Saturday, January 1, 2011

SELAMAT TAHUN BARU, SELAMAT MEMASUKI DEKAD BARU (THE CHALLENGE OF NEW DECADE)

Akhirnya dekad kedua abad 21, atau alaf tiga kalendar Masihi muncul jua. Marilah kita memanjatkan rasa syukur ke Hadrat Ilahi bahawa dengan Inayah dan Kurnia-Nya kita dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki. Marilah kita memulakan tahun 2011 dengan tekad untuk menjadi insan yang lebih baik daripada tahun 2010 yang makin jauh meninggalkan kita.

Tanggungjawab terhadap diri sendiri, ibu bapa, keluarga, masyarakat, negara dan umat hendaklah sentiasa ditunaikan sehabis baik. Hiasi peribadi dengan sifat-sifat yang terpuji, dan hindari diri daripada sifat-sifat yang tercela. Kukuhkan sikap positif dan jauhi sikap negatif.

Jika anda ialah murid sekolah atau pelajar pengajian tinggi, ayuh sentiasa ingatkan diri tentang cogan kata kecemerlangan yang anda laung-laungkan. Anda hendaklah mara tanpa menghiraukan pesona-pesona yang mengajak anda melencong ke kancah kebinasaan. Bimbing diri anda mencintai ilmu, dan pisahkan diri anda daripada bisikan-bisikan palsu walaupun zahirnya mengkagumkan anda.

Jika anda pemimpin, bahagiakan pengikut-pengikut anda. Jangan khianati kepercayaan mereka dengan menganiaya dan menipu sesiapa pun. Harapan kepada anda terlalulah tingginya...

PANTUN TAHUN BARU 2011


          Jelapang padi di negeri Kedah
          Di sana sini orang berhuma
          Awal Muharram berlalulah sudah
          Giliran Januari kini menjelma


          Anak kecil melintas titi
          Bawa bersama si buah pauh
          Perjalanan masa tidak berhenti
          Meninggalkan sejarah makin menjauh


          Pasang umpan di hujung joran
          Dapat ikan terus ditimbang
          Tahun berlalu jadikan pelajaran
          Tahun ini harungi gelombang


           Ambil petai barang sepapan
           Patah lurus di bucu balang
           Walau pelbagai dugaan di depan
           Majulah terus menuju cemerlang


           Desa Cangkat rumpun terbentang
           Berkocak kali membelah jalan
           Usia meningkat diri pun matang
           Bijak bestari itulah bekalan


           Intai gugusan kumpulan bintang
           Teman angkasa permai pandangan
           Andai godaan berkekalan datang
           Iman dan taqwa bagai kemenangan

No comments:

Post a Comment