Monday, September 27, 2010

GUNUNG RAPAT DITUTUPI AWAN (LOWER TEMPERATURE IN IPOH)

Di sebelah pantai barat Semenanjung Malaysia, cuaca antara bulan Mei hingga September dipengaruhi tiupan angin monsun barat daya, manakala antara bulan November hingga Mac dipengaruhi angin monsun timur laut. Fenomena el-nino, gempa bumi dan pemanasan bumi bagaimanapun dijangka memberi kesan terhadap kestabilan cuaca. Perubahan cuaca boleh berlaku tanpa dapat diramalkan dengan tepat walaupun dengan bantuan teknologi satelit.
Malaysia yang mengalami iklim khatulistiwa, serta berciri panas lembap diimbangi pembentukan gumpalan awan yang meredupkan muka buminya, di samping banjaran-banjaran gunung negara jiran seperti Filipina dan Indonesia yang menjadi penampan kepada laluan angin kencang dari arah lautan luas. Meskipun dikelilingi lingkaran gunung berapi Pasifik, Malaysia tidak terdedah kepada ancamannya secara langsung di dalam negara. Maka, rakyat Malaysia yang teringin merasai pengalaman empat musim cuaca, mereka bolehlah mengunjungi negara terbabit, atau sekadar mengunjungi beberapa taman tema yang menyediakan pengalaman simulasi empat musim berkenaan.
Dalam keadaan biasa, kita melihat awan terapung di ruang atmosfera, serta melepasi puncak gunung. Dalam disiplin geografi, istilah seperti sirus dan komulus nimbus merujuk kepada bentuk-bentuk awam yang terhasil daripada pengumpulan sejatan titis-titis air permukaan bumi. Namun, apabila awan sudah turun ke garis tengah gunung, atau mencecah kaki gunung, suasana berkabus atau berkabut itu menandakan bahawa kedinginan mulai menyapa sekeliling.
Beberapa waktu belakangan, suhu di bandaraya Ipoh mencatat bacaan antara 22 hingga 28 darjah celcius. Hujan yang turun lebih kerap, selain keadaan yang berangin bermakna alat pendingin hawa bolehlah direhatkan sekejap. Sehingga pukul 10 pagi, awan  seolah-olah masih enggan berganjak daripada garis tengah gunung yang melatari sekeliling bandar raya.
Kesejukan terasa hingga ke tulang sum-sum. Kepada individu yang alah kepada perubahan cuaca perlulah membuat persediaan yang sewajarnya. Ibu bapa perlu lebih peka terhadap tahap kesihatan anak-anak, terutamanya yang bakal menduduki peperiksaan awam.
Kalau kita rajin membaca cerita-cerita lama, konsep kayangan sering diertikan sebagai kewujudan sesebuah kerajaan di atas permukaan awan. Siri kartun Doraemon juga menggambarkan awan sebagai tempat permainan yang mengujakan Nobita, Shizuka, Giant, Suniyo dan kawan yang lain. Kepada yang biasa menaiki pesawat pada aras melebihi 30,000 kaki, serta rajin memandang ke luar tingkap pasti nampak kerajaan awan yang dimaksudkan...

No comments:

Post a Comment