Thursday, December 23, 2010

PANDUAN BELAJAR CERPEN KOMSAS: PAHLAWAN BUNTUNG (HOW TO STUDY SHORT STORY)

Cerita pendek (cerpen) yang dimuatkan dalam teks komponen sastera (komsas) biasanya hanya dalam lingkungan 2,000 patah perkataan, atau sekitar 8 hingga 14 muka surat sahaja, bergantung kepada saiz muka surat dan saiz fon aksara. Sebagai edisi murid, aspek bahasa (khususnya pemilihan perkataan atau diksi) telah diringankan sedikit supaya semua murid berupaya memahami jalan cerita dan mesej yang hendak disampaikan. Pembelajaran komsas pula tidaklah terlalu mendalam, melainkan analisis secara permukaan seperti watak dan perwatakan, latar (masa, tempat, masyarakat), nilai, persoalan, pengajaran, sinopsis, tema dan elemen kbkk (teknik penceritaan, bahasa).

Semua buku teks komsas tingkatan 1 hingga 5 memuatkan sejumlah 6 buah cerpen bagi setiap satunya. Maknanya, murid menengah rendah perlu membaca 18 buah cerpen, manakala murid menengah atas membaca 12 buah cerpen. Semua cerpen yang dipilih akur dengan kehendak sukatan dan huraian sukatan pelajaran, akur dengan tahap penguasaan bahasa murid mengikut peringkat umur, serta akur dengan keperluan pentaksiran bahasa, sama ada yang berasaskan sekolah (ujian, peperiksaan dalaman) mahupun untuk maksud peperiksaan awam PMR dan SPM.

Pembelajaran komsas seharusnya membangkitkan kecintaan terhadap kehalusan dan keindahan akal budi yang diungkapkan lewat karya sastera yang terpilih. Murid menikmati rentetan peristiwa yang digambarkan seadanya tanpa tekanan yang menjurus semata-mata untuk lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan sebagaimana yang dipersembahkan oleh buku-buku lain yang berlambak di pasaran. Murid hendaklah membaca sumber asal cerpen, iaitu buku teks komsas yang disediakan.

Setiap kali membaca cerpen komsas, murid disarankan supaya menyediakan pen dan lembaran catatan sekali. Setiap kali bertemu watak baharu, terus catatkan, bersekali dengan peristiwa penting yang membawa kepada kemunculan watak berkenaan. Sesuatu peristiwa yang lengkap seharusnya ada watak, masa dan tempat yang tertentu, bukan secara umum sahaja.

Aspek watak dan perwatakan bersifat sejajar dengan latar masyarakat,  nilai, persoalan dan pengajaran. Contohnya, watak Pak Husain dalam cerpen "Pahlawan Buntung" (teks komsas tingkatan 5: muka surat 123 - 136) digambarkan sebagai berani. Maka, catatan boleh dibuat seperti berikut:

          Watak:                          Pak Husain

          Perwatakan:                  Berani

          Latar masyarakat:          Masyarakat yang berani

          Nilai:                            Keberanian

       Persoalan:                          Keberanian menentang penjajah / keberanian mempertahankan kampung halaman

       Pengajaran:                      Kita hendaklah berani menentang penjajah / mempertahankan kampung halaman

Peristiwa yang menunjukkan keberanian Pak Husain ialah apabila dia berhadapan dengan dua orang tentera Jepun bersendirian sambil dengan berani memberitahu bahawa semua penduduk kampung sudah lari. Tindakan Pak Husain itu berjaya menyelamatkan penduduk kampung yang masih berada di pangkalan daripada serangan tentera Jepun (muka surat 133).

Murid boleh menggunakan peristiwa yang sama sebagai huraian kepada perwatakan, latar masyarakat, nilai, persoalan dan pengajaran cerpen berkenaan. Huraian peristiwa tidaklah perlu berjela-jela panjangnya. Memadailah peristiwa ditulis semula dengan ayat sendiri dalam satu atau dua ayat sahaja.

Perbincangan lebih lanjut tentang cerpen yang khusus akan dibuat kemudian, Insya-Allah. Begitu juga dengan keperluan peperiksaan yang menghendaki murid mengenal pasti aras soalan, tugasan soalan dan perancangan menulis jawapan. Mulakan pembelajaran komsas dengan menikmati karya cerpen, bukan dengan kaedah mengingati setiap butiran cerita...

1 comment:

  1. asalamuikum cikgu klu latar masa dalam cerpen
    anakpenggunting rambut apa

    ReplyDelete