Friday, April 15, 2011

MENGENAL PASTI WAJAH MURID DI SEBALIK TOPENG (READING SHADOW PERSONALITY)

Antara konsep penting dalam kajian psikologi ialah helah bela diri (defense mechanism). Aliran psikoanalisis yang dipelopori oleh Sigmund Freud memberi perhatian besar terhadap konsep helah bela diri. Namun, perbincangan ini hanya terhad kepada tingkah laku murid yang masih melakukan pelbagai eksperimen kendiri dalam proses membina identiti dan keperibadian setelah memasuki fasa autonomi yang lebih tinggi, manakala fasa pergantungan (dependency) mereka pula menjadi lebih rendah.

Helah bela diri boleh dinisbahkan sebagai topeng kepada si pemakai bagi menyembunyikah wajah sebenar. Terdapat pelbagai jenis topeng yang bertukar ganti berdasarkan tujuan tertentu. Pada amnya, semua manusia (pengecualian kepada para Rasul yang bertaraf maksum) tidak sunyi daripada kekurangan dan khilaf. Maka, manusia akan berusaha supaya hanya sisi terang mereka yang kelihatan, sementara sisi gelap dapat disorokkan.

Murid sekolah memang tidak pernah terkecuali. Sebagai murid, dalam banyak keadaan mereka berada dalam kedudukan yang tidak memihak (disadvantage). Selain disogokkan dengan pelbagai harapan, kecuali harapan kendiri, murid sering menganggap diri mereka sebagai "mangsa" kepada banyak proses.

Murid ditetapkan dengan sejumlah kod tingkah laku, peraturan dan etika. Murid perlu mengawal diri dalam ruang bilik darjah (termasuk bengkel, makmal dan padang permainan) supaya proses pembelajaran dapat diterima sepenuhnya. Rutin harian enam jam sehari, lima hari seminggu, 42 minggu setahun dan kira-kira 200 hari setahun itulah yang akan dilalui sepanjang tempoh bergelar sebagai murid.

Sebagai kanak-kanak dan remaja yang sedang mengalami perubahan hormon, serta pertumbuhan fizikal anatomi dan fisiologi, sesetengah murid mungkin tidak betah diam membatu untuk sesuatu tempoh yang panjang kepada mereka. Mujurlah reka bentuk pedadogi pembelajaran telah mengambil kira segala domain kognitif, afektif dan psikomotor, selain akur kepada taksonomi Bloom, somatik dan reka bentuk aktiviti yang membolehkan murid mengembangkan potensi dan fakulti yang ada dalam diri mereka.

Kepesatan perubahan persekitaran yang lebih deras bermakna bahawa murid perlu disediakan dengan kurikulum yang mampu menampung kehendak semasa dan masa hadapan, di samping tidak melepaskan akar umbi dan jati diri mereka. Prinsip pemerolehan ilmu diolah begitu rupa supaya input pembelajaran akan kekal relevan walaupun persekitaran dan zaman sudah berlainan. Maka, banyaklah tugasan yang dibekalkan kepada murid bagi mencapai hasrat berkenaan.

bersambung...

No comments:

Post a Comment