Gelombang ketiga musim tengkujuh dikaitkan dengan fenomena lekukan tropika. Amaran awal pihak Jabatan Kaji Cuaca nyata berasas. Antara kesan banjir ialah kerosakan jalan raya.
Di Sura Hujung, kawasan yang turut menempatkan kampus UiTM Terengganu dan padang golf Dungun, hujan lebat telah menyebabkan struktur tanah yang lemah menerima padah. Salah satu jalan bersebelahan Sungai Sura telah mendap dan terputus. Rumah-rumah berhampiran lokasi mendapan juga berisiko untuk mengalami nasib yang sama.
Tinjauan sepintas lalu mendapati bahawa aliran air banjir telah menghanyutkan tanah pasir yang longgar kemampatannya. Sebagai bukti, saluran paip air dan gelung kumbahan masih bertahan. Namun, akar pokok dan pagar dawai jelas tidak berdaya.
Jambatan berhampiran lokasi mendapan tidak diketahui tahap keselamatannya. Notis yang diletakkan hanya menghalang kenderaan berat daripada melaluinya. Bahagian hujung pagar jambatan kelihatan senget dan bila-bila masa boleh terjun ke dalam sungai.
Sebuah rumah bersebelahan jalan yang terputus itu telah terjejas teruk. Sebuah sungai kecil terbentuk betul-betul di halaman rumah sehingga kenderaan tidak boleh masuk ke situ. Kereta tuan rumah terpaksa diletakkan di luar pagar.
Pihak berkuasa telah melawat lokasi mendapan, namun belum diketahui tentang tindakan susulan. Penduduk yang ditemui berharap bahawa mereka dapat dibantu dengan segera bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Sekarang bukan masanya untuk menuding jari antara satu dengan lain. Dalam surah ar-Rum (30 : 41) dijelaskan bahawa telah menjadi nyata kerosakan di daratan dan di lautan disebabkan oleh perbuatan tangan manusia itu sendiri. Maknanya, masih ada yang tidak kena dengan tingkah laku manusia.
Sebagai contoh, dasar pembinaan prasarana awam mungkin masih terdedah kepada unsur manipulasi. Penyelidikan tidak dipandang serius. Kontraktor tidak berlaku jujur. Pemantauan kerja tidak mengikut spesifikasi. Pendek kata, sisi keikhlasan telah dipandang sebelah mata.
Negara dunia ketiga masih ketinggalan jauh dari segi pelaburan dalam inovasi. Kekangan kewangan, sistem kenegaraan yang kucar-kacir, dan pandangan sinis terhadap kaum cendekiawan menyebabkan kemajuan menjadi lambat. Apabila berlaku bencana seperti gempa bumi, puluhan ribu nyawa melayang. Contohnya, negara-negara di rantau Amerika Latin dan Asia Tenggara.
Negara maju seperti Jepun dan Amerika Syarikat menyediakan sistem amaran awal bencana, selain menggunakan teknologi kejuruteraan termaju dalam pembinaan prasarana awam dan petempatan. Mereka dapat meminimumkan kesan gegaran bersesaran tinggi, taufan dan kebakaran hutan. Mereka sanggup menerima cendekiawan yang ditolak di tanah air mereka sendiri: negara dunia ketiga. Program Lembah Silikon dan NASA menggunakan kepakaran cendekiawan negara dunia ketiga seperti India dan Palestin.
Kesimpulannya, bala atau musibah ialah ujian Ilahi supaya manusia terus berfikir ke arah perubahan. Kejayaan menemukan pembaharuan dan penambahbaikan teknologi yang mengutamakan keselamatan dan keselesaan merupakan ibadah yang utama, asalkan ada keikhlasan. Kaum cendekiawan mesti dihargai dan tidak diabaikan sehingga menjadi seperti ungkapan Sayyed Hossen Nasr: nestapa kaum intelektual...
No comments:
Post a Comment