1 Muharam 1431 / 18 Disember 2009
Lembaran baru kalendar hijrah 1431 telah bermula. Detik-detik masa yang berlalu bagaikan suatu perjalanan yang muktamad. Segala yang berlaku tinggal dalam lipatan kenangan dan sejarah. Sementara belum bernoktah, perjalanan tetap diteruskan demi menggalas tugas sebagai khalifah di bumi.
Bagi kanak-kanak, perjalanan ke destinasi yang belum dikunjungi sebelumya ialah suatu pengalaman. Banyak perkara yang dipelajari untuk bekalan hari muka. Sambil-sambil berjalan, orang yang lebih dewasa berpeluang menceritakan liku-liku kehidupan yang mungkin mereka tempuhi. Namun, penyampaiannya haruslah bersahaja dan bersulam kecindan, supaya kanak-kanak tidak berasa bosan dan seakan-akan dileteri.
Penulis blog (PB) dalam perjalanan menghantar tetamu cilik pantai timur ke pangkuan ayah bonda mereka. Kami singgah bermalam di Slim River (sungai kurus?), sebuah pekan kecil yang sepi, tetapi mendamaikan nurani. Secara perbandingan, pekan Slim hanyalah bersaiz sebuah beberapa deretan rumah kedai taman perumahan di bandaraya Ipoh.
Berhampiran pekan Slim terdapat sebuah stadium mini, sebuah stesen kereta api moden dan sebuah pasar raya yang serba sederhana. Hotel yang ada ialah rumah tumpangan persendirian di bahagian atas rumah kedai. Slim terletak di pertengahan perjalanan Ipoh – Kuala Lumpur, masing-masing 100 kilometer jaraknya.
PB telah menginap di rumah rehat milik Majlis Daerah Tanjung Malim, bersebelahan kompleks balai polis dan Pusat Giat Mara. Sewanya RM 50 (dengan pendingin hawa) dan RM 40 (putaran kipas sahaja). Setiap unit rumah menempatkan dua buah bilik yang luas, seperti konsep rumah semi-D, lengkap dengan anak tangga dan anjung.
Jika bosan memerap di rumah rehat, penghuni boleh turun ke kawasan padang yang memisahkan setiap unit rumah untuk sekadar berjalan-jalan atau melakukan aktiviti riadah. Rumah rehat Slim juga menawarkan kemudahan dewan mesyuarat dan dewan seminar yang mampu menampung sekitar 100 orang peserta. Selain acara rasmi, rumah rehat ini kerap menjadi pilihan majlis perkahwinan dan hari keluarga. PB berasa pihak sekolah boleh menyenaraikan Rumah Rehat Slim sebagai pilihan untuk kem motivasi murid atau perkhemahan unit pakaian seragam.
PB sekeluarga berkesempatan menjamu selera di medan selera pekan Slim. Banyak kedai yang sudah menutup operasi. Mungkin orang Slim lebih suka makan di rumah, lebih santai dan kurang kandungan garam monosodium glutamat agaknya. Nasi ayam di Noor Satay, sepinggan boleh kongsi dua tiga orang dewasa. Sambutan pelanggan masih baik, tetapi nampaknya terdiri daripada keluarga yang berkereta sahaja. Harganya masih murah jika dibandingkan dengan kadar di Ipoh, apatah lagi Kuala Lumpur.
Perjalanan selanjutnya ialah ibu kota Malaysia. Tiba di tol Jalan Duta, PB mendapati bahawa projek mega Kompleks Soho masih dalam pembinaan. Apabila siap kelak, satu lagi kawasan pertumbuhan ekonomi akan muncul di Kuala Lumpur.
Menerusi carian di lawan sesawang internet, PB mendapati bahawa kebanyakan hotel di ibu kota telah penuh. Maknanya, dalam suasana ekonomi yang muram dan ancaman wabak selesema babi, Kuala Lumpur masih mempunyai daya tarikan pelancong. Di sana sini, kelibat mat saleh dan pak arab kelihatan berwajah ceria menikmati panorama kehijauan dan kedamaian negara kita.
PB sekeluarga bernasib baik mendapat bilik deluxe di Rumah Universiti, di kampus UM. Sebenarnya, sudah acap kali PB menginap di situ. Sewanya RM 100, iaitu kadar promosi hujung tahun. PB sempat ke Pekanbuku untuk membeli diari pengurusan dan alat tulis berlogo UM. Bekas pelajar patut membanggakan tempat pengajiannya dahulu. Begitulah prinsip PB.
Pada sebelah petang, kami memerap di bilik menonton kejayaan skuad bola sepak bawah 23 tahun Malaysia membutirkan emas setelah 20 tahun menerusi jaringan tunggal lewat babak permainan ke gawang Vietnam. Strategi membiarkan lawan berhabis tenaga dengan serangan bertali arus dalam separuh masa pertama jelas berhasil. Tuan rumah, Laos juga telah habis angin dalam tempoh 15 minit terakhir di tangan Malaysia pada saingan separuh akhir.
Selain itu, PB membawa tetamu cilik ke sekitar kampus. Sudut fotografi wajib ialah logo besar UM bersebelahan Dewan Tunku Canselor (DTC). Dari Rumah Universiti hanya perlu menuruni tangga.
Kemudian langsung menyeberang ke DTC yang pernah sebahagiannya dijilat api sedekad yang lalu. Kanak-kanak lebih tertarik dengan ikan “jinak” yang dipelihara di kolam DTC. Sebaik merapati kolam, kumpulan ikan mula menyerbu untuk mengharapkan habuan makanan barangkali.
Berikutnya, di sudut air terjun buatan juga terdapat seekor biawak yang sedang membatu. Demi melihat kelibat kanak-kanak hendak bergambar, biawak universiti itu perlahan-lahan masuk dalam air takungan. Dapatkah anda menyatakan kedudukan biawak berkenaan dalam foto?
Kami makan tengah hari di kafeteria Kolej 12, tempat PB selalu menginap ketika mengikuti pengajian peringkat sarjana di sini. Kini, hanya pelajar ijazah pertama sahaja diterima sebagai penghuni kolej. Dahulu boleh sebab baru sahaja dibuka dan kolej dibenarkan menjana pendapatan sewaan harian.
Polistrin telah digunakan sebagai ganti pinggan biasa. Mungkin untuk penjimatan air. Ironi juga justeru beberapa IPTA telah menyekat penggunaan polistrin dalam kampus.
bersambung...
bersambung...
Assalamualaikum: sudah 20 tahun saya tidak menjejakkan kaki ke UM. Rasanya banyak yang berubah. Kolej terakhir masa saya dulu ialah kolej ke lapan
ReplyDeleteSalam
ReplyDeleteTempat jatuh lagi dikenang...
"Polistrin telah digunakan sebagai ganti pinggan biasa. Mungkin untuk penjimatan air."
ReplyDeletetetapi memperbanyakkan bahan mentah seperti plastik dbs dan kegiatan kitar semula tidak begitu popular di kalangan orang-orang asia... maka penjimatan tidak begitu effective...
masalah mentaliti...
ReplyDelete