Friday, May 7, 2010

OTAI KILAS TANGKIS MAKIN MENJADI (THE ENTHUSIAST SENIOR BADMINTON PLAYER)

Dalam saingan sukan tahap tinggi, usia dianggap sebagai salah satu faktor kritikal. Biasanya seseorang pemain remaja dikategorikan sebagai pelapis sebelum diserapkan dalam skuad utama. Sampai satu tahap usia, biasanya penghujung 20-an, seseorang pemain sudah dikira veteran dan bersiap sedia untuk bersara.

Namun, sukan golf, tenpin boling, boling padang, memanah dan menembak mungkin merupakan pengecualian. Kelibat Vijay Singh dari Fiji misalnya masih disegani dalam sukan golf. Maknanya, acara sukan individu yang tidak membabitkan pertembungan fizikal secara berhadapan lebih sesuai kepada golongan yang melepasi tempoh kemuncak prestasi.

Pasukan Chelsea yang digelar sebagai barisan 30-an juga masih gagah untuk mengungguli Liga Perdana Inggeris. Didier Drogba sudah 31 tahun, masih ayam tambatan yang digeruni. Begitu juga selebriti sukan terkemuka dunia, David Beckham, 35 yang masih laku dalam Liga Bola Sepak Amerika (LA Galaxy) dan Serie A (secara pinjaman di Milan).

Cameroon mula dikenali sebagai kuasa bola sepak dunia dengan menggunakan khidmat striker berbisa dan sensasi, Roger Milla. Pemain berkenaan berusia 42 tahun ketika membuat penampilan dalam Piala Dunia dan berjaya merembat beberapa jaringan cantik yang masih diingati. Argentina tersungkur di kaki Roger Milla.

Beberapa orang penjaga gol England dan Itali juga hanya menggantung but seusia dengan Milla. Peter Shielton sudah menjadi legenda di England. Rekod cemerlang dan cap antarabangsa Shielton payah untuk diatasi.

Pengecualian lazimnya membabitkan minoriti. Kebanyakan bidang sukan masih tertakluk kepada faktor usia. Seseorang ahli sukan tahap tinggi mencapai kemuncak prestasi ketika berusia antara 20 hingga 27 tahun, sebelum mula mengalami penurunan, atau yo-yo.

Setelah terkeluar daripada saingan tahap tinggi, ahli sukan boleh beralih kepada sukan peringkat umur veteran. Sukan olah raga dan tenis sebagai contoh, mempunyai persatuan veteran untuk menganjurkan pertandingan peringkat umur mereka, di samping terlibat dengan projek amal. Kecekapan dan kepakaran yang dimiliki boleh dikembangkan menjurus kepada kejurulatihan dan pengurusan.

Konsep Sukan Untuk Semua lebih tepat untuk disebut sebagai rekreasi atau riadah. Semua peringkat usia daripada kanak-kanak hingga warga emas boleh menubuhkan pasukan untuk suka-suka, mengeluarkan peluh dan aktiviti keluarga, atau sosial. Guru SMK St Michael, Ipoh (SMI) telah mengambil daya usaha menubuhkan Kelab Kilas Tangkis, bagi meneruskan minat guru dalam sukan badminton.

Walaupun Kilas Tangkis memiliki pemain muda berusia 25 - 30 tahun, hakikatnya lebih banyak ahli kelab mencecah usia 40-an. Semuanya masih bersemangat, bertenaga, dan enggan mengalah. Sejajar dengan unjuran bahawa Malaysia akan menjadi negara tua menjelang tahun 2035, iaitu bilangan warga emas membentuk hampir separuh jumlah penduduk, perkara ini bukanlah luar biasa.
Cikgu Shahruzzaman, Cikgu Ibrahim dan Ustaz Shakir lebih selesa dikenali sebagai pemain berpengalaman, iaitu otai (old timer, bukan merujuk usia). Pukulan kilas dan pancung mereka masih kencang dan tajam. Kemahiran taktikal seperti stroke dan gerak badan juga masih hebat. Buktinya, dalam beberapa siri perlawanan persahabatan, serta sesi latihan mingguan, gandingan otai sukar digugat.

Kata mereka, "pucuk muda terkulai di tangan otai". Awas, ungkapan itu hendaklah dibaca seadanya, jangan disalah tafsir sehingga membawa konotasi tidak baik. Sebenarnya, dalam kancah saingan tahap riadah, si muda tidak semestinya mampu mengatasi sang otai...

Sempena Piala Thomas, Kilas Tangkis mengucapkan selamat maju jaya kepada skuad negara.

No comments:

Post a Comment