Jika anda berpeluang menonton drama televisyen sempena Hari Ibu, kesimpulannya tetap sama: anak yang tidak sepakat dan ibu yang naif. Klise dan stereotaip, serta tidak lebih daripada dera sosial (social torture). Hal yang serupa berlaku kepada naskhah Rashid Sibir berjudul "Serapuh Arang" yang disiarkan menerusi slot cerekarama TV3.
Seorang ibu yang gigih, lakonan Khatijah Tan, telah bekerja selama 30 tahun di sebuah kilang arang batu untuk menyara dua orang anak lelakinya setelah kematian suami. Anak sulung, Yusuf sanggup berhenti kerja di bandar untuk menemani ibunya sambil bekerja di kilang arang batu yang sama. Anak kedua, seorang kontraktor yang kerjanya hanya menuruti kemahuan isteri, bekas penari kelab malam.
Si abang menyerahkan wang gajinya untuk disimpan oleh si ibu sebagai persediaan perkahwinan dengan Nor, teman sekerja di kilang arang batu. Malangnya, secara diam-diam, si ibu telah menyerahkan sebahagian wang berkenaan kepada si adik kononnya atas dasar pinjaman. Konflik berlaku apabila tarikh perkahwinan kian hampir dan Yusuf mempersoalkan tindakan si ibu.
Elemen kebetulan digunakan bagi memudahkan ketajaman konflik. Nor, tunangan Yusuf, ialah bekas kekasih si adik, manakala Maria, isteri si adik, pernah menjalin hubungan dengan Yusuf. Si adik memiliki banglo dan kereta mewah, tetapi hanya tahu balik kampung memerah wang si ibu dan si abang yang hanya pekerja kilang!
Si ibu yang naif hanya berulang-ulang kali melafazkan bahawa dia memberi kasih sayang sama rata , walhal dia sekadar mahu melindungi perangai buruk si adik. Si abang yang banyak berkorban berasa tidak diumpamakan. Si adik terus mengambil kesempatan.
Klimaks drama bermula apabila si adik termakan hasutan isterinya hingga tergamak hendak membunuh abang kandungnya. Malangnya tusukan senjata terkena si ibu. Sekali lagi kebetulan berlaku, si isteri terpijak benda bergolek, lalu tertusuk senjata yang sama.
Secara keseluruhannya, drama Serapuh Arang mungkin berjaya menyentuh emosi penonton televisyen yang hanya melayan drama sebagai hiburan santai. Mereka mungkin terbakar dengan tingkah laku si adik dan Maria, geram dengan si ibu, dan simpati dengan Yusuf. Mesej Hari Ibu hilang entah ke mana.
Alangkah baiknya jika sekali-sekala drama televisyen kita keluar daripada kepompong klise sedemikian. Tidak dinafikan konflik sebagai rencah plot sesebuah drama. Namun, peleraiannya biarlah menjadi teladan, bukan berakhir dengan tragis seperti Serapuh Arang.
Saban tahun diadakan anugerah ibu mithali peringkat negeri dan kebangsaan. Mengapa kegigihan dan ketabahan ibu mithali dunia sebenar itu tidak diangkat sebagai tema sebuah drama yang hebat dan bertanggungjawab? Sudah-sudahlah drama air mata yang kononnya membuai emosi, tetapi kontang dari segi penghayatan jati diri dan nilai murni...
No comments:
Post a Comment