ada", bukan "ade"?
Pernahkah anda menyebut ande (untuk anda), bece (untuk beca), bole (untuk bola), pole (untuk pola), tuale (untuk tuala), dan wanite (untuk wanita). Jadi, apa masalahnya? Tambahan pula, penyanyi Malaysia dan Indonesia biasanya mematuhi prinsip fonemik dalam sebutan lirik lagu.
Terdapat juga segelintir orang yang sinis terhadap bahasa tentang beza sebutan bau dengan kerbau. Begitu juga kata mereka, mengapa dia disebut sebagai diya, dan buaya disebut sebagai buwaya? Mengapa bilik disebut sebagai bilek?
Dalam semua hukum dan peraturan semestinya terdapat beberapa pengecualian, termasuklah prinsip fonemik. Antara lain ialah:
1. gelunsuran y dan w sepertimana dalam sebutan dia, bau dan buaya;
2. elemen diftong (gabungan vokal) "au" dalam sebutan kerbau, "ai" (balai), "oi" (berbaloi), "ui" (kelui), dan lain-lain;
3. elemen digraf (gabungan konsonan) "kh" (khas, akhir, tarikh), "ng" (ngaum, bengang, menang), "ny" (nyiru, tanya), "sy" (syurga, kusyuk, skuasy), "gh" (ghazal, baligh), dan lain-lain.
4. penyengauan (sebutan sengau untuk m, n, y, ng,ny): maya, menang, nganga, nyonya.
Selain itu, terdapat prinsip hentian glotis (glotal stop) yang membawa implikasi bahawa perlunya kesederhanaan dalam sebutan.
Bunyi konsonan r dalam perkataan ular perlu dizahirkan dengan jelas, supaya tidak kedengaran seperti ula. Namun, tidak pula perlu dilebih-lebihkan dengan menggetarkan sebutan r secara keterlaluan sehingga berbunyi ularrrrrrrr..
Demikian juga perkataan seperti itik, bilik, cilik, dan licik boleh disederhanakan sedikit supaya lebih dekat dengan sebutan penutur jati bahasa Melayu tempatan sekian lama (seperti dalam kajian sosiolinguistik).
Seterusnya, jika anda berminat untuk membincangkan 18 pola keselarasan vokal dalam sistem ejaan dan sebutan bahasa Melayu, kita akan berbuat demikian dalam tempoh yang terdekat.
Sesungguhnya benarlah pantun bestari bahawa yang kurik itu kundi, yang merah itu saga, yang baik itu budi, yang indah itu bahasa. Maka, konsep bahasa sebagai pancaran akal budi insan yang dimasyhurkan oleh Profesor Doktor Awang Sariyan, penyandang kerusi pengajian bahasa Melayu di Universiti Beijing hendaklah diperkukuhkan ke seantero dunia!
kejohanan sukan tahunan ke-82, smk st michael, ipoh
href="https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiUvXaVGGiF_H7y62WkINhSc8ekr3hffQt5zG29a3IA2fN_cBITgMrfRiryhF0RvUnMELZuGVHDwKhyphenhyphenp10uIP23zw1E4w4NA23QtHDQbraoN83Z2d_jMrSs2lt_kA1ZF1bzGCL9srEFnk4/s1600-h/tetamu+sukan.JPG">
tahunan SMK St Michael, Ipoh kali ke-82. Perasmian pembukaan dirasmikan oleh Encik Asir Victor, seorang old-Michaelian dan ex-Olympian Malaysia yang kini masih aktif mewakili negara dalam kategori veteran.
Acara bermula seawal 8.00 pagi dengan ucapan dan persembahan pancaragam.
guru bahasa melayu smi sertai komuniti blogger
Kini, semua guru Bahasa Melayu SMK St Michael, Ipoh (SMI) memiliki blog sendiri. Langkah ini bererti bahawa proses pembestarian sekolah dan konsep e-pembelajaran di SMI, khususnya dalam pengajian Bahasa Melayu bakal lebih mantap. Pelaksanaan p & p dalam bilik darjah fizikal kini dapat disambung pula ke bilik darjah maya.
Tuesday, April 7, 2009
latihan (kawat) kebakaran
Monday, April 6, 2009
pengenalan mata pelajaran ekonomi
3. pertumbuhan mapan (skala positif);
pencapaian ekonomi stpm meningkat
Sunday, April 5, 2009
Konsep bahasa
Assalamualaikum dan selamat datang
Blog ini mengalu-alukan perkongsian idea kepada semua pengunjung
Sebarang kekurangan haraf dimaafkan
Blog ini masih dalam percubaan
Idea dan sumbangan anda dialu-alukan