Monday, January 10, 2011

BUKU ULASAN KOMSAS DI PASARAN "MENYEKSA" PELAJAR (THE SO-CALLED REFERENCE BOOKS ARE TOO MUCH)

Rasa lucu pun ada apabila dalam sebuah buku "rujukan" yang ditunjukkan oleh murid bahawa ada kaedah menulis karangan yang telah dipatenkan. Penulis berkenaan siap memberi amaran bahawa menjadi kesalahan di sisi undang-undang untuk mencedok idea atau model yang bersifat eksklusif itu. Keizinan hanya diberi bagi tujuan aktiviti pengajaran dan pembelajaran sahaja.

Buku yang seumpamanya melambak di pasaran bukanlah tidak berguna langsung, bahkan sedikit sebanyak membantu murid yang lebih percayakan jalan pintas daripada aktiviti bilik darjah yang sebenarnya dimaksudkan daripada pembelajaran komsas. Sesetengah murid langsung tidak mahu membaca naskhah komsas yang asal, termasuk antologi dan novel. Ertinya, penulis buku "rujukan" telah berjaya memesongkan perhatian murid, sambil mengembungkan kantung saku masing-masing bagi kesenangan hidup diri sendiri.

Apabila disuruh membuat kajian dan pembentangan, banyak murid yang hanya memplagiat bulat-bulat analisis buku "rujukan" yang dipersembahkan secara keterlaluan. Segelintirnya pula dengan selamba membaca terus bahagian yang menjadi tugasan mereka. Terima kasih penulis buku "rujukan" lengkap dengan paten saudara.

Sampai bilakah buku "rujukan" yang kononnya ada paten itu akan menjadi ancaman kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah? Suatu ketika dahulu buku kerja dan buku ramalan sudah dilarang daripada digunakan. Malangnya kini bahawa buku yang bermotif wang itu sudah kembali mahu bersaing dengan naskhah teks asal yang sepatutnya ditelaah dan dibincangkan.

Penulis-penulis buku "rujukan" juga sanggup menjaja soalan ramalan dan contoh jawapannya sekali. Apakah yang sebenarnya mereka mahukan daripada poket murid dan ibu bapa murid? Adakah mereka mempromosikan sebuah budaya yang sihat, atau sekadar jelmaan semula sebuah kepalsuan kaum kapitalis?

Memang benar bahawa murid sekolah menjadi sasaran perniagaan besar seperti pasaran buku, termasuk yang picisan, di samping pusat-pusat tuisyen yang benar dan yang menipu. Sungguh mengecewakan bahawa murid dijadikan mangsa kerakusan golongan yang tidak menyedari dosa menghadiahkan sebuah kezaliman. Semoga dengan mengukuhnya pentaksiran berasaskan sekolah, golongan yang hanya pandai menanti saat untuk "menerkam" itu perlahan-lahan dapat dipinggirkan... 


No comments:

Post a Comment