Setelah tamat menduduki peperiksaan akhir tahun, pelajar Tingkatan 6 Rendah meneruskan aktiviti kokurikulum. Pertemuan petang ini ialah yang kedua terakhir bagi tahun 2009. Pasukan Pengakap Kelana SMI (Kinta 02) memberi peluang kepada anggotanya memperoleh kecekapan membina menara 4-orang yang kukuh dan selamat.
Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah menyusun empat batang tiang yang perlu diikat kemas sebagai rangka asas menara. Setelah mengaplikasikan kaedah ikatan yang dipelajari sebelum ini, rangka menara ditegakkan pada tapak yang sesuai. Langkah seterusnya ialah membina pelantar yang memungkinkan anggota pengakap mendaki menara hingga ke puncak. Ujian ketahanan pelantar turut dilakukan.
Menara asas itu boleh ditambah dengan meja dan kerusi yang diikat daripada pelantar. Maka, menara itu dapat digunakan sebagai tapak tinjau ketika perkhemahan di kawasan berisiko, atau sebagai tempat jamuan dan mesyuarat. Jika ada keperluan, menara 4-orang itu boleh ditinggikan lagi kepada menara 12-orang.
Secara fizikal, anggota pengakap kelana dapat mempelajari bahawa dengan teknik susunan tiang dan pelantar, serta kaedah ikatan tali yang kemas, kayu dan tali yang pada asalnya hanya diletak di dalam stor berubah menjadi menara yang kukuh. Kayu dan tali yang ringan itu dapat menampung beban sehingga 500 kilogram. Hal ini menunjukkan bahawa pasukan pengakap mampu memanipulasikan sumber paling asas daripada persekitaran untuk mencipta 'keajaiban'!
Anggota pengakap yang lebih hebat dapat menghubungkan aktiviti pembinaan menara berkenaan terhadap rahsia ikatan dalam proses memperkasa masyarakat pada segenap peringkat. Sebagai misalan, jika pelajar tingkatan 6 berjaya menggabungkan sumber yang paling kecil sekalipun, pencapaian yang menakjubkan boleh dijana. Dengan itu, hasrat bagi mewujudkan kelompok modal insan yang berkualiti, berdaya saing dan inovatif akan segera menjadi kenyataan...
No comments:
Post a Comment