Sunday, December 13, 2009

KELLIE'S CASTLE TINGGALAN PENJAJAH (KELLIE'S FOLY: MYTH AND REALITY)

Batu Gajah, Ahad: 13 Disember 2009 / 26 Zulhijjah 1430

Dahulu tiada bayaran masuk dikenakan kepada pengunjung. Namun, sejak diwartakan sebagai tapak warisan sejarah, istana tidak siap ini memerlukan kos baik pulih dan penyenggaraan. Aqfast Enterprise telah diberi tanggungjawab berkenaan. Caj dewasa: RM 4; kanak-kanak bawah 12 tahun: RM 3.


Penulis blog (PB) telah banyak kali ke sana untuk membawa saudara mara dan handai taulan yang berkunjung ke Ipoh. Kali ini PB sekeluarga meraikan tetamu cilik pantai timur. Perjalanan ke sana mengambil masa kira-kira 20 minit sahaja. Jalan baharu yang siap beberapa tahun dahulu bagaikan lebuh raya.

Kellie's Castle dibina di seberang sebatang sungai. Kini, istana berkenaan dikelilingi ladang sawit Sime Darby dan di belakangnya sebuah pusat serenti. Justeru semua pengunjung mesti menyeberang jambatan sempit sebagai laluan ke kawasan istana.

Melihat reka bentuk bangunan enam tingkat itu lebih layak digelar rumah agam (mansion). Setelah pembinaannya terhenti pada tahun 1926, kediaman itu terbiar di dalam hutan. Apabila dijumpai semula, struktur asas bangunan masih kukuh, walaupun anai-anai, labah-labah dan pokok tumpang menjalar menjadi "tuan rumah" buat seketika.

Tali pokok yang biasa dilihat dalam cerita tarzan sengaja dibiarkan bagi membuktikan bangunan ini tidak dimamah usia. Kesan lumut juga tidak disapu cat bagi mengekalkan keaslian bangunan.

 Tangga yang tidak disiapkan juga sering dijadikan sudut fotografi...
 
Tangga rumah zaman dahulu agak sempit dan berliku-liku. Mungkin ada sebab yang tersendiri. Pengunjung perlu berhati-hati, risiko perlu ditanggung sendiri!

Tumpukan kepada saiz anak tangga yang berbeza-beza. Silap langkah boleh tertumus muka. Mendongak hanya untuk sesi fotografi...

Antara tarikan bangunan lama ini ialah kisah misterinya. Kononnya, penduduk tempatan dan pengunjung pernah ternampak kelibat Smith dan Helen (anak Smith) merayau-rayau dalam bangunan. Kellie Castle hanya dibuka hingga pukul 6 petang.

Lif pertama (shaft lift) di Tanah Melayu yang sepatutnya beroperasi di sini tidak menjadi kenyataan. Ruang dan reka bentuk lif telah disediakan. Mungkin sama dengan lif Hotel Majestic, stesen kereta api Ipoh.

Bahagian bangunan paling berisiko ialah bumbung rata yang tiada penghadang. Pengunjung seharusnya tidak cuba-cuba menghampiri bahagian tepi. Dikhuatiri mudah tergelincir.

Lubang udara yang terletak di aras bumi juga menambah keunikan rumah agam ini. Kelihatannya seperti sebuah perigi yang gelap dan sayup di bawah sana. Namun, duit siling yang bertaburan masih jelas.

Bangunan luas ini juga memiliki laluan koridor yang cantik. Peluang berlagak sebagai penghuni rumah agam lama ini sukar dilepaskan. Generasi baru mungkin hanya berpeluang tinggal di rumah teres atau kondominium.

Kellie Castle mendapat nilai tambah apabila pokok beruang ditemui oleh seorang pelakon "Gerak Khas" beberapa tahun lalu. PB tidaklah takjub sangat kerana bermacam-macam bentuk rupa boleh terhasil daripada pokok, gumpalan awan, atau mana-mana unsur alam yang lain. Maka, pokok beruang sekadar sesuai untuk latar aksi di hadapan kamera, bukan untuk dipuja-puja...Lebih afdal jika melafazkan doa seperti mana dalam surah Ali Imran: 192.

Kewujudan bilik-bilik tersembunyi mendorong pihak pengurusan bangunan menampal notis berikut...

Tetamu cilik pantai timur nyata berpuas hati. Pengalaman Kellie Castle boleh dikongsi dengan teman di sekolah. Pembelajaran tentang zaman penjajahan menjadi lebih terang lagi bersuluh.


3 comments:

  1. The ingredient of article very insightful.You managed to see what other people can't, for example, the presence of the roots and moss in the building. Thank you for the pictures which you posted. Continue with the good work, it's a joy visiting your blog.

    ReplyDelete
  2. Suami saya orang Tapah. Pernah juga kami ke sana bawa anak-anak tengok peninggalan sejarah tu.

    ReplyDelete
  3. t q mr peter khiew

    saya baca maklumat blog cikgu dalam facebook, contohnya berita kepergian staf (ratnam) hari tu. banyak ulasan dibuat oleh budak smi...

    *************

    t k mien atas perhatian dan maklum balas

    ReplyDelete