Friday, January 14, 2011

LAPORAN GURU BERTUGAS 2011 (VERBAL REPORT ON STAGE)

Assalamu alaikum warahmatullahi warahmatullahi wabarakatuh
Selamat sejahtera dan selamat pagi

Terima kasih saudara pengacara majlis

Yang Berusaha Tuan Pengetua
Penolong Kanan, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Penolong Kanan Kokurikulum, Penolong Kanan Tingkatan 6, guru kanan, guru, pemimpin pelajar dan seterusnya pelajar yang dikasihi sekalian.

Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas kerjasama dan sokongan pelajar sekalian sepanjang persekolahan minggu kedua yang telah pun menjadi sejarah. Saya, Cikgu ______________, dan Cikgu __________________ selaku guru bertugas mingguan berasa cukup lega dan senang hati kerana ketiga-tiga objektif yang menjurus terhadap persekitaran pembelajaran yang terbaik seminggu yang lalu telah tercapai.

Berdasarkan akses maklumat yang sampai kepada guru bertugas, serta pemerhatian dan rekod yang sah, izinkan saya memberikan laporan ringkas minggu kedua. Objektif keselamatan pelajar, dengan pengecualian kepada satu dua kes terpencil, menunjukkan bahawa SMK ______________________ ialah sebuah persekitaran pembelajaran yang diinginkan dan terbaik. Semua pelajar memiliki kesempatan untuk belajar dengan aman dan selesa tanpa kacau ganggu yang serius.

Objektif kebersihan dan keceriaan juga boleh dikatakan tercapai walaupun dari segi penarafan baru mencapai gred B++. Pada hari Isnin dan Selasa, keadaan bakul sampah dan lantai masih belum terurus dengan baik, tetapi Alhamdulillah mulai hari Rabu keadaan lantai bilik darjah bertambah bersih dan bakul sampah juga kelihatan berfungsi sebagaimana sepatutnya. 

Objektif disiplin dan sahsiah yang menjadi petunjuk penting pencapaian pembelajaran juga berada pada tahap yang membanggakan. Tingkah laku segelintir pelajar yang melencong tidak menjejaskan kualiti disiplin dan sahsiah yang dipamerkan oleh majoriti pelajar di SMK _______________________. Jumlah kes ponteng yang dilaporkan menerusi sistem demerit masih belum serius dan masih terkawal.

Akhir sekali, saya berharap bahawa pelajar akan terus menunjukkan kemajuan dan peningkatan dalam aktiviti pembelajaran di bilik darjah dan pembelajaran di luar bilik darjah yang menjadi tujuan utama kalian datang ke sekolah saban hari. Jika semua pelajar memberikan sokongan dan kerjasama ke arah persekitaran pembelajaran yang terbaik, maka pengalaman yang diperoleh bertahun-tahun di sini bakal membawa kalian ke mercu kecemerlangan yang diidam-idamkan. Teruskan segala kebaikan dan baiki segala kekurangan yang masih ada.

Sekian. Wabillahi taufiq wal hidayah. Wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment