Friday, February 25, 2011

ISLAM BERMULA DAGANG? (SPREADING MESSAGES)

Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Nabi Muhammad Salallahu Alaihi Wasallam bersabda, Bada'al Islamu ghariban fasaya 'udu bada'a ghariban, faTuba lil-ghuraba' (au kama qala). Mafhumnya: Permulaan Islam itu dagang (asing), berakhir juga dagang, maka berbahagialah orang-orang yang dagang.

Hadith berkenaan dibacakan oleh khatib di mimbar Jumaat di sebuah masjid di Ipoh petang tadi. Hadith berkenaan dikaitkan dengan sejarah risalah tawhid di tengah-tengah masyarakat jahiliyyah yang begitu asing. Pemimpin-pemimpin Quraisy berasa status quo mereka terancam dengan kedatangan risalah tawhid.

Walaupun berhadapan dengan pelbagai dugaan (mehnah) dan ranjau (tribulasi), Islam terus berkembang hingga ke hari ini. Di samping cabaran luaran (musuh Islam), cabaran dalaman, iaitu sebahagian umat Islam yang diresapi pelbagai aliran fahaman yang menyimpang daripada ajaran Islam. Misalannya, fahaman sekular yang memisahkan urusan dunia dengan cara hidup Islam yang bersifat syumul (menyeluruh).

Bagi pemuja sekular, Islam mahu dibataskan sekadar ibadah asas, iaitu solat, puasa, zakat fitrah dan menunaikan haji. Urusan kehidupan yang selebihnya dianggap tiada kena-mengena. Fahaman sekular yang amat bahaya dan durjana itu telah meresap masuk ke dalam urat nadi masyarakat Islam sehingga risalah tawhid sebenar kembali menjadi dagang sebagaimana asalnya dagang.

Di Malaysia, kesedaran terhadap kewajipan menutup aurat, contohnya wanita menutup keseluruhan tubuh badan kecuali muka dan telapak tangan, meningkat secara mendadak pada dekad 1980-an. Pada mulanya perempuan memakai tudung dilabel sebagai "dakwah", atau lebih teruk sebagai "hantu kum-kum". Namun, kreativiti yang ditampilkan oleh industri busana Muslimah yang tidak mengehadkan tudung berwarna gelap dan suram semata-mata menjadikan wanita tidak bertudung pula sebagai asing dan janggal dalam kalangan masyarakat Islam.

Dahulu terdapat tokoh politik dan orang-orang jahil mengatakan bahawa pengasingan jantina (gender segregation) di tempat-tempat awam, pasar raya dan pengangkutan sebagai kolot, kuno dan ketinggalan zaman. Kini, setelah perkhidmatan komuter, bas henti-henti dan kaunter pasar raya melaksanakan pengasingan jantina, golongan penentang berkenaan hanya mampu menahan geram. Sudah nyata bahawa syariat Islam selari dengan akal yang sihat, serta memberi jaminan keselamatan yang maksimum kepada golongan yang sangat dimuliakan dalam masyarakat yang mengaku bertamadun tinggi.

Dalam bidang perubatan dan rawatan, kaum wanita juga akan berasa lebih selesa dengan pegawai perubatan kaum sejantina mereka. Kini, makin ramai doktor pakar perbidanan dan sakit puan terdiri daripada wanita. Walaupun para doktor tidak dibenarkan melakukan diskriminasi atas faktor latar belakang, jantina dan emosi, sensitiviti terhadap batasan aurat tetap perlu dijaga, melainkan dalam keadaan darurat.

Pengamal undang-undang sivil berteraskan kanun yang diciplak dari Barat juga sangat fobia akan hukum Islam, sama ada bernama hudud atau takzir tanpa mengkajinya terlebih dahulu. Sepatutnya hanya penjenayah yang berasa gerun terhadap kemungkinan dikenakan mana-mana bentuk hukuman. Tiada unsur penganiayaan atau kezaliman dalam proses sabitan dan jatuh hukum, melainkan setelah proses keadilan mengambil tempat.

Prinsip orang jahil bahawa "jaga kubur masing-masing" menunjukkan betapa ruh Islam sangat asing kepada mereka. Golongan demikian sebenarnya larut dengan bisikan dan tipu daya syaitan yang bakal mengheret mereka ke neraka, barang dijauhkan oleh Allah, na'uzubillahi minzalik. Hakikatnya, mereka mungkin benar-benar jahil, atau enggan diganggu kerana bergelumang dengan dosa, jenayah, maksiat, dan noda.

Umat Islam akhir zaman akan menghadapi cabaran bertubi-tubi bagi mempertahankan aqidah, syariat dan akhlak sebagaimana amalan masyarakat awal Madinah. Selain agenda musuh yang nyata dan musuh yang tersembunyi, umat Islam juga harus kuat berhadapan dengan kejahilan dan pesona hawa nafsu. Sesungguhnya permulaan Islam asalnya dagang dan akan akhirnya kembali dagang... 

No comments:

Post a Comment