Saturday, January 15, 2011

PANTUN DUA KERAT (NASIHAT) KOMSAS TINGKATAN 2 (THE SUBTLE ADVICE)

Pengenalan

Pantun dua kerat lebih mudah untuk disamakan rima awal, rima tengah dan rima hujungnya. Perkataan yang sama boleh diulang untuk rima awal dan rima tengah. Jumlah suku kata bagi setiap baris dalam pantun selenggaraan Dr. Anwar Ridhwan dan Profesor Rahman Shaari yang dimuatkan pada halaman 5, antologi Gema Sepi Gadis Genius itu ialah antara 7 - 12 suku kata.

Dalam bahagian pengenalan (muka surat 3, perenggan 2) dinyatakan bahawa Pantun Dua Kerat (Nasihat) mengajak pembaca supaya berfikir terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kata-kata agar tidak melukakan perasaan orang lain. Pembaca juga disarankan supaya melakukan sesuatu mengikut kemampuan agar tidak memudaratkan kesihatan diri. Inti pati pantun berjumlah 6 rangkap yang disebutkan itu boleh menjadi panduan kepada murid untuk tujuan perbincangan yang lebih terperinci.

Perbincangan Isi Pantun

          Gaharu, cengal, giam,
                    Tak tahu, tak kenal, diam.     

Seseorang yang tidak memiliki pengetahuan tentang sesuatu perkara, atau tidak mengenali sesuatu (yang asing, yang baharu, yang belum biasa dilihat) dinasihatkan supaya berdiam diri. Langkah itu dilihat bijak supaya seseorang itu tidak mendedahkan kejahilan diri (kebodohan, kurang ilmu, cetek pengetahuan) apabila cuba bercakap tentang perkara yang tidak diketahui atau tidak dikenali. Dalam kata lain, sebelum membuka mulut mengatakan sesuatu, fikirkan terlebih dahulu bahawa kita memiliki pengetahuan atau maklumat yang sah tentangnya.

           Jika ada padi berhampalah,
                     Jika ada hati berasalah.

Seseorang yang mempunyai hati, iaitu perasaan mestilah peka terhadap sesuatu perkara. Maknanya, seseorang itu mesti mempunyai sensitiviti supaya dapat mengawal emosi diri sendiri, di samping menjaga perasaan orang lain. Sebarang percakapan atau tingkah laku kita hendaklah mengambil kira hak diri sendiri dan hak orang orang lain, iaitu bersikap asertif (tegas diri).  

          Sakit pandan tak tahukan duri,
                    Sakit badan tak tahukan diri.   

Orang yang mengalami kesakitan tidak sedar akan diri sendiri, serta tidak dapat mengawal diri sendiri. Kesakitan boleh jadi berbentuk fizikal (jasmani), mahupun berbentuk psikologi (emosi). Kedua-dua keadaan kesakitan berkenaan saling berkaitan, iaitu saling menjejaskan antara satu dengan lain.

          Dengar cakap enggang makan buah belolok,
                    Dengar cakap orang terjun masuk lubuk.

Seseorang itu hendaklah mempunyai pendirian supaya tidak mudah terpengaruh dengan cakap atau pendapat orang lain. Orang yang tidak ada pendirian yang teguh akan mudah diperkotak-katikkan. Kita akan binasa atau terperangkap dalam keadaan yang tidak menentu jika hanya bersandarkan kata-kata orang yang tidak dapat diselami niat sebenar mereka.

          Ada beras taruh dalam padi,
                    Ada ingat taruh dalam hati.

Tidak semua yang terlintas dalam fikiran perlu dilafazkan dalam bentuk percakapan atau penulisan. Sebaliknya, ada perkara yang mungkin hanya perlu disimpan di dalam hati (tidak disebutkan) kerana mungkin menimbulkan masalah kepada diri sendiri dan orang lain. Selain itu, sebarang nasihat atau pengajaran yang baik hendaklah mereeap dalam sanubari.

          Mahal imam, murahlah khatib,
                     Mahal demam, murahlah sakit.

Mahal demam bermaksud bahawa kesihatan diri perlu dijaga sebaik mungkin kerana kesannya yang besar terhadap mutu atau kualiti kehidupan seseorang. Seseorang yang menghadapi masalah kesihatan (murahlah sakit) tidak akan berdaya melakukan sesuatu aktiviti atau pekerjaan dengan sempurna. Maka, sebelum berbuat sesuatu, pastikan bahawa kita berkemampuan supaya tidak memudaratkan kesihatan diri.

Latihan:

a)   Nyatakan dua nasihat dalam pantun di atas.

b)   Sebagai murid, kesihatan diri hendaklah sentiasa dijaga.

      Cadangkan tiga cara menjaga kesihatan diri sendiri.

c)   Jelaskan dua persoalan dalam pantun di atas.

19 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. -tema
    -asonasi
    -aliterasi
    -anafora
    -resposi
    cari unsur trsbut dlm pantun 2 kerat .
    cikgu kmi y suruh jawab . tolong laa .11.2.11 . kmi hntr sdh kerja rmh tuh.

    ReplyDelete
  3. salam

    begitu mendalam? macam tugas pelajar kesusasteraan tulen.

    Asonansi = pengulangan bunyi vokal (a, e, i, o, u), sangat banyak untuk disenaraikan..

    Aliterasi = pengulangan bunyi konsonan (selain a, e, i, o, u) dalam setiap baris puisi.
    biasanya paling banyak h, m,n,t

    Anafora = pengulangan kata di awal baris (dalam pantun di atas, kecuali rangkap 1 sahaja tidak sama; rangkap lain semua berulang): jika - jika, sakit - sakit, dengar - dengar, ada - ada, mahal - mahal.

    Responsi = pengulangan perkataan pada bahagian tengah ayat, baris atau bahagian ayat.

    contoh: rangkap 3 - tak tahukan
    rangkap 5 - taruh
    rangkap 6 - murahlah

    Tema: Nasihat supaya berfikir terlebih dahulu sebelum bertindak

    Wallahu a'lam

    ReplyDelete
  4. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  5. terima kasih atas mklumat y cgu brikn...& terima kasih jg kpd tyra sbb tlg sy tanya...^_^...kerja y cgu bri pd kmi dh siap...

    ReplyDelete
  6. salam :) boleh tak tolong berikan nilai dan pengajarn pantu nasihat ni ? harapnya boleh la.. terima kasih :)

    ReplyDelete
  7. *silap..pantun bknnya pantu

    ReplyDelete
  8. abang!!nak nombor

    ReplyDelete
  9. terima kasih. sangat membantu :)

    ReplyDelete
  10. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  11. Cikgu Pantun Dua Kerat(Nasihat) Punya Tema,Persoalan,Dengan Pengajaran Mana?Cikgu Boh Sat Sebelum Hari Khamis.

    ReplyDelete
  12. sinopsis ade tk . boleh bgy ?

    ReplyDelete
  13. Ikan Siakap Ikan Putih,
    Banyak Cakap Banyak Letih.

    ReplyDelete
  14. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  15. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  16. Soalan : Apakah jenis pantun ini ?
    Jawapan : ? ? ? ? ?

    ReplyDelete
  17. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete