Meneliti tajuknya sahaja sudah menimbulkan tanda tanya. Namun, sebagai penulis berstatus sasterawan negara, Shahnon Ahmad, seorang profesor emeritus USM dan mantan ahli parlimen, penceritaan disusun dalam ayat yang begitu mantap dan menangkap imaginasi. Ceper sebenarnya nama sebuah sungai yang begitu mempengaruhi aktiviti pertanian di kampung "ibu".
Segala anggapan dan gambaran terhadap "pelakuan" ibu dan Ceper dihat daripada sudut pandangan pertama, menerusi "aku". Cerpen boleh disifatkan sebagai catatan kenangan 40 tahun sebelumnya, iaitu sebelum ibu meninggal dunia.
nota: sambungan internet sering terganggu, maka bersambung kemudian...
Jika anda pernah berjalan-jalan di bandar raya Jeddah atau Riyadh, anda mungkin biasa melihat papan iklan gergasi memaparkan ayat "walaa tulquu bi aidiikum ila't-tahlukah" (petikan al-Qur'an) yang bermaksud "dan janganlah campakkan diri kamu ke dalam kancah kebinasaan.." Mesejnya ialah keburukan merokok. Di Malaysia, kita biasa melihat papan iklan "katakan tidak kepada rokok"!
Tanpa bersandarkan kajian ilmiah pun, kita dapat mengatakan (falasi bagi penyelidik) bahawa tabiat merokok bermula dalam usia persekolahan. Kajian tentang perokok tegar pernah dibuat oleh Prof. Dr. Sufean Hussien, bekas Dekan Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya. Nyata sekali bahawa sekali "berjaya" merokok, seseorang itu membuka langkah ketagihan.
Perokok memberi alasan bahawa dengan merokok mereka turut menyumbang terhadap aktiviti ekonomi. Banyak peluang pekerjaan daripada pengurusan industri dan teknologi hinggalah penjual rokok jalanan (kiosk) dapat dibantu. Kalau semua pakat-pakat berhenti merokok, banyak pihak yang akan terjejas.
Walaupun penceramah mengatakan bahawa perokok tiada yang beruban (kerana menemui ajal sebelum sempat berusia tua), kumpulan perokok mengemukakan dalil sebaliknya. Begitulah degilnya perokok mempertahankan tindakan mereka. Terdapat indoktrinasi senyap dalam kalangan perokok muda bahawa lelaki yang tidak merokok sebagai "tidak macho".
Sekolah telah dijadikan zon larangan merokok, baik kepada kakitangan atau pelawat. Murid dan pelajar memang dilarang membawa rokok atau peralatan merokok ke dalam kawasan sekolah. Memang susah untuk meyakinkan murid bahawa rokok itu semata-mata buruk justeru ada bekas murid yang sudah bergelar profesor mengakui mula merokok sejak di bangku sekolah (kisah benar di sekolah lama penulis blog, PB).
Walaupun terpaksa menempuh pelbagai rintangan dan tentangan, kempen antirokok tetap dilipatgandakan. Di SMK St Michael, Ipoh (SMI), kempen antirokok versi 2010 disekalikan dengan pendidikan pencegahan penyakit yang lain, khususnya yang berkaitan dengan bawaan nyamuk. Baru-baru satu pameran mini dan sesi penerangan telah dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Kinta.
Pada amnya, karangan ialah sebuah susunan (Kamus Dewan Edisi IV:676-677). Antara ciri susunan ialah baik, teratur dan menarik. Hanya seorang pakar dapat menyediakan karangan bunga yang bernilai tinggi, menyediakan butir manik dan labuci, atau menghias indah muka karang (perkarangan) halaman rumah.
Apabila karangan disampaikan menerusi medium penulisan, pada hakikatnya berlaku prosespemindahan komunikasi antara sang penulis dengan sang pembaca dengan perantaraan huruf dan tanda baca. Jika dikhususkan untuk tujuan peperiksaan, sang calon cuba meyakinkan sang pemeriksa bahawa dia telah menjawab tugasan soalan sehabis baik. Semua ciri penulisan karangan yang baik dan kriteriaorganisasi idea telah dipatuhi.
Bagi mempersembahkan sebuah karangan yang baik, teratur dan menarik seumpama menyediakan pelan iklan dan promosi. Antara strategi iklan ialah ADIA, satu kependekan atau akronim berbahasa Inggeris. A = menarik perhatian (attention); D = menimbulkan hasrat (desire); I = mengukuhkan niat (intention); A = bertindak membeli (action).
Calon atau murid yang menulis karangan mesti memulakan karangan dengan gambaran permulaan yang menggirangkan sang pemeriksa atau guru yang menanda karangan. Walaupun guru yang menanda mesti berlaku adil dan bersabar untuk membaca hingga ke ayat terakhir sebelum memeringkatkan status karangan, seboleh-bolehnya calon memudahkan tugas berkenaan. Sama seperti strategi iklan tadi, pemeriksa akhirnya bersetuju "membeli" karangan calon dengan "markah" yang tertinggi!
Calon SPM perlu menulis dua buah karangan sekali gus, iaitu karangan respons tertutup (30 markah), dan karangan respons terbuka (100 markah). Perbincangan ini hanya menumpukan tentang karangan respons tertutup, iaitu penulisan berdasarkan bahan rangsangan yang disediakan. Terdapat persamaan dengan konsep isi tersurat dalam soalan rumusan (kertas 2), iaitu ambilan idea daripada bahan yang disediakan (tercetak).
Kebiasaannya bahan rangsangan, sama ada berbentuk gambar atau carta menampilkan tiga hingga empat idea / isi. Memandangkan peruntukan masa yang dicadangkan kira-kira 45 minit dan maksimum jumlah perkataan sebanyak 250, tiga isi sudah memadai. Pastikan ambilan isi berkenaan betul-betul daripada bahan rangsangan, bukan pendapat sendiri.
Umat Islam mengingati Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam setiap detik dalam kehidupan mereka. Sejarah kehidupan peribadi dan perjuangan baginda yang telah berlalu hampir 15 abad silam sentiasa dianalisis dan dikaji sepanjang masa sama ada oleh individu di wilayah terpencil, mahupun ditekuni oleh kaum intelektual di menara gading dan di segenap penjuru alam. Junjungan telah mewariskan dua perkara yang menjadi cahaya dan penyelamat daripada kegelapan aqidah dan kesesatan, iaitu al-Qur'an dan al-Sunnah.
Segala perbuatan dan tutur kata baginda yang menggambarkan aplikasi al-Quran secara total terakam sepenuhnya dalam catatan yang disebut sebagai sirah. Baginda mencantum kesinambungan risalah tawhid yang dimulakan sejak manusia pertama, iaitu Nabi Adam. Dengan turunnya al-Quran, segala ajaran dalam kitab terdahulu (Taurat, Zabur dan Injil) telah dirangkumkan sekali gus dan dimuktamadkan. Para sarjana mengungkapkan kitab al-Quran yang diturunkan kepada baginda sebagai cantuman terakhir segala kebijaksanaan (the final synthesis of wisdom).
Sesungguhnya baginda Junjungan Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam telah memberi nilai kepada kehidupan insan berteraskan kepercayaan yang benar (tawhidic weltanschauung, the world-view of the Oneness). Apabila denyut nadi insan dan aturan hidup bermasyarakat dipacu oleh paradigma keterikatan kepada neraca Ilahi, nescaya manifestasi akhlak dan syariah yang dipancarkan dalam aktiviti harian mereka akan menjurus kepada pencapaian keadilan, kasih sayang, berkat dan rahmat. Penindasan dan perhambaan sesama manusia bakal berakhir.
Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam telah menunjukkan sentuhan tawhid dalam tatacara kehidupan perseorangan, rumah tangga, masyarakat, negara dan hubungan antarabangsa. Hubungan mendatar (horizontal) menegak (vertical) sesama insan itu diselarikan dengan hubungan transenden dengan alam ghaib yang menjadi asas keimanan seseorang. Walaupun begitu banyak inovasi dan teknologi baharu yang muncul dari masa ke masa, hakikatnya proses hidup manusia masih sama: alam arwah, duniawi, kematian, alam barzakh dan ukhrawi.
Marilah sama-sama kita menyambut Maulidul Rasul kali ini dengan tekad bagi memperkasa ajaran baginda dalam kehidupan yang cuma sebentar di dunia fana ini. Tampilkan contoh terbaik daripada anjuran baginda supaya konsep "rahmat sekalian alam" dapat dinikmati sekalian insan. Allahumma Salli ala Sayyidina Muhammad...
Info: Lokasi kelahiran Nabi (kini: Perpustakaan Awam Makkah)
Info: Kubah Hijau Masjid Nabawi, Madinah
(lokasi makam Junjungan Baginda Rasululullah Sallallahu alaihi wasallam)
Ipoh, Khamis: 25 Februari 2010 / 11 Rabiul Awal 1431
Panitia Ekonomi SMK St Michael, Ipoh (SMI) berjaya merealisasikan sasaran mencatat peratusan tertinggi dalam tempoh sedekad untuk mata pelajaran Ekonomi. Sejumlah 91.01 peratus calon yang mengambil kertas berkenaan telah lulus sekurang-kurangnya gred D. Hal itu bermakna bahawa berlaku peningkatan kira-kira 16% berbanding dengan keputusan STPM 2008.
Namun, peningkatan kuantiti yang hebat itu terpaksa dibayar dengan harga yang tinggi apabila hanya 6 orang calon memperoleh gred A, berbanding dengan 20 orang pada tahun sebelumnya. Lee Siew Woon dari UA2 dan Raja Rubini dari UA3 muncul sebagai calon ekonomi terbaik. Kejayaan mereka memang menepati sasaran panitia.
Kelas UA3 muncul dengan peratusan tertinggi lulus penuh (sekurang-kurangnya prinsipal C), iaitu 84.38%, berbanding dengan UA1: 71.43%, dan UA2: 50%. UA1 bagaimanapun tidak menyumbang seorang calon pun untuk prinsipal A. Secara keseluruhannya, 70.79% calon mencatat gred lulus penuh, berbanding dengan 72% pada tahun sudah.
Walaupun sifar "F" masih belum benar-benar berlaku, ternyata bahawa jalan ke arah itu kian dekat. Jumlah lapan orang calon yang masih mencatat gred F bukanlah besar sangat. Panitia mendapati bahawa kumpulan berkenaan bolehlah disifatkan sebagai "near miss", iaitu tidak bernasib baik. Bukan tidak berusaha, cuma kaedah dan intensiti usaha mereka mungkin belum memadai untuk keluar daripada zon kecundang.
Bagi keputusan keseluruhan STPM 2009, SMI mencatat peningkatan sebanyak 2.72%, iaitu daripada 95.8% (2008) kepada 98.5% (2009), jauh mengatasi peratus kebangsaan, 92.55%. Sejumlah 203 orang calon SMI menduduki peperiksaan STPM 2009, iaitu jumlah tertinggi dalam kalangan 19 buah sekolah menengah tingkatan 6 Kinta Utara. 89 orang calon mengambil jurusan kemanusiaan, manakala selebihnya sains tulen.
Tiga orang calon jurusan Sains (Fizik) mencatat PNGK 4.0, didahului Eddy Chow Mun Tik. Calon terbaik jurusan Sains (Biologi) ialah Wong Hon Kit yang meraih 3A, 1A-, serta Muet Band 6. Eddy dan Hon Kit mengekalkan pencapaian terbaik peribadi mereka sebagaimana SPM 2007, iaitu 11 1-A. Kepada semua calon STPM 2009, terima kasih dan tahniah buat kalian...
Markah yang diperuntukkan hanya 6. Namun, jika calon dapat meraih sekurang-kurangnya 4 markah, keadaan sedemikian boleh membantu ke arah pencapaian gred yang lebih tinggi. Barang diingat bahawa mulai SPM 2009, gred tertinggi ialah A+, diikuti oleh A dan A-.
Jika diperhatikan, ujian peribahasa yang dilaksanakan dalam peperiksaan SPM terdiri daripada ketiga-tiga aras: sukar, sederhana dan mudah. Tujuannya untuk memisahkan calon yang cemerlang dengan calon biasa dan lemah. Walaupun begitu, calon hendaklah cuba menjawab semua soalan justeru tiada penalti dikenakan terhadap jawapan yang khilaf / salah.
Ipoh, Rabu: 24 Februari 2010 / 10 Rabiul Awal 1431
Satu taklimat berkaitan panduan penubuhan kadet bomba dan penyelamat Malaysia versi baharu berlangsung di ibu pejabat Bomba dan Penyelamat Negeri Perak bermula pada pukul 9 pagi dan berakhir kira-kira empat jam kemudian. Sejumlah 23 orang guru penyelaras kadet bomba zon Ipoh, dan 9 orang pegawai bomba menghadirinya. Taklimat disampaikan oleh Pegawai Latihan Bomba dan Penyelamat Negeri, Encik Tajul.
Dasar dan peraturan baharu yang digubal bersama oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dengan Kementerian Pelajaran itu bererti segala bentuk dasar dan peraturan terdahulu mansuh serta-merta. Cuma, kelonggaran diberi dari segi tempoh pelaksanaan supaya proses pelaksanaan dasar dan peraturan baharu itu dapat dipatuhi dalam tempoh setahun. Secara amnya, penjenamaan semula kadet bomba dan penyelamat bertujuan memantapkan pasukan tersebut di peringkat sekolah.
Manual panduan yang diterbitkan akan menjadi pegangan pihak jabatan dan sekolah dalam menjayakan aktiviti kadet. Apabila isu kadet tingkatan enam dibangkitkan, Encik Tajul berjanji akan membawa perkara itu untuk perhatian ibu pejabat Bomba dan Penyelamat di Putrajaya pada 1 Mac ini. Syarat minimum penubuhan pasukan 43 anggota, dan maksimum 84 orang anggota berdasarkan sistem top-up menyukarkan pengambilan angota baharu dalam kalangan pelajar tingkatan enam.
Guru penyelaras turut membangkitkan isu kejurulatihan kadet. Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam jawapannya meminta guru penyelaras yang hadir mengukuhkan komitmen anggota kadet untuk mengikuti setiap sesi latihan yang diaturkan. Selain itu, disiplin pasukan hendaklah dijaga supaya segala program latihan dan teori dapat menyediakan anggota untuk proses pentauliahan dan pangkat.
Penegasan juga dibuat tentang spesifikasi pakaian seragam baharu bagi guru penyelaras dan kadet. Pakaian operasi celoreng digantikan dengan baju-t berwarna biru gelap berkolar dengan logo pasukan dipasangkan dengan seluar panjang sekolah atau seluar panjang berwarna gelap. Pakaian rasmi ini akan digunakan untuk sesi latihan dan pertandingan.
Guru dan kadet yang menyarung pakaian seragam berkenaan diingatkan supaya mengehadkan pemakaiannya dalam tempoh latihan dan bukan untuk ditayangkan di tempat awam. Fasal 341 Akta Bomba memperuntukkan dakwaan dan sabitan terhadap penggunaan pakaian seragam yang tidak dibenarkan.
Logo terkini Bomba dan Penyelamat juga wajib digunakan serta-merta. Struktur pasukan, platun dan seksyen dimantapkan dengan kuasa lantikan lans koperal diberikan kepada guru kadet. Perkara yang tidak kurang menariknya ialah bahawa setiap guru penyelaras dan anggota kadet akan dibekalkan dengan kad keahlian sebagai tanda pengenalan rasmi yang seragam di seluruh negara.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini bahawa sintaksis mengkaji tentang peraturan susunan kata dalam sesuatu ayat. Awang Sariyan (Teras Pendidikan Bahasa Melayu, 2004:142) membahagikan unit sintaksis kepada tiga: frasa, klausa, ayat. Perbincangan ringkas ini bagaimanapun hanya akan memberi tumpuan terhadap aplikasi semata-mata. Kepada yang berminat mendalami teori sintaksis bolehlah membuat rujukan lanjut.
Dalam konteks SPM, calon harus mengetahui asas binaan ayat. Misalnya dalam ayat mudah atau ayat tunggal, hanya ada satu subjek, satu predikat dan mungkin ditambah dengan frasa penerangan. Ayat tunggal boleh ditulis dengan susunan biasa, atau susunan songsang. Perhatikan contoh berikut:
Alimenendang boladengan kencang.
Ali = subjek
menendang bola = predikat
dengan kencang = penerangan
Ayat di atas bersusunan biasa iaitu subjek dinyatakan lebih dahulu daripada predikat.
Jika tugasan soalan menghendaki calon menulis semula ayat dalam susunan songsang, terbalikkan sahaja kedudukan subjek dan predikat. Frasa penerangan pula bebas diletakkan sama ada di hadapan, tengah atau belakang.
1 Menendang bolaAlidengan kencang
2Menendang boladengan kencang Ali
3Dengan kencangmenendang bolaAli
Kesemua tiga ayat mungkin janggal bunyinya, namun itulah namanya susunan ayat songsang. Satu-satunya perkara yang ditekankan ialah predikat mendahului subjek.
Seterusnya, jika tugasan menghendaki ayat aktif dijadikan ayat pasif, cari perkataan berimbuhan "meN", dan tukarkannya kepada "di". Dalam contoh ayat di atas, ayat yang dipasifkan perlu ditulis sebagai:
Bola ditendangoleh Ali dengan kencang.
Perkataan oleh dimasukkan sebelum subjek. Sekali lagi frasa penerangan boleh diletakkan di hadapan, tengah atau belakang.
Calon juga mungkin diuji menerusi item di bawah:
a. menggabungkan ayat / menulis ayat majmuk
b. cakap ajuk cakap pindah
c. pola binaan ayat: FN, FK, FA, FS
d. mengenal pasti jenis ayat: penyata, tanya, seruan, perintah.
Tatabahasa diuji menerusi Soalan 3 kertas 2 Bahasa Melayu SPM. Markah yang diperuntukkan ialah 30. Secara ringkas, pecahan soalan ialah seperti di bawah:
Morfologi ialah kajian tentang pembentukan kata, manakala sintaksis ialah peraturan tentang susunan kata dalam ayat (Kamus Dewan, Edisi IV: 1043, 1052).
Pada peringkat SPM, aspek morfologi diuji menerusi pembinaan ayat. Unit dan proses morfologi yang terlibat biasanya meliputi:
i. kata dasar / kata tunggal
ii. kata terbitan: imbuhan awalan, akhiran, sisipan, apitan
iii. kata ganda: penuh, separa, berentak, berimbuhan
iv. golongan kata: kata nama, kata adjektif, kata kerja, kata sendi, kata hubung,
kata keterangan, kata seru, kata sandang
Disebabkan morfologi diuji dalam bentuk ayat, maka aspek sintaksis turut dimasukkan sebagai aplikasi tatabahasa. Maka, murid harus juga menguasai penggunaan rangkai kata (frasa), klausa dan organisasi ayat. Pendek kata, kemahiran morfologi hanya boleh diserlahkan menerusi penulisan ayat yang turut mematuhi hukum sintaksis dan semantik (masuk akal).
Tugasan soalan 3a menghendaki calon menulis ayat berdasarkan perkataan atau rangkai kata yang diuji seadanya. Sebarang pindaan seperti membubuh imbuhan, atau menggugurkan imbuhan (jika ada) akan mengakibatkan ayat calon ditolak mentah-mentah!
Selain itu, larangan menjadikan perkataan / rangkai kata yang diuji sebagai nama khas, atau peribahasa dinyatakan dengan jelas dalam tugasan soalan. Namun, pada dasarnya membubuh kata ganti nama "nya" dan partikel "lah", "tah" tidak menjadi kesalahan. Walaupun demikian, calon hanya digalakkan mengekalkan perkataan / rangkai kata yang diuji seadanya.
Sekarang, lihat beberapa contoh ayat. Perkataan / rangkai kata yang berhuruf tebal ialah unit / proses morfologi yang diuji. Keterangan dalam kurungan ( ) ialah status ayat berkenaan.
1. Serunai itu diletak di atas meja. (ayat tidak jelas)
2. Nama kawan saya Serunai. (digunakan sebagai nama khas, ditolak)
3. Saya tidak faham perkataan serunai. (tidak mematuhi tugasan soalan, ayat mesti dapat menjelaskan makna dan kegunaan perkataan / rangkai kata yang diuji)
4. Saya meniup serunai itu. (diterima)
5. Kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga. (dijadikan peribahasa, membubuh imbuhan "di"; ayat ditolak)
6. Abang saya menghadiri satu sesi temu duga. (diterima)
7. Pertandingan hoki itu dijalankan secara kalah mati. (diterima)
8. Saya harap kamu akan bertungkus-lumus untuk menang. (ayat dialog / cakap pindah; tiada pihak yang bercakap, tiada tanda pembuka / penutupkata; dikenakan penalti)
9. "Pulanglah dengan segera", kata ibu kepada abang menerusi sidang video.
(membubuh patikel lah; pada dasarnya diterima, tetapi tidak digalakkan)
Kesihatan fizikal membantu proses pencerdasan akal. Begitulah maksim yang biasa kita dengar tentang pentingnya aktiviti kecergasan dan senaman. Walaupun dalam banyak keadaan, kita lebih cenderung memanjakan tubuh badan kerana kononnya enggan melakukan "deraan", sikap itu tidak dapat dipertahankan. Rembesan peluh selalu dikaitkan dengan pembebasan toksin yang boleh menjadi ancaman jangka panjang terhadap kesihatan jika dibiarkan sahaja.
Berbanding dengan taksonomi Bloom yang memperingkatkan proses pembelajaran kepada 6 tahap: tahu, faham, guna, analisis, sintesis, nilai, pendekatan somatik menjurus kepada aspek fizikal yang menyokong pembelajaran seperti reka bentuk bangunan sekolah, ruang pergerakan, pengudaraan dan pencahayaan.Kegiatan sukan termasuk dalam memenuhi keperluan somatik (soma = badan). Kejohanan sukan ialah salah satu daripada 4 program wajib sekolah.
SMK St Michael, Ipoh (SMI) bakal menganjurkan kejohanan sukan tahunan edisi ke-82 pada 1 April 2010 nanti. Bagaimanapun, temasya separuh hari itu hanya membabitkan beberapa acara akhir, sedangkan banyak acara akhir yang lain dan semua saringan, serta sukan tara dilaksanakan seawal bulan Februari. Pasukan rumah sukan merancang jadual latihan bagi memungut seberapa banyak mata dalam sukan tara, dan memilih peserta yang berpotensi meraih pingat dalam acara akhir.
Acara pecut 100 meter mampu disertai oleh kebanyakan pelajar. Mereka hanya perlu melepasi masa kelayakan yang ditetapkan oleh sekretariat sukan sekolah untuk menyumbang mata kepada rumah sukan masing-masing. Tidak perlu taktik "kotor" atau sabotaj untuk menang justeru semua pelari datang daripada rumah sukan yang sama. Misalnya, sukan tara pembukaan 2010 dikhaskan untuk La Salle.
Acara lompat jauh yang disertai para amatur memang melucukan. Banyak aksi spontan yang boleh menyebabkan penonton ketawa "pecah perut". Macam-macam gaya berlepas, melompat dan mendarat. Namun, keberanian mencuba patut diberi pujian!
Bersukan dan bertugas di bawah pancaran terik matahari memercikkan peluh dan mengeringkan tekak. Usai penyertaan dan tugas, semua bergegas ke arah lokasi redup, terutama kawasan pavilion dan tebaran bayang-bayang. Apa-apa sekalipun, keselamatan tetap menjadi keutamaan di SMI...
Peluang mengganggotai kelab sukan persendirian bagi murid yang datang daripada keluarga berkemampuan, serta peluang menganggotai pasukan naungan Majlis Sukan Negeri bagi murid berbakat, memberi kelebihan kepada sebuah sekolah bandar seperti SMK St Michael, Ipoh (SMI). Walaupun mereka bukan mendapat bimbingan terus SMI, persekitaran sekolah yang kompetetif dan prosukan berprestasi tinggi turut menyumbang kepada pencapaian yang memberangsangkan itu. Hingga kini, murid SMI telah berjaya mengharumkan nama negara dalam sukan badminton, ekuin, menembak, polo air dan renang.
Siapa yang tidak kenal Ng Boon Bee, Tan Yee Khan dan Khoo Ken Kiat dalam acara badminton? Bolehkan Foo Keat Seong dan Mohamad Abdul Hadi diketepikan dalam sejarah hoki negara? Jika hendak disenaraikan semuanya terlalu panjang, justeru acara sukan tertentu mungkin tidak begitu diminati di negara kita, tetapi digilai di negara lain.
SMI tumpang berbangga dengan pencapaian seorang lagi muridnya, Justin Thong dari kelas 5 Sains 2. Justin baharu sahaja menjuarai kejohan golf Majlis Sukan Sekolah-sekolah Perak baru-baru ini. Justin akan mewakili negeri Perak ke pertandingan peringkat MSSM tidak berapa lama lagi.
Sokongan keluarga dan kebolehan membahagikan masa bersukan dengan hal-hal akademik menjadi rencah kejayaan Justin. Bapa dan abangnya turut meminati sukan golf. Mereka bertiga menjadi anggota Kelab Golf Di-Raja Perak yang terletak bersebelahan Taman Golf dan Jalan Gopeng. Di samping menjalani latihan, kelab berkenaan turut menggalakkan anggota menyertai pertandingan golf dalam dan luar negara berdasarkan tahap pencapaian masing-masing.
Justin berpendapat bahawa jalan untuk mendaki kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa amatlah mencabar. Di Lembah Kelang, terdapat lebih banyak kelab golf dan pemain handalan. Pemain golf dari negeri Perak perlu bekerja keras dan berguru dengan jurulatih yang hebat bagi menyaingi mereka...
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang kesan-kesan buruk penggunaan kad kreditdan cara-cara mengawal penggunaan kad kredit. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi120 patah perkataan.
Rakyat sentiasa diingatkan supaya bijak menggunakan wang dan mengatur perbelanjaan mereka. Rakyat mempunyai kuasa membeli tetapi ada kalanya timbul masalah apabila mereka membeli barang yang tidak perlu atau secara membazir. Keadaan menjadi lebih meruncing dengan penggunaan kad kredit yang tidak terkawal.
Orang ramai seharusnya menggunakan kad kredit dengan penuh berhemah agar mereka tidak menghadapi beban hutang yang boleh menjurus ke arah muflis. Jika pemegang kad kredit berbelanja besar, banyak yang perlu mereka bayar kepada bank. Harus diingat, kad kredit ialah kemudahan pembayaran pendahuluan iaitu beli dahulu dan bayar kemudian, bukan untuk bermegah dan boros. Bank Negara memberi amaran bahawa sudah wujud semacam pergantungan generasi muda terhadap kad kredit dalam melayan kehendak diri yang tiada berkesudahan. Kad kredit seakan-akan menjadi lesen untuk tunduk kepada nafsu kebendaan sehinggakan konsep pengguna rasional ditolak ke tepi.
Kempen dan perang harga yang dilancarkan oleh syarikat pengeluar dan pasar raya ada ketikanya membangkitkan keghairahan pemegang kad kredit untuk berbelanja. Selain memaparkan iklan di akhbar dan televisyen, kini sudah banyak syarikat mengedar risalah 'potongan harga' dan 'harga runtuh' dari rumah ke rumah. Statistik tahun 2005 menunjukkan bahawa rakyat Malaysia membelanjakan RM45.2 ribu juta menerusi kad kredit, iaitu meningkat 13.9 peratus berbanding dengan tahun sebelumnya.
Kelonggaran syarat pemilikan kad kredit meningkatkan jumlah pemegang "wang plastik" itu, khususnya pengguna muda. Kegagalan melangsaikan hutang kad kredit tentunya membebankan institusi kewangan yang berkenaan, contohnya kos perhubungan dan guaman. Dalam hal ini, kedua-dua pihak kerugian iaitu pengguna mungkin diisytihar muflis dan institusi kewangan terpaksa melupuskan hutang mereka. Kecenderungan berhutang yang keterlaluan dan kes mahkamah yang membabitkan pemegang kad kredit boleh menjejaskan imej negara yang cuba bersaing sebagai pusat kewangan serantau.
Salah satu ciri masyarakat maju ialah kemampuan membuat pertimbangan dan keputusan terhadap baik buruk sesuatu perkara. Pemegang kad kredit tidak terkecuali dalam hal ini. Kad kredit seharusnya kekal sebagai kemudahan untuk berbelanja, bukan mencetuskan masalah-masalah lain.
(Diubahsuaikan daripada Kad Kredit Bukan Sumber Berbelanja Besar oleh
Zainuddin Ayip, Berita Harian, 15 April, 2006)
Kaedah menulis rumusan telah dihuraikan dalam "posting" terdahulu.Sila buat semakan akan segala prinsip yang telah disarankan. Di bawah ini ditunjukkan rangka kasar isi jawapan. P mewakili pendahuluan, S = Isi Tersurat; T = isi Tersurat; K = Kesimpulan. Jawapan penuh hendaklah dibuat dalam format karangan biasa (dicadangkan empat perenggan). Selamat mencuba...
P
Petikan tentang isu / kemudahan berbelanja dengan kad kredit
2
S
1
(Orang ramai menghadapi) beban hutang (yang boleh menjurus ke arah muflis)
2
2
Banyak yang perlu dibayar kepada bank
2
3
Pergantungan generasi muda (terhadap kad kredit)
2
4
Konsep pengguna rasional ditolak ke tepi / tunduk kepada nafsu kebendaan
2
5
Membebankan institusi kewangan / beban kos perhubungan dan guaman
2
6
Pengguna mungkin diisytihar muflis
2
7
Institusi kewangan terpaksa melupuskan hutang
2
8
Menjejaskan imej negara
2
T
1
Pendidikan pengguna (formal) / kempen )
2
2
Peranan persatuan pengguna )
2
3
Amalan kesederhanaan / pengguna berpengetahuan ) contoh / huraian diterima
2
4
Kelayakan pemegang kad diperketat / kawalan kelulusan kad ) (ikut payung generalisasi)
2
5
Etika perniagaan / pengiklanan )
2
K
Masyarakat pengguna yang matang perlu diwujudkan supaya penggunaan kad kredit hanya menjurus kepada kesejahteraan hidup mereka.
2
Nota: jumlah perkataan setakat 120 patah sahaja
: maksimum S = 12 markah; maksimum T = 12 markah; maksimum S + T = 16 markah
Dua tiga tahun yang lalu, belia Seberang Pintasan sangat bertuah kerana dapat bermain bola sepak bersama-sama seorang pemandu F1 tersohor dunia, Michael Schumaker apabila pelumba handalan Jerman itu berkampung selama seminggu di sana. Bukan kerana mat salleh yang mereka kagumi, tetapi bagaikan mimpi dapat berdamping dengan seorang selebriti sukan bertaraf legenda. Walaupun belia Seberang Pintasan bukan peminat sukan pemotoran, justeru bergelumang dengan dunia nelayan, sambutan hangat mereka meninggalkan memori indah buat Schumaker pada penghujung kemuncak karier beliau.
Dahulu laluan singkat Seberang pintasan dengan Kuala Dungun ialah menerusi perkhidmatan bot tambang. Kini, kelibat penumpang yang setia menunggu di jeti, dan jerit pekik penambang sudah lenyap dibawa arus pemodenan. Sebuah jambatan merentasi Sungai Dungun telah merobah peta laluan Seberang Pintasan hingga berpotensi menjadi sebuah pusat pertumbuhan ekonomi yang baharu.
Berhampiran Seberang Pintasan ialah Tanjung Jara Beach Resort yang bertaraf lima bintang. Pelancong yang menggemari aktiviti meredah belukar dan denai pasti akan merasai nikmat menelusuri sebuah sketsa alam yang cukup menakjubkan. Pelancong boleh memilih untuk menyusuri pantai yang menawarkan deburan ombak dan gigi air yang mengubat jiwa nan lara.
Jika pelancong hendak menyaksikan kelainan, mereka boleh membuat keputusan melencong ke sebelah kiri hujung jambatan, iaitu Rajawali. Pengalaman memandu di lereng bukit dan pinggiran sungai mungkin sama dengan adegan filem Hindustan atau ala-ala drift filem Hong Kong dan Hollywood. Bagi penganut Islam, inilah masa untuk mengucapkan Subhanallah banyak-banyak.
Setiap kali menjelang musim perayaan atau cuti panjang, pihak berkuasa lalu lintas akan mengumumkan Ops Sikap. Tujuannya untuk mendisiplinkan pengguna jalan raya supaya mematuhi segala peraturan di bawah akta pengangkutan, dan mendidik mereka agar lebih peka tentang hal-ehwal keselamatan penggunaan jalan raya untuk diri sendiri dan orang lain. Kompaun maksimum RM 300 akan dikenakan ke atas pengguna yang gagal mematuhi had kelajuan, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, atau tidak menghiraukan lampu isyarat merah.
Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) pula ditubuhkan untuk melaksanakan penyelidikan untuk menambah baik dasar, pentadbiran dan rejim psikologi pengguna jalan raya di negara kita. MIROS diterajui oleh seorang ketua pengarah yang berlatar belakang kejuruteraan trafik. Walaupun begitu, isu-isu seperti ekonomi pengangkutan, psikologi pemanduan, etika kontraktor pembinaan jalan dan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang akan memiliki pasukan penyelidik tersendiri, sama ada dalam kalangan felo dalaman MIROS, mahupun penyelidik tamu dari IPT dalam dan luar negara. Dalam jangka panjang, bab-bab keselamatan jalan raya tidak semata-mata dituding kepada kecuaian pengguna.
Di peringkat antarabangsa, kita didedahkan tentang panggilan semula kepada sejumlah dua juta kenderaan Toyota, terutama edisi terbaharu Prius di Amerika Syarikat dan Eropah untuk menggantikan sistem brek, pedal dan beg udara yang didapati bermasalah. Honda juga memanggil kira-kira 400,000 unit kereta jenama berkenaan di rantau yang sama. Pengeluar dari Peranchis, Citroen dan Renault juga dilaporkan menuruti jejak langkah Toyota dan Honda.
Di negara maju, pengguna ialah “raja” yang sebenar. Pengeluar terpaksa tunduk kepada kehendak pengguna atau menghadapi risiko boikot dan pemulauan. Sebagai jenama asing (Jepun), Toyota dan Honda menyedari bahawa sekali mereka hilang kepercayaan pasaran Amerika Syarikat dan Eropah, empayar global mereka juga akan runtuh perlahan-lahan. Sebab itulah mereka sanggup melabur berbilion-bilion USD untuk menepati spesifikasi ketat piawaian rantau negara maju.
Honda dan Toyota memandang serius insiden yang mungkin dianggap terpencil di negara dunia ketiga. Satu kes brek dan pedal gagal berfungsi, atau satu kes beg udara terkeluar tanpa keperluan mengakibatkan seluruh kereta yang telah terjual dipanggil balik untuk pemeriksaan dan kemungkinan penggantian sistem berkenaan. Ternyata pengeluar tidak berani meletakkan beban kesalahan kepada pengguna jalan raya apabila berlakunya sesuatu musibah yang menimpa.
Mengapa perkara yang sama tidak boleh berlaku di rantau yang disebut dunia ketiga? Apakah pengeluar kenderaan komersial seperti Honda, Toyota dan Renault menganggap pengguna negara belum maju tidak begitu kritikal dan tidak begitu vokal tentang hak kepenggunaan? Adakah ini wajah sebenar gergasi multinasional (MNC) yang bertopeng di sebalik penyataan nilai-nilai korporat yang digahkan dengan susunan ayat visi dan misi, serta piagam pelanggan yang bunyinya muluk-muluk belaka?
Sarjana ekonomi pembangunan telah sekian lama menganjurkan teori lambakan di negara belum maju. Negara maju begitu “bermurah hati” melambakkan teknologi yang sudah ketinggalan zaman dan usang untuk direbut oleh pasaran negara belum maju. Apabila mendapati semangat patriotisme masyarakat negara belum maju meningkat, MNC menghulurkan tangan bekerjasama memajukan industri automatif tempatan dengan teknologi yang sepatutnya sudah masuk arkib atau lebih teruk lagi, muzium.
Memanglah kita berterima kasih kepada pengeluar kenderaan yang sudi memasarkan keluaran mereka di negara kita. Tanpa kenderaan penumpang yang moden, sistem pengangkutan sesebuah negara mungkin masih kuno, tradisional dan serba-serbi kekurangan. Namun, kemujuran itu tidak pula bererti kita menjadi masyarakat yang apologetik dan permisif. Hakikatnya, kita mempunyai pelbagai pilihan, serta tidak perlu secara keterlaluan bergantung kepada mana-mana pihak, khususnya kaum pemodal.
Jika masyarakat kita mempunyai keberanian, isu keselamatan jalan raya tidak semata-mata dibebankan kepada pengguna. Tanggungjawab keselamatan jalan raya mesti dikongsi oleh pelbagai pihak bermula daripada perancang dasar automatif negara, nisbah percukaian : harga kenderaan, piawaian kejuruteraan spesifikasi keselamatan kenderaan, etika pengeluar kenderaan, piawaian reka bentuk jalan raya, etika kontraktor pembinaan jalan, mutu bahan binaan jalan raya dan pentadbiran keselamatan pengguna jalan raya. Pengguna sebenarnya ialah pihak terakhir daripada rantaian proses panjang yang disenaraikan itu.
Mungkin sudah tiba masanya sebuah pertubuhan pengguna yang khusus tentang keselamatan jalan raya ditubuhkan. Kita tidak boleh begantung kepada agensi keselamatan jalan raya awam atau penyedia perkhidmatan swasta untuk melindungi hak pengguna jalan raya. Forum khusus pengguna jalan raya berpotensi menjadi suara yang autententik dan diambil kira oleh semua pihak yang berkepentingan dalam isu keselamatan jalan raya, terutama pengeluar kenderaan penumpang persendirian.
Organisasi pengguna jalan raya yang khusus ini hendaklah bebas daripada tunggangan individu oportunis yang cuba membina pengaruh dan kedudukan tertentu atas agenda peribadi. Perlembagaan pertubuhan yang digubal hendaklah memasukkan fasal khusus tentang hal ini dengan tegas. Jika masih berlaku, pintu keluar “syooh syooh” hendak ditunjukkan dengan hormatnya.
Peranan pertubuhan pengguna jalan raya ini boleh diperluaskan meliputi suntikan pengetahuan dan kemahiran tentang pengendalian kenderaan penumpang persendirian kepada semua pemandu. Sebagai contoh, kesedaran tentang komponen kereta yang paling mustahak ialah keadaan tayar yang selamat digunakan. Pertubuhan pengguna boleh mengambil daya usaha dengan menyarankan input berkenaan dalam semakan kurikulum pelesenan memandu dan kekerapan iklan dalam pelbagai media.
Secara ringkasnya, Ops Sikap tidak seharusnya dihalakan secara mutlak kepada pengguna jalan raya. Piawaian ketat spesifikasi kenderaan terhadap pengeluar, dan piawaian perancangan keselamatan jalan raya terhadap pihak penggubal dasar perlu dipantau secara berterusan. Sebuah pertubuhan pengguna jalan raya yang berdaftar dan khusus diberi laluan dan dihormati sepenuhnya.
Akhir sekali, kenderaan ialah sejenis alat atau jentera pengangkutan yang turut dipengaruhi faktor persekitaran. Faktor persekitaran merupakan pemboleh ubah ekstrogenous yang paling sukar dikawal. Maka, kita diajar untuk membaca doa perjalanan agar keselamatan kita sentiasa dipelihara oleh-Nya...
Musim selesema burung mungkin menyebabkan kawanan gagak bersembunyi daripada ancaman operasi pelupusan unggas perumah virus pembunuh itu. Kemudian, selesema burung berpindah pula ke babi. Namun, bilangan orang ramai yang memakai topeng pelindung boleh dikatakan sifar!
KLCC dalam tajuk di atas bukan merujuk menara berkembar Petronas, sebaliknya sekadar singkatan jenaka orang Kuala Lumpur (KL), iaitu KL see see (KL tengok-tengok jer...). Baru-baru ini, KL telah dimasukkan sebagai satu destinasi wajib pelancong sepertimana yang disenaraikan oleh sebuah perunding penarafan pelancongan antarabangsa yang berpangkalan di Dubai. Daya tarikan utama KL sudah tentulah dari segi keselamatan, penginapan, makanan dan gedung perniagaan dengan harga yang cukup kompetetif.
Kadar tukaran USD1 = RM 3.50 menyebabkan sewa hotel mewah RM 700 semalam hanya bersamaan USD 200 sahaja. Bayangkan hotel murah di sekitar Pudu Raya, Brickfields dan Chow Kit antara RM 50 hingga RM 100 baru bersamaan USD 15 – 30 sahaja. Sarapan pagi di Renaissance bernilai RM 70 baru bersamaan USD 20! Maka, sarapan di warung pinggir jalan paling mahal pun USD 2 sahaja.
Pelancong asing tahap tinggi memang moncah. Namun ada juga mat saleh “cikai” dan “pokai”. Biasanya golongan ini ialah pelajar kolej dan universiti. Mereka membawa beg galas dan tidak berasa canggung menahan kereta untuk ditumpangi secara percuma.
Bagi kategori pelancong kedua dan warga tempatan, KLCC itulah yang dimaksudkan. Boleh tengok, tidak mampu beli. Seunit topi Manchester United FC bertanda harga RM 200+, baju-T RM 400+. Lot 10, Sungai Wang dan Suria KLCC gedung beli-belah mat saleh dan pak arab ya habibi.
Jika hendak melihat pelancong asing biasa-biasa atau warga tempatan, silalah ke Mid Valley, atau Sogo. Kalau hendak meninjau jualan yang lebih murah, jenguk-jenguk ke Mydin, Tesco, dan Giant. Paling tidak ke Lorong Petaling, Chinatown, Little India, uptown, downtown dan entah apa-apa lagi klon nama tempat bernafas Barat, dengan bertimbun-timbun barang jualan yang juga klon dan bundle.
Berbalik kepada cerita gagak. Dahulu, ketika struktur masyarakat baru terlepas daripada belenggu penjajah durjana, golongan bangsawan dan kaya berada pada kelas yang tersendiri, manakala golongan sederhana dan miskin terkapai-kapai untuk mendapatkan akses pendidikan dan peluang ekonomi. Maka, jurang yang terbina mengakibatkan kemungkinan bahawa uda dan dara daripada dua golongan yang berbeza untuk disatukan sangatlah tipis dan terlarang.
Sebab itu, ada lirik lagu lama memasukkan bait “dikau umpama merak kayangan, daku umpama gagak di rimba...” Namun, dengan peredaran masa, gagak tidak lagi betah tinggal di rimba dan hutan banat. Gagak juga hendak merasai percikan nikmat kemewahan dan hiruk-pikuk kota!
Jika di rimba, gagak ialah salah satu komponen dalam rantaian makanan dan kitaran ekosistem. Maka, apa yang boleh gagak sumbangkan di rimba konkrit seperti Kuala Lumpur? Nampaknya, gagak hanya berlagak menayangkan keupayaan membuat formasi di udara, macam pertunjukan LIMA di Langkawi.
Sekawan gagak hitam berlegar-legar antara ruang pencakar langit. Mungkin itu tanda mereka berpesta kesyukuran setelah menghabiskan hari yang panjang untuk mengisi tembolok dan bermain-main. Rutin yang serupa akan diulang-ulang untuk hari-hari berikutnya. Dalam tempoh yang singkat, pembiakan spesies gagak hitam ketara mencatat pertambahan mendadak.
Dibandingkan dengan burung merpati yang lebih suka mengacah-acah di jalanan, gagak lebih liar dan “angkuh” di udara. Namun, persamaan kedua-dua jenis burung ini ialah kekotoran yang merimaskan. Jika kotoran lembu boleh menghasilkan metana, gagak dan merpati rasa-rasanya tidak jauh berbeza. Saintis kaji haiwan dan pelajar pascasiswazah boleh membuat penyelidikan tentang kegunaan kotoran gagak dan merpati terhadap industri humus dan tenaga.
Gagak KL nampaknya lebih banyak beraksi di udara daripada mengeluarkan bunyi bising. Kawanan gagak kota seolah-olah memeta awan yang bertarung dengan partikel cemar yang terampai di ruang udara. Gabungan gagak hitam dan latar awan bagaikan kapas itu ialah lukisan alam anugerah Ilahi.
Banyak pelajaran yang boleh diambil daripada aksi dan lagak sang gagak kota. Pasukan berpakaian seragam boleh belajar tentang disiplin gerakan sang gagak. Kadang-kadang gagak bergerak secara garis lurus. Dalam masa yang lain, gagak seolah-olah mempersembahkan pertunjukan akrobatik.
Jangka hayat kawanan gagak kota sukar diramalkan. Jika ancaman penyakit bawaan unggas kembali mengganas, alamat sang gagak kota akan menjadi sasaran bedilan prihilitan. Kaedah tembakan pelali atau peluru getah memungkinkan sang gagak kota dipindahkan semula ke rimba, atau menghuni taman khas penyelidikan gagak kota. Jika peluru hidup, sang gagak bakal bersatu dengan tanah dan cacing...