Wednesday, December 9, 2009

NOVEL KOMSAS TINGKATAN EMPAT 2010 (JUDGING THE BOOK BY IT'S COVER)

Mohon izin Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd bagi menyiarkan semula kulit hadapan dan kulit belakang novel Azfa Hanani untuk tujuan pengenalan dan pembelajaran kepada guru dan murid tingkatan empat bagi tahun 2010.


Sepuluh tahun berlalu. Tibalah masanya untuk teks baharu komponen sastera tingkatan empat. Bagi murid negeri Perak, inilah wajah kulit hadapan novel yang bakal dikaji dan dipelajari.

Bagaimana? Adakah anda telah jatuh cinta pandang pertama demi memandang latar belakang kehijauan bendang dan pohonan kelapa yang menghiasi kulit hadapan novel Azfa Hanani? Atau, anda mula terkesima dengan paradoks antara kesederhanaan sang pesawah dengan 'banglo' moden di belakang sana?

Judul novel ini mengingatkan kita tentang Julia, teks novel tingkatan lima. Melihat kulit hadapannya sahaja kita dapat mengagak perwatakan Julia yang cuba diketengahkan oleh pengarang. Julia seorang gadis bertudung yang sofistikated dan terlibat dengan dunia keusahawanan.

Rasa-rasanya Azfa Hanani juga ialah milik watak feminin. Soalannya, mengapa tiada imej Azfa Hanani dipaparkan sebagai gambaran imaginasi pembaca? Adakah Naza Hamed yang mengambil foto hiasan kulit hadapan novel sengaja diarahkan berbuat demikian?

Sekarang mari kita beralih ke bahagian kulit belakang novel. Mungkin kita boleh mendapat gambaran awal sebelum mula membelek isi kandungan sepintas lalu. Apa pendapat anda?

Selain judul dan maklumat penerbitan, sejumlah 43 patah perkataan yang dipaparkan barangkali boleh membantu kita. Terdapat 25 patah perkataan dalam perenggan pertama dan 18 dalam perenggan kedua. Rangkai kata dunia paradoks telah diulang tulis dalam kedua-dua perenggan. Pasti signifikan!

Jika anda membeli novel ini, pastikan salinan asli. Selamat membaca, dan jika sudah bersedia, ayuh kita berbincang... Sekian.


No comments:

Post a Comment