Sunday, January 2, 2011

UCAPAN SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH (BACK TO SCHOOL)

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Selamat sejahtera dan selamat pagi

Terima kasih saudara pengacara majlis

Yang Berusaha Tuan Pengetua
Penolong-penolong Kanan, Guru Kanan, guru-guru,
pemimpin pelajar dan seterusnya pelajar yang dikasihi sekalian

Hari ini, Isnin 3 Januari 2011 bersamaan 26 Muharram 1432 Hijriyyah menandakan permulaan sesi persekolahan baru. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat datang kepada semua pelajar, khususnya yang baru memasuki alam persekolahan menengah tingkatan satu. Seterusnya ucapan syabas dan tahniah saya tujukan kepada pelajar tingkatan empat yang baru sahaja menerima keputusan peperiksaan PMR tahun lalu.

Sesungguhnya perjuangan dan perjalanan kalian dalam proses pembelajaran masih jauh. Jika habis air tujuh lautan digunakan sebagai tinta untuk menulis segala butiran ilmu pengetahuan, nescaya masih belum mencukupi. Kita semua hendaklah menyedari bahawa dalam kesempatan usia yang cuma sebentar di dunia yang fana ini, keupayaan pemerolehan ilmu seseorang sangatlah terhad.

Justeru, kita hendaklah menghormati para ilmuan dalam segala bidang, termasuk guru-guru di sekolah. Walaupun maklumat boleh diakses dengan mudah di hujung jari, iaitu sekadar menekan papan kekunci komputer, pembelajaran di bilik darjah masih tidak boleh diganti dengan cara lain yang lebih berkesan. Bilik darjah ialah dunia kecil para pelajar untuk menerokai, menyaring dan mengorganisasi ilmu yang telah disusun berdasarkan keperluan kurikulum, nilai, dan aplikasi kehidupan di dunia sebenar.

Guru dan pelajar yang dihormati,

Saya ingin mengajak para pelajar di hadapan saya ini supaya berfikir sejenak tentang tujuan kalian datang semula ke sekolah awal-awal pagi sebegini. Mengapakah kalian sanggup bersusah payah bangun pagi membersihkan diri semata-mata untuk berkejar ke sekolah? Apakah yang menarik di sekolah kita?

Kalian bisa sahaja memilih untuk melayan mata, iaitu tidur semahu-mahunya, atau bersengkang mata di hadapan skrin televisyen dan komputer. Hakikatnya para pelajar berkorban meninggalkan keselesaan di rumah masing-masing, sebaliknya bersesak-sesak di bilik darjah, di kantin dan di pusat sumber sekolah. Berbaloikah pengorbanan kalian?

Sebagai pelajar yang bijak laksana, kalian pasti telah menetapkan objektif yang jelas sebelum hadir ke sekolah saban hari. Alangkah ruginya jika setelah sehari suntuk di sekolah, kalian balik dengan tangan kosong ke rumah. Sebarang bentuk pembaziran bakal merugikan diri sendiri, keluarga, masyarakat, pembayar cukai dan negara. 

Sebenarnya pembelajaran tidak terbatas kepada penguasaan isi pelajaran semata-mata. Pembelajaran tersembunyi (hidden curriculum) dari segi etika, sahsiah, sikap, keperibadian, perawakan, penampilan, kerja berpasukan dan keberanian menyatakan pendapat ialah antara elemen-elemen modal insan utama yang diterapkan dalam sesi pembelajaran. penggemblengan bakat para pelajar juga sangat dititikberatkan di sekolah.

Pelajar yang dimuliakan,

Segala aktiviti yang dirancangkan oleh pihak sekolah akhirnya menjurus kepada pembelajaran. Maka, di samping mengikuti pembelajaran formal di bilik darjah, pelajar akan dibimbing menyertai kegiatan koakademik, kokurikulum dan sukan. Pelajar berpeluang mengasah bakat kepimpinan, interaksi, protokol dan meraih pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan. 

Pencapaian sesebuah sekolah sangat bergantung kepada penglibatan pelajar segala bidang yang saya sebutkan sebentar tadi. Bagi menjayakan semua aktiviti sekolah, saya menyeru supaya semua pelajar, tanpa kecuali, memberikan kerjasama dan sokongan yang tidak berbelah bahagi agar kita semua berjaya menikmati hasil pembelajaran yang diharapkan. Tunjukkan tahap disiplin yang tertinggi dalam penyertaan semua aktiviti yang bakal dilaksanakan sepanjang tahun 2011 kelak, Insya-Allah.

Terima kasih atas perhatian pelajar. Saya akhiri ucapan saya dengan Wabillahi taufiq wal hidayah. Wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

1 comment: