Saturday, January 23, 2010

SATU HARI DI JOHOR BAHRU (ONE DAY IN JOHOR BAHRU)

Aku masih tidak menentu apabila memikirkan detik untuk membuat persembahan pentas semakin hampir, sedangkan persediaanku masih sifar. Sesungguhnya aku masih buntu. Lagi pun seumur hidup, tidak pernah aku membuat persembahan solo. Pengalaman berlakon drama pentas semasa darjah tiga sekadar watak tambahan. Itu pun selalu tersasul. Lupa skrip.

Semua guru pelatih baru yang digelar "si mentah" (freshie) Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim diwajibkan membuat persembahan solo pada hari terakhir minggu suai kenal. Aku, calon guru Bahasa Inggeris - Matematik (pendidikan awal menengah). Jumlah pelatih opsyen ini 20 orang semuanya. Kalau berbaris perlu menjerit, "kami mat salleh". Glamor konon.

Kerana dipaksa, aku pun memilih untuk mendaftar persembahan nasyid. Masa tu irama nasyid didominasi oleh kumpulan El-Suraya dari seberang dan al-Mizan dari Singapura. Semua penyanyi nasyid pula majoritinya kaum Hawa. Aku bertambah buntu.

Sehari sebelum malam persembahan, aku masih tidak menemui jawapan. Aku hanya mengharapkan keajaiban. Kadang-kadang terlintas untuk mencari helah supaya terlepas daripada membuat persembahan.

Bagaikan satu keajaiban, tiba-tiba pihak jawatankuasa mengumumkan bahawa persembahan dibatalkan.  Sebaliknya semua guru pelatih - si mentah dan si senior - diwajibkan memakaikan songkok hitam berlilit kain putih sebagai tanda berkabung. Hari tu Khamis.

Esoknya, hari Jumaat buat pertama kalinya aku berpeluang solat Jumaat di Masjid Abu Bakar, sebuah masjid klasik yang sangat bersejarah. Justeru terletak berdekatan dengan zoo, sekali-sekala kedengaran bunyi haiwan yang terkurung di sana. Disebabkan masih awal, guru pelatih  meninjau persekitaran masjid. Tambak Johor dan negara bandar raya Singapura (nama asalnya Temasik, jajahan kerajaan Johor Riau) cukup jelas dengan pandangan mata kasar.

Pantai Lido yang masyhur juga hanya dalam jarak berjalan kaki. Cuma aku kepingin sekali menyusur Tanjung Katong. Bait-bait lirik, "Tanjung Katong airnya biru, tempat m**** puteri jelita, sedang sekampung lagi dirindu, inikan pula hai jauh di mata" dendangan Tan Sri P.Ramlee singgah di telinga. Astaga... solat Jumaat. Buang segala lintasan...

Tiba-tiba kumpulan polis trafik silih berganti mengiringi kereta diraja. Aku tidak menyangka dapat bersua dengan sebegitu ramai raja Melayu dan ketua-ketua kerajaan negeri secara serentak.

Kemudian, aku menuruni tangga masjid dengan hati-hati menuju ke dewan solat. Selang beberapa minit kelihatan Tun Hussien Onn (Allahyarham), perdana menteri ketika itu. Beliau mengambil tempat di saf paling hadapan. Persamaan semua jemaah, tidak kira kedudukan - songkok hitam berlilit putih.

Setelah menunaikan solat sunat tahyatul masjid, aku berniat iktikaf. Sementara menunggu azan dikumandangkan, fikiran sempat juga melayang. Aku teringat bahawa di Johor, solat Jumaat ada bacaan qunut. Aku mesti berhati-hati supaya tidak terus turun sujud selepas i'tidal dalam rakaat kedua.

Keadaan dalam masjid begitu nyaman. Mungkin pengaruh udara bersih naungan landskap hijau di sekeliling masjid menyerap partikel habuk dan sisa karbon monoksida yang terampai di udara. Keadaan yang lapang beransur-ansur dipenuhi dengan jemaah pada setiap ruang saf.

Usai azan pertama, aku terdengar suara garau melafazkan "assalamualaikum" lambat-lambat. Aku cuba memastikan susuk tubuh khatib itu, namun aku tidak cam. Jubah yang disarung sama sahaja dengan khatib di mana-mana mimbar Jumaat.

Bacaan khutbah juga dilafazkan lambat-lambat. Satu per satu. Kali ini amat berbeza. Dalam hati terus meneka-neka. Siapakah gerangan sang khatib?

Antara lafaz khutbah berbunyi, "saya bukanlah orang yang terbaik dalam kalangan kalian, namun saya terima amanah ini dengan penuh tanggungjawab..." Lebih kurang macam pidato khalifah Abu Bakr.

Aku mengagak dalam hati bahawa khatib itulah sultan Johor yang baharu ditabalkan menggantikan ayahandanya yang telah mangkat. Ternyata agakan aku tidak meleset. Itulah kenangan yang akan kekal dalam ingatanku. Hari ini khatib bernama DYMM Sultan Iskandar telah disemadikan buat selama-lamanya...

Catatan: "Aku" ialah penulis blog (PB) sendiri. Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim terletak bersebelahan dengan Sekolah Tun Fatimah, serta tidak jauh daripada Stadium Larkin dan Tasik Utara. PB hanya sempat berada di sana selama sebulan setelah diterima masuk ke Fakulti Ekonomi, UKM.

No comments:

Post a Comment