Saturday, May 8, 2010

PANTUN EMPAT KERAT: JENAKA DAN SINDIRAN (COMICAL AND INNUENDO QUARTRAIN)

Puisi tradisional selenggaraan Harun Mat Piah ini dimuatkan dalam antologi Harga Remaja, halaman 6. Terdapat lima rangkap pantun semuanya. Mesej yang cuba disampaikan meliputi aspek kehidupan rumah tangga, ilmu pengetahuan dan perkara yang aneh.

Dalam bahagian pengenalan dinyatakan bahawa pantun ini memerlukan ketajaman fikiran untuk mentafsir maksud yang tersirat. Berbanding dengan pantun budi yang dibincangkan sebelum ini, pantun jenaka dan sindiran nampaknya lebih sukar. Walaupun secara tersurat, maksud setiap rangkap pantun mudah difahami, murid harus cuba memberi contoh keadaan sebenar berdasarkan jenaka dan sindiran yang dipantunkan itu.

Rangkap 1

      Apa guna berkain batik,
              Kalau tidak memakai capal;
      Apa guna beristeri cantik,
              Kalau tak pandai menumbuk sambal.

Rangkap ini agak jelas maksudnya. Kerukunan hidup berumah tangga bermula daripada saat pemilihan jodoh lagi. Paras rupa yang cantik semata-mata tidak dapat menjamin rumah tangga yang harmonis jika isteri yang dinikahi tidak berkebolehan mengurus keperluan keluarga.

Rangkap 2

      Dari Kelang lalu ke Jawa,
                Naik sigai ke atas atap;
      Ikan kering lagi ketawa,
                Mendengar tupai membaca kitab.

Rangkap kedua menggunakan bahasa jenaka dengan membawa mesej ilmu. Ikan kering mungkin sekali mewakili kelompok yang tidak menyedari diri mereka cetek ilmu, tetapi sanggup mentertawakan tupai membaca kitab, iaitu golongan yang rajin menuntut ilmu. Golongan cetek ilmu diumapamakan sebagai ikan kering yang tidak bernyawa, sedangkan pencari ilmu diibaratkan tupai yang aktif melompat dari pucuk ke pucuk.

Rangkap 3

       Ambil segulung rotan saga,
               Suruh diambil mari diurut;  
       Duduk termenung harimau tua,
               Melihat kambing mencabut janggut.

Rangkap ketiga menggunakan harimau tua dan kambing buat menyampaikan sindiran. Secara umumnya harimau tua mewakili si gagah perkasa yang tangkas menyambar peluang (mangsa) yang melintas di hadapan mata pada waktu mudanya. Kambing pula ialah mangsanya. 

Kini, setelah meniti usia tua, harimau hanya mampu melihat sahaja kambing  yang mencabut janggut tanpa menunjukkan rasa cuak akan dibaham.  Demikianlah ibaratnya seseorang yang berkeadaan lemah akan gagal merebut peluang walaupun terhidang di hadapan mata. Malah, orang yang dahulunya tidak berani mengangkat muka sudah buat tidak peduli.

Rangkap 4 

      Kupu-kupu terbang melintang,
               Hinggap menghisap bunga layu;
      Hati di dalam menaruh bimbang,
               Melihat ikan memanjat kayu.  

Rangkap keempat menonjolkan keadaan yang lebih ekstrem. Ikan yang sifat semula jadinya berenang sudah memanjat kayu. Perasaan bimbang di dalam hati tidak dapat diusir.

Keadaan pelik dan luar biasa, serta perkara tidak pernah dibayangkan sebelum ini sudah berlaku. Kita boleh menyaksikan sendiri keadaan-keadaan sedemikian dalam masyarakat kita yang hebat diasak dengan pelbagai pengaruh persekitaran. Misalnya, gejala sosial seolah-olah tidak lagi mampu dikawal.

Rangkap 5

      Lebat sungguh padi di paya,
               Kayu tumbang tepi pangkalan;
      Hairan sekali hati saya,
                Burung terbang disambar ikan. 

Rangkap kelima mengungkapkan keadaan yang lebih pelik, luar biasa, tunggang terbalik (paradoks). Burung terbang yang biasanya boleh menyelam menyambar ikan di dalam air sudah bertukar menjadi mangsa si ikan. Lalu, bagaimana kita hendak menisbahkan mesej ini dalam realiti masyarakat?

Contoh yang berkemungkinan: tetamu berlagak melebihi tuan rumah, pendatang asing menggugat rakyat tempatan,  pengaruh asing menghilangkan jati diri, media (dan  teknologi)  yang sepatutnya dalam kawalan kita sudah menjadi tuan kita pula. Perkara yang menghairankan akan terus terjadi jika kita membiarkan diri kita dan masyarakat hilang kawalan...

Contoh Tugasan:

i.      Apakah maksud menaruh bimbang dalam rangkap 4, baris 3.           (1 markah)

ii.     Nyatakan tiga perkara luar biasa yang diungkapkan dalam pantun di atas.      (3 markah)

iii.    Jelaskan dua nilai yang boleh dipelajari daripada pantun di atas.        (4 markah)

1 comment: