Thursday, July 1, 2010

APABILA HARGA SETEM NAIK 100% (POST OFFICE UP THE SERVICE CHARGE)

Ipoh, Khamis; 1 Julai 2010 / 18 Rejab 1431

Baru sebentar tadi (4.30 petang), penulis blog singgah di Pejabat Pos Besar Negeri Perak, lebih kurang tiga minit berkereta dari SMK St. Michael, Ipoh (SMI). PB hendak membeli setem atas satu urusan rasmi yang memerlukan kaedah surat-menyurat tradisional. Tiba giliran di kaunter, seorang penyelia kanan (yang memantau petugas kaunter) tanpa ditanya terus memaklumkan bahawa mulai hari ini harga setem naik hingga 100%!
Misalnya surat biasa sampul putih dahulu dicaj 30 sen, sekarang 60 sen. Jika menggunakan envelop 4 X 9 (11 X 24 sm) warna putih dahulu 30 sen, sekarang 50 sen; warna lain 80 sen. PB tidak sempat melihat senarai caj setem untuk jenis mel lain, dan bungkusan kerana perlu bergegas ke sebuah jabatan kerajaan negeri yang berhampiran.

Budak sekolah dan remaja mungkin tidak ambil peduli tentang harga setem yang dianggap tiada kena-mengena dengan mereka. Penggunaan komunikasi jarak jauh menerusi peranti komunikasi maya seperti mesej pesanan ringkas (SMS, MMS), e-mel, ruang sembang internet, facebook, twitter, dan macam-macam lagi menyebabkan khidmat pejabat pos tidak begitu menarik perhatian mereka. Pendek kata, serba-serbi dalam talian.

Bunga-bunga bahasa dan menghadap surat sangat asing bagi mereka. Jika tidak diajar dalam karangan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, kata ganti nama diri seperti bonda, ayahanda, saudara, kekanda, adinda, nenda, my dearest friend dan sebagainya mungkin macam bunyi prosa klasik agaknya. Kajian tentang pengalaman menulis surat era 1980-an dalam kalangan budak sekolah sekarang mungkin menghasilkan dapatan yang sama.

Setelah teknologi internet dimulakan pada tahun 1993 di Malaysia, dan harga telefon bimbit model baharu serendah RM 80 di pasaran, aktiviti surat-menyurat antara anggota keluarga dan sahabat handai hampir mencecah angka sifar, dengan pengecualian kepada generasi lama tentunya. Posmen lebih banyak menghantar surat rasmi ke rumah kediaman dan premis perniagaan. Pemandangan posmen mengayuh basikal palang sambil membunyikan loceng basikal sudah lenyap ditelan zaman.

Pihak sekolah dan organisasi pendidikan lain mungkin menggunakan medium surat tradisional untuk menghantar hebahan, makluman dan keputusan peperiksaan sahaja. Selebihnya mesti dirujuk menerusi portal rasmi. Surat pihak sekolah harus dialamatkan ke pejabat atau tempat kerja ibu bapa supaya tidak sempat dipintas oleh anak-anak.

Dengan kemajuan sistem pengangkutan, mel ekspres dan khidmat kurier menjadi pilihan bagi penghantaran dokumen atau pesanan pembelian barang secara e-dagang. Penyedia kurier antarabangsa seperti DHL dan Federal Express contohnya menggunakan pesawat kargo dan lori 10 tayar untuk penghantaran barang yang lebih besar seperti komputer, perabot, televisyen, dan aksesori peribadi yang lain. Asal sahaja bayaran sanggup dilunaskan, semua urusan akan beres dalam tempoh waktu yang singkat.

Jemaah haji dan umrah boleh balik berlenggang kangkung jika sanggup memperuntukkan sejumlah bayaran untuk mengepos barang belian di tanah suci seperti jubah dan tamar, di samping segala pakaian yang hendak dibawa pulang ke tanah air. Risiko kehilangan bagasi di lapangan terbang dapat dikurangkan. Selain itu, semua penghantaran akan dilindungi insurans.

Pos Malaysia Berhad mungkin dapat mengganti kehilangan pelanggan surat-menyurat cara tradisional jika berjaya menyediakan pakej penghantaran barang yang berdaya saing kepada para pelancong asing. Pos Malaysia tidak payah membuka cawangan di serata pelosok dunia sebab kos permulaan (overhead cost)  yang sangat tinggi. Memadai dengan jalinan niaga strategik penyedia khidmat kurier ternama dunia sedia ada.

Generasi pra-internet pastinya menyimpan banyak sekali kenangan manis mengusik jiwa, menikam kalbu dan melayan luahan perasaan menerusi surat-menyurat bersetem. Ada yang sanggup membeli buku panduan karang-mengarang surat supaya lenggok, serta susunan bahasa surat akan berjaya menggembirakan si penerima. Budak-budak selalu mengakhiri surat dengan kata-kata: pecah kaca pecah gelas, sudah baca harap balas.

Suatu ketika dahulu alamat PB pernah tersiar dalam akhbar Utusan Pelajar. Maka, ratusan pucuk surat diterima saban hari dari Perlis sampai ke Sarawak (Sabah tidak ada) untuk menghulurkan salam perkenalan. Walaupun harga setem hanya 10 sen, PB tidak mampu membelinya. PB percaya semua pengirim surat yang tertunggu-tunggu balasan surat PB telah kecewa, tetapi apalah daya justeru jarak pejabat pos pun bukannya dekat.

Dahulu rak sampul surat di kedai penuh dengan envelop berwarna biru berbelang-belang cop Par Avion, dan ada juga edisi istimewa yang berbau wangi. Sekalian peringkat umur akan memilih sampul surat yang khas buat diutuskan kepada insan yang diingati lagi dekat di hati. Keadaan telah berubah kerana kini yang tinggal hanya envelop berwarna putih dan kuning bagi tujuan penghantaran surat rasmi.

Musim hari raya dahulu bererti kakitangan pos terpaksa bertugas secara maraton. Petugas sambilan turut diambil untuk kerja penyisihan surat justeru sistem poskod belum diperkenalkan. PB boleh menggantung koleksi kiriman kad raya untuk tatapan tetamu yang berkunjung ke rumah. Kini, kalau ada pun kad raya diterima dengan hantaran tangan (budak kelas sendiri), atau daripada pihak bank, takaful dan kawan lama.

Pejabat pos masih bernyawa dan meriah kerana terdapat pelbagai khidmat nilai tambah yang ditawarkan. Antaranya ialah pembayaran bil setempat dan urusan pembaharuan cukai jalan kenderaan, serta pembaharuan lesen memandu. PB pernah melalui pengalaman seorang pelanggan yang hilang pertimbangan telah menjerit dengan kata-kata yang tidak enak didengar apabila sekonyong-konyong sahaja pertugas kaunter meletak label kaunter ditutup sedangkan barisan orang ramai yang beratur masih terlalu panjang macam ular kena palu.

Kini, pejabat pos berimej korporat. Sistem nombor giliran, tempat duduk dan skrin televisyen disediakan dalam ruang menunggu lengkap dengan pendingin hawa (bukan penghawa dingin!). Tiada lagi kejadian petugas kaunter yang berani mengherdik orang kampung sepertimana ketika PB bersekolah dahulu justeru mereka terikat dengan piagam pelanggan, selain kesedaran pengguna berpendidikan yang tidak akan teragak-agak membawa kes sedemikian ke muka pengadilan.

Peningkatan harga setem sekali ganda mulai hari ini mungkin sekali menyebabkan kiriman surat-menyurat secara bertulis tangan menjadi sejarah yang hanya layak dikenang sebagai bahan arkib yang tidak relevan lagi. Budak sekarang hanya akan mengenalinya menerusi buku dan semasa aktiviti penulisan karangan di bilik darjah, atau dalam mata pelajaran perdagangan. Pejabat pos akan hanya dikunjungi jika terdapat keperluan mendesak, atau untuk mengambil bungkusan, opppps....dokumen saman yang dikirim secara surat berdaftar...

No comments:

Post a Comment