Monday, January 17, 2011

BUAL BICARA KEMBARA AMIRA BAB 3 (SHARING IS CARING)

Pengacara: Assalamu alaikum dan selamat pagi. Kita sungguh bertuah justeru dapat bersua muka dengan dua orang ahli panel handalan bagi membincangkan bab 3 novel Kembara Amira. Di sebelah kanan saya ialah Profesor Doktor Teoh Kok Seng, dari Institut Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia. Selamat pagi profesor. Di sebelah kiri saya pula ialah Dr. Andria Hani, guru kanan bahasa SMK Seri Sayang. Selamat datang Dr. Izinkan saya memulakan majlis dengan menanyakan Prof. Teoh tentang watak yang ditampilkan dalam bab 3 novel Kembara Amira.

Prof. Teoh: Hanya tiga watak ditampilkan dalam bab 3, iaitu Amira, Jacinta dan Profesor Zaidah. Dua orang remaja dan seorang ibu yang berilmu tinggi. Walaupun hanya tiga watak, tetapi Cikgu Amer Hamzah selaku pengarang novel telah berjaya mengolah penceritaan sepanjang 10 muka surat itu dengan baik. Terdapat unsur monolog dalam bentuk penilaian seseorang watak terhadap watak yang lain, usik-mengusik dan nasihat.

Pengacara: Apakah pendapat Dr. Andria tentang perwatakan watak utama  novel, khusus untuk bab 3?

Dr. Andria: Terima kasih saudari Asyikin. pada hemat saya, Amira sememangnya digambarkan dengan perwatakan yang bijak, teliti, prihatin, setia kawan dan penyayang. Misalnya, dia dapat mengaitkan bungkusan pakaian JC di kedai dobi Pak Cik Rama yang tidak diambil walaupun cuti sebelum mendapat kepastian bahawa sebenarnya JC langsung tidak balik ke mana-mana sepanjang cuti. Amira juga sangat prihatin terhadap JC sehingga membuat analogi angsa putih yang terapung di permukaan tasik yang tenang, walhal kakinya bekerja keras mengayuh supaya tidak dihanyutkan. Saya rasa memadailah dua contoh sebagai permulaan.

Pengacara: JC, iaitu Jacinta nampaknya remaja yang perasa atau sensitif, tetapi dalam masa yang sama boleh dikatakan sebagai keras hati. Apa kata Prof. Teoh?

Prof. Teoh: Saya bersetuju. JC serta-merta menangis apabila Amira membuka rahsia bahawa dia sanggup ke Bukit Mat Raya daripada ke London untuk bertemu dengan emak baharunya. Perwatakan keras hati JC dapat disokong dengan hujah bahawa JC telah menunjukkan bantahan terhadap keputusan bapanya berkahwin lagi dengan tidak pulang-pulang menjenguk banglo keluarga di Pulau Pinang. Namun, JC remaja yang kelakar dan pemaaf. JC cepat pulih daripada perasaan duka apabila diusik oleh Amira tentang peristiwa JC jatuh cinta kepada Dr. Zawawi ketika di Niah dahulunya. JC juga hanya berpura-pura marah apabila rahsia mereka berdua turut dikongsi dengan Profesor Zaidah.

Pengacara: Profesor Zaidah mempamerkan sifat keibuan yang sejati apabila menenangkan JC yang masih dibelenggu kekecewaan. Dalam dunia sebenar agaknya adakah profesor wanita bersifat demikian?

Dr. Andria: Tiada beza naluri keibuan tidak kira tahap pendidikan atau latar masyarakat mereka. Prof. Zaidah segera mengusap-usap rambut JC apabila terdengar esakannya. Prof. Zaidah juga memberi nasihat supaya JC lebih bersikap rasional dan rasional dalam menilai tindakan bapanya. Sebelum beredar dari khemah dua sahabat itu, Prof. Zaidah sempat menawarkan pilihan kepada JC jika mahu mengubah keputusan ke London. Bapa JC akan dimaklumkan tentang itu.

Pengacara: Baiklah, sekarang saya buka majlis kepada hadirin untuk sebarang kemusykilan atau pendapat. Hadirin hanya diberikan masa maksimum 45 saat untuk pertanyaan atau berhujah. Silakan.

Hadirin 1: Saya Prakash. Soalan saya tujukan kepda Prof. Teoh. Bab 3 lebih menjurus kepada nilai kasih sayang. Bolehkah profesor jelaskan dengan lebih lanjut.

Prof. Teoh: Terima kasih saudara Prakash, soalan yang penting untuk dibincangkan. Semua peristiwa yang Dr. Andria dan saya sebutkan dari mula tadi sebenarnya berkisar tentang nilai kasih sayang. Amira sangat mengambil berat terhadap JC. Daripada JC memerap di asrama, Amira mengajak JC menyertainya di Bukit Mat Raya supaya JC dapat menilai pendiriannya sendiri dalam persekitaran hutan tanpa dipengaruhi orang lain.

Pengacara:  Terima kasih saudara Prakash dan Prof. Teoh. Satu sahaja soalan lagi, silakan.


Hadirin 2: Saya Ai Ling. Mengapa novel bercitra feminin dinukilkan oleh pengarang maskulin? Saya tujukan soalan buat Dr. Andria.

Dr. Andria: Satu soalan yang tidak dijangka sama sekali. Terima kasih adik Ai Ling. Dalam dunia pengkaryaan sastera, seseorang pengarang bebas menggunakan kreativiti menulis asalkan penceritaannya masih boleh diterima dan menghormati sensiviti khalayak pembaca yang mewakili pelbagai latar belakang. Saya fikir Cikgu Amer Hamzah selaku pengarang novel telah melakukan kerja rumah sebelum melukiskan watak-watak feminin yang Ai Ling nyatakan itu dalam bentuk penulisan kreatif. Penulis wanita juga banyak menulis watak lelaki, misalnya J.K. Rowling yang menghasilkan karya fantasi yang sering diadaptasi ke layar perak, iaitu kisah Harry Potter. Tidak salah, bukan?

Pengacara: Dalam satu ayat, saya mohon Prof. Teoh membuat kesimpulan tentang bab 3 yang kita bincangkan.


Prof. Teoh: Bab 3 mengukuhkan eksposisi, iaitu perkembangan watak utama, iaitu Amira dan rakan  karibnya, iaitu JC supaya pembaca berasa lebih teruja untuk meneruskan pembacaan.

Pengacara: Dr. Amira, pesanan untuk hadirin dalam satu ayat tentang pembelajaran bab 3.


Dr. Andria: Seperti biasa, analisis komsas seperti watak dan perwatakan, latar masyarakat, nilai, persoalan dan pengajaran, serta perbincangam kbkk boleh disokong berdasarkan peristiwa-peristiwa yang sama.

Pengacara:  Terima kasih Prof. Teoh, Dr. Andria dan hadirin. Mudahan-mudahan program bual bicara kali ini mendatangkan manfaat kepada semua. Sekian, assalamu alaikum dan jumpa lagi...

No comments:

Post a Comment