Tuesday, September 28, 2010

KOLOKIUM SARINGAN BERAKHIR (100 REPORTS PRESENTED BY MICHAELIAN'S SIXTH FORM)

Ipoh, Selasa: 28 September 2010 / 19 Syawal 1421

Dalam tempoh tiga bulan, sejumlah 203 orang penyelidik muda prauniversiti SMK St Michael, Ipoh (SMI) telah berjaya menyiapkan draf terakhir laporan penyelidikan tinjauan soal selidik yang ditadbirkan menerusi persampelan bukan rawak bertujuan. Walaupun suhu lewat waktu tengah hari mungkin lebih sesuai untuk melelapkan mata barang sebentar, tetapi nampaknya pelajar tingkatan 6 masih mampu bertahan. Semangat untuk menampilkan persembahan terbaik, selain sokongan rakan dan guru jelas terserlah.
Daripada 100 pembentangan yang dijayakan sebanyak dua kali sesi kolokium itu, hanya lapan laporan terbaik akan dipilih untuk bersaing di peringkat akhir minggu hadapan. Kemudian, empat pembentang terbaik akan dianugearhi sijil dan hadiah iringan. Sesi kolokium akhir akan dijalankan di dua buah dewan kuliah yang berasingan secara serentak, di hadapan semua penyelidik muda dan beberapa orang guru akademik tingkatan 6 yang ditugaskan sebagai penilai pembentangan.
Kolokium saringan dilaksanakan secara konservatif, iaitu penggunaan alat bantu pembentangan yang dihadkan kepada penggunaan kertas putih ("mahjung"), tanpa overhead projector atau  slaid power point. Namun, hal itu tidak menjejaskan kesungguhan para penyelidik muda dalam pembentangan laporan penyelidikan yang telah dilakukan dengan susah payah. Sebenarnya, teknologi alat bantu, sama ada konservatif tradisional atau termaju, tidak bertujuan mengatasi pembentangan laporan dalam bentuk peperiksaan lisan sebagaimana falsafah viva yang dijelaskan sebelum ini.
Setiap pasangan pembentang perlu menjawab satu soalan guru penilai yang merujuk khusus kepada kandungan laporan. Penyelidik muda seharusnya dapat mempertahankan semua perkara yang berkaitan dengan penyelidikan yang telah disiapkan dari bab 1 hingga bab 5. Walaupun hanya satu soalan, tetapi aras soalan bertahap tinggi itu akan mengukur kebolehan penyelidik muda berhujah secara empirik, serta ilmiah.
Sama ada berjaya dipilih ke peringkat akhir, atau sebaliknya, semua penyelidik muda dikehendaki mengemukakan pula laporan penyelidikan secara bertulis kepada Unit Penyelidikan Prauniversiti SMI. Sekali lagi penyelidik perlu mematuhi format laporan yang ditetapkan, iaitu format APA Chicago yang paling digemari dalam kalangan penyelidik seluruh dunia pada masa ini. Serahan laporan disediakan dalam bentuk bercetak (hard copy) dan soft copy...

No comments:

Post a Comment