Thursday, January 14, 2010

DAYA TARIKAN SEORANG GURU (TEACHER AS A CELEBRITY)

Suatu fenomena luar biasa berlaku di sebuah sekolah harian di England. Pencapaian murid tiba-tiba didapati meningkat. Apabila pihak LEA (Local Education Authority), sama dengan PPD di negara kita, membuat tinjauan, tiada apa-apa yang luar biasa di sekolah berkenaan. Tiada sebarang kaedah atau inovasi dalam pedagogi guru. Tiada juga program kecemerlangan yang unik. Semuanya tampak biasa-biasa sahaja.

Setelah ditanya kepada murid, baharulah terungkai "misteri" yang menjadi buah mulut komuniti pendidik. Rupa-rupanya ada seorang guru lelaki yang popular dalam kalangan murid. Sekilas pandang, tiada yang hebat pada guru berkenaan.

Tiada yang sangat unik dari segi penyampaian p & p, dan tiada alat bantu mengajar yang canggih. Namun, murid memberi perhatian dan tumpuan yang luar biasa. Alkisahnya, kasut guru berkenaan yang menjadi bahan gosip murid.

Kasut guru berkenaan bukan sahaja berkilat dan bersih, bahkan sering ditukar-tukar. Cara guru tersebut mengatur langkah juga mendapat perhatian murid. Maknanya, gesture dan posture sang guru membuatkan murid sentiasa teruja dengan kehadiran beliau.

Kisah guru dan kasutnya itu diceritakan oleh Abdullah Hassan (profesor komunikasi di UPSI) dalam bukunya "Kemahiran Interpersonal Untuk Guru".  Sekali seorang guru berjaya menambat hati murid, dia tidak perlu bersusah payah atau terkial-kial mempraktikkan teori aura atau pesona yang diperoleh daripada kursus "personal grooming".

Tedapat juga guru yang bengis, tetapi sering dicari oleh murid dan bekas murid. Guru bengis itu tidak dibenci, malah sebaliknya disayangi. Suatu paradoks berlaku.

Ada juga guru yang berbakat dalam bidang lawak jenaka. Kalah pelawak otai. Tetapi tiada seorang murid pun yang menunjukkan reaksi geli hati.

Pengalaman peribadi penulis blog (PB) semasa di sekolah teknik sukar dilupakan. Seorang perunding motivasi berkelulusan Ph.D akhirnya marah-marah kepada murid yang asyik bertepuk tangan tanda mahu ceramah dihentikan. Motivasi entah ke mana, pakar runding pulang dengan kenangan paling pahit, barangkali.

Memang selepas itu murid dimarahi kerana menzahirkan protes yang keterlaluan. Dalam bahasa kasarnya, kurang ajar. Pihak sekolah kemudiannya lebih berhati-hati memilih penceramah luar.

Dalam sesi yang lain, program motivasi diisi oleh Izudin Ali (kini dikenali dengan tagline,  "renung-renungkan, selamat beramal"). Profesor Madya matematik di UiTM Dungun yang sinonim dengan Hot.fm itu menaiki bas bersama-sama isteri daripada Dungun. PB selaku ketua unit kaunseling menguruskan hal pergerakan beliau dan sempat membawa pasangan berkenaan ke rumah.

Cara Prof. Izi Haji Ali memang ngam dengan bebudak teknik. Dengan bahasa selamba dan gila-gila, beliau sentiasa diberi sambutan hangat. Maka, tidak hairanlah beliau kini menjadi perunding yang menjadi rebutan program motivasi di Malaysia.

Ketika itu bayaran ceramah dua jam untuk Prof. Izi RM150 sahaja. Sekarang jangan haraplah kalau tidak 50 kali ganda. Namun, jika dibandingkan dengan Steven Covey yang terkenal dengan The 8th Habit dibayar RM500,000 untuk bercakap selama satu jam di sebuah hotel terkemuka di ibu kota, jumlah berkenaan teramatlah rendah...

PB hendak mengaitkan cerita-cerita di atas dengan kajian tindakan. Walau dimasyhurkan teori pendidikan secanggih mana pun, masyarakat Malaysia tetap "berdegil" mahu mengekalkan pencapaian dalam peperiksaan awam sebagai ukuran keberkesanan sekolah. Murid pintar cerdas masih menjadi tumpuan. Maka, guru pun ligat berfikir untuk menampilkan hanya yang terbaik.

Memang benar bahawa teori kajian tindakan muthakhir diluaskan skopnya kepada subjek atau responden selain perkara yang berlaku dalam bilik darjah. Semua pihak berkepentingan termasuk pengetua, pusat tuisyen dan status sosioekonomi boleh diangkat sebagai masalah kajian. Walaupun demikian, PB berpendapat biarlah kajian seumpama itu dijalankan oleh IPTA atau EPRD. Mereka memiliki dana dan kepakaran.

Guru sebagai penyelidik lebih baik memberi tumpuan kajian tindakan terhadap amalan bilik darjah. Hanya tentang diri sendiri, murid sendiri dan persekitaran p & p sendiri. Lebih senang, lebih jujur dan lebih autentik.

Apa kata jika guru melaksanakan kajian tindakan tentang perkara kecil-kecil, tetapi pengaruhnya begitu signifikan terhadap pencapaian murid? Contohnya banyak sekali. Tidak payahlah kaji sampai ke tahap kasut seperti guru di England itu. Sekadar contoh sahaja.

Cikgu boleh menjadikan tugasan dua orang murid yang berpencapaian rendah sebagai alat kajian. Seorang diberi rawatan (intervensi), manakala seoarang lagi dijadikan kawalan (tanpa intervensi). Setelah tamat proses rawatan, buat ujian pasca (post-test) berdasarkan alat ujian yang sama. Berdasarkan perbandingan pencapaian ujian pra dan pasca (rawatan dan kawalan), data yang diperoleh boleh digeneralisasikan sebagai inferens dan saranan penambahbaikan proses p & p selanjutnya.

Sebenarnya kaum guru di Malaysia banyak sekali melakukan inovasi dan menerapkan elemen kreativiti dalam amalan bilik darjah. Sayangnya, tidak seperti di negara Barat, kejayaan guru tidak banyak didokumentasikan dalam bentuk data penyelidikan, lalu dimuatkan dalam jurnal yang diiktiraf. Keadaan ini perlu diubah.

Kajian tindakan perlu dipromosikan dalam pakej yang lebih longgar. Modul kajian yang lebih mudah perlu disediakan. Guru hanya dikehendaki mengisi tempat kosong (fill in the blanks). Sebagai langkah permulaan membudayakan penyelidikan di sekolah, saranan ini bukanlah kelakar sangat...


5 comments:

  1. bagus idea cikgu Azhar ni, insyaallah kami akan buat

    ReplyDelete
  2. well i have to be honest, this way does works quite effectively as it attracted fellow student to pay more attention and notice to the lecturer therefore the fellow student will pay attention to what the lecturer teach, say and talk.

    ReplyDelete
  3. i'd also like to know if you do know what is my godfather blog site? will be appreciated if you do tell me.

    ReplyDelete
  4. terima kasih puan.

    jika siap kajian, harap masukkan dalam blog puan untuk rujukan sedunia...

    and over to william

    mr zul had the blog, but a dormant one. i'll get 4 u later...

    ReplyDelete