Friday, December 11, 2009

BERSUKA RIA DI TAMAN TEMA SUNWAY (HAPPY MOMENTS AT THE LOST WORLD OF TAMBUN)

Ipoh, Jumaat: 11 November 2009 / 24 Zulhijjah 1430

Antara lokasi tumpuan pelancong di ibu negeri Perak ini ialah Taman Tema Sunway Lagoon, Tambun. Walaupun telah sekian lama dibuka, inilah pertama kalinya penulis blog (PB) masuk secara bertiket. Walhal, perjalanan dari rumah PB ke situ hanyalah mengambil masa 10 minit. PB sebenarnya melunaskan desakan si cilik sejak dahulu, di samping meraikan dua tetamu bersaudara dari pantai timur.

Bayaran masuk enam orang hanyalah RM 98 dengan diskaun kupon (dewasa = RM 19; kanak-kanak RM 15). Kemasukan tanpa kupon dicaj RM 32 dewasa dan RM 24 kanak-kanak. Maka, penjimatan "rombongan" PB ilah sebanyak RM 62. Hendak tahu bilangan dewasa dan kanak-kanak? Cubalah hitungkan, ya... Kad kredit boleh digunakan.

Masuk pukul sepuluh pagi, keluar pukul enam petang. Alang-alang datang biarlah berbaloi. PB bersama-sama dua orang lelaki cilik keluar berehat pada pukul satu hingga 2.30 petang untuk ke masjid : solat Jumaat. Surau yang agak luas juga disediakan.Tiada alasan untuk mengelat.

Harga  makanan dan minuman dalam kawasan taman tema biasa-biasa sahaja seperti di luar. Peti keselamatan (locker) pula boleh disewa dengan harga RM 10 untuk menyimpan semua barang berharga termasuk dokumen dan wang. Dengan kata laluan yang ditentukan sendiri, penyewa boleh membuka dan menutupnya sekerap mana yang disukai sepanjang hari.  Pengunjung luar Ipoh juga boleh menginap di hotel Sunway Inn dalam kawasan taman tema dengan kadar RM 90 sehari semalam.

Kanak-kanak paling sukakan air. Aspek keselamatan nampaknya dititikberatkan. Aras air yang sederhana sangat sesuai untuk si cilik dengan pengawasan keluarga.

Kanak-kanak memang pantang jumpa air. Mujur juga reka bentuk taman tema ini mesra kanak-kanak. Aras air agak cetek membolehkan mereka bebas bermain dengan pengawasan yang minimum.


Jika taman rekreasi biasa mengehadkan terowong gelongsor untuk kanak-kanak bawah 12 tahun, di taman tema pula dibuka kepada semua peringkat umur. Terowong gelongsor yang dikuasakan oleh gerakan air itu sebenarnya begitu mencabar. Penghidap darah tinggi dan sakit jantung lebih baik angkat bendera putih!

Aktiviti menyusur sungai buatan selama hampir setengah jam juga sungguh mengujakan. Kocakan ombak mekanikal juga membantu pelampung yang disewa (RM 12) bergerak ke arah yang betul. Pada satu stesen, banyak yang berhenti menunggu simbahan air yang unik.

Mulai September lepas, Petting Zoo telah dibuka kepada orang ramai. PB percaya bahawa strategi taman tema Lost World ini bertujuan menarik lebih ramai ibu bapa membawa anak untuk mempelajari kehidupan haiwan-haiwan jinak. Contohnya mengangguk ikan dan memberi makan burung.

Kepada yang hanya biasa mendengar lagu "Merak Kayangan" boleh mengusap spesies burung yang hanya boleh ditemui di zoo itu. Kalau bernasib baik kita dapat melihat si merak mengembangkan ekor dan sayapnya yang cantik lagi berwarna-warni itu. Subhanallah...

Sesebuah taman tema juga umpama medan fun fair skala besar. Antara permainan yang mendapat sambutan ialah buaian gergasi berbentuk kapal. Kelajuan buai ditingkatkan hayunan demi hayunan. Sesiapa yang kecut perut atau gayat (microphobia) dinasihatkan menjadi penonton sahaja. Namun, rasanya buaian di Taman Tema Genting dan Berjaya Time Square lebih menakutkan.

Sepasang suami isteri Cina dari Petaling Jaya memberitahu PB bahawa Sunway Tambun lebih luas dan lebih baik daripada Sunway Lagoon di tempat mereka. Apatah lagi bahawa persekitaran The Lost World yang masih mengekalkan ciri landskap asal batu kapur. Sesi tayangan di Kepura Cave yang berlatar stalagmait pasti melengkapkan pengetahuan pengunjung.

Kunjungan ke taman tema Tambun tidak akan sempurna jika tidak berendam di kolam air hangat yang dibuka hingga pukul 9 malam. Walaupun telah disekalikan dengan teknologi canggih, kehangatan airnya bak rawatan spa. Namun demikian, tubuh perlu dibersihkan segera selepas itu. Almaklumlah, kita tidak tahu campuran rembesan badan yang dibebaskan oleh bermacam-macam orang...

Seperti biasa sebagai cikgu, PB tidak dapat mengelak diri daripada bertembung dengan murid, bekas pelajar atau rakan taulan. Ketika hanyut di atas pelampung secara solo di sungai buatan, PB disapa oleh Ngui Bee Chua. Masa di kolam air hangat pula berjumpa si Vinod, pelajar tahun 2 ACCA di UTAR, Kampar yang bertugas sebagai life guard separuh masa di Lost World...

No comments:

Post a Comment