Monday, March 29, 2010

KAWAD KEBAKAKARAN BERJALAN LANCAR (FIRE DRILL VERSION 2010)

Ipoh, Selasa: 30 Mac 2010 / 14 Rabiul Akhir 1431

Jawatankuasa 4K (Keselamatan, Kesihatan, Kebersihan dan Keceriaan) sesebuah sekolah diberi tanggungjawab melaksanakan kawad kebakaran sekurang-kurangnya dua kali dalam setahun. Prosedur ini termaktub dalam Akta Pelajaran dan pekeliling Kementerian Pelajaran Malaysia. Walaupun kes kebakaran premis sekolah di Malaysia masih bersifat terpencil, latihan yang melibatkan keseluruhan warga sekolah ini wajib dipatuhi, direkod dan diperakukan.
Kawad kebakaran kali pertama dilakukan secara berpengetahuan. Satu sesi taklimat diadakan kepada semua warga sekolah tentang tatacara dan tarikh latihan. Kawad kali kedua dibuat secara mengejut dengan melibatkan kedatangan jentera dari balai bomba berdekatan.
Apabila loceng dibunyikan secara berterusan melebihi tempoh biasa, dan ditambah dengan kenyaringan siren kecemasan, segala aktiviti bilik darjah perlu dihentikan serta-merta. Guru yang berada di lokasi insiden (bilik darjah) hendaklah mengarahkan mangsa (murid) bertenang. Walaupun cuma latihan, segala-galanya mesti teratur dan diambil serius.
Proses pengungsian bangunan, bukan pengosongan bangunan hendaklah dilakukan dengan segera, tetapi tertib. Peranan guru p & p selaku penolong pegawai insiden sangat penting bagi memastikan semua mangsa berjaya meninggalkan lokasi insiden dalam keadaan sehelai sepinggang dengan selamat dan mengiringi mereka hingga ke tempat berhimpun. Pelan laluan kecemasan yang ditetapkan mesti dipatuhi.
Di tapak perhimpunan yang telah ditetapkan, penyelia insiden yang dilantik dalam kalangan anggota kadet bomba sekolah akan memberi bantuan tunjuk arah kedudukan setiap kelas. Guru tingkatan akan mendapatkan buku daftar kehadiran dan menyemak nama murid. Setelah itu, guru tingkatan akan membuat laporan lisan kepada pegawai insiden (pengetua) tentang jumlah murid dan senarai yang "hilang" di hadapan perhimpunan secara serta-merta.
Tempoh masa standard pergerakan dari lokasi insiden ke tampatan berhimpun ialah maksimum tujuh minit. Murid atau kumpulan murid yang melebihi masa 7 minit akan ditahan untuk diambil keterangan. Jika terdapat unsur kecuaian, tindakan disiplin boleh dikenakan kepada murid atau kumpulan murid berkenaan.
Pencapaian kesilapan sifar ialah penanda aras yang sempurna. Dalam realiti, termasuk aktiviti penyelidikan, nilai alpha (ralat) antara satu hingga sepuluh peratus perlu diperuntukkan. Maknanya, kesilapan yang masih berlaku bukanlah disengajakan, melainkan segala langkah telah diambil untuk meminimumkan nilai keralatan berkenaan.
Buktinya, masih ada mangsa yang menggalas beg ke tempat berhimpun. Gambaran sedemikian sentiasa berlaku dalam sebuah masyarakat yang bersaiz besar. Maka, pihak sekolah harus mencari jalan supaya perkara ini tidak bakal berulang.
Matlamat latihan kawat kebakaran kali pertama difokuskan kepada elemen kepekaan terhadap keselamatan. Selain itu, pegawai insiden dianggap berjaya jika semua mangsa berjaya tiba ke tempat berhimpun kurang daripada tujuh minit. SMK St. Michael, Ipoh (SMI) dikira berjaya melaksanakan misi tersebut bermula dari loceng panjang dibunyikan tepat pada pukul 8.10 pagi. Sidang petang akan melaksanakan kawad  kebakaran secara berasingan.
Keberkesanan sesuatu aktiviti atau program boleh diukur menerusi tinjauan yang direka bentuk mengikut kaedah kajian yang dipermudahkan. Borang maklum balas yang diserahkan melalui ketua kelas perlu disi oleh guru p & p yang berada di lokasi insiden. Analisis terperinci bukan sahaja membekalkan data yang sah, malah boleh memberi petunjuk tentang usaha penambahbaikan yang boleh dicadangkan untuk kawad kebakaran seterusnya.
Daripada sejumlah 35 unit borang maklum balas yang diedarkan, sebanyak 18 unit telah dikembalikan secara serta-merta, iaitu 51.43%. Kebiasaannya baki borang akan diperoleh kemudian. Namun, hanya borang yang dikembalikan secara serta-merta akan diproses untuk tujuan analisis data.

Dapatan tinjauan yang menggunakan skala Likert empat mata itu menghasilkan data di bawah:

Item                                                              Amat setuju   Setuju   Kurang setuju   Tidak setuju

1  Bunyi loceng kecemasan jelas                      27.78            50.0             16.67                   5.56
                                                                       (5)                (9)               (3)                       (1)

2  Aktiviti p & p dihenti serta-merta                66.67            33.33                0                        0         
                                                                       (12)                (6)

3  Murid mematuhi arahan                               33.33            61.11            5.56                        0
                                                                        (6)              (11)               (1)

4  Murid ambil serius                                        5.56             55.56           22.22                    16.67
                                                                        (1)                 (10)               (4)                     (3)

5  Pergerakan pantas, teratur                          5.56             72.22          11.11                     11.11
                                                                        (1)                (13)               (2)                      (2)

6  Maklumat guru mencukupi                           22.22           72.22             5.56                        0
                                                                        (4)                (13)               (1)

7  Objektif tercapai *                                         27.78          55.56             11.11                     0
                                                                        (5)                (10)                (2)

Angka tanpa kurungan disebut dalam peratusan;
Angka dalam kurungan (  ) ialah nilai nominal, konservatif

*   seorang responden tidak menanda sebarang skala

Secara sepintas lalu,  dapatan menunjukkan bahawa latihan kawad kebakaran SMI edisi 2010 ini telah terlaksana dengan jayanya. Serakan data yang cenderung berpusat kepada skala amat setuju dan setuju menjadi sandaran hujah yang sah dan boleh dipercayai. Kekurangan yang masih perlu diberi perhatian segera ditunjukkan oleh item 1, 4 dan 5.

Saranan penambahbaikan:

Pada borang maklum balas, disediakan ruang cadangan, iaitu soalan bersifat terbuka yang boleh diisi oleh responden. Cadangan berkisar terhadap kenyaringan dan tempoh masa loceng kecemasan dibunyikan. Selain itu, pelan kedudukan barisan mengikut kelas di tempat berhimpun perlu ditanda dengan lebih jelas. 

Jawatankuasa Latihan juga mendapatkan laporan pemerhatian daripada tujuh orang penyelia insiden yang ditempatkan di lokasi tertentu. Mereka masih kurang berpuas hati dengan keadaan pergerakan yang tidak begitu teratur, lambat, tidak ambil berat dan sedikit kelam kabut. Namun, mangsa berjaya mematuhi masa tujuh minit yang mungkin berpunca daripada pelan laluan yang lebih jelas pada tahun ini...

Disediakan oleh:


AZHAR BIN MOHD RODZI
Setiausaha Latihan Kawad Kebakaran
SMK St Michael, Ipoh

No comments:

Post a Comment