Sunday, January 9, 2011

ISU MINYAK MASAK BUKTI RENDAH ETIKA (NORMATIVE ECONOMICS SHOULD BE LEARNED)

Tiba-tiba rak-rak minyak masak asas kelapa sawit di kedai dan pasar raya kosong. Pengguna dikatakan melakukan pembelian panik, manakala peniaga putus bekalan daripada pengilang yang memberi alasan kenaikan kos. Kisahnya macam lagu bangau oh bangau!

Dalam urus niaga di pasaran, pengguna sering menjadi mangsa manipulasi kapitalis rakus yang menguasai proses pengeluaran. Kaum kapitalis (pemodal) hanya mendambakan untung maksimum tanpa mahu mengambil peduli tentang kebajikan pengguna. Jika pengguna negara asing sanggup membayar harga yang lebih tinggi, mereka akan mengucapkan selamat tinggal kepada pengguna tempatan.

Kesudahan episod wayang kapitalis sudah dapat ditebak, iaitu pengguna akhirnya mengalah bagi merelakan kenaikan harga daripada bersusah payah mencari minyak masak ke sana ke mari. Persatuan-persatuan pengguna yang tidak kurang hebat politikingnya belum berjaya menyatukan pengguna bagi mengajar kaum kapitalis. Begitu juga kekuatan gerakan koperasi kebangsaan yang masih dibayangi perbalahan yang berpunca daripada perebutan kuasa dalam pucuk pimpinan kerana masing-masing mahu mengintai peluang berkawan dengan orang-orang besar dan media.

Sisa-sisa harapan hanya disandarkan kepada kementerian yang menjaga hal-ehwal pengguna. Unit risikan kementerian berkenaan mungkin sedang bekerja keras bagi mendedahkan dalang dan tembelang pihak yang tergamak menyusahkan pengguna di negara pengeluar kelapa sawit yang bertuah ini. Jika keadaan bertambah kritikal, lesen pengilangan minyak masak harus dibuka kepada lebih banyak usahawan, terutama kumpulan dana amanah awam seperti KWSP, PNB dan Mara.

Pergantungan pasaran domestik kepada segelintir puak kapitalis menjadikan mereka makin angkuh, bongkak dan lupa bahawa mereka beroleh kedudukan sekarang atas sokongan pengguna yang hendak mereka ketepikan. Komoditi strategik seperti air, tenaga, beras, gula, minyak masak dan tepung berkait rapat dengan keselamatan negara. Walaupun saranan mengehadkan penggunaan komoditi yang disenaraikan atas alasan kesihatan nampak logik, majoriti pengguna masih belum bersedia.

Arah aliran kenaikan harga menjelang musim perayaan perlu ditangani segera. Inflasi yang berterusan mengakibatkan kuasa beli wang, nilai tabungan, sistem perbankan dan aktiviti simpanan nilai terancam dengan teruknya. Pengguna yang berpendapatan tetap, apatah lagi yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang akan berhadapan dengan kesengsaraan dalam menyara seisi keluarga.

Ketegasan terhadap puak kapitalis yang tidak pernah puas dengan laba tidak seyogia dilengahkan. Jika terbukti bahawa masalah kekurangan bekalan minyak masak ialah angkara haloba mereka, tindakan undang-undang berlandaskan penganugerahan lesen perlu dilaksanakan. Sementara itu, perubahan besar-besaran terhadap organisasi pengguna dan koperasi boleh dimulakan.

Akhir sekali, disiplin ekonomi perlu mengembalikan kajian normatif yang selama ini agak terpinggir. Pendapat bahawa pendekatan positif sahajalah asas pembelajaran ekonomi kepada pelajar sekolah perlu dikaji balik. Sekurang-kurangnya pengenalan tentang etika dalam aktiviti ekonomi perlu dimasukkan dalam beberapa bab sukatan pelajaran yang bakal disemak dari masa ke masa...


No comments:

Post a Comment