Sunday, March 20, 2011

BELAJAR SENDIRI ATAU BERKUMPULAN? (THE STYLE OF REVISION)

seisi keluarga mengayuh sebuah basikal unik di kota Jakarta

Pemandangan seperti dalam rakaman gambar di atas mungkin tidak pernah kita lihat di negara kita. Barangkali terdapat juga basikal panjang yang dikayuh serentak oleh dua tiga orang di kawasan taman tema, atau basikal air (aquacycle) di kawasan tasik rekreasi. Lazimnya juga tiada atap dipasang pada basikal yang dimaksudkan. 

Walaupun tukang kayuh basikal lebih daripada seorang, tukang jaga handle hanyalah seorang. Dalam gambar di atas, nampaknya sang bapalah yang menjaga arah haluan pergerakan basikal dan juga penekan pedal brek apabila diperlukan. Sebagai pemimpin, sang bapa tidak boleh sama sekali mengelamun, walaupun anggota keluarga yang lain boleh mengayuh sekuat hati.

Demikianlah ibaratnya belajar secara berkumpulan. Jumlah anggota kumpulan hendaklah dipilih dengan teliti supaya berlaku persamaan hala tuju dan tiada sesiapa pun diberi kesempatan untuk memesongkannya. Selain itu, bilangan anggota kumpulan juga mesti dihadkan supaya tidak berlebihan beban (overload).

Dalam kumpulan yang dibentuk juga mesti ada seorang pemimpin (amir) yang tegas dan tetap pendirian dalam menjaga pencapaian hala tuju bersama. Namun, pemimpin kumpulan juga hendaklah berupaya mengawal dirinya sendiri agar tidak bertindak selaku autoritarian atau diktator yang hanya menggagalkan impak hebat kumpulan yang diharapkan. Peranan pemimpin kumpulan belajar dihadkan setakat menjaga hala tuju kumpulan dan mematahkan cubaan pemimpin pendapat (opinion leaders) yang terpesong.

Kumpulan belajar tidak semestinya berfokus kepada aktiviti lisan, seperti penerangan dan soal jawab semata-mata. Kaedah belajar senyap juga boleh dipraktikkan sama seperti kelas persediaan (prep) budak asrama. Hanya apabila wujud keperluan, baharulah izin dipohon untuk perbincangan yang khusus.

Walaupun kepintaran individu kekal penting, tetapi kepesatan perubahan yang meningkat berkali-kali ganda menyebabkan kepintaran kumpulan makin diutamakan. Maknanya, dalam sebuah organisasi yang berdaya saing, kepintaran individu digabungkan dalam satu kumpulan atau jaringan supaya keputusan dan tindakan dapat diambil dengan lebih cepat dan tepat.

Keberkesanan kaedah belajar berkumpulan bergantung kepada kepimpinan yang berupaya menjaga hala tuju kumpulan dan dapat mengawal dirinya sendiri. Kumpulan belajar hendaklah disifatkan sebagai sebuah kelab eksklusif atau elit, seperti Club of Rome yang hanya mengehadkan keanggotaan kepada 100 orang dari seluruh dunia. Kumpulan belajar mungkin tidak melebihi 7 orang anggota.

Agihan tugas yang terancang akan membantu kumpulan menjana pembelajaran yang optimum. Peruntukan masa untuk proses perbincangan akhir (seperti sidang pleno seminar) hendaklah ditetapkan lebih awal. Jika terdapat kemusykilan yang masih belum selesai, tindakan merujuk pakar (guru, pensayarah) hendaklah diusulkan...

No comments:

Post a Comment