Akhirnya 20 buah sekolah diumumkan sebagai kumpulan pertama sekolah berprestasi tinggi (SBT). Pada tahun 2011, sejumlah 30 buah sekolah lagi akan dipilih, manakala pada tahun 2012 ialah 50 buah. Semua 10,000 buah sekolah (SK, SMK) bantuan penuh, atau sekolah bantuan modal tanpa mengira status: rendah, menengah, harian atau asrama penuh bersaing 'di atas padang yang sama rata'.
Kriteria pemilihan SBT ditetapkan berdasarkan sub-Bidang Keberhasilan Utama (NKRA), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Perinciannya terdapat dalam instrumen Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) yang diubah suai. Antara kriteria yang disenaraikan termasuk:
a] pencapaian akademik yang cemerlang;
b] melahirkan personaliti unggul;
c] merangkul anugerah kebangsaan dan antarabangsa;
d] mewujudkan jalinan dengan IPT;
e] mempunyai permuafakatan dengan masyarakat, serta jalinan kukuh dengan sekolah
tempatan dan antarabangsa;
f] menjadi penanda aras kepada sekolah dalam dan luar negara.
Separuh daripada SBT yang terpilih ialah sekolah berasrama penuh yang hebat-hebat belaka: Tun Fatimah, SDAR, MCKK, Seri Puteri (asalnya di Jalan Kolam Ayer, KL), Sultan Abdul Halim, Tunku Kurshiah, KISAS, SMS Tuanku Syed Putera, Alam Shah, Muzaffar Shah. SMK harian: Sri Aman, PJ; Aminuddin Baki, KL; Sultanah Asma, Alor Setar; St George (P), Pulau Pinang. Sekolah rendah: Seri Bintang Utara, KL; TTDI 1, KL; Bukit Damansara, KL; Zainab 2, KB; Convent Kota, Taiping; Bandar Baru Uda 2, JB.
Dari segi lokasi, 40 peratus SBT kumpulan pertama ini terletak di Lembah Kelang. Ironinya, tiga buah negeri terbesar dari segi saiz, iaitu Sarawak, Sabah dan Pahang tidak mempunyai wakil. Sebuah lagi negeri yang tercicir ialah Terengganu walaupun mencatat perncapaian terbaik untuk UPSR dan PMR.
Seperti biasa, mustahil untuk memuaskan hati semua pihak. Namun, perlu dingat bahawa pada tahun hadapan akan ada lagi sekolah yang terpilih. Selain itu, pelbagai bentuk pengiktirafan KPM masih ada. Misalnya, sekolah harapan negara, sekolah kluster, anugerah kualiti, sekolah lima bintang dan banyak lagi.
Barangkali sudah tiba masanya KPM membuat penarafan kepada semua 10,000 buah sekolah dalam senarai mengikut kedudukan 1,000 buah sekolah terbaik. Sekolah yang tersenarai akan berusaha supaya tidak terkeluar pada tahun berikutnya, manakala sekolah di luar senarai akan berusaha memasukinya. Instrumen penarafan mestilah bersifat telus dan dikawal selia oleh sebuah jawatankuasa yang memiliki integriti.
Kriteria keberkesanan sekolah yang selalu terlepas pandang, iaitu persekitaran pembelajaran yang kondusif dan persekitaran kerja yang bertekanan sederhana perlu diberi pemberatan atau wajaran yang sesuai. Jangan kerana hendak mengejar sesuatu pengiktirafan, tekanan yang keterlaluan terpaksa dipikul oleh warga sekolah. Fenomena tekanan melampau yang dialami oleh generasi muda Jepun dan Korea Selatan dengan status negara maju seharusnya diambil iktibar.
Walaupun pelbagai bentuk autonomi kurikulum, kewangan dan pengambilan kakitangan diberikan kepada pengetua dan guru besar SBT, sudah pasti terdapat asas garis panduannya. Kepimpinan sekolah yang berkesan berupaya menggembleng segala sumber di sekolah secara optimum dan suci hati. Maksudnya, warga sekolah sentiasa menyokong kepimpinan pengetua secara sukarela dalam konteks pencapaian kecemerlangan.
Bagaimanakah kedudukan SMK St. Michael, Ipoh (SMI)? Bilakah agaknya SMI dapat merasa status SBT? Meneliti senarai kriteria SBT, justifikasi untuk SMI memang lengkap.
Sebagai sebuah sekolah bantuan modal yang turut menampung keperluan murid tercicir, kurang beruntung, dan berkeperluan (the last, the least, the lost), pencapaian sehebat SBP atau sekolah kluster mungkin tidak terjangkau. Namun, SMI memiliki nama baik di dalam dan di luar negara. Sesenarai panjang Michaelians yang berbakti kepada negara dan dunia di bidang kecendekiawanan, kepimpinan politik, perniagaan, perubatan, media, sukan dan pertubuhan sukarela boleh ditonjolkan.
Hakikatnya, SBT kumpulan pertama yang terpilih memiliki x-factor yang tersendiri. Kepimpinan sekolah, tradisi, legenda dan permuafakatan stake-holders diadun dalam satu pakej yang saling melengkapi. Semuanya dipacu dalam kenderaan dan pada landasan yang sama...
Sebagai sebuah sekolah bantuan modal yang turut menampung keperluan murid tercicir, kurang beruntung, dan berkeperluan (the last, the least, the lost), pencapaian sehebat SBP atau sekolah kluster mungkin tidak terjangkau. Namun, SMI memiliki nama baik di dalam dan di luar negara. Sesenarai panjang Michaelians yang berbakti kepada negara dan dunia di bidang kecendekiawanan, kepimpinan politik, perniagaan, perubatan, media, sukan dan pertubuhan sukarela boleh ditonjolkan.
Hakikatnya, SBT kumpulan pertama yang terpilih memiliki x-factor yang tersendiri. Kepimpinan sekolah, tradisi, legenda dan permuafakatan stake-holders diadun dalam satu pakej yang saling melengkapi. Semuanya dipacu dalam kenderaan dan pada landasan yang sama...
No comments:
Post a Comment