Wednesday, May 12, 2010

BELIA KREATIF PEMACU PEMBANGUNAN NEGARA (THE BRIGHT FUTURE FOR CREATIVE MALAYSIAN YOUTH)

Pada tahun 2010, jumlah belia di Malaysia menjangkau angka 11.65 juta orang, bersamaan 40.2 peratus penduduk negara. Berdasarkan takrifan Akta Pertubuhan dan Pembangunan Belia 2007, lingkungan umur belia ialah antara 15 hingga 40 tahun. Ada juga yang menetapkan lingkungan usia yang lain, misalnya Majlis Belia Sedunia memilih 10- 24 tahun (www.way.org.my).

Dari segi psikologi, peringkat usia belia dianggap sebagai fasa penerokaan sebelum mencapai tahap kematangan. Sebagai aset negara dan gelombang masa hadapan sesebuah negara, belia perlu diberi perhatian yang wajar. Andaian-andaian negatif terhadap belia mesti digantikan dengan kerja-kerja penyelidikan, perancangan dan pelaksanaan program ke arah peningkatan nilai jati diri dan modal insan mereka.

Di United Kingdom, jemaah kabinet terbaharu mereka dianggotai oleh tokoh politik konservatif yang tidak jauh daripada usia belia. Bakal perdana menteri dan timbalannya baru mencecah usia 43 tahun. Lebih menarik, canselor perbendaharaan (menteri kewangan) pula bakal disandang oleh seorang belia 38 tahun!

Arah aliran yang sama sedang berkembang di seluruh dunia. Sebaik sahaja melepasi usia belia, banyak yang sudah berjaya muncul sebagai pemimpin utama negara. Barrack Obama (USA) dan Abishit Vejjajiva (Thai)  juga 40-an. 

Belia Malaysia juga tidak kurang hebatnya. Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Maybank, Telekom, dan Tenaga Nasional kini diketuai oleh belia. Pelan transformasi kerajaan juga akan membuka ruang kepada belia yang berbakat untuk menyandang kedudukan penting dalam sektor  awam tanpa perlu menunggu hingga hampir usia persaraan. Sekolah menengah tertentu juga mungkin diterajui oleh pengetua yang berusia belia.

Tema Hari Belia 2010 ialah "Belia Kreatif Pemacu Pembangunan Negara", iaitu mirip tema hari pekerja, iaitu "Pekerja Berinovasi Pemacu Transformasi". Kreatif dan inovatif boleh dianggap pasangan kembar yang properubahan. Insan kreatif dan inovatif tidak akan terikat dan terkongkong dengan dogma, paradigma dan status quo.

Usia belia ialah fasa usia yang dilimpahi tenaga fizikal dan perluahan kreatif. Sama ada mereka berpeluang melakukannya atau tidak, banyak bergantung kepada perspektif masyarakat yang lebih dewasa terhadap mereka. Hanya dengan bimbingan dan kepercayaan, golongan belia dapat menyerlahkan potensi dan sumbangan kreatif mereka.

Sebelum pewartaan Akta Belia 2007, isu kepimpinan perubuhan belia kerap mengundang kontroversi. Ada pertubuhan belia yang diterajui oleh tokoh berpengaruh yang berusia melebihi 60 tahun. Alasannya, jiwa belia masih menebal dalam diri mereka.

Keinginan serta niat suci "belia emas" itu masih boleh dialu-alukan dengan cara meletakkan mereka dalam panel penasihat pertubuhan belia, tetapi tidak diberi kuasa eksekutif dalam proses membuat keputusan. Malaysia perlu mengembalikan era gemilang belia 1980-an yang digerakkan oleh pemuda pemudi sebenar. Jika program belia hanya dipenuhi golongan dewasa yang kebal dengan sindrom penafian bahawa mereka lebih layak bergelar bapa dan datuk kepada belia, maka golongan belia sebenar beralih kepada aktiviti rakan sebaya mereka di pusat membeli-belah, jalan raya dan pesta hiburan.

Malaysia boleh dikira beruntung kerana kepimpinan belia negara diberi penghormatan menerajui Himpunan Belia Dunia (World Assembly of Youth, WAY) yang dianggotai oleh 120 buah negara. Ibu pejabat organisasi belia dunia itu terletak di Ayer Keroh Melaka. Menteri Besar Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam telah memimpin WAY sejak tahun 1993. Penulis blog (PB) selaku exco Majlis Belia Kinta ketika itu hadir dalam majlis meraikan pelantikan beliau bertempat di Kelab Di-Raja Ipoh, berdekatan SMK St Michael (SMI).

Kesimpulannya, kepimpinan dan peranan belia mesti kembali ke landasan asal. Kelompok belia yang melencong dan terbabit dengan aktiviti yang tidak membawa faedah hendaklah dipujuk supaya mengisi program belia yang bersesuaian dengan kecenderungan dan minat masing-masing. Kejayaan menggembleng kreativiti kaum belia merupakan jaminan  terhadap kemakmuran, kesejahteraan dan keselamatan negara dalam jangka masa panjang, Insya-Allah...

SELAMAT MENYAMBUT HARI BELIA

No comments:

Post a Comment